Wednesday 22 May 2019

KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat


“… saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada’,” kata Menteri Besar

SEMBAH TAKZIAH... Iklan sepertimana akan disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada esok, Khamis, 23 Mei.  


WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah telah mangkat pagi ini.

Almarhum KDYMM Paduka Ayahanda mangkat pada usia 89 tahun pada 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Berikut ialah kenyataan media sepertimana dikeluarkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kira-kira 10 pagi tadi ;  

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

Almarhum mangkat pada kira-kira 9 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, saya mohon rakyat-jelata sekalian agar sama-samalah mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada’. Amin.

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang. – Khabar    


Wednesday 15 May 2019

Kepemimpinan setahun Dato’ Sri Wan Rosdy yang membanggakan!

… sempena setahun beliau dilantik Menteri Besar pada 15 Mei 2018

DIRAIKAN SETAHUN TEMPOH KEPEMIMPINAN DENGAN PULUT KUNING... Bersempena Majlis Berbuka Puasa di Masjid Sultan Ahmad Shah, Medan Tok Sira, Kuantan petang semalam Selasa, 14 Mei, Dato' Sri Wan Rosdy diraikan secara sederhana oleh para kariah diketuai Dato' Sri Abdul Jabbar Ibrahim (empat dari kiri). 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Muhamad; serta, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman (kiri sekali). 
  

Oleh AHYA ALIMUDDIN

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Membanggakan sama ada daripada segi kepemimpinan Kerajaan mahupun politik. Inilah rumusan yang boleh dibuat kepada Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail setelah setahun beliau menerajui Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ini disebalik beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh Kerajaan Negeri sebagai Kerajaan Pembangkang, apabila berdepan parti memerintah Pakatan Harapan yang menguasai Kerajaan Persekutuan. 

Bermula dengan perkenan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang kini ialah SPB Yang Dipertuan Agong yang juga KDYMM Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melantik beliau sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 pada Istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan 15 Mei lepas.

Sejak pelantikan yang tidak diduganya itu, Dato’ Sri Wan Rosdy tidak menoleh ke belakang lagi melainkan terus melakar strategi untuk mengisi secara berkesan jawatan yang diwarisi daripada ‘mentor’nya – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang telah memimpin negeri kurang 10 hari, 19 tahun.

Pada persidangan media hari pertama beliau ‘clock-in’ sebagai Menteri Besar di Wisma Sri Pahang pagi Rabu, 16 Mei, beliau telah ditanya tentang matlamatnya yang menurutnya, beliau akan berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.

BUSINESS AS USUAL... Dan pada pagi Rabu, 15 Mei ini, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sepertimana biasa.  


APA DIKATA, DIKOTA

“Sistem yang ada sudah bagus cuma cuba pertingkatkan lagi, kita (cuba) memudahkanlah. Sebagai contoh, kalau (sesuatu urusan itu) mengambil masa, kita cuba percepatkan asalkan tidak lari daripada peraturan dan undang-undang,” katanya.

Ternyata, Dato’ Sri Wan Rosdy bukan seorang yang suka bermain dengan kata-kata. Apa yang dikata, dikotanya maka hanya pada 1 Ogos atau tak sampaipun tiga (3) bulan kemudian, beliau umumkan penurunan kuasa bagi kelulusan kebenaran (consent) berkaitan pindah milik dan gadaian tanah.

Sebelumnya, kuasa bagi kelulusan kebenaran ini berpusat kepada Pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar, tetapi kini diturunkan hingga ke peringkat Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing.

Melalui pendekatan ini, kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah boleh dilaksanakan dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) hari sahaja bagi kebenaran pindah milik dan gadaian bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan juga waris qadim.

Manakala bagi kebenaran pindah milik dan gadaian yang melibatkan pindah milik kepada melayu, dilaksanakan dalam tempoh 10 hari bekerja daripada tarikh dokumen lengkap diterima.

PADA MAJLIS PENYAMPAIAN BIASISWA SEKOLAH MENENGAH... Di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands di Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1, Lipis. 


JANUARI – APRIL DAH KUTIP RM 181.57 JUTA

Inisiatif ini dilaksanakan selepas Dato’ Sri Wan Rosdy mendengar keluhan pelbagai pihak antaranya para peguam dan orangramai yang terlibat dengan urusan pindah milik ini, yang dulunya memakan masa melebihi tiga (3) hingga empat (4) bulan, malah ada yang bertahun-tahun.

Selesai dengan masalah tersebut, beliau memperkenalkan pelbagai inisiatif lagi termasuklah bagi meningkatkan hasil negeri, dengan antara lain menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi kutipan hasil tanah perlu mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus.

Inipun menampakkan kejayaan. Dalam tempoh empat (4) bulan pertama tahun ini (antara Januari dan April), jumlah yang telah dikutip ialah kira-kira RM 181.57 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas kira-kira RM 140.21 juta, atau lebih RM41.36 juta.

Sudah tentu beliau berterima kasih kepada jabatan-jabatan Kerajaan Negeri khususnya Pejabat Tanah dan Galian, serta kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah, yang telah melaksanakan tata-kerja lebih berkesan dalam mengutip hasil-hasil ini yang antara lain ialah cukai tanah.

Beliau turut memberi fokus kepada peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) terutamanya daripada segi tanggung jawab dan pendapatan tahunan yang diraih. Untuk tahun 2017 sahaja, kesemua lebih 40 S-GLC mencatatkan pendapatan kira-kira RM 2,600 juta dengan keuntungan kira-kira RM 565 juta.

KUNJUNG-HORMAT KE ATAS MENTERI HAL-EHWAL LUAR SINGAPURA, DR VIVIAN BALAKRISHNAN... Kunjung-hormat ini ialah sempena kehadiran Dato' Sri Wan Rosdy ke negara pulau tersebut sempena Seminar Pelaburan Pahang selama sehari pada 2 Mei lepas. 


TUBUH PAHANG CORP

Sebuah badan khas dikenali Pahang Corporation pun ditubuhkan, yang berfungsi untuk antara lain, mengawal selia prestasi mereka dan beliau turut menetapkan bermula tahun ini, sebahagian daripada keuntungan tahunan S-GLC ini perlulah diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Ini bermakna, berdasarkan RM 565 juta keuntungan yang diperolehi S-GLC untuk tahun 2017 itu dan katakan 15 peratus dikenakan sebagai bayaran, maka Kerajaan Negeri akan memperolehi hasil baharu kira-kira RM 84.75 juta!

Dalam tempoh setahun ini juga, kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy turut terserlah dalam bidang politik. Sebagai Menteri Besar, beliau juga ialah Pengerusi, BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO Pusat.

Atas kedudukan ini, beliau – dengan ketokohannya tersendiri dan ‘kurang bercakap’, turut berjaya mengetuai jentera parti pada Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Cameron Highlands pada 26 Januari lepas dengan bergaya apabila calon BN menang besar.

Pada PRK inilah pertama kalinya pula – setelah perseteruan berdekad-dekad lamanya, telah wujud kerjasama ‘real’, jujur dan kukuh antara UMNO dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang menjadi antara faktor utama kemenangan tersebut.

MENANDA TANGANI DEKLARASI HIMPUNAN PERPADUAN UMMAH... Pada Himpunan Perpaduan Ummah Pahang pada 26 April lepas.   


GRED A KEPADANYA

Kerjasama ini terus menyerlah apabila pada 26 April pula, sebuah Himpunan Perpaduan Ummah Pahang melibatkan lebih 10,000 kehadiran di Padang MPK 1 di sini, berjaya diadakan, yang turut disertai oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO dan PAS – Dato’  Seri Utama Mohamad Hassan dan Dato’ Sri Hadi Awang.

Oleh itulah, kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy selama setahun ini – sama ada daripada segi pentadbiran Kerajaan Negeri mahupun politik; tidaklah keterlaluan jika kita berikan Gred A kepadanya. 


SEMUKA PENUH PADA HALAMAN 18, UTUSAN MALAYSIA TERBITAN 15 MEI... – Khabar