Tuesday 30 December 2014

Ambil berat berterusan terhadap nasib, kebajikan mangsa banjir!


… dengan antara lain, KDYTM Tengku Mahkota berangkat mencemar duli, melawat ke kawasan-kawasan dilanda banjir di Temerloh, dan pusat-pusat pemindahannya termasuk di R&R Temerloh.

Menteri Besar pula – disamping hadiri pengkebumian kakak ipar di Bentong pada lewat pagi, kembali semula ke Kuantan lawati mangsa banjir di SMK Pandan.

SUASANA DI SEBUAH PUSAT PEMINDAHAN... Hati siapakah yang tidak senang dan tenang - lalu hilang sebentar segala resah akibat banjir; apabila lauk diceduk ke pinggan sendiri oleh tokoh negeri yang unggul seperti KDYTM Tengku Mahkota sendiri.

Di sebelah kanan Baginda (berbaju merah, bertopi) ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin, yang juga wakil rakyat (BN - Lanchang) yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh. 
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Menyedari hakikat inilah, paling tidak yang boleh dilakukan dalam pada negeri dan beberapa negeri lain dilanda banjir besar, ialah untuk meringankan beban yang mangsa-mangsa banjir ini tanggungi.

Inilah yang secara terus-menerus dilakukan oleh tokoh-tokoh negeri kita sepertimana diteladankan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang; dituruti Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negerinya; dan, wakil-wakil rakyat sekelian.

Selain lawatan demi lawatan dilakukan – termasuk misi pengantaran barangan keperluan ke lokasi-lokasi yang memerlukan; pada masa yang sama, langkah-langkah lanjutan diambil untuk menjagai kebajikan mangsa-mangsa banjir.

Pada Selasa, 30 Disember, hal yang samalah dilakukan dengan KDYTM Tengku Mahkota telah mencemar duli, berangkat melawat ke kawasan-kawasan banjir dan pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh.

BAGINDA, BRIG-JEN TENGKU ABDULLAH AL-HAJ... Segak dan tampannya Baginda dalam pakaian seragam Askar Wataniah yang Baginda sendiri ialah Komander, Regimen 505nya yang kini berpangkalan di Pekan. 

Foto ini - Baginda bersama-sama anakanda, YAM Tengku Muhammad Riayatuddin Shah;  dirakam di atas LPT yang telah ditutup akibat banjir di KM126 yang berdekatan. 
 

PUSAT PEMINDAHAN ‘SPONTAN’ DI R&R TEMERLOH

Pusat-pusat pemindahan ini termasuklah ke sebuah yang dijadikan sebagai pusat berkenaan secara spontan oleh penduduk berhampiran yang terbabit – kira-kira 50 orang, di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), berhampiran KM126 yang ditengelami air hingga memutuskan hubungan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan pula, pada sebelah pagi, perlu menguruskan penghantaran jenazah kakak iparnya, Allahyarham Rohana Kassim yang meninggal di sebuah pusat perubatan di Kuantan; ke Bentong, dengan pengangkutan udara.

Dan beliau berada di sana, di Tanah Perkuburan Islam Barak untuk acara pengkebumian, sebelum pula kembali ke Kuantan untuk melawati mangsa-mangsa banjir di Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Pandan.

Selainnya kata orang, ‘is history’. Yang menandakan begitu tingginya sikap mengambil beratnya tokoh-tokoh negeri kita terhadap mereka yang memerlukan, dalam menghadapi saat-saat yang mencabar dan penuh dugaan ini. 

Foto-foto yang disiarkan di sini ialah sumbangan dan atas ehsan BERNAMA, serta yang dipetik daripada kumpulan WhatsApp Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan/ADUN. 

PELUKAN MESRA SEORANG PEMIMPIN NEGERI... Kanak-kanak mangsa banjir di pusat pemindahan SMK Pandan ini tentu berbangga kerana mendapat pelukan keayahan, daripada tidak lain, Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri. 

Yang turut kelihatan dala  foto ini ialah wakil rakyat-wakila rakyat Dato' Sohaimi Mat Shah (BN - Sungai Kembing); Dato' Shohaimi Yusoh (BN - Lepar); dan, Pegawai Daerah Kuantan, Dato' Norhayad Ahmad (berbaju dan bertudung biru). – Khabar  

Monday 29 December 2014

Menteri Besar sekali lagi ketuai misi penghantaran barangan keperluan 5 tan untuk mangsa banjir



KERJA-KERJA PENGHANTARAN SEDANG DISEMPURNAKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri sedang mengangkut barangan keperluan, diserahkan kepada mereka yang sedia menunggu di padang SSP SMK Seberang Temerloh ini. 
 

PANGKALAN TUDM, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, sekali lagi mengetuai misi penghantaran barangan keperluan harian untuk mangsa-mangsa banjir, kali ini melibatkan pusat pemindahan yang terputus hubungan darat, di Sekolah Sukan Pahang Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, Temerloh.

Misi petang Isnin, 29 Disember ini, masih menggunakan helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) EC725, berlepas dari sini pada kira-kira 2.40 petang dan menyempurnakan misi kira-kira dua (2) jam kemudian.

Yang turut mengiringi ialah Ketua Polis Negeri, Dato’ Sri Sharifuddin Abdul Ghani.    

Barangan keperluan yang dihantar seberat kira-kira lima (5) tan kesemuanya atau secara khusus – 4,529 kg, meliputi air mineral, 2,133 kg; beras, 857 kg; biskut, 485 kg; sardin, 480 kg;

Selain itu ialah minyak masak, 44 kg; gula pasir, 24 kg; garam halus, teh, lampin bayi dan lilin, masing-masing 23 kg (23 kg X 4); dan, susu bayi, 18 kg. Barangan ini diperolehi dari stor sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

SAYU DAN SEDIH, MELIHAT BENCANA YANG MENIMPA... Dari ruangan tingkap TUDM EC725 ini, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang melihat kemusnahan yang menimpa di satu kawasan dalam daerah Temerloh ini. 

Yang hanya kelihatan ialah bumbung-bumbung bangunan-bangunan yang telah ditenggelami banjir. 
  

MASIH MAHU CARI KAEDAH LEBIH BAIK HANTAR BARANGAN KEPERLUAN

Ketika ditemui wartawan selepas menyempurnakan misi, Dato’ Sri DiRaja Adnan memberitahu Kerajaan Negeri akan mencari kaedah lebih baik bagi penghantaran barangan keperluan kepada mangsa banjir terutama di kawasan-kawasan yang terputus hubungan darat.  

Ini termasuk usaha mengguna-pakai keseluruhan aset pasukan keselamatan dan penyelamat seperti bot amfibia milik Jabatan Bomba dan Penyelamat yang katanya, bagi memastikan kerja-kerja penghantaran barangan itu itu menjadi lebih berkesan.

Menurutnya, beliau sendiri terlibat dengan misi-misi penghantaran barangan keperluan menerusi udara dan mendapati faktor cuaca khususnya yang mendung dan hujan, telah sikit-sebanyak menggugat misi-misi tersebut.

“Kita berasa sangat sedih kerana ada satu-dua kampung kita cuba tembusi dengan pesawat, helikopter tapi cuaca tidak mengizinkan dan kita tidak mahu membahayakan sama ada juruterbang ataupun kru, (serta) penumpang.

“Bagaimanapun, In-sya-Allah, malam ini saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri dan ketua jabatan lain bagaimana kaedah terbaik untuk kita menghantar bekalan makanan ke tempat-tempat yang terkepung,” katanya.

BANTU-MEMBANTU, DAPAT MERINGANKAN SERTA MEMPERCEPATKAN KERJA... 
 

MOHON BANTUAN ASET DARI NEGERI LAIN
                      
Selain itu kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau juga akan berusaha meminta bantuan dari negeri-negeri yang tidak terlibat banjir, supaya dapat membantu menyalurkan bantuan aset-aset ke negeri ini.

Bagaimanapun beliau akur betapa cadangannya itu turut bergantung kepada keadaan semasa ekoran negeri Kelantan dan Terengganu yang sama-sama terjejas banjir – malah lebih buruk daripada negeri ini, turut mememlukan aset-aset itu. 

BARANGAN KEPERLUAN YANG AMAT DIPERLUKAN, AIR MINERAL... Dengan sumber bekalan air bersih yang sukar diperolehi ketika banjir, air mineral ialah barangan keperluan yang amat diperlukan. 

Maka, tidak hairanlah, daripada kira-kira 5 tan atau 4,529 kg barangan keperluan yang dihantar dalam satu misi ini, 2.1 tan atau 2,133 kg daripadanya merupakan barangan keperluan air mineral ini! – Khabar  

  

Sunday 28 December 2014

Lawatan PM diiringi MB ke daerah-daerah terjejas banjir di Pahang



… lawatan pada cuti minggu Ahad, 28 Disember

UCAPAN YANG MENENANGKAN OLEH PERDANA MENTERI... 


SEKOLAH KEBANGSAAN CLIFFORD, KUALA LIPIS – Perdana Menteri Dato’ Sri  Mohd Najib Abdul Razak melawat pusat pemindahan banjir di sini, lokasi pertama daripada beberapa kawasan dan pusat pemindahan banjir di Pahang yang beliau lawati pada cuti minggu Ahad, 28 Disember ini.

Beliau yang diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, tiba di pusat pemindahan yang menempatkan 315 mangsa dari kawasan banjir berdekatan, pada 10.45 pagi.

Sebaik-baik tiba, menurut laporan BERNAMA, beliau terus menziarahi mangsa-mangsa banjir, kemudian berpesan dalam ucapannya kepada mereka, agar bersabar menghadapi musibah di luar jangkaan itu.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kata Dato’ Sri Mohd Najib, sedang bekerjasama rapat untuk melakukan yang terbaik demi meringankan beban yang sedang mereka tanggung.

Dan antara tindakan segera yang Kerajaan Persekutuan ambil ialah memperuntukkan tambahan kira-kira RM500 juta, serta mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada pertengahan Januari depan berbanding asalnya, pada akhir bulan itu.

BERGERAK CERGAS, ZIARAHI MANGSA-MANGSA BANJIR... Dengan diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Mohd Najib sedang bergerak pantas bagi meninjau mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas dengan bencana itu.
 

SYUKURNYA, DAPAT SAMA-SAMA KETIKA RAKYAT HADAPI MUSIBAH

Sungguhpun peruntukan dan bantuan-batuan tersebut masih tidak mampu untuk menampung segala kerugian yang mangsa-mangsa banjir alami, namun katanya, Kerajaan tetap cuba melakukan yang terbaik untuk mereka.

Semasa lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku pula, Dato’ Sri Mohd Najib turut berucap dengan antara lain menyifatkan bencana banjir yang dialami ini sebagai pengajaran kepada semua agar lebih bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu, bagi mengelakkan berlakunya banjir.

Beliau kemudian turut berkongsi kesedihannya dengan apa yang terjadi dan menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang dapat bersama-sama rakyat ketika mereka dilanda musibah.

Menurutnya lagi, keputusannya untuk pulang segera daripada percutian bersama keluarga di Hawaii, Amerika Syarikat, ialah pengorbanan kecil beliau berbanding kesusahan yang ditanggung semua mangsa.

“Walaupun keluarga saya juga bersedih kerana ditinggalkan tetapi saya bagi tahu mereka apa yang mereka alami tidak dapat menandingi perasaan yang dirasai mangsa banjir.

SYUKUR JUGA, DAPAT BUAT KEPUTUSAN BAGI KURANGKAN KESEDIHAN MANGSA

“Dan saya bersyukur kerana dapat membuat beberapa keputusan bagi mengurangkan kesedihan mangsa,” katanya.

Selepas daerah Lipis, Dato’ Sri Mohd Najib yang diiringi Dato’ Sri DiRaja Adnan, melawat pula ke beberapa kawasan dilanda banjir dalam daerah-daerah Jerantut, Temerloh, Maran dan akhirnya, kawasan parlimennya sendiri di Pekan. – BERNAMA/Khabar

Saturday 27 December 2014

KDYTM Tengku Mahkota Pahang tinjau kawasan dilanda banjir di Lipis dan Jerantut



… keberangkatan Baginda diiringi Menteri Besar. Baginda turut menanya khabar dan bermesra dengan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan

AMBIL BERATNYA BAGINDA... KDYTM Tengku Mahkota yang diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, sedang menanyakan sesuatu kepada keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan ini. 
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Meneruskan lagi lawatan dan tinjauan ke kawasan-kawasan dilanda banjir di negeri ini, KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, telah berangkat pula ke daerah-daerah Lipis dan Jerantut pada hujung minggu Sabtu ini, 27 Disember.

Lawatan dan tinjauan kali ini ialah dengan menggunakan pengangkutan udara menerusi helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) jenis EC 725, yang berlepas dari Kuantan pada kira-kira 10 pagi.

Bak kata orang, ‘A picture is worth a thousand words’. Berikut, termasuk yang di atas, bukan sahaja satu (1) tetapi empat (4) foto diperolehi atas ehsan Pejabat KDYTM Tengku Mahkota Pahang; dan BERNAMA, yang membuat liputan foto ini.  

KESIHATAN MANGSA BANJIR DIJAGA RAPI...KDYTM Tengku Mahkota sedang menitahkan sesuatu kepada makcik ini yang tahap kesihatannya diperiksa oleh doktor yang bertugas. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ketua Polis Negeri Dato' Sharifuddin Abdul Ghani; dan, Pegawai Daerah Lipis, Dato' Ahmad Daud (kemeja biru, bersongkok).

SUMBANGAN KEPADA MANGSA BANJIR, TANPA MENGIRA KAUM DAN LATAR EKONOMI...

 LAGI FOTO BAGINDA DENGAN RAKYAT-JELATA...  – Khabar