Friday 30 November 2018

BN Pahang optimis menang jika ada PRK Parlimen Cameron Highlands


“Kita optimislah sebab kita menyandang, InsyaAllah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy tentang peluang BN dengan kemungkinan berlakunya PRK di kawasan tanahtinggi itu.

BASAH KUYUP... Dato' Sri Wan Rosdy sudi menyertai sesi berfoto kumpulan dengan anak-anak yang kelihatan sudah basah kuyup setelah menerima siraman melalui hos bomba yang dilakukan oleh Dato' Sri Wan Rosdy sendiri sebelum itu. 


KPJ PAHANG SPECIALIST HOSPITAL, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan keyakinan yang Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen kawasan Cameron Highlands jika Pilihanraya Kecil (PRK) diadakan di situ kelak.

“Kita optimislah sebab kita menyandang, InsyaAllah,” katanya yang juga Pengerusi BN Negeri sebagai menjawab soalan wartawan Utusan Malaysia pada persidangan media selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai KPJ Pahang 2018 pagi Sabtu, 1 Disember di sini.

“Pada masa itu lima (5) penjuru. Tapi kali ini, jika ada PRK, kita tak tahu berapa penjurulah. Jadi kita tunggu dan lihatlah…,” katanya merujuk kepada penyertaan calon-calon BN dari MIC, Pakatan Harapan (PH) dari DAP, PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Berjasa pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14, 9 Mei lepas.

Calon BN, Dato’ C.Sivarraajh memenanginya dengan memperolehi 10,307 undi manakala calon PH, M.Manogaran pula 9,710. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud mendapat 3,587 undi dan dua calon lain dari PSM dan Berjasa telah hilang wang pertaruhan masing-masing.

“Saya tak nak buat andaian yang terlalu awal. Masih terlalu awal sebab rayuanpun masih belum dikemukakan lagi, ada masa 14 hari,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri.

GEMBIRA LAKUKAN SIRAMAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Encik Yasser Arafat (tiga dari kanan) dan 'ketua Tok Mudim', Dr Huzaimi (dua dari kanan). Juga kelihatan ialah kakitangan sokongan Pejabat Menteri Besar, Sdr Zaili (kiri sekali).   


KEPUTUSAN MAHKAMAH PILIHANRAYA

Perkara ini dibangkitkan untuk mendapatkan reaksi lisan beliau kepada keputusan Mahkamah Pilihanraya pagi semalam, Jumaat, 30 November yang telah membatalkan keputusan Pilihanraya Umum (PRU) 14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan mengarahkan pilihanraya diadakan semula.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas calon DAP, M.Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan Ahli Parlimen BN, Dato’ C.Sivarraajh.

Dato’ Azizah dilaporkan berkata; “Saya akan mengesahkan keputusan ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan melaporkan bukti amalan rasuah berjaya dibuktikan dan dilakukan dengan pengetahuan serta keizinan responden ketika kempen pilihan raya iaitu pemberian wang untuk mempengaruhi pengundi memilihnya”.

Bagaimanapun, Dato’ Azizah turut berkata yang beliau tidak akan melaporkan mana-mana individu yang dibuktikan melalui perbicaraan petisyen ini, sebagai bersalah melakukan amalan rasuah kerana terdapat percanggahan keterangan saksi pempetisyen melalui keterangan mereka dalam mengenal pasti siapakah yang sebenarnya memberikan wang itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, tiada pertikaian dalam petisyen itu bahawa Orang Asli mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dari segi wang atau barang-barang daripada semua pihak termasuk bantuan mesin rumput daripada Manogaran sendiri (pempestisyen).

CERIA DAN SUNGGUH SERONOK TERIMA SIRAMAN... 


BN NEGERI TERIMA KEPUTUSAN DENGAN HATI TERBUKA

Malah menurutnya, bukti menunjukkan bahawa wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian.

“Bagaimanapun, niat penerima adalah tidak relevan… Saya berpandangan bahawa perlakuan pemberian itu yang perlu dibuktikan walaupun ada percanggahan kerana tiada keraguan wang itu diberikan kepada Orang Asli,” kata Dato’ Azizah lagi.

Pada persidangan media pagi Sabtu ini juga, Dato’ Sri Wan Rosdy turut merujuk kepada kenyataan media yang telah dibuat dan diedarkan kepada media tempatan pada petang semalam juga.

Berikut ialah intipati kenyataan media berkenaan; “BN Negeri menerima keputusan Mahkamah Pilihanraya mengenai Parlimen Cameron Highlands dengan hati terbuka.

“Sungguhpun terkejut dengan keputusan ini tetapi saya dan rakan-rakan dalam BN menerimanya dengan hati yang terbuka. Sungguhpun begitu, saya percaya, Ahli Parlimen yang terbabit akan membuat rayuan terhadap keputusan oleh Mahkamah Pilihanraya tersebut. 

BERMESRA DENGAN ANAK-ANAK YANG BAKAL BERKHATAN... Kelihatan Dato' Sri Wan Rosdy bermesra dengan anak kepada seorang lagi kakitangan di pejabatnya, Puan Roha (dua dari kiri).  


KPJ BERI DISKAUN 75 PERATUS  

“Saya akan segera memanggil mesyuarat khas BN Negeri bagi membincangkan perkara ini serta tentang persiapan yang perlu dilakukan untuk menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan ini kelak.

“Saya percaya bahawa BN di negeri ini masih kukuh yang dengan itu akan mampu digerakkan secara berkesan bagi menghadapi PRK tersebut”.

Mengenai program anjuran KPJ Pahang Specialist Hospital ini katanya, 80 kanak-kanak terlibat, dan KPJ Pahang memberi diskaun sebanyak 75 peratus daripada kos asal, RM 400 seorang; kepada mereka.

“Dan ini merupakan satu daripada program Tanggung jawab Sosial Korporat (CSR) pihak KPJlah. Program sebegini memang selalu diadakan oleh pihak KPJ di sini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengalu-alulah penganjuran program sebegini yang saya difahamkan, mendapat sambutan begitu menggalakkan – ramai yang ingin menyertainya tetapi pihak KPJ tidak dapat melaksanakan dengan jumlah yang lebih ramai,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Yang turut hadir ialah Pengarah, KPJ Pahang Specialist Hospital, Dato’ Dr Khalid Mat Hassan; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Yasser Arafat Ishak; dan, Pakar Bedah Am yang juga Pengerusi program ini, Dr Huzaimi Yaakob. 

HADIRI MAJLIS PERKAHWINAN ANAK ENCIK YAAKOB... Selepas program di KPJ Pahang Specialist Hospital; Dato' Sri Wan Rosdy telah hadir melawat Pameran Artifak Asli Nabi Muhamad SAW dan Para Sahabat RA di Dewan Baharu, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), seterusnya ke Majlis Perkahwinan anak kepada kakitangan di pejabatnya juga, Encik Yaakob Sujak (dua dari kiri) di Dewan SUK, Jalan Masjid, Kuantan. – Khabar

Friday 2 November 2018

ECRL – Kerajaan Negeri sambut baik penggantungan untuk kaji semula kos, bukan pembatalan


“Harapan Kerajaan Negeri ialah agar kajian ini dapat dilaksana dan disiapkan segera, supaya penyambungannya kembali dapat berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang sewajarnya,” kata Menteri Besar.

ECRL - DITANGGUH BAGI KAJI SEMULA KOS, BUKAN DIBATALKAN... 


PEJABAT MENTERI BESAR, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri menyambut baik ucapan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Encik Lim Guan Eng khususnya tentang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pelaksanaannya, sementara kajian ke atas kos dilakukan.

Bahawa projek ini tidak terus dibatalkan sebaliknya digantung sahaja katanya, menunjukkan projek ini masih lagi berdaya-maju, yang bakal memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. 

“Harapan Kerajaan Negeri ialah agar kajian ini dapat dilaksana dan disiapkan segera, supaya penyambungannya kembali dapat berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang sewajarnya,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian sebagai mengulas ucapan salama dua (2) jam sembilan (9)  minit Encik Lim di Parlimen petang Jumaat, 2 November khususnya berkenaan ECRL yang menurutnya, “… kerja pembinaan ECRL berjumlah RM 81 bilion telah digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula”.

Projek ECRL sepanjang 688 KM bakal menghubungkan Pelabuhan Kelang, melalui negeri-negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan berakhir di Kota Bharu. Ia telah dilancarkan tahun lepas dan dijadualkan siap pada 2024.

PERDANA MENTERI KATA ECRL BATAL PADA 21 OGOS

Pada 23 Ogos lepas, Dato’ Sri Wan Rosdy merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan ekoran kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Beijing, China dua (2) hari sebelumnya (21 Ogos) yang berkata bahawa projek-projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP), dibatalkan.

Tun Dr Mahathir telah memberitahu wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan lima (5) harinya ketika itu bahawa, Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua (2) projek yang disokong Kerajaan China itu.
  
Dalam rayuannya ketika itu, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu akan turut merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan ECRL telahpun bermula.

“Malah, kerja-kerja untuk pengambil-alihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya.

BSH IALAH GANTIAN KEPADA BR1M

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 KM merentasi daerah-daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan; yang akan terlibat dengan projek ECRL ini.

Daripada 1,394.4 hektar ini pula, kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah Tanah Kerajaan manakala yang lain ialah tanah-tanah milik persendirian, tanah-tanah rizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal.   

“Oleh itulah, saya merayu bagi pihak Kerajaan Negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja-pekerja yang bakal diberhentikan, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan tersebut,” katanya lagi ketika itu.

Kerajaan Negeri juga menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, menyambut baik pengenalan Bantuan Sara Hidup (BSH) dalam Belanjawan 2019 yang sebenarnya, ialah gantian kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya. 

“Jelas sekali, BSH disasarkan untuk membantu golongan B 40 yang berpendapatan bulanan isi rumah di bawah RM 4,000 yang seramai 4.1 juta orang. Dengan ini – BSH bernilai antara RM500, RM750 dan RM1,000; dapat meringankan sikit beban kehidupan seharian mereka,” katanya. – Khabar