Monday 28 May 2012

RM106 juta wang Yayasan Pahang sendiri untuk bangunkan kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP


MENGAMATI MODEL KAMPUS INDUK... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menunjukkan sesuatu pada model kampus sambil diperhatikan oleh (dari kiri ke kanan) Dato' Prof Dr Zaleha, Dato' Saariah, Tan Sri Abdul Rashid, Dato' Dr Abdul Monir dan ahli Lembaga Pengarah, IKIP Education Sdn Bhd, Dato' Ti Lian Ker.   


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – RM106 juta. Inilah nilai pembiayaan yang akan dikeluarkan oleh Yayasan Pahang (YP) sendiri bagi membangunkan kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP dalam persekitaran kompleks ini.

Secara tidak langsung, ini membuktikan kemampuan dan keupayaan kewangan yang tinggi oleh YP, dalam membangunkan kampus induk ini seterusnya aspek pendidikan di negeri dan negara ini.  

Sudahpun bermula kerja-kerja tapak, kampus induk ini di atas tanah seluas 6.3 hektar, dijangka siap dalam tempoh lima (5) tahun pada 2017 dengan mampu menampung pelajar 2,000 orang.

Menjadikan keseluruhan jumlah pelajar di kesemua lima (5) kampus Kolej Antarabangsa IKIP termasuk empat (4) yang sedia ada – di Taman Gelora, Kubang Buaya dan Taman Pertanian di Kuantan serta di Taman Bunus Permai, Bentong; kira-kira 5,000 orang!

Oleh itulah, tidak menghairankan apabila dalam ucapannya merasmikan Pelan Induk Pembangunan Kampus IKIP pada petang Isnin, 28 Mei di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahukan usaha digerakkan bagi menjadikan Kolej Antarabangsa IKIP sebagai sebuah ‘full-fledged university’ (universiti sepenuhnya).

TAMBAHKAN LAGI BIDANG-BIDANG PENGAJIAN

Ini katanya, termasuklah usaha untuk menambah dan memperkenalkan bidang-bidang pengajian yang lebih inovatif dan kreatif yang menjurus kepada sektor ekonomi hiliran perindustrian seperti gas dan petroleum, automotif, animasi, multimedia, fesyen serta rekabentuk.

Beliau percaya, hasratnya itu boleh dijayakan sementelah Kolej Antarabangsa IKIP mempunyai keupayaan termasuklah adanya Lembaga Penasihat Akademik yang dianggotai oleh tokoh-tokoh termasuklah Dato’ Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


MENTERI BESAR YANG JUGA MESRA-PELAJAR... Para pelajar Kolej Antarabangsa IKIP ini kelihatan gembira dapat bersua-muka dan bersalaman dengan pemimpin nombor satu negeri. Foto ini dirakam semasa Dato' Sri DiRaja Adnan melawat-tinjau ke gerai-gerai pameran yang dikendalikan oleh para pelajar. 


Ketika ini, Kolej Antarabangsa IKIP menawarkan 30 bidang pengajian bertaraf diploma dan ijazah yang diiktiraf dan diluluskan oleh Kerajaan menerusi Agensi Penarafan Malaysia (MQA : Malaysian Qualifications Agency);

Kesemua bidang pengajian ini terangkum di bawah enam (6) sekolah pengajian iaitu Sekolah Pengajian Diploma, Sekolah Pengajian Islam, Sekolah Sains dan Teknologi, Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka, Sekolah Pengurusan dan Perniagaan, dan Sekolah Pengajian Siswazah.

Antara ciri-ciri utama kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP yang sedang dalam pembinaan ini ialah bangunan-bangunan Canselori, dewan utama, sekolah-sekolah pengajian, pusat pelajar serta empat (4) blok asrama empat (4) tingkat.

REKTOR UIAM TURUT HADIR  

Selain itu ialah pusat ekuestrian (yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya untuk kegunaan segera pada Sukan Malaysia XV, Julai ini yang kemudian akan dikelolakan oleh YP menerusi Maahad Tahfiz Negeri Pahang);

Serta prasarana seperti masing-masing sebuah padang bolasepak dan futsal , sebuah gelanggang badminton, sebuah kawasan tapak gerai serta kawasan-kawasan parkir bas dan kenderaan lain.

Bagi blok asrama sendiri, bilik-bilik yang akan dibina lengkap dengan tandas ialah untuk kapasiti dua (2) orang, empat (4) orang dan enam (6) orang (katil dua-tingkat) dengan keluasan lantai yang sama iaitu 22.2 meter persegi. Bilik-bilik untuk pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) turut diadakan. 

PARA HADIRIN YANG DIHORMATI SEKELIAN... Yang turut berada dalam kalangan hadirin ini ialah wakil rakyat-wakil rakyat parti-parti pembangkang PAS dan DAP yang menandakan sokongan mereka terhadap aktiviti YP khususnya Pengerusinya yang juga Menteri Besar. 
 

Selain Pengurus Besar YP, Dato’ Saariah Saad; Pengerusi, Lembaga Pengarah IKIP Education Sdn Bhd, Dato’ Dr Abdul Monir Yaacob; dan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Antarabangsa IKIP, Encik Abu Bakar Hashim;

Yang turut hadir pada majlis perasmian Pelan Induk Pembangunan IKIP ini ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Mohd Sharif; bekas Timbalan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman; serta Dato’ Prof Dr Zaleha. – Khabar     

      
MATA KE MATA;

*** Sudahpun bermula kerja-kerja tapak, kampus induk Kolej Antyarabangsa IKIP ini di atas tanah seluas 6.3 hektar, dijangka siap dalam tempoh lima (5) tahun pada 2017 dengan mampu menampung pelajar 2,000 orang.

*** Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mahukan usaha digerakkan bagi menjadikan Kolej Antarabangsa IKIP sebagai sebuah ‘full-fledged university’ (universiti sepenuhnya).

*** Boleh dijayakan sementelah Kolej Antarabangsa IKIP mempunyai keupayaan termasuklah adanya Lembaga Penasihat Akademik yang dianggotai oleh tokoh-tokoh termasuklah Dato’ Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

*** Antara ciri-ciri utama kampus induk Kolej Antarabangsa IKIP yang sedang dalam pembinaan ini ialah bangunan-bangunan Canselori, dewan utama, sekolah-sekolah pengajian, pusat pelajar serta empat (4) blok asrama empat (4) tingkat.


Peneroka Felda di Pahang terima 'durian runtuh' tertinggi -- RM647 juta!


RIANG GEMBIRA PEMIMPIN DENGAN RAKYAT... Seorang daripada peneroka sedang menerima 'durian runtuh'nya daripada Dato' DiRaja Adnan pada majlis di Dewan Semai Bakti, Rancangan Tanah Felda Jengka 5 yang turut dirasmikan pada pagi Khamis itu. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bertuah sungguh para peneroka rancangan tanah Felda khususnya di Pahang. Mereka ialah penerima ‘durian runtuh’ paling ramai yang sekaligus paling besar nilainya di seluruh negara!

Jumlah keseluruhan peneroka di negeri ini ialah 43,125 orang iaitu 15,050 orang dari rancangan tanah-rancangan tanah Felda di bawah pentadbiran Felda Wilayah Kuantan;

Seramai 14,957 orang dari rancangan tanah-rancangan tanah Felda di bawah pentadbiran Felda Wilayah Jengka; dan, 13,118 orang dari rancangan tanah-rancangan tanah Felda di bawah pentadbiran Felda Wilayah Mempaga.

Dengan jumlah ini dan pula nilai ‘durian runtuh’ RM15,000 satu keluarga sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada Selasa, 8 Mei lepas di Rancangan Tanah Felda Jengka 8, Jerantut, maka nilai keseluruhan ‘durian runtuh’ di negeri ini ialah RM647 juta!

(PENGIRAAN : 43,125 peneroka X RM15,000 untuk sekeluarga = RM646,875,000).


MESRA-RAKYAT JADI AMALANNYA... Sepertimana Dato' Sri DiRaja Adnan terkenal dengan sikap 'Mesra-Rakyat'nya, ia dibalas oleh rakyat pula yang kelihatan mesra dengan pemimpin mereka. Benarlah kata orang, demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri, 'it takes two to tango'.   


LEBIH SEPERTIGA ‘DURIAN RUNTUH’ MILIK PENEROKA DI PAHANG

Ini sahaja merupakan kira-kira 38 peratus atau lebih sepertiga daripada keseluruhan nilai ‘durian runtuh’ yang akan dinikmati sepenuhnya oleh kira-kira 112,635 orang peneroka di seluruh negara yang sebanyak RM1,689 juta (atau, RM1.689 billion).

Hanya beberapa hari selepas pengumuman tersebut (8 Mei), para peneroka telahpun menerima cek masing-masing bagi fasa 1 yang melibatkan RM5,000 kepada peneroka dahulu.

Kemudian, baharulah disusuli dengan fasa 2 lagi RM5,000 untuk isteri peneroka, akhirnya fasa 3 lagi RM5,000 untuk seorang anak peneroka yang tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkesempatan menyerahkan ‘durian runtuh’ fasa 1 ini kepada 1,432 peneroka dari rancangan tanah-rancangan tanah Felda Kemasul (seramai 449 orang), Sungai Kemahal (428 orang), dan Chemomoi (555 orang) yang belangsung pada pagi Sabtu, 19 Mei di Dewan Orangramai, Rancangan Tanah Felda Kemasul, Bentong.

Beliau hadir ke majlis penyerahan ‘durian runtuh’ itu bukan sahaja sebagai pemimpin nombor satu negeri, tetapi juga sebagai wakil rakyat di sana (BN – Pelangai) yang turut mencakupi ketiga-tiga rancangan tanah Felda berkenaan.

RASMILAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menurunkan tandatangannya pada plak khas sempena merasmikan Dewan Semai Bakti. Selain wakil rakyat Dato' Shahaniza Shamsuddin (dua dari kanan) (BN - Kuala Sentul), yang turut kelihatan ialah ahli parlimen, Dato' Ismail Mutalib (berbatik hijau) (BN - Maran), Ketua Pergerakan Wanita Pahang, Dato' Rosni Zaahari (belakang Dato' Ismail), wakil rakyat Dato' Ahmad Munawar Abdul Jalil (BN - Luit), dan Pegawai Pembangunan Negeri, Dato' Zulki-fly Osman (hujung sekali).  


‘BERIKAN ‘DURIAN RUNTUH’ KEPADA ISTERI’

Selang lima (5) hari kemudian, pada pagi Khamis, 24 Mei, Dato’ Sri DiRaja Adnan berada pula di Dewan Semai Bakti Felda di Rancangan Tanah Felda Jengka 5, Maran yang turut dirasmikannya, bagi menyampaikan ‘durian runtuh’ fasa 1 kepada para peneroka Rancangan Tanah Felda Jengka 5 dan 4.

Jumlah keseluruhan ialah 507 orang iaitu 267 orang dari Rancangan Tanah Felda Jengka 5 sendiri, dan lagi 240 orang dari Rancangan Tanah Felda Jengka 4 yang bersebelahan.

Seorang daripada peneroka Jengka 4 ini ialah dalam kalangan lapan (8) peneroka yang pada Mac lepas, mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang penyenaraian FGVH yang kemudian, perintah ‘injunction’ sementara yang diambil dan diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Kuantan itu diketepikan oleh mahkamah yang sama.   

Beliau – Encik Samat Lebai Yusof, bagaimanapun tidak hadir pada majlis pagi Khamis itu kerana dikatakan pulang ke kampungnya di utara.

Ada nasihat yang disampaikan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapannya pada majlis tersebut kepada Encik Samat – berikan sahaja wang ‘durian runtuh’ yang akan diambilnya kelak kepada isterinya.

Mengenai Dewan Semai Bakti tersebut kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, ia melibatkan kos kira-kira RM740,000 dengan kapasiti 1,000 orang atau lima (5) kali ganda daripada balai raya yang digunakan sebelumnya, yang hanya boleh memuatkan 200 orang. – Khabar

DURIAN RUNTUH DI KEMASUL... Ini pula ialah rakman foto sempena penyampaian durian runtuh fasa 1 untuk para peneroka di rancangan tanah-rancangan tanah Felda Kemasul, Sungai Kemahal dan Chemomoi. 


KOMITMEN TINGGI SEORANG MENTERI BESAR... Komitmen tinggi Dato' Sri DiRaja Adnan dalam menjelaskan lagi isu tentang penyenaraian Felda Global Venture Holdings Bhd (FGVH) tidak dapat disangkal lagi. Begitulah tinggi hinggakan beliau kelihatan segak dan tegas memperjuangkan FGVH dalam pakaian organisasi Felda sendiri!

Foto ini dirakam semasa Dato' Sri DiRaja Adnan meluangkan masa mengadakan persidangan media selepas selesai menyampaikan 'durian runtuh' kepada kesemua 1,432 peneroka bagi ketiga-tiga rancangan tanah Felda dalam kawasan Pelangai itu.  


MATA KE MATA;

*** Jumlah keseluruhan peneroka di negeri ini ialah 43,125 orang; 15,050 orang dari Wilayah Kuantan; 14,957 orang dari Wilayah Jengka; dan, 13,118 orang dari Wilayah Mempaga.
  
*** Ini sahaja merupakan kira-kira 38 peratus atau lebih sepertiga daripada keseluruhan nilai ‘durian runtuh’ yang akan dinikmati sepenuhnya oleh kira-kira 112,635 orang peneroka di seluruh negara yang sebanyak RM1,689 juta (atau, RM1.689 billion).

*** Menteri Besar hadir menyampaikan ‘durian runtuh’ fasa 1 kepada 1,432 orang peneroka meliputi rancangan tanah-rancangan tanah Felda Kemasul, Kemahal dan Chemomoi, kemudian selang lima (5) hari  kepada 507 orang meliputi Felda Jengka 5 dan 4.  

*** Rancangan tanah Felda Jengka 5 dapat dewan orangramai baharu bernilai RM740,000.  



  

Monday 14 May 2012

Beta bangga!



… titah KDYMM Sultan Pahang ekoran kemasukan pelaburan ke Pahang bernilai RM30,270 juta dalam tempoh 20 tahun (1990 – 2010), dengan tahun lepas (2011) sahaja ialah RM6,300 juta!

DISIPLIN SERTA KETEGASAN BAGINDA... KDYMM Sultan Pahang sedang bertitah sesuatu semasa melakukan pemeriksaan perbarisan di halaman Wisma Sri Pahang, sebelum memasuki Dewan untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-12.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang telah menitah-sebutkan kebanggaan Baginda ekoran kejayaan Kerajaan Negeri menarik pelaburan sama ada dalam mahupun luar negeri, hingga mencecah RM30,270 juta (RM30.27 billion) dalam tempoh 20 tahun lepas (1990 – 2010).

Dan, pada tahun sudah (2011) sahaja, negeri Pahang menerima kelulusan pelaburan tertinggi dalam sejarahnya dengan nilai mencecah sehingga kira-kira RM6,300 juta! (RM6.3 billion).

“Beta berasa bangga kerana semenjak 20 tahun yang lalu, Pahang telah menerima aliran masuk pelaburan domestik dan luar negeri sebanyak RM30.27 bilion,” titah KDYMM Sultan Pahang ketika berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-12, pada pagi Isnin, 14 Mei di sini.

Dengan nilai pelaburan RM30,270 juta untuk tempoh 20 tahun, menjadikan purata tahunan kemasukan pelaburan ke negeri ini kira-kira RM1,514 juta (RM1.514 billion) – angka yang cukup besar, sekaligus menafikan persepsi negatif  pembangkang mengenai iklim pelaburan di negeri ini.

Dalam titah-ucapan Baginda juga, KDYMM Sultan Pahang mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang 2012. 


BUAT KENANG-KENANGAN... Adakah ini merupakan persidangan Dewan Undangan Negeri terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang diura-urakan tidak Jun, September ini? 


RUMAH UNTUK BERPENDAPATAN BULANAN RM2,000 HINGGA RM4,000

Menerusi konvensyen yang dianjurkan selama dua (2) hari pada 29 Februari dan 1 Mac lepas titah Baginda, Kerajaan Negeri dapat menilai pencapaian, kekurangan serta langkah-langkah penambah-baikan seterusnya.

Ekoran konvensyen inilah titah Baginda, beberapa lagi projek mesra-rakyat dirancang untuk dilaksanakan antaranya bagi mewujudkan skim perumahan rakyat berharga antara RM70,000 dan RM150,000.

“Rumah ini dikhususkan untuk golongan berpendapatan (bulanan) RM2,000 hingga RM4,000, mengambil kira semua kaum dan kelompok pekerjaan.
“Disamping itu, projek-projek lain adalah seperti terminal pengangkutan bersepadu, pusat perniagaan IKS dan galeri seni kreatif di daerah-daerah,” titah KDYMM Sultan Pahang lagi.

“Beta yakin,” titah Baginda, “Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program untuk faedah rakyat pada masa hadapan. Ini meliputi rancangan pembangunan dalam bidang agama Islam, pendidikan, pertanian, kesihatan, keusahawanan, perumahan,

PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN

“Pengangkutan, sains, teknologi, inovasi, belia, sukan, kebudayaan, pembangunan luar bandar, hal ehwal Orang Asli, sumber manusia, hal ehwal pengguna, perpaduan dan pelancongan”.

Pada awal titah-ucapan KDYMM Sultan Pahang lagi, Baginda mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang telah membangunkan kerangka program transformasi berlandaskan konsep 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ini pula titah Baginda, disokong oleh program-program  transformasi kerajaan, transformasi ekonomi, transformasi politik dan transformasi luar bandar serta pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11.

“Pengisian program seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan program bantuan persekolahan telah membawa impak kepada kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, kedudukan dan fahaman politik,” titah Baginda lagi.

Baginda juga turut menitah-sebutkan tentang urusan penyenaraian ke Bursa Malaysia, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang turut melibatkan pemberian ‘durian runtuh’ RM15,000 kepada para peneroka Felda termasuk 43,124 orang di negeri ini.   

KECEKAPAN PM JADIKAN FELDA KONGLOMERAT KOMODITI GLOBAL

“Ini melambangkan kecekapan Kerajaan Orang Tua Beta (Perdana Menteri) dalam menjadikan Felda sebagai konglomerat komoditi di peringkat global.

“Ia sebagai menghargai kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh peneroka Felda selama ini sejak rancangan Felda pertama di Lurah Bilut dibuka pada tahun 1956.

“Beta yakin pada masa yang sama, penduduk-penduduk yang bukan peneroka dan tidak tinggal di rancangan Felda tidak akan dilupakan oleh Kerajaan,” titah Baginda.

Yang turut berangkat pada Istiadat Pembukaan ini ialah KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang, serta YAM Tengku Muda Pahang.

Yang hadir selain Menteri Besar, ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin;  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sekelian. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Dengan nilai pelaburan RM30,270 juta untuk tempoh 20 tahun, menjadikan purata tahunan kemasukan pelaburan ke negeri ini kira-kira RM1,514 juta (RM1.514 billion) – angka yang cukup besar, sekaligus menafikan persepsi negatif  pembangkang mengenai iklim pelaburan di negeri ini.

*** Ekoran Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang 2012 titah Baginda, beberapa lagi projek mesra-rakyat dirancang untuk dilaksanakan antaranya bagi mewujudkan skim perumahan rakyat berharga antara RM70,000 dan RM150,000.

*** “Pengisian program seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan program bantuan persekolahan telah membawa impak kepada kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, kedudukan dan fahaman politik”.     

*** “Ini melambangkan kecekapan Kerajaan Orang Tua Beta (Perdana Menteri) dalam menjadikan Felda sebagai konglomerat komoditi di peringkat global.

“Ia sebagai menghargai kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan oleh peneroka Felda selama ini sejak rancangan Felda pertama di Lurah Bilut dibuka pada tahun 1956”.