Friday 28 August 2020

PDF untuk sisa buangan Lynas hanya akan dibina selepas kelulusan AELB

LYNAS ADVANCED MATERIALS PLANT (LAMP) DI KAWASAN PERINDUSTRIAN GEBENG, KUANTAN...

 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN  Kemudahan Pembuangan Tetap (PDF; Permanent Disposal Facility) untuk sisa kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) milik Lynas Malaysia Sdn Bhd, hanya akan dibina selepas menerima kelulusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Kajian ‘Preliminary’ tentang kesesuaian tapak PDF itu di Bukit Ketam yang telah dibuat dan dikemukakan oleh pihak Lynas kepada AELB sebelum ini, telahpun dinilai dan lawatan tapak dilakukan oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal lembaga tersebut.

Susulan itulah – menurut sumber yang terlibat dengan urusan ini,  “… AELB telah memberi kebenaran untuk Lynas menjalankan Kajian Terperinci ke atas tapak cadangan tersebut.”

“Dan hanya selepas Kajian Terperinci ini siap, kemudian dikemukakan kepada AELB semula dan pula ia memberikan kelulusan atas Kajian Terperinci ini, barulah PDF di tapak berkenaan akan dibina,” kata sumber yang sama.

Menurutnya, antara kajian-kajian yang dijalankan di bawah Kajian Terperinci yang sedang dilakukan sekarang ialah berkaitan topografi, geologi, hidrogeologi dan, geoteknik;

KAJIAN OLEH PAKAR-RUNDING DALAM BIDANG-BIDANG BERKAITAN

Rekabentuk, Penilaian Kesan Radiologi (RIA; Radiological Impact Assessment), Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA; Environmental Impact Assessment), Penilaian Kesan Masyarakat (SIA; Social Impact Assessment) dan, Penilaian Kesan Kesihatan (HIA; Health Impact Assessment).

“Kajian Terperinci ini merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan manusia dan alam sekitar, semasa tempoh pembinaan dan selepas ia (PDF) ditutup (post closure).

“Kesemua kajian ini akan dijalankan oleh pakar-runding dalam bidang-bidang berkaitan, dan yang mana berkaitan berdaftar dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), berlandaskan peruntukan undang-undang, garis panduan dan ‘international best practices,” menurut sumber itu lagi.

Mengulas apa yang disebutkan oleh seorang profesor mengenai perkara sama, beliau berkata betapa pencemaran air sungai atau air bawah tanah ditentukan oleh banyak faktor maka tidak betul bagi profesor itu untuk membuat kesimpulan berdasarkan satu faktor sahaja.

Antara faktor-faktor yang banyak itu ialah jenis dan sifat bahan yang hendak dilupus, keadaan topografi, geologi dan hidrogeologi kawasan/tapak cadangan pelupusan, reka bentuk kejuruteraan, pembinaan dan operasinya sehinggalah pasca operasi.

‘AIRSISA’?

“Kesemua faktor ini diambil kira. Semasa penilaian risiko dijalankanpun, ‘worst case scenario’ diambil-kira dengan menjangkakan kesannya sekiranya, tidak ada sebarang kawalan kejuruteraan disediakan untuk mengawal berlakunya pencemaran.

“Kajian-kajian ini akan dilakukan sebelum sesuatu cadangan tapak pelupusan itu diluluskan pembinaan, bukan setakat menentukan ‘airsisa’ meresap atau tidak sahaja,” menurut sumber itu lagi.

Dalam hantaran ‘tweet’nya sebelum ini, profesor berkenaan antara lain menyebut, “… sikit atau banyak, air, airsisa, air larian etc dari lokasi ini akan akhirnya masuk ke Sungai Kuantan di hulu Kobat Barrage, lokasi muka sauk (water intake) punca air mentah utama untuk penduduk Kuantan.” – Khabar

Saturday 15 August 2020

‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ yang mengagumkan!

… tentang pemerintahan berjiwa rakyat dan penuh berdiplomasi, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dan inilah kepada patik, tahap ‘diplomacy’ tertinggi tetapi bersahaja – ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ yang mana patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang, sudah lama sedar dan mengambil maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh rakyat-jelata negara” – Dato’ Sri Wan Rosdy.

MAJLIS SANTAPAN TENGAH HARI DI DEWAN MULIA... KDYMM Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Majlis Santapan.

BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN‘The Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’.

Inilah istilah oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menyatakan kekagumannya terhadap pemerintahan berjiwa rakyat dan penuh berdiplomasi, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mstafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah.

Istilah ini disembah-lafazkan dalam persembahan ucapan Ikrar Taat Setia Mewakili Wakil-wakil Rakyat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Badan-badan Berkanun dan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Istiadat Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan Ke-61 KDYMM Sultan Pahang pada pagi Sabtu, 15 Ogos 2020 di sini.

Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang Ke-VI ini ialah pada 30 Julai tetapi Istiadatnya disempurnakan pada hari ini. Baginda ialah juga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong Ke-XVI sejak pelantikan pada 31 Januari 2019, disusuli pertabalan pada 30 Julai tahun sama.

“Yang ingin patik sembah-sebutkan secara khusus, ialah berkenaan kekaguman patik yang teramat sangat, kepada betapa terserlahnya pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, sungguhpun baharu lebih setahun dilantik, kemudian ditabalkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Kekaguman ini pula, ialah kerana pengamatan patik kepada pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi – dalam dan luar negara, yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat hadir.

LUKISAN POTRET SEBAGAI CENDERAMTA KE SISI BAGINDA... Dato' Sri Wan Rosdy mengangkat sembah setelah menyembahkan cenderamata istimewa ini.

SPONTAN, MENURUT GERAK HATI BANTU RAKYAT

“Ini termasuklah yang secara spontan menurut gerak hati seperti membantu rakyat kemalangan jalanraya, atau menjengah ke gerai-gerai makan tepi jalan; hingga terbit rasa kecintaan yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda.

“Dan inilah kepada patik, tahap ‘diplomacy’ tertinggi tetapi bersahaja – ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ yang mana patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang, sudah lama sedar dan mengambil maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh rakyat-jelata negara.

“Dengan diplomasi tahap tertinggi namun bersahaja ini, sehingga telah menawan hati-nurani rakyat seluruh negara; patik penuh berkeyakinan, pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku selaku Raja Pemerintah bagi seluruh jajahan takluk negara berdaulat Malaysia, akan mencatatkan kegemilangan semata-mata.

“Apatah pula dengan gandingan serasi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permasuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di sisi, yang pasti dapat memantap dan menyerlahkan lagi kegemilangan tersebut, In Sya Allah,” sembah-lafaz Dato’ Sri Wan Rosdy.

PERSEMBAHAN IKRAR TAAT-SETIA... Menyembahkan ucapan Ikrar Taat Setia kira-kira 15-minitnya.

 

TEKS SEPENUHNYA

Berikut disiarkan sepenuhnya teks berkenaan –

PERSEMBAHAN UCAPAN MENTERI BESAR PAHANG IKRAR TAAT SETIA MEWAKILI WAKIL-WAKIL RAKYAT, PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN, BADAN BERKANUN DAN RAKYAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR SEMPENA ISTIADAT MEMULIAKAN ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN KE-61 KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Menghadap,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni_Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Amat Mulia,

Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri‘ayatuddin Shah Ibni_ Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Mohon Diampun.

Terlebih dahulu, patik mohon menyembahkan ucapan menjunjung kasih tidak terhingga ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, atas perkenan melanjutkan perkhidmatan patik sebagai Menteri Besar yang sepatutnya berakhir dan genap dua (2) tahun pada 14 Mei 2020, kepada sehingga bubarnya Dewan Negeri (DN) Ke-14 kelak.

Atas perkenan ini patik amat bersyukur. Atas perkenan ini juga telah membangkit dan menyemarakkan lagi semangat patik, untuk terus menggalas tanggung jawab yang telah diamanahkan ini, dengan lebih baik lagi.

Selain patik, rakan-rakan pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bagi dilanjutkan lagi, perkhidmatan sehingga tempoh akhir yang sama.

Oleh itu, patik mewakili rakan-rakan pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, turut menyembahkan ucapan menjunjung kasih setinggi-tingginya ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Sepertimana juga patik, rakan-rakan pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menyatakan komitmen tinggi untuk menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat di bawah payungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, In Sya Allah.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun.

Sembah Patik, Mohon Diampun.

Sebagai mewakili pacal-pacal, dalam kalangan Wakil-wakil Rakyat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Badan Berkanun dan Rakyat Negeri Pahang Darul Makmur, patik mohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bagi menyembahkan, Ikrar Taat Setia sempena Istiadat Memuliakan Ulangtahun Hari Keputeraan Ke-61 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada pagi yang berbahagia ini.

Ikrar Taat Setia ini adalah turut mewakili mereka yang bukan sahaja dalam kalangan rakyat kelahiran Pahang, tetapi juga dari luar yang sedang berkhidmat dan berkecimpung dalam pelbagai bidang kerjaya atau punca ekonomi di bumi Darul Makmur.

Dalam hal ini, patik mohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik mengungkap pepatah – ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

Pepatah ini, bolehlah disamakan dengan pepatah Inggeris yang menyebut – ‘When in Rome, do as the Romans do’, ataupun pepatah Arab – ‘Likul-li Maqor-min Maqor-lun, Walikul-li Maqor-lin Maqor-mun’ yang bermaksud, ‘Setiap tempat ada perkataan (yang sesuai), dan pada setiap perkataan ada tempatnya (yang sesuai juga)’.

Adapun maksud pepatah-pepatah yang telah patik lafazkan tadi, sepatutnya lebih daripada sekadar saranan agar seseorang itu perlu mengikut aturan dan adat yang diamalkan di tempat seseorang itu berada.

Dalam konteks hubungan Raja Pemerintah dan rakyat-jelata, pepatah yang sama ini sepatutnya juga bermaksud ketaat-setiaan tidak berbelah-bahagi oleh rakyat-jelata, yang sewajarnya dicurahkan terhadap Raja Pemerintah di negeri seseorang itu berada.

Oleh itulah, Ikrar Taat Setia yang patik sembahkan ini, turut mengambil kira maksud luas yang patik berikan kepada pepatah – Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’, agar dari manapun asalnya patik pacal-pacal sekalian, namun ketaat-setiaan ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sebagai Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang dan segala jajahan takluknya; akan terus dicurah dan ditumpahkan dengan sepenuh jiwa dan raga.

Begitulah juga ketaat-setiaan patik ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni_ Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bersama-sama dengan Ikrar Taat Setia ini pula, tentunya turut disusuli dengan komitmen besar oleh patik pacal-pacal sekalian, dalam memastikan apa juga khidmat yang diberikan adalah demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat-jelata di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, In Sya Allah.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun.

Sembah Patik, Mohon Diampun.

Mengambil kesempatan ini, sukacita juga patik menyentuh, sedikit-sebanyak pengamatan patik mengenai pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, yang kini turut bersemayam di Istana Negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Yang ingin patik sembah-sebutkan secara khusus, ialah berkenaan kekaguman patik yang teramat sangat, kepada betapa terserlahnya pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, sungguhpun baharu lebih setahun dilantik, kemudian ditabalkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kekaguman ini pula, ialah kerana pengamatan patik kepada pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi – dalam dan luar negara, yang telah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat hadir.

Ini termasuklah yang secara spontan menurut gerak hati seperti membantu rakyat kemalangan jalanraya, atau menjengah ke gerai-gerai makan tepi jalan; hingga terbit rasa kecintaan yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda.

Dan inilah kepada patik, tahap ‘diplomacy’ tertinggi tetapi bersahaja – ‘the Al-Sultan Abdullah’s Diplomacy’ yang mana patik pacal-pacal sekalian di negeri Pahang, sudah lama sedar dan mengambil maklum mengenainya, tetapi mungkin hanya baru-baru ini diketahui dan disedari oleh rakyat-jelata negara.

Dengan diplomasi tahap tertinggi namun bersahaja ini, sehingga telah menawan hati-nurani rakyat seluruh negara; patik penuh berkeyakinan, pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku selaku Raja Pemerintah bagi seluruh jajahan takluk negara berdaulat Malaysia, akan mencatatkan kegemilangan semata-mata.

Apatah pula dengan gandingan serasi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permasuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di sisi, yang pasti dapat memantap dan menyerlahkan lagi kegemilangan tersebut, In Sya Allah.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun.

Sembah Patik, Mohon Diampun.

‘Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi’, ‘Bagaimana rupa begitulah bayangnya’, ‘Bagaimana acuan begitulah kuihnya’, dan betapa, ‘Rebung tidak jauh dari rumpun’; sikap-sikap mulia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telahpun ternampak diwarisi secara terserlah, oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Dan hanya baru-baru ini misalnya, dalam diam tak diam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah perkenan bercemar duli, mengetuai misi kira-kira 60 orang dalam kalangan pegawai dan anggota 12 Rejimen Askar Melayu DiRaja (Mekanize), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), menawan puncak Gunung Tahan di bawah Eksesais Kembara Makmur selama empat (4) hari, tiga (3) malam yang bermula 1 Ogos dan berakhir 4 Ogos lepas.

Yang membanggakan ialah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merupakan putera Raja pertama yang tercatat dalam sejarah, meredahi empat (4) anak sungai, mendaki dan singgah merasai kedinginan yang teramat di Kem Botak, sebelum terus mendaki dan menakluki puncak Gunung Tahan, yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Atas kejayaan yang membanggakan ini, patik mewakili rakyat-jelata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Betapa, jika frasa ‘lead by example’ ingin diterjemahkan secara realiti, teladan yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuankulah yang sebaik-baiknya diikuti.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun.

Sembah Patik, Mohon Diampun.

Sesungguhnya, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang diamanahkan kepada patik untuk menjalankan kepemimpinan hariannya, amat sedar akan tanggung jawab besar yang diletakkan ke atas batu jemala patik serta rakan-rakan pacal Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini, patik sentiasa mengambil pendekatan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’ dengan ‘tagline’ Maju Terus Pahang dan Pahang 1st. Ini bermatlamat untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Ke arah menjayakan pendekatan ini pula, kepemimpinan patik turut memberi penekanan kepada ‘metaphor’ atau bahasa kiasan ‘carrot and stick’ yakni, menggabungkan amalan pemberian hadiah atau ‘carrot’ dan kenaan hukuman atau ‘stick’, demi untuk memperolehi satu-satu sikap dan kelakuan rakyat-jelata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang diharap-harapkan.

Oleh sebab itulah didapati, ketika rakyat-jelata Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku diberikan segala manfaat yang difikirkan sesuai termasuk 29-inisiatif bagi meringankan beban terutamanya ke atas mereka terkesan teruk dengan penularan wabak pandemik COVID-19;

Ketegasan perlu dilaku dan dipamerkan bagi menghukum mereka yang engkar kepada apa juga dasar dan keputusan yang Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tetapkan, termasuklah dalam soal, gejala pencerobohan tanah.

Dan amalan kiasan ‘carrot and stick’ sehingga kini patik dapati, adalah berkesan dan diterima baik oleh majoriti rakyat-jelata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kemenangan bergaya parti Kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua Pilihanraya Kecil Cameron Highlands dan Chini baru-baru ini, bolehlah dijadikan tanda aras ataupun ‘referendum’ mengenainya.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Mohon Diampun.

Sekianlah sahaja persembahan ucapan Patik yang tidak sepertinya ini.

Patik mewakili pacal-pacal sekalian mohon ampun dan maaf ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau apa-apa keterlanjuran tutur-kata dalam persembahan ucapan Patik.

Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga dikurniakan taufik hidayah, sihat-wal‘afiat ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Patik juga bermohon, agar dipelihara dan diredhai, oleh Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga memberkati hari-hari pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Patik turut mendoakan moga-moga dipelihara dan diredhai Allah Subhanahu Wata’ala ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni_Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Juga patik doakan moga-moga terpelihara dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata‘ala ke atas Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda Putera dan Puteri, Cucunda dan kerabat, para pemimpin, alim ulama’, muslimin dan muslimat, Amin, Ya Rabbal Alamin.

Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun,

Sembah Patik, Mohon Diampun.

‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’.

 Ampun Tuanku. – Khabar