Thursday 22 August 2019

Puak segelintir ‘minoriti lantang’ anti-Lynas tidak layak wakili ‘majoriti senyap’ penduduk Kuantan



NOTA EDITOR ;

Berikut ialah artikel mengenai Lynas Advanced Material Plant (LAMP) yang pada 15 Ogos lepas, telah diberikan lesen pembaharuan operasi untuk selama enam (6) bulan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Intipati artikel ini ialah untuk menyanggah sangkaan yang salah kononnya puak anti-Lynas yang sejak dahulu lagi bilangannya adalah segelintir, seolah-olah mewakili seluruh penduduk Kuantan. Ini sepertimana juga dengan seorang Ahli Parlimen puak tersebut yang sering mendabik dada dan dengan angkuhnya mendakwa betapa kononnya “I represent the people of Kuantan”.   

Sedangkan, dianya hanyalah tergolong dalam kalangan ‘minoriti lantang’ tetapi dengan kelantangannya telah disalah persepsi sebagai mewakili seluruh penduduk Kuantan yang seramai 580,000 orang ketika ini terutamanya yang ‘majoriti senyap’.

Sama-samalah kita ikuti kupasannya. Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Jumaat, 23 Ogos dijangka turut menyiarkan artikel yang sama ini pada halaman 14nya.     

LAGAK PUAK 'MINORITI LANTANG' PAGI AHAD... Yang semakin hilang sokongan mereka daripada dalam kalangan penduduk Kuantan. 


Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Apakah makna apabila di kawasan pentas yang sama yang terbahagi dua oleh dinding konkrit – sebelah sana puak anti-Lynas cuma 300 orang dengan ceramah berapi-api, manakala di sebelah sini kumpulan mingguan lebih 500 orang sedang ceria bersenamrobik menurut alunan lagu rancak?

Inilah yang berlaku pada pagi Ahad lepas (18 Ogos) di Taman Gelora dekat sini. Dan puak anti-Lynas berada di situ – setelah sekian lama tidak melakukannya; ialah kerana membantah keputusan Kerajaan Persekutuan mengenai kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP).

Tiga hari sebelum itu (15 Ogos), Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut menerusi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), telah mengumumkan pembaharuan lesen operasi selama enam bulan bagi LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini.

Sebagai menjawab persoalan awal tadi; Ini bermakna betapa apa yang dilakukan oleh puak segelintir anti-Lynas, memang langsung tidak dihiraukan oleh kumpulan peserta senamrobik yang jumlahnya lebih ramai daripada mereka pagi itu.

Maka, jika ada yang berpandangan puak ini ialah pembawa pandangan popular mengenai LAMP, sebenarnya tidak betul. Mereka sekadar ‘minoriti lantang’ yang kerana kelantangan telah disalah anggap sebagai popular, kononnya mewakili seluruh penduduk Kuantan seramai 580,000 orang, yang sebahagian besarnya ialah ‘majoriti senyap’.

APALAH SANGAT 300 ORANG BERBANDING 580,000 PENDUDUK KUANTAN

“Apalah sangat 300 orang berbanding lebih 500,000 penduduk Kuantan. Malah, dulu (26 Februari, 2012), mereka anjurkan bantahan – Himpunan Hijau 2.0 di Padang Kemunting dekat sini, tapi ramai yang datangpun ialah mereka dari luar Kuantan.

“Jadi, macam mana mereka boleh kata (sebagai) mewakili penduduk Kuantan sedangkan penduduk Kuantan terutama di Beserah dekat kilang Lynas, tidakpun membantah dengan kewujudan kilang ini,” kata seorang ketua kampung di Beserah itu.

Dan inilah keadaan sebenarnya. Majoriti penduduk Kuantan tidak membantah LAMP kerana mereka telahpun faham menerusi kenyataan dan tindakan oleh pakar-pakar sendiri serta beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan, yang mengesahkan tentang selamatnya operasi LAMP ini.

Sejak 2011 lagi, Panel Pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria telah melakukan kerja-kerja menyiasat dalam isu kesihatan dan keselamatan berkaitan dengan LAMP dan mendapatinya selamat.

Ketika Pengarahnya, Encik Yukiya Amano yang mengunjungi Kuala Lumpur pada tahun 2015, telah turut mengesahkan bahawa LAMP selamat dan tidak memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar.

TAHAP RISIKO LYNAS RENDAH

“Setiap pembangunan teknologi nuklear mempunyai peraturan dan tahap keselamatan yang mesti diikuti. Lynas telah mengikuti garis panduan tersebut. Malah, tahap risiko dalam projek Lynas adalah rendah. Ia telah diperiksa oleh IAEA dan didapati selamat,” kata Encik Yukiya.       

Jika pandangan-pandangan pakar-pakar tadi ialah semasa era pemerintahan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), pandangan yang sama juga disuarakan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih susulan kemenangan mereka pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei 2018.

Kira-kira enam (6) bulan sahaja selepas itu (pada Disember 2018), Jawatankuasa Penilaian yang ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) membuat keputusan bahawa, operasi LAMP adalah berisiko rendah dan mematuhi peraturan-peraturan berkenaan.

Manakala, kemudahan penyimpanan residu atau sisa dikendalikan olehnya (LAMP) menurut Jawatankuasa Penilaian yang sama, adalah dengan cara yang selamat dan diluluskan oleh pengawal selia.  

Jawatankuasa yang sama juga menyatakan bahawa LAMP merupakan syarikat pengeluar tanah jarang yang tidak boleh dibandingkan dengan loji nuklear atau kilang yang menghasilkan ‘thorium’ atau ‘uranium’.

KENYATAAN PAKAR, BUKAN KITA SEBAGAI ‘LAYMEN’

Oleh itulah, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah menyebut pada persidangan Dewan Negeri Isnin lepas (19 Ogos) betapa; “Ini adalah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar, bukan kita sebagai ‘laymen’.

“Atau, bukan kita sebagai hanya nak tunjuk kita ini kononnya menentang ataupun mencari populariti dan sebagainya. Ini adalah kenyatan yang dikeluarkan oleh mereka yang berkelayakan,” katanya.   

Daripada segi undang-undangpun telah diambil oleh puak anti-Lynas namun itupun gagal sepertimana Mahkamah Rayuan putuskan pada 19 Disember 2012 lagi, mengenepikan rayuan oleh gerakan yang dikenali sebagai Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), yang menentang pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh AELB kepada LAMP ketika itu.

Dua (2) tahun kemudian (2 September, 2014), LAMP mula diberikan Lesen Tahap Operasi Penuh (FOSL) yang perlu diperbaharui menurut tempoh-tempoh yang ditetapkan termasuklah yang terbaharu selama enam (6) bulan lagi, berkuatkuasa 1 September ini.

Keputusan terbaharu yang AELB keluarkan pada 15 Ogos itu – dengan syarat-syarat yang dikenakan; bagaimanapun dilihat lebih merupakan satu bentuk hukuman atau ancaman secara halus terhadap LAMP.

LYNAS MENGGAJI 900 PEKERJA, 850 DARIPADANYA MELAYU

Antara syarat itu ialah kemestian untuk Lynas Malaysia Sdn Bhd atau syarikat induknya, Lynas Corporation Ltd – syarikat awam yang tersenarai di Australian Securities Exchange (ASX) sejak 1986 lagi; mendirikan kilang meretak dan larut lesap (cracking and leaching) di Australia sendiri.

Mereka diberikan tempoh empat (4) tahun yang dengan siapnya kelak, aktiviti berkenaan (meretak dan melarut lesap) tidak lagi boleh dilakukan di LAMP lalu tidak lagilah menghasilkan residu atau sisa pembersihan keluluhan air (WLP) di sini.

Sepertimana umum mengetahui, LAMP menggaji kira-kira 900 tenaga kerja – 850 orang daripadanya pekerja Melayu; yang sebahagian besarnya pula terlibat dalam operasi meretak dan melarut lesap itu.

Apakah nasib mereka sekiranya nanti operasi tersebut dihentikan di LAMP, sesudah siapnya kilang bagi maksud pemprosesan yang sama di Australia Barat khususnya di Mount Weld, Perth kelak?

LAMP juga disyaratkan supaya mencari dan mengenal pasti lokasi ‘specific’ untuk pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) bagi WLP yang telah dihasilkan, yang setakat ini dikatakan sebanyak 580,000 tan, dan akan bertambah selagi operasi meretak dan melarut lesap berlaku di LAMP.

LYNAS SUDAH LABUR RM3,000 JUTA, BERBELANJA RM600 JUTA SETAHUN

Dan LAMP diberi tempoh enam (6) bulan ini juga untuk mencari dan mengenal pastinya. Untuk mendapatkan tapak bagi PDF ini, mungkin tidak begitu sukar memandangkan sejak September 2011 lagi, Kerajaan Negeri Pahang menerusi surat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, telahpun memberi ‘lampu hijau’nya.

Dalam hal ini, Dato’ Sri Wan Rosdy juga telah memaklumkan betapa selain kepentingan keselamatan, Kerajaan Negeri juga akan mengambil kira perjanjian yang telah dilakukannya sebelum ini dengan syarikat tersebut.

Dan ini pula tentunya turut bersandarkan kepada hakikat betapa pelaburan kira-kira RM3,000 juta telah dicurahkan, selain Perbelanjaan Operasi (Opex) tahunan sebanyak RM600 juta disumbangkan oleh LAMP kepada ekonomi negeri ini selama ini. – Khabar  


Saturday 17 August 2019

Pahang bakal terima RM2,410 juta bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan tahun ini.


KATA-KATA DATO' SRI WAN ROSDY... Dato' Sri Wan Rosdy ketika mempengerusikan bersama dengan Dato' Sri Azmin pada Sesi Libat Urus pagi Jumaat itu. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kira-kira RM2,410 juta (RM2.41 billion) untuk pelaksanaan pelbagai lagi projek pembangunan di Pahang di bawah Rolling Plan 4 (RP4) 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020).

Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Azmin Ali pada Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan Kerajaan Negeri pagi Jumaat, 16 Ogos di Bilik Gerakan Negeri, Tingkat 7, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Sesi yang berlangsung kira-kira tiga (3) jam itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Dato’ Sri Azmin, dan dihadiri oleh antara lainnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Sallehuddin Ishak;

Ahi-ahli Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Dato’ Dr Noor Zari Hamat; serta, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohamad Roslan Harun, demikian menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar petang Sabtu, 17 Ogos di sini.

Yang terbesar daripada DE kira-kira RM2,410 juta ini menurut kenyataan media itu, ialah kira-kira RM800 juta bagi projek pembinaan Central Spine Road (CSR) Pakej 6 melibatkan jajaran bandar Bentong ke Simpang Pelangai.

'KORIDOR FOTO & LIPUTAN BERITA'... Dato' Sri Wan Rosdy mengiringi Dato' Sri Azmin selepas sesi kunjung hormat di pejabat beliau, untuk menuju ke Bilik Gerakan Negeri di blok bangunan bersebelahan.

Kelihatan Dato' Sri Azmin mengamati foto-foto yang dipamerkan sepanjang koridor ini. Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak (di belakang Menteri Besar) dan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Dr Mohd Zakaria Ibrahim (di belakang Dato' Sri Dr Sallehuddin).   


RM800 JUTA UNTUK PAKEJ 6 CSR; BENTONG-SIMPANG PELANGAI

CSR ialah projek lebuhraya 4-lorong bebas-tol sejauh 325 KM menghubungkan Kuala Krai, Kelantan yang melalui antara lain Gua Musang (Kelantan), serta Kuala Lipis, Raub dan Bentong; yang berakhir di Simpang Pelangai, Bentong.

Projek lain ialah kira-kira RM446 juta bagi pembinaan dan penyiapan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu Fasa 3 yang berkapasiti 146 juta liter sehari sepertimana yang telah turut diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini.

Begitu juga kira-kira RM380 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf Laluan 3 dari persimpangan bertingkat Jalan Pintasan Gebeng-Sungai Ular, Kuantan hingga ke sempadan Pahang/Terengganu dekat Chendor.

Kira-kira RM231.12 juta ialah bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan, Indera Mahkota, Kuantan; kira-kira RM200 juta ialah bagi pembinaan Hospital Maran;

Dan kira-kira RM173 juta bagi pembinaan dan penyiapan Tangki Imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan (sepertimana juga yang telah Perdana Menteri umumkan sebelum ini).

SEPULANGNYA DARIPADA MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT DI MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1... 


PROJEK ‘KUANTAN URBAN RECHARGE’ DI PADANG MPK 2

Projek-projek lain lagi menurut kenyataan yang sama ialah seperti kira-kira RM25.24 juta bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Kampung Cherating, Cherating, Kuantan.

Kira-kira RM18 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah Raub; kira-kira RM10 juta bagi pembinaan ‘Kuantan Urban Recharge’ serta kerja-kerja berkaitan di Padang MPK 2, Kuantan; kira-kira RM6.98 juta bagi pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Raub.

Kira-kira RM3.75 juta bagi pembinaan ‘Peramu Wet Market’ serta kerja-kerja berkaitan di kawasan perumahan Peramu, Kuantan; kira-kira RM3 juta bagi pembinaan Kompleks Jualan dan Restoran Makanan Laut serta kerja-kerja berkaitan di muara Sungai Kuantan, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Masing-masing kira-kira RM2.5 juta bagi pembinaan Medan Selera serta kerja-kerja berkaitan di jalan utama Kuantan-Kemaman berhampiran Pantai Batu Hitam, Kuantan; dan, kerja-kerja menaiktaraf bangunan sedia ada serta kerja-kerja berkaitan di Pasar Besar Kuantan.

Kira-kira RM1.8 juta bagi pembinaan ‘Jogging Track’ dan kemudahan awam serta kerja-kerja berkaitan di Taman Tasik Gambang, Kuantan; kira-kira RM1.5 juta bagi melakukan kajian untuk menaiktaraf atau pembinaan pintasan jalan di Cameron Highlands.

Dan, kira-kira RM1.2 juta lagi ialah bagi kerja-kerja menaiktaraf gerai sedia ada serta kerja-kerja berkaitan di Astaka Beserah, Kuantan menurut kenyataan media itu lagi. 


MERASMIKAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN KUANTAN... Pada majlis tengah hari Sabtu, 17 Ogos ini; Dato' Sri Wan Rosdy turut memaklumkan dalam ucapannya tentang peruntukan yang telah diberikan bagi Kuantan, sebagai persediaan untuk meraikannya sebagai bandaraya yang sambutan dan pengisytiharannya dijangka berlangsung tahun depan. – Khabar
  


Thursday 8 August 2019

Diplomasi Pahang jaya tarik pelaburan Singapura, RM1,134 juta!


“Menteri Besar tentukan hala tuju, kami penjawat awam membantu merealisasikannya,” demikian kata seorang pegawai kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

'DIPLOMASI WAN ROSDY'... Diplomasinya melangkaui masa dan juga tempat. 

Foto santai ini dirakam secara 'wefie' oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSUK) yang juga Pengarah B-PEN, Dato' Fadzilla Salleh (kanan sekali, separuh terlindung) pada petang Jumaat, 2 Ogos dalam Restoran Zam Zam di Arab Street (lebih kurang bersamaan Restoran Hameediyah di Campbell Street, Pulau Pinang) sebelum mengambil 'flight' pulang ke tanahair.

Selain Dato' Sri Wan Rosdy sendiri; antara yang turut kelihatan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato' Zainol Rahim Zainuddin (duduk bertentangan Dato' Sri Wan Rosdy), serta Dato' Sri Dr Salehuddin, Dato' Sri Ir Mohd Soffi, serta Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Dato' Mohd Suhaimi Yunus.         


NOTA EDITOR ;

Artikel ini ditulis sebagai rumusan kepada kejayaan besar Kerajaan Negeri susulan misi perdagangannya ke Singapura pada 1 dan 2 Ogos lepas serta menganjurkan Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019), hingga mampu menarik pelaburan bernilai RM1,134 juta atau RM1.134 billion.

Ini sepertimana persetujuan tercapai menerusi 11 Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan pelbagai pelabur di sana. Besarlah harapan kita juga agar pelaburan ini benar-benar dapat direalisasikan, InsyaAllah.

Sementara itu, adalah dijangkakan, akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Jumaat, 9 Ogos akan turut menyiarkan artikel yang sama ini pada halaman 18.

Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada isi kandungan artikel ini.   


Oleh ALAMAYA

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Diplomasi Pahang – inilah ramuan utama kejayaan negeri ini dalam menarik pelaburan kira-kira RM1,134 juta (RM1.134 billion) dari Singapura, susulan penganjuran Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) selama dua (2) hari pada 1 dan 2 Ogos lepas di kota singa tersebut.

Daripada pelaburan kira-kira RM1,134 juta hasil menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) inilah, dijangka menghasilkan kira-kira RM2,372 juta (RM2.372 billion) Nilai Pembangunan Kasar (GDV), apabila kesemua projek siap kelak.

Diplomasi Pahang ini pula didorong dan dimungkinkan oleh hala tuju yang jelas sepertimana digariskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sejak menjadi Ketua Eksekutif negeri pada Mei 2018.

“Menteri Besar tentukan hala tuju, kami penjawat awam membantu merealisasikannya,” demikian kata seorang pegawai kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.

Oleh itulah maka, tidak sampaipun tiga (3) bulan selepas ‘engagement’ pertama dilakukan menerusi penganjuran Seminar Pelaburan Pahang yang berskala kecil pada Mei lepas, kejayaan ini tercapai.   

ANALOGI – MERISIK, PERTUNANGAN & PERNIKAHAN

“Kalau Mei lepas majlisnya ‘merisik’ tapi kali ini – dengan delegasi Pahang yang lebih besar seramai 51-orang, ia merupakan majlis ‘pertunangan’ yang rundingannya termasuk dalam menentukan ‘wang hantaran’.

“Kini, hanya menanti hari ‘pernikahan’ sahaja lagi yang tentunya usaha ke arah itu harus diambil untuk benar-benar merealisasikannya,” demikian analogi seorang pegawai Kerajaan Negeri berkaitan misi pelaburan yang kedua-duanya – pada Mei dan awal Ogos ini; diketuai oleh Dato’ Sri Wan Rosdy.

Demi merealisasikan pelaburan-pelaburan itu, hanya sehari-dua sekembali dari Singapura, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak telahpun mengarahkan B-PEN supaya menyelesaikan proses selanjutnya berkenaan 11 MoU berkenaan, dalam tempoh dua (2) bulan.

Sebelum itu – pada mesyuarat yang sama, Dato’ Sri Dr Salehuddin telah menyampaikan ucapan tahniah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas kejayaan menarik pelaburan Singapura tersebut. Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah daripada Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri.

“Inilah istimewa kita di Pahang. Inilah diplomasinya. Daripada Raja Pemerintah sehingga ke Menteri Besar dan penjawat awam menunjukkan sikap ambil berat serta komitmen tinggi dalam menjayakan hal-hal berkaitan kepentingan negeri,” kata pegawai Kerajaan Negeri yang sama.

ADA DIPLOMASI DALAM PEMBUKAAN TAMAN PERINDUSTRIAN BAHARU  

Malah, dalam tindakan dan keputusan Kerajaan Negeri membuka taman perindustrian baharu seperti Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) seluas 1,215 hektar (3,000 ekar) berhampiran Pelabuhan Kuantan, turut ada diplomasinya.

Dalam hal ini, Dato’ Sri Wan Rosdy ada memberitahu penulis betapa pembukaan KIIP ialah bagi mengimbangi kewujudan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1,2 dan 3; yang tumpuannya tentulah kepada pelabur-pelabur dari Negara China.

Untuk terus mewujudkan kesimbangan itulah juga, beliau turut menyebut mengenai pembukaan sebuah lagi taman perindustrian – Taman Perindustrian Pahang-Singapura (PSIP) sepertimana dinyatakan dalam Ucaptamanya sempena PIF 2019 tersebut.

Yang turut menarik tentang diplomasi Pahang ini ialah dengan mengikuti sesi-sesi perjumpaan perniagaan (business meetings) yang Dato’ Sri Wan Rosdy pengerusikan, dengan pelabur-pelabur berkenaan. Sepanjuang sesi tersebut, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang bijaksana dan luhur.

Seolah-olahnya pula, seperti sudah ada peranan yang ditentukan termasuk kepada Ahli-ahli Exconya – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; terutamanya dengan watak-watak ‘good cop/bad cop’.

WATAK-WATAK ‘GOOD COP/BAD COP’

Sudah tentulah sebagai Menteri Besar, beliau harus berwatakan ‘good cop’ maka menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Exconya itu untuk memainkan peranan ‘bad cop’ – itupun dengan penuh berhemah tatkala misalnya, mempersoalkan tentang harga pajakan tanah yang dilihat terlalu rendah sepertimana diminta oleh pelabur-pelabur tertentu.

Namun akhirnya, ‘alls well that ends well’. Daripada kesemua 11 MoU yang telah ditandatangani itu, antara terbesar ialah oleh Golden Prosperous International Pte Ltd bagi pengeluaran tahunan 600,000 tan metrik aloi mangan (manganese alloy).

Bahan mineral ini pula kemudiannya ialah untuk pasaran dan dibekalkan kepada kilang keluli bersepadu sedia ada di MCKIP 1 iaitu Alliance Steel Sdn Bhd (ASSB), yang juga ialah pelaburan terbesar di seluruh MCKIP setakat ini.

Begitu juga oleh Hercules Technologies Sdn Bhd dengan persetujuan untuk melabur dalam tiga (3) projek berlainan iaitu bagi membangunkan pusat pembekalan simen dan konkrit; pembinaan kilang bio-komposit; serta bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk. Ketiga-tiganya ialah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Sasaran utama pasaran bahan-bahan pengeluaran syarikat ini pula ialah China Communications Construction Company Ltd (CCCC) – syarikat milik China yang merupakan kontraktor utama bagi projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).  

CADANG BINA TAMAN TEMA DI KAMPUNG MERCHONG

Satu lagi ialah oleh Zhong Hai Resources Group Pte Ltd, dengan hasrat untuk membangunkan kawasan seluas 264.87 hektar (654.51 ekar) di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.

IBN Corporation Pte Ltd pula bercadang terlibat dalam projek pembinaan kolam takungan serta pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting Highlands.
Ketika ini, air terawat di sana dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd namun ia sahaja tidak mampu membekal ke keseluruhan kawasan maka projek oleh IBN ialah sebagai pelengkap bukan pesaing, kepada pembekal sedia ada.

Juga terlibat ialah pelaburan oleh South Ocean LLP, yang bercadang membangunkan sebuah taman tema dikenali – LovOcean Eco Theme Park di Kampung Merchong, Pekan yang termasuk pulau kecil kira-kira 7.4 km bertentangannya.

Jelaslah bahawa pelaburan-pelaburan yang dilakukan ini meliputi pelbagai sektor yang tentunya turut mengambil-kira negeri ini yang banyak sumber dan potensi, yang boleh diterokai.  

Apatah pula dengan usaha terus menerus bagi mengurangkan karenah birokrasi dengan misalnya kewujudan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) sebagai Pusat Sehenti (OSC), telah memungkinkan lagi tarikan pelabur ke negeri ini. – Khabar

Friday 2 August 2019

Pahang jangka tarik pelaburan RM1,134 juta sempena Forum Pelaburan Pahang 2019


… Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhannya – setelah siap projek-projek berkenaan, ialah kira-kira RM2,372 juta!

TERMETERAI SUDAH MoU... Satu untuk album. 


HOTEL GRAND HYATT, SINGAPURA – Pahang dijangka dapat menarik pelaburan kira-kira RM1,134 juta (RM1.134 billion) dengan penanda tanganan 11 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan syarikat-syarikat berkenaan pada hari kedua dan terkahir penganjuran Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) di Kota Singa ini.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhannya – setelah siap projek-projek berkenaan, ialah kira-kira RM2,372 juta (RM2.372 billion)!

“Hanya sebentar tadi, kita telah sama-sama menyaksikan majlis menanda tangani MoU antara pelbagai syarikat dan syarikat multinasional yang berpengkalan di Singapura dengan Kerajaan Negeri,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Saya harus menyatakan yang saya sangat gembira memandangkan nilai pelaburan yang telah dipersetujui ialah RM1.134 bilion – satu jumlah yang lebih besar daripada bajet tahunan Kerajaan Negeri yang sekadar RM700 juta.

“Ini kepada saya, ialah satu kejayaan yang sebenar-benarnya apatah pula dicapai dalam tempoh tidak sampaipun tiga (3) bulan sejak kita datang ke sini pertama kali pada Mei lepas,” katanya lagi pada persidangan media selepas majlis menanda tangani MoU tersebut pagi Jumaat, 2 Ogos di sini.

PERTUKARAN DOKUMEN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri Dr Salehuddin; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) Negeri yang juga Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato' Fadzilla Salleh (depan, kiri sekali). 


PENYERTAAN MELEBIHI JANGKAAN ASAL
                                     
Ketika pertama kali ke sini pada bulan Mei itu, satu Seminar Mengenai Pelaburan Pahang telah turut diadakan tetapi dalam skala yang lebih kecil, yang dihoskan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Pada PIF 2019 ini, ianya telah disertai oleh 130 pihak yang antaranya ialah 83 syarikat serta 23 lagi syarikat multinasional yang beribu pejabat di negara republik ini. Dan jumlah ini adalah melebihi daripada jangkaan asal cuma 80 penyertaan.

Selain Forum menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, beliau juga telah mengadakan lima (5) perjumpaan perniagaan (business meetings) dengan ketua-ketua dan kepemimpinan syarikat-syarikat tersebut, selain sembilan (9) lagi perjumpaan yang sama yang dipengerusikan oleh Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Daripada kesemua 11 MoU yang telah ditanda tangani itu katanya lagi, yang terbesar ialah oleh Hercules Technologies Sdn Bhd dengan persetujuan untuk melabur sehingga kira-kira RM450 juta ringgit, bagi tiga (3) projek berlainan.

Projek-projek itu ialah masing-masing RM200 juta untuk membangunkan pusat pembekalan simen dan konkrit, dan pembinaan kilang bio-komposit; serta RM50 juta lagi bagi penubuhan pusat latihan, kawalan kualiti dan pensijilan produk. Ketiga-tiganya ialah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

LAGI PERTUKARAN DOKUMEN ANTARA KERAJAAN NEGERI DENGAN BAKAL PELABUR... 


CADANG PROJEK LADANG SOLAR DI MAUDZAM SHAH

Satu lagi katanya, ialah oleh Zhong Hai Resources Group Pte Ltd, dengan hasrat melabur kira-kira RM400 juta untuk membangunkan kawasan seluas 264.87 hektar (654.51 ekar) di Muadzam Shah, Rompin sebagai Ladang Solar.

IBN Corporation Pte Ltd pula bercadang terlibat dalam projek pembinaan kolam takungan serta pembekalan air terawat bagi memenuhi keperluan seluruh kawasan Genting Highlands dengan nilai pelaburan kira-kira RM100 juta ringgit.

Ketika ini, air terawat di sana dibekalkan oleh Genting Utilities & Services Sdn Bhd namun ia sahaja katanya, tidak mampu membekal ke keseluruhan kawasan maka projek oleh IBN ialah sebagai pelengkap bukan pesaing kepada pembekal sedia ada.

“Dengan penuh hormatnya, sukacita saya nyatakan betapa berjayanya penganjuran PIF 2019 ini. Sehubungan itu, sukacita saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada TYT Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Zainol Rahim Zainuddin dan pasukannya;

“MITI dan MIDA Singapura serta pasukan saya dari Pahang; yang telah bekerja tanpa mengira penat dan lelah dalam menjayakan usaha ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Yang turut bersama-sama beliau pada persidangan media ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Dato’ Sri Mohd Sharkar dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi; serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun.


SEBAHAGIAN LAGI KHALAYAK PAGI JUMAAT INI... – Khabar

Thursday 1 August 2019

Pahang buka taman perindustrian baharu seluas 1,214.06 hektar (3,000 ekar) – Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP)


… selain cadang buka Taman Perindustrian Pahang-Singapura seluas 485.62 hektar (1,200 ekar), kata Menteri Besar dalam ucaptama sempena Forum Pelaburan Pahang  2019 (PIF 2019) di Singapura.

'ONE FOR THE ALBUM'... Dato' Sri Wan Rosdy diapit kanan oleh Dato' Zainol Rahim, dan kiri Dato' Sri Douglas; selain (dari kiri ke kanan) Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Salehuddin Ishak; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Indera Roslan Harun. 


HOTEL GRAND HYATT, SINGAPURA – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembukaan tamah perindustrian baharu seluas 1,214.06 hektar dekat Pelabuhan Kuantan, sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP).

Kerajaan Negeri juga katanya, ada cadangan untuk mewujudkan secara eksklusif, Taman Perindustrian Pahang-Singapura seluas 485.62 hektar yang terletak di sebuah kawasan strategik bersebelahan Jalan Kuantan-Pekan.

Selain itu ialah cadangan membangunkan Taman Aeroangkasa Pahang di sebuah kawasan yang sedang dikenalpasti, yang fungsinya ialah seakan-akan Taman Automatif Pekan (PAP; Pekan Automotive Park) sedia ada.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama pada Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019; Pahang Investment Forum 2019) anjuran Kerajaan Pahang dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura (SMF; Singapore Manufacturing Federation) pagi Khamis, 1 Ogos.

PIF 2019 ini berlangsung dua (2) hari – pada hari ini, Khamis, dan Jumaat, 2 Ogos di hotel terkemuka ini; disertai oleh lebih 130 peserta termasuk 83 syarikat dari Singapura dan 23 syarikat multinasional.

DALAM MENYAMPAIKAN UCAPTAMANYA... 


KOMITMEN KERAJAAN NEGERI UNTUK BERI KERJASAMA

“Taman perindustrian seperti Kawasan Perindustrian Gebeng yang dibawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telahpun lama wujud dan bersedia menerima pelaburan pada bila-bila masa.

“Kerajaan Negeri juga sedang rancak menerima kemasukan pelabur-pelabur ke Taman Maritim Tanjung Agas di Pekan – sebuah kawasan meliputi 1,710.06 hektar (4,225.66 acres); juga bersedia menerima kemasukan pelaburan ke sana,” katanya.

Di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula katanya, sudah tersedia beberapa lagi taman perindustrian yang boleh turut menerima pelaburan daripada Singapura.

Antara taman perindustrian-taman perindustrian itu ialah PAP – taman perindustrian mengeluarkan produk berasaskan automotif; Taman Halal Gambang – yang berfokuskan kepada pengeluaran produk-produk halal sama ada yang berasaskan makanan atau bukan makanan; dan, Taman Teknologi Pahang (PTP; Pahang Technology Park) – taman yang memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan kegiatan berasaskan sains dan teknologi.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan apa juga pelaburan yang dibuat (di negeri Pahang) akan berjaya, dan terus meningkatkan lagi kejayaannya,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

DALAM SESI PERJUMPAAN PERNIAGAAN... 


SERIUS SEDIAKAN PRASARANA INDUSTRI

Sehubungan itu, beliau menyatakan betapa Kerajaan Negeri amat serius dalam usaha untuk turut menyediakan segala prasarana industri yang terbaik bagi memenuhi keperluan-keperluan termasuk utiliti oleh pihak pelabur.

Berkaitan pembekalan air misalnya, kata Menteri Besar itu, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu yang timbul terutamanya di kawasan-kawasan yang berlaku peningkatan besar kepada permintaan bekalan air.

“Kerajaan Negeri sedang menimbang beberapa pilihan demi memastikan pembekalan air yang terjamin dan antaranya ialah usaha menambah-baik Logi Rawatan Air Semambu yang mana, peruntukan RM 446 juta telahpun diluluskan sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini,” katanya.

Wan Rosdy turut menyentuh soal kesaling-hubungan (connectivity) di negeri itu yang menurutnya, perjalanan dan pengangkutan barangan antara bandar-bandar utama dan pekan kecil di Pahang adalah lebih selesa dan berkesan dengan wujudnya Lebuhraya Pantai Timur (LPT), yang bakal diperhebatkan lagi dengan adanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kelak.

Dengan Pelabuhan Kuantan pula yang sedang dinaikkan tarafnya untuk menjadi pelabuhan bertaraf dunia yang dilengkapi dengan terminal kargo cecair yang modern katanya, Pahang akan menjadi lokasi yang ‘ideal’ sebagai pintu masuk pasaran yang luas dari negara-negara China, Jepun dan Korea Selatan di utara, serta, Singapura dan Australia di sebelah selatan.


CENDERAHATI BUAT BAKAL PELABUR... 

PELABUHAN KUANTAN DIWARTAKAN SEBAGAI ZON PELABUHAN BEBAS KUANTAN

Apatah pula Pelabuhan Kuantan katanya lagi, telahpun diwartakan sebagai Zon Pelabuhan Bebas Kuantan (KFPZ; Kuantan Free Port Zone) berkuatkuasa 1 April lepas (2019).

Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPKtn) pula katanya, telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Zon Bebas (FZA; Free Zone Authority) yang bertanggungjawab dalam urusan-urusan pentadbiran dan operasi, serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan ke atas KFPZ ini.

Daripada segi komunikasi dan capaian internet pula Wan Rosdy menambah kata, kedua-dua syarikat penyedia kemudahan itu iaitu Unify and Maxis, sedang bekerja keras bagi memastikan kapasiti perkhidmatan adalah selaras dengan permintaan, dan sehingga tahun lepas, kadar capaiannya ialah kira-kira 97 peratus.

“Akhirnya, adalah menjadi harapan besar saya bahawa forum dua hari ini akan dapat memberi natijah yang baik maka meraih lebih banyak pelaburan serta perkongsian pengetahuan dan teknologi antara Pahang dan Singapura,” katanya lagi.

Selain delegasi 51-orang Pahang yang termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak;

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Khamis ini ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Zainol Rahim Zainuddin; serta, Presiden SMF, Dato’ Sri Douglas Foo.


ANTARA KHALAYAK PERNIAGAAN ANTARABANGSA PADA FORUM KITA... Kelihatan masing-masing memberikan perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar dalam menyampaikan ucaptamanya. – Khabar