Thursday 5 August 2021

Tiada janji, lihat bukti – slogan direalisasikan

 
ARTIKEL SAMA SEPERTIMANA TERSIAR DALAM HALAMAN 16 AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN JUMAAT, 6 OGOS 2021...

 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Masih ingat projek kilang kertas RM100 juta di Paloh Hinai, Pekan yang bakal menyediakan 3,000 pekerjaan kepada anak tempatan sepertimana diuar-uarkan semasa kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri Chini pertengahan tahun lepas?  

Perancangannya, kilang ini dijangka siap dalam tempoh tiga (3) tahun atau pada pertengahan tahun 2023. Tetapi hanya selepas setahun lebih, penyempurnaannya kini sudahpun lebih 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya lebih awal, pada bulan depan!

Umum tahu bahawa ‘Tiada Janji, Lihat Bukti’ ialah slogan Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Cepatnya proses membangunkan kilang kertas ini daripada jangkaan asal ialah antara manifestasi yang menepati slogan tersebut.

“Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri. Dengan kerjasama erat jabatan-jabatan dan pihak berkuasa tempatan di bawahnya, projek ini berjalan lancar dan bakal siap lebih awal daripada jadual,” kata Dato’ Lim Thiam Huat kepada penulis baru-baru ini.

Bahawa projek ini hampir siap dan lebih awal daripada dirancangkan kata pula Dato’ Mohd Yusof Din, ialah juga bukti bahawa apa yang diuar-uarkan semasa PRK Chini mengenainya adalah ‘real’ dan bukan ‘publicity stunt’ semata-mata.

NEXTGREEN PULP AND PAPER SDN BHD

Dato’ Lim ialah Pengarah Urusan manakala Dato’ Mohd Yusof ialah ahli Lembaga Pengarah kilang tersebut – NextGreen Pulp and Paper Sdn Bhd (NGPP). Kilang ini milik syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia iaitu NextGreen Global Bhd (NGGB), juga merancang memajukan di kawasan sama berkeluasan 166 hektar, sebuah Taman Teknologi Hijau (GTP) bernilai RM2,000 juta (RM2 billion).

Dengan siapnya kilang kertas ini, rancangan berikut ialah bagi pembinaan kilang pengeluaran bahan makanan ternakan dengan jangkaan pengeluaran 30,000 tan metrik setahun. 

Projek-projek lain – masih berorientasikan ‘hijau’ dan mesra-rakyat, akan menyusul sehinggalah siap GTP dalam tempoh lima (5) tahun dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang.

Kilang NGPP ini sendiri menganjurkan penggunaan teknologi hijau dengan usaha menghasilkan kertas menggunakan tandan kosong buah kelapa sawit (EFB; ‘empty fruit bunch’) yang boleh diperolehi secara mudah dari kilang-kilang kelapa sawit di daerah Pekan, malah dari mana sekalipun puncanya.

Ia dikatakan yang pertama di dunia menghasil dan menggunakan teknologi ‘Preconditioning Refiner Chemical-Recycle Bleached Mechanised Pulp (PRC-RBMP)’ ciptaan dan inovasi tersendiri.

TEKNOLOGI DIPATEN DI NEGARA INI DAN NEGARA JIRAN, SEHINGGA NEGARA CHINA

Demi mengekalkan ‘exclusivity’ dan hakcipta, teknologi PRC-RBMP ini menurut Dato’ Lim, telah dipatenkan bukan setakat di negara ini, malah di negara-negara berjiran Thailand, Indonesia dan sejauh negara China.      

Menerusi teknologi ini, EFB dikumpul dari kilang-kilang kelapa sawit dan para peneroka Felda, kemudian diproses bagi menghasilkan bahan-bahan pulpa dan kertas untuk tujuan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan.

Peringkat awal ini, kilang NGPP ini dijangka mampu mengeluarkan secara tahunan kira-kira 10,000 tan metrik kertas dan 5,000 tan kertas tisu untuk pasaran tempatan mahupun eksport.  

Dengan teknologi PRC-RBMP ini, ia memungkinkan ketidakbergantungan lagi kepada kayu atau pokok, bagi proses pegeluaran kertas secara konvensional. Oleh itu juga, ia dijangka dapat menyelamatkan penebangan sehingga 255 juta pokok setahun.

Prospek kejayaan dan masa depan kilang NGPP juga dijangka besar memandangkan industri pulpa dan kertas dunia dianggarkan bernilai USD500,000 juta (USD500 bilion) setahun, bersamaan kira-kira RM2,146,000 juta (RM2.146 trillion) setahun!

MEMECAH PENGELUARAN SECARA KONVENSIONAL BERASASKAN KAYU

Apatah pula, industri pulpa dan kertas dunia masih dikuasai oleh kilang-kilang dan pengeluar pulpa dan kertas konvensional berasaskan kayu (wood-based) yang memerlukan kerja-kerja penebangan pokok maka tidak ‘mesra-alam’.  

Pada lawatan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Mohd Najib Razak diiringi Dato’ Sri Wan Rosdy ke kilang ini 19 Jun 2020, kedua-duanya turut menyaksikan majlis menanda tangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kilang ini dengan Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Satu lagi MoU turut ditanda tangani dangan Kami Anak FELDA (KAF) yang disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Kewangan II, Encik Mohd Shahar Abdullah ketika lawatan mereka ke kilang ini pada 6 April 2021.

Dengan penyertaan KPF dan KAF, dijangka menjadi daya utama dalam memastikan para peneroka FELDA terutamanya di kawasan persekitaran khususnya dalam Dewan Negeri Chini, dapat menjual seterusnya menjamin bekalan EFB yang lancar dan berterusan ke kilang ini.

Ini tentunya memberi manfaat kepada para peneroka sendiri yang sebelum ini, EFB dianggap sisa buangan dan tidak lagi ada kegunaan melainkan ditinggal, dibakar atau dibuang tanpa apa-apa hasil pulangan.

ADA PROGRAM PERANTIS DENGAN IKBN

Selain itu, kilang ini turut memperkenalkan program perantis (apprenticeship) dan latihan industri dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, yang terletak berdekatan.

Sehingga kini, 20 pelatih IKBN yang juga anak muda tempatan, diambil di bawah program ‘bootcamp IKBN-NGPP’ dan kesemuanya telah diserap sebagai pekerja tetap. Lagi 40 pelatih akan diambil dan dilatih di bawah program selepas ini manakala pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) seramai enam (6) orang kini sedang menjalani latihan industri.

Dengan segala perancangan kini terlaksana menurut jadual, adalah diharapkan kilang ini dapat beroperasi dengan lancar seterusnya membawa manfaat kepada aspek sosioekonomi terutamanya penduduk setempat dan persekitaran. – Khabar