Monday 28 June 2021

Sangka buruk tak ubah hakikat penjagaan baik hutan Pahang

ARTIKEL SAMA TERSIAR DALAM HALAMAN 18 AKHBAR SINAR HARIAN TERBITAN SELASA, 29 JUN 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Ibarat ‘air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan’ atau ‘missing the forest for the trees’. Inilah bidalan yang boleh dirujukkan kepada segelintir pihak yang gemar memberikan gambaran buruk tentang aspek penjagaan hutan di Pahang.

Di sebalik itu, ia masih tidak dapat menidakkan hakikat Pahang ialah antara negeri terbaik memelihara hutan sepertimana diperakui oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) khususnya mesyuarat pada Mac 2019.

Sepertimana kita ketahui, Pahang ialah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan keluasan gabungan tiga (3) negeri iaitu Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (793,000 hektar).

Pada mesyuarat MPFN tersebut telah dimaklumkan, Pahang ialah penyumbang terbesar kawasan berhutan atau ‘forested area’ dalam kalangan negeri-negeri Semenanjung Malaysia, dengan keluasan 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri ini.

Daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan ini, 551,528 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan atau Kawasan Tadahan Air yang langsung tidak boleh di‘sentuh’ apatah lagi bagi kerja-kerja pembalakan.

KAWASAN TADAHAN AIR PAHANG LEBIH 5 X SAIZ PULAU PINANG

Kawasan seluas 2.057 juta hektar ini hanya kecil sikit daripada negeri Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, berkeluasan 2.1 juta hektar manakala 551,528 hektar pula ialah lebih lima (5) kali ganda saiz Pulau Pinang yang berkeluasan kira-kira 103,104 hektar.

Usaha penjagaan hutan ini pula turut meliputi kawasan tanahtinggi seperti Cameron Highlands yang pada 9 Oktober 2019, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar sebagai Hutan Taman Negeri di sana.

Ini menjadikannya Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar, yang diwartakan sejak tahun 2000.

Demi memelihara hidupan liar pula, Kerajaan Negeri meluluskan kawasan kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat MMK Negeri pada 27 November 2019 dan telah menerima sambutan baik termasuk dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

HUTAN TERPELIHARA SEBAB AMALAN PENGURUSAN HUTAN SECARA BERKEKALAN @ SUSTAINABLE FOREST MANAGEMENT

Dalam pada itu pun, diam tak diam; Kerajaan Negeri telah pun mewartakan kira-kira 1.55 juta hektar di seluruh negeri ini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK), menjadikan Pahang negeri mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh disangkalkan dan angka ini (1.55 juta hektar) kekal stabil sungguhpun setiap tahun tidak dinafikan, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Kestabilan ini disebabkan Kerajaan Negeri mempraktikkan pengurusan hutan secara berkekalan atau ‘sustainable forest management’ yang menerusinya, kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.   

Di kawasan hutan yang boleh dibalak sekalipun, ia sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC), yang mengeluarkan ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ (MC&I).

Adalah membanggakan sejak tahun 2002 lagi, Pahang terus kekal menerima persijilan ini dan terkini, susulan pengauditan bermula 25 Februari hingga 2 Mac 2019, sijil MC&I ini dilanjutkan untuk tempoh lima (5) tahun lagi bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2024, membuktikan tentang baiknya pengurusan hutan di negeri ini. 

AKUR KEPADA CATUAN TEBANGAN TAHUNAN (CTT) MAJLIS TANAH NEGARA TETAPKAN

Dan Kerajaan Negeri turut berbangga kerana Pahang masih akur serta tidak melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang dibenar dan ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara (MTN).

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11, 2016 – 2020) misalnya, CTT yang ditetapkan ialah seluas 13,687 hektar namun untuk tahun 2019 sahaja, luas kawasan yang dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu cuma 10,313 hektar. 

Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri tidaklah berada dalam ‘denial mode’ terutamanya mengenai gejala penerokaan haram ke atas tanah dan kawasan hutannya yang menyumbang kepada persepsi negatif oleh segelintir pihak.

Oleh itulah, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil maklum dan segera melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas apa sahaja laporan yang diterima berkaitan penerokaan atau pencerobohan tanah mahupun hutan secara haram di negeri ini.

Usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menangani dan mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat baru-baru ini misalnya, sememangnya menjadi ‘model’ kepada usaha-usaha Kerajaan Negeri seterusnya dalam menangani gejala tersebut.

KETEGASAN DAN ‘POLITICAL WILL’ MENTERI BESAR

Inilah yang diharap dapat membuka mata pihak-pihak berkenaan. Kejayaan ini ialah kerana ketegasan dan ‘political will’ yang tinggi Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah haram di kawasan tanahtinggi itu malah di tempat-tempat lain sekali pun, akan dapat ditangani dan diselesaikan dengan jaya.

Dan inilah juga mesej yang hendak disampaikan oleh kepemimpinan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sejak menerajui Pahang pada 15 Mei 2018, yang dengan ketegasan secara beristiqamahlah juga diharapkan hutan di negeri Pahang akan terus terpelihara. – Khabar

Friday 18 June 2021

Kejayaan Sungai Ichat penanda aras usaha pemuliharaan Tasik Chini

ARTIKEL SAMA SEPERTIMANA TERSIAR PADA HALAMAN 18 AKHBAR SINAR HARIAN TERBITAN SABTU, 19 JUN 2021... 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Jika Kerajaan Negeri boleh melakukannya di Sungai Ichat, Cameron Highlands berkaitan usaha memulihara alam sekitar yang terkesan teruk sebelumnya akibat kerja-kerja perkebunan, maka yang sama pasti dapat dilakukan di Tasik Chini, Pekan.

Keyakinan ini bersandarkan hakikat ketegasan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sendiri, disusuli tindakan sama tegas dan konsisten oleh agensi-agensi penguatkuasaan negeri mahu pun persekutuan, seterusnya pelaksanaan pelan-pelan pemuliharaannya.

Apa yang tidak dihadapi di Sungai Ichat? Bukan sahaja bantahan keras secara fizikal daripada sebahagian tertentu pekebun dalam kalangan India, hingga memerlukan pasukan keselamatan menyurai dan meredakan keadaan. Mereka juga menyaman Kerajaan Negeri akhirnya mereka juga menariknya kembali.

Setelah lebih enam (6) bulan tertangguh pun kerana mematuhi injunksi mahkamah, kerja-kerja penguatkuasaan dan kerja-kerja pemuliharaan termasuk penanaman pokok-pokok tertentu dilaksanakan semula.

Maka, pulihlah kembali tidak sampai satu setengah tahun – sejak Februari 2019 hingga September 2020; dengan mutu air Sungai Ichat kembali ke kelas 1 daripada kelas 4 yang tercemar teruk sebelumnya. Pentingnya Sungai Ichat ialah, ia merupakan satu daripada dua (2) sungai dalam kawasan tadahan air Terla, menjadi penyumbang air utama untuk dirawat bagi memenuhi keperluan air bersih 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

ARTIKEL SAMA YANG TURUT TERSIAR DALAM AKHBAR METRO AHAD TERBITAN AHAD, 20 JUN PADA HALAMAN 18...

KEBERANGKATAN KEBAWAH DULI TUANKU KE LAPANGAN

Sepertimana Sungai Ichat menerima keberangkatan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong pada 7 September 2019 serta sokongan Baginda atas ketegasan serta kerja-kerja penguatkuasaan dan pemuliharaan yang Kerajaan Negeri ambil, begitu juga di Tasik Chini apabila anakanda Baginda, KDYMM Pemangku Raja Pahang membuat kunjungan mengejut pada 13 Jun lepas (2021), kemudian membuat kenyataan hampir sama nadanya.

Sesungguhnya, soal menangani isu alam sekitar di Tasik Chini yang sedang Kerajaan Negeri kendalikan sekarang, ialah hampir sama waktunya dengan pengendalian isu di Sungai Ichat.

Pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 13 Mac 2019 yang samalah apabila Kerajaan Negeri meluluskan untuk pewartaan 4,498 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini, serta 121.12 hektar sebagai HSK Sungai Ichat.       

Bagi Tasik Chini yang lebih luas, mesyuarat sama menetapkan Dasar Khas berkaitan perlombongan; bahawa tidak akan ada lagi pengeluaran baharu Pajakan Melombong (ML) khususnya bagi bijih besi di situ.

Dan inilah yang dipatuhi sepenuh dan secara tegasnya sehingga ke hari ini dan ia bukan sekadar ‘lip service’ sepertimana dakwaan sesetengah pihak. Sungguhpun terdapat 14 kawasan diberi ML sejak sebelum 2019 lagi, hanya dua (2) yang mempunyai surat kelulusan Skim Pengendalian Melombong (OMS) untuk beroperasi, itupun yang satu (1) akan tamat hujung Jun (2021) dan satu (1) lagi pada hujung tahun ini (2021).

 

LAPAN AGENSI TEKNIKAL – NEGERI DAN PERSEKUTUAN TERLIBAT

 

Dengan ML sahaja – dikeluarkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, tidak membolehkan pemegangnya melakukan operasi perlombongan melainkan setelah memperolehi OMS keluaran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

 

Untuk memperolehi OMS pula bukanlah mudah. Pemohon perlu menyediakan pelbagai dokumen termasuk laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang sangat ‘stringent’, yang dinilai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).  

 

Dalam pada itu pun, Kerajaan Negeri tidak berkompromi atas kegagalan pematuhan sebagaimana syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemegang pajakan/operator melalui penilaian dan ulasan oleh lapan (8) agensi teknikal Kerajaan Persekutuan mahu pun Kerajaan Negeri.

 

Kelapan-lapannya ialah JMG, JAS, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Badan Kawal Selia Air (BAKSA), Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengenai keluasan 4,498 hektar yang diwartakan sebagai HSK Chini, sungguhpun ia luas – bersamaan 6,000 padang bola sepak; namun belum memadai sepertimana titah saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang, antara lain menitahkan meluaskannya kepada antara 6,000 dan 7,000 hektar.

PELUASAN KAWASAN HUTAN SIMPAN DEMI ALAM SEKITAR

Susulan itu, Dato Sri Wan Rosdy mengarahkan jabatan-jabatan berkenaan seperti PTG Negeri dan JPNP supaya mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

Peluasan ini menurut Dato Sri Wan Rosdy lagi, wajar kerana ia dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjagai dan memelihara/memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar menurut musim.

Peluasan ini juga tentunya wajar, yang dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Program ini diselaraskan oleh Pusat Pemuliharaan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah 8.1 hektar sejak 2004 lagi, yang dijadikan makmal alaminya (living laboratory).

Sepertimana semua sedia maklum, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.

Ia (TCRB) berlandaskan tiga (3) teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesies/hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.

SELUAS 7,000 HEKTAR BERSAMAAN 9,000 PADANG BOLA SEPAK

Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga (3) zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang bebeza. Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar atau bersamaan lebih 9,000 padang bola sepak, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha melaksanakan kerja-kerja penanaman semula sepertimana kerja-kerja penanaman semula hutan yang setakat ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM250,000 untuknya. Lagi RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya lagi.

Selain itu, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR), dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguaktkuasaan negeri dan persekutuan.

Dengan segala usaha tegas, serius dan berterusan Kerajaan Negeri untuk memulihkan kembali Tasik Chini dan sekitarnya yang berkeluasan ribuan hektar berbanding Sungai Ichat; hanya masa akan menentukan Tasik Chini akan benar-benar pulih kembali. – Khabar

 

 

Wednesday 16 June 2021

Berbelanja, jangan sampai boros; berjimat jangan sampai kedekut

… pedoman pengurusan kewangan negeri oleh Menteri Besar yang berjaya – hasil negeri kukuh, dapat di‘pulang’kan kembali kepada rakyat jelata dalam pelbagai bentuk bantuan kebajikan 

ARTIKEL SAMA TERSIAR PADA HALAMAN 14 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN KHAMIS, 17 JUN 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Berbelanja, jangan sampai boros. Berjimat, jangan sampai kedekut”. Inilah pedoman bagi pengurusan kewangan Kerajaan Pahang di bawah Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pedoman ini terbukti berjaya antaranya, berlaku penambahbaikan kepada prestasi kewangan negeri, dan kejayaan mengurangkan beban hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Dengan ini, ada lebihan wang yang sebahagian tertentu di‘pulang’kan kembali secara terus kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif bantuan demi meringankan beban mereka khususnya dalam mengharungi tempoh sukar akibat penularan serta langkah-langkah membendungi wabak pandemik COVID-19 ketika ini.

Terkini ialah pengumuman tentang peruntukan RM17.1 juta di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 secara bersasar Fasa 1 dan 2, bagi menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disusuli ‘total lockdown’ seluruh negara.

Yang membanggakan tentang prestasi kewangan negeri ini ialah, hasil sebenar dikutip mencecah angka RM800 juta pada tahun-tahun 2019 dan 2020 dan Bajet Negeri 2019 ialah bajet negeri pertama dibentangkan pada 19 November 2018 oleh Dato’ Sri Wan Rosdy selaku Menteri Besar, sejak pelantikan beliau ke jawatan itu pada 15 Mei 2018.

HASIL NEGERI CECAH RM800 JUTA AKHIR TAHUN-TAHUN 2019, 2020

Akhir tahun 2019, kutipan hasil sebenar ialah RM847.7 juta berbanding anggaran asal, RM703.8 juta atau lebihan/’surplus’ RM143.9 juta, dengan prestasi pencapaian 120.5 peratus.

Hujung tahun 2020 – disebalik kekangan wabak pandemik COVID-19 dengan langkah tegas membendunginya bermula Mac 2020, kutipan hasil sebenar masih tinggi, RM850 juta berbanding anggaran asal, RM744.02 juta atau lebihan/‘surplus’ RM106 juta dengan prestasi pencapaian 114.2 peratus.

Dengan sasaran hasil negeri RM1 bilion, ia dijangka dapat dicapai lebih awal, mungkin pada akhir tahun depan (2022) berdasarkan purata pencapaian hasil, 117.4 peratus bagi tahun-tahun 2019 dan 2020 itu.  

Kutipan hasil negeri yang mantap ini ialah susulan semakan semula kepada beberapa jenis cukai misalnya cukai balak – yang terkesan cuma golongan tertentu yang mampu menerima/menyerap kenaikan tersebut, bukan rakyat terbanyak.

Ia juga mantap sebab usaha-usaha mengelak ketirisan yang Kerajaan Negeri perhebatkan. Penubuhan Unit Ketirisan Hasil, Unit Pasukan Khas dan Unit Penguatkuasaan Bersepadu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri banyak membantu.    

ELAK KETIRISAN JUGA SUMBANG KEPADA PENINGKATAN HASIL NEGERI

Misalnya, menerusi operasi penguatkuasaan tanah di Kampung Pamah Lebar, Daerah Raub melibatkan kawasan seluas 198.53 ekar, berjaya mengekang kerugian hasil negeri kira-kira RM3.15 juta.

Menerusi Unit Pasukan Khas pula, usaha dan tindakannya telah membolehkan Kerajaan Negeri mengutip RM31 juta tunggakan hasil tanah di seluruh negeri, susulan kerjasama jitu kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di negeri ini.

Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang baik ini juga turut ter‘jangkit’ dan terpancar pada prestasi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) yang juga menjadi tumpuan khusus oleh Dato’ Sri Wan Rosdy.

Misalnya, nilai aset-aset tetap untuk kira-kira 40 S-GLC ini meningkat kepada RM9.24 bilion pada akhir tahun 2019, daripada RM8.98 bilion pada tahun 2018.

Keuntungan keseluruhan juga meningkat daripada hanya RM226.7 juta pada tahun 2018, kepada RM329.95 juta akhir tahun 2019.

Dengan penubuhan sebuah perbadanan dan lima (5) S-GLC terbaharu – Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Pahang Corporation, Pengurusan Pasir Pahang Bhd, Pahang Go, Pahang Water and Energy Resources dan Pahang Mining Corporation; prestasi keseluruhan S-GLC dijangka akan terus meningkat.

KEWANGAN S-GLC MAKIN KUKUH

Dan sudahpun menjadi ketetapan Kerajaan Negeri bahawa, sebahagian tertentu daripada keuntungan yang diperolehi oleh S-GLC ini hendaklah disumbangkan kembali kepadanya, lalu menjadi sebahagian daripada sumber hasil tahunannya.

Sudah pastilah yang turut menjadi kebanggaan ialah apabila Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan hutang/pinjamannya dengan Kerajaan Persekutuan daripada asal, RM3.229 bilion kepada hanya RM931 juta atau pengurangan sehingga lebih 70 peratus!

Sebahagian besarnya ekoran kejayaan rundingan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Pahang yang tertunggak hampir lapan (8) tahun; lalu termeterainya perjanjian mengenainya pada 23 Disember 2020.

Melalui perjanjian ini, pinjaman bekalan air luar bandar bernilai RM2.074 bilion oleh Kerajaan Negeri diselesaikan menerusi – RM1.001 bilion dihapus kira dan RM1.073 bilion lagi dinovasikan, lalu ditangung oleh agensi persekutuan – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Selebihnya, RM224 juta meliputi pinjaman bagi penganjuran SUKMA tahun 2012 sebanyak RM169 juta, dan lagi RM55 juta berupa pinjaman bagi membiayai bantuan kepada rakyat terkesan banjir besar tahun-tahun 2014/2015, telah ditukar kepada bentuk geran hasil rundingan dan diplomasi Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

KESTABILAN POLITIK – UMNO/BN TERUS MENANG SEJAK PRU-1 LAGI

Segala kejayaan yang dikecapi sehingga kini kepada Dato’ Sri Wan Rosdy, ialah juga sebab adanya kestabilan politik, yang mana Pahang tidak pernah terputus pemerintahannya di bawah UMNO/BN sejak Pilihanraya Umum (PRU) pertama lagi, tahun 1955.

Dan kestabilan itu turut disumbangkan kini oleh kerjasama erat UMNO/BN dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) dengan majoriti 33 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Negeri, hasil sumbangan UMNO/BN, 25 kerusi dan PAS, lapan (8) kerusi.

Menerusi perjanjian UMNO dan PAS Negeri petang 28 April lepas bagi mengukuhkan lagi kerjasama MN demi mengelak pertembungan 3-penjuru dalam PRU ke-15 kelak, kejayaan dijangka dapat diraih seterusnya mengekalkan kestabilan politik demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Pahang juga. – Khabar  

 

Saturday 12 June 2021

Tiada lesen baharu dikeluarkan di Tasik Chini sejak 2019

 

NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan ‘in-toto’, laporan disediakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang sebagai respon kepada isu yang dibangkitkan oleh sebuah portal berita serta beberapa saluran media sosial mengenai Tasik Chini.

Semoga dengan ini dapat menjawab segala dakwaan tidak tepat, malah fitnah terhadap Kerajaan Negeri.  

PERLOMBONGAN DAN ALAM SEKITAR DI TASIK CHINI

1. Merujuk kepada laporan media berkaitan isu kemusnahan alam sekitar di Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan, perkara tersebut telah mendapat perhatian serius Pihak Berkuasa  Negeri (PBN) Pahang.

2. PBN melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke 8/2019 pada 13 Mac 2019, bersetuju mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini.

3. Kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini tersebut  juga telah dicadangkan oleh PBN sebagai kawasan baharu Rizab Biofera UNESCO.

4. Dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan adalah tidak benar. Sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan di kawasan tersebut sebelum pewartaan dibuat pada tahun 2019. Namun sejak tahun 2019 selepas pewartaan, tiada lesen baharu dikeluarkan.

5. Daripada 14 kawasan perlombongan ini, hanya tinggal dua (2) yang masih beroperasi, itupun yang satu (1) lesennya akan tamat pada hujung Jun 2021 dan satu (1) lagi akan tamat pada hujung tahun ini (2021).

6. Bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan peri pentingnya memulihara khazanah alam, PBN atau Kerajaan Negeri Pahang komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini.

7. PBN juga tidak berkrompomi atas kegagalan pematuhan sebagaimana syarat-syarat yang perlu dipatuhi pemegang pajakan/operator melalui penilaian dan ulasan daripada lapan (8) agensi teknikal dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri Pahang seperti Jabatan Mineral & Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Pejabat Tanah & Daerah (PTD), Badan Kawal Selia Air, Jabatan Perhilitan Negeri (JPN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

8. Pada 17 Jun 2020, PBN melalui MMK Ke 24/2020 telah mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta ke atas semua pemegang pajakan/operator (11) di kawasan Tasik Chini kerana didapati berlaku ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

9. PBN juga telah mengeluarkan SOP Bagi Tindakan Pemulihan Akibat Ketidakpatuhan Kepada Syarat Syarat Kelulusan Aktiviti Perlombongan di Tasik Chini, Mukim Penyor Daerah Pekan pada 20 Julai 2020 kepada semua pajakan/operator terlibat.

10. Pemajak/Operator dikehendaki melakukan penandaan sempadan yang jelas, pemasangan penghadang/pagar, penanaman pokok, pendaftaran penggunaan jentera, mengenakan bayaran bon jaminan RM 250,000, penetapan jadual pemeriksaan, penyediaan pos pasukan penguatkuasa, pemasangan papan tanda dan lawatan pemeriksaan secara berkala. Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi.

11. JAS sentiasa membuat pemantauan ke atas kulaiti air di Tasik Chini sejak 2005 yang melibatkan 15 stesen pemantauan air, dan hasil pemantauan mendapati kualiti air ialah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan air.

12. JAS telah menguatkuasakan perintah penyediaan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bermula tahun 2015 bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

13. JPNP pula bermula 18 November 2019 sehingga 30 Disember 2019, telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan penanaman pokok  di kawasan Tasik Chini dengan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM 250,000.

14. PBN atau Kerajaan Negeri Pahang, sentiasa konsisten dalam memastikan kelestarian khazanah alam bukan sahaja di Tasik Chini malah di seluruh Negeri Pahang sebagaimana ketegasan dan kejayaan terserlah melalui tindakan penguatkuasan serta pemuliharaan Sungai Ichat di Mukim Hulu Tenom daerah Cameron Highlands.

15. Kerajaan Negeri Pahang - dalam pada sentiasa berusaha merangsang semua aktiviti ekonomi bagi memakmurkan Negeri; akan tetap mengutamakan kelestarian dan perlindungan alam sekitar.

 

PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN PAHANG

12 JUN 2021 – Khabar