Sunday 22 September 2019

Satu hakikat tentang keluasan Pahang serta, kawasan-kawasan berhutan dan tadahan airnya

‘Snippets”

Dan, adalah hakikat juga bahawa, 2.057 juta atau 2,057,000 hektar tanah yang masih berhutan di Pahang ini ialah kira-kira bersamaan dengan seluruh negeri Perak yang seluas 2.1 juta atau 2,100,000 hektar.

DAN KERAJAAN NEGERI SENTIASA KONSISTEN DALAM NADA DAN LANGKAHNYA MEMPERTAHANKAN KAWASAN TADAHAN AIR DI NEGERI INI... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Ada yang meremehkan tetapi, ada juga yang bimbang ‘tak keruan’ apabila dikatakan bahawa, luas negeri Pahang kira-kira 3.6 juta atau 3,600,000 hektar ialah kira-kira bersamaan gabungan saiz tiga (3) negeri - Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Sedangkan inilah hakikatnya.

Bahawa Pahang seluas 3.6 juta atau 3,600,000 hektar ialah satu hakikat; begitulah juga hakikat bahawa luas Kelantan ialah 1.5 juta atau 1,500,000 hektar, Terengganu ialah 1.3 juta atau 1,300,000 hektar, dan Selangor ialah 793,000 hektar.

Mencampurkan saiz ketiga-tiga negeri ini – 3.593 juta atau 3,593,000 hektar, bukankah ia kira-kira bersamaan dengan hanya sebuah negeri Pahang yang seluas 3.6 juta atau 3,600,000 hektar?

Adalah hakikat juga bahawa, daripada keluasan 3.6 juta atau 3,600,000 hektarnya, luas tanah berhutan Pahang ialah kira-kira 2.057 juta atau 2,057,000 hektar; atau kira-kira 57.2 peratus.

Ini sahaja menjadikan Pahang penyumbang terbesar antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia kepada kehijauan dek kerana luasnya tanah yang masih berhutan.

Dan, adalah hakikat juga bahawa, 2.057 juta atau 2,057,000 hektar tanah yang masih berhutan di Pahang ini ialah kira-kira bersamaan dengan seluruh negeri Perak yang seluas 2.1 juta atau 2,100,000 hektar.

Daripada 2.057 juta atau 2,057,000 hektar ini pula, seluas 258,952 hektar telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

Adalah hakikatlah juga bahawa, keluasan ini (258,952 hektar) merupakan lebih dua (2) kali ganda keluasan seluruh negeri Pulau Pinang yang seluas 103,104 hektar. (Dan 103,104 hektar X 2 = 206,208 hektar).

Inilah hakikatnya dan betapa kata orang, 'figures do not lie' atau angka-angka tak pernah berdusta. – Khabar


Pahang dapat komitmen pelaburan asing RM 2,520 juta dalam tempoh tak sampai 2 bulan

‘Snippets’

Mungkin juga secara kebetulan, kedua-dua tarikh berlangsungnya majlis menandatangani MoU ini yang disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Ismail ialah pada hari Jumaat yang barakah.

'FLASHBACK'... Foto yang dirakamkan pada majlis tengah hari Jumaat, 20 September di sebuah hotel terkemuka di bandar Nanning, China. Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak.  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Sedarkah atau tidak bahawa, dalam tempoh tidak sampaipun dua (2) bulan, Pahang menerima komitmen pelaburan asing kira-kira RM 2.52 billion atau bersamaan RM 2,520 juta!

Ini berdasarkan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 11 syarikat dari Singapura pada 2 Ogos lepas sebanyak kira-kira RM 1.134 billion atau RM 1,134 juta; dan dengan enam (6) syarikat dari China pada 20 September lepas sebanyak RM 1.386 billion atau RM 1,386 juta.

Mungkin juga secara kebetulan, kedua-dua tarikh berlangsungnya majlis menandatangani MoU ini yang disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Ismail ialah pada hari Jumaat yang barakah.

Jika hendak diikutkan, keseluruhan pelaburan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini ialah bersamaan dengan tiga (3) tahun dan enam (6) bulan nilai bajet tahunan negeri Pahang yang puratanya kira-kira RM 700 juta.

Dengan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini juga boleh membina dua (2) buah lagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 sepanjang 173 km menghubungkan Karak-Jabor yang siap dan beroperasi pada tahun 2004 dengan kos RM 1.3 billion atau RM 1,300 juta.

Dengan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini juga boleh membina 31,500 unit Rumah Makmur - rumah teres setingkat bernilai RM 80,000 seunit, atau, 16,800 unit rumah PR1MA Pahang - rumah berkembar setingkat bernilai RM 150,000 seunit.

Demikianlah bayangan serta gambaran tentang besarnya jumlah pelaburan RM 2.52 billion atau RM 2,520 juta ini. – Khabar


Friday 20 September 2019

Pahang bakal terima pelaburan lagi RM1,386 juta dari China


“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian ini yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy

PADA SESI KUNJUNG HORMAT... ke atas Gabenor Chen Wu di pejabatnya, sebelum ke sebuah hotel terkemuka di bandar Nanning untuk menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri dengan pelabur-pelabur negara tembok besar itu. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Pahang bakal menerima kemasukan pelaburan lagi RM1,386 juta dari Negara China ekoran termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dengan enam (6) syarikat dari negara tersebut.

Majlis menandantangani MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Nanning, Republik Rakyat China tengah hari Jumaat, 20 September, yang disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dato’ Sri Wan Rosdy berada di sana kerana mengetuai rombongan Kerajaan Negeri dalam lawatan kerja, termasuk ke Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) – taman perindustrian berkembar kepada Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), serta menghadiri China-ASEAN Exposition (CAEXPO) Nanning 2019.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di sini, keenam-enam syarikat terlibat ialah ND Paper (M) Bhd, bernilai pelaburan RM522.2 juta yang akan membina kilangnya di Bentong bagi pengeluaran kertas dan palpa (paper and pulp).

TNP Power Sdn Bhd, bernilai pelaburan RM341.74 juta bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, Kuantan bagi penjanaan bersepadu tenaga dan haba (combined heat and power generation).

'SIGNED & SEALED'... 


USAHA WUJUDKAN ‘ECO TOURISM CITY’ DI BUKIT TINGGI

China Travel Service Meixian Company Limited, bernilai pelaburan RM200 juta bagi pengwujudan ‘Eco Tourism City’ di Bukit Tinggi, Bentong.

Zhongxin Resources Regeneration Technology Sdn Bhd, bernilai pelaburan RM122.48 juta bagi projek pengeluaran kertas dan habuk plastik (paper and plastic particles manufacturing project) di MCKIP 1 juga.

Wuxi Jinxie Industrial Company Limited, bernilai pelaburan RM100 juta bagi projek pembinaan turbin angin berkelajuan rendah untuk menjana tenaga 800kw (800kw ultra-low wind speed wind turbine) di Pulau Tioman, Rompin.

Dan, Power China Construction Group, bernilai pelaburan RM100 juta juga bagi pembinaan kilang pengeluaran panel solar untuk kediaman (solar home panel) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pencapaian ini yang dengannya, pasti memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada negeri dan rakyat Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai reaksi kepada majlis hari ini. .

LAWATAN KE PELABUHAN QINZHOU... Lawatan pagi Khamis, 19 September.   


HARAP MoU DAPAT DIREALISASIKAN

“Yang amat saya harapkan ialah agar MoU yang ditandatangani hari ini, dapat diterjemahkan secara realitinya kelak. Ini sepertimana lapan (8) daripada 11 MoU yang ditandatangani di Singapura awal Ogos lepas, yang telahpun pada peringkat akhir untuk dilaksanakan, insyaAllah,” katanya lagi.

Sebelum itu, Dato’ Sri Wan Rosdy telah membuat kunjung hormat ke atas Gabenor, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Encik Chen Wu di pejabatnya.

Banyak perkara dibincangkan pada sesi kunjung hormat itu termasuklah cadangan mengadakan penerbangan terus Kuantan-Nanning yang dengannya dijangka dapat memendekkan lagi masa, serta menambah-mudah sehingga boleh membanyakkan lagi kunjungan oleh rakyat antara kedua-dua bandar. 


MAKAN MALAM BERSAMA MENTERI MITI... Foto ini dirakam pada malam Khamis, 19 September pada majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Darell Ignatius Leiking. 

Menteri tersebut juga berada di sana untuk hadir pada CAEXPO Nanning 2019 yang perasmiannya ialah pada Sabtu, 21 September– Khabar

Thursday 12 September 2019

Politik berhemah, berpada-pada;


... ramuan kejayaan yang dipertahankan di Pahang

PADA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN KETEREH... Dato' Sri Wan Rosdy diapit sebelah kanannya oleh Tan Sri Annuar - seorang 'orator' yang hebat, serta sebelah kirinya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang sama, Dato' Md Alwi Che Ahmad.  


Oleh ALAMAYA

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Politik berhemah dan berpada-pada. Inilah ramuan kejayaan yang kelihatan dibawa oleh pemimpin-pemimpin negeri Pahang di bawah era Menteri Besar terdahulu seperti Tun Mohd Khalil Yaakob dan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, serta dipertahankan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ini.

Oleh itulah terbukti betapa – tatkala Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) lebih enam (6) dekad jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Umum ke-14 Mei 2018, namun Pahang hanyalah satu daripada dua (2) negeri yang masih BN kuasai. 

Dan pula pada Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands Januari lepas, ‘against all odds’ apabila BN Negeri diketuai Dato’ Sri Wan Rosdy, terpaksa menghadapi jentera pilihanraya PH yang menguasai Kerajaan Persekutan, calonnya – Ramli Mohd Nor tetap menang.

Kemenangan ini pula lebih manis, setelah menempuhi empat (4) PRK pasca PRU-14 sebelum itu yang kesemuanya menyaksikan calon BN kecundang pada PRK-PRK Dewan Negeri Sungai Kandis, Dewan Negeri Balakong, Dewan Negeri Seri Setia dan Parlimen Port Dickson.

Apakah yang dimaksudkan dengan politik berhemah dan berpada-pada ini?

PEMIMPIN TAK BOLEH ‘OVERDO’ 

Politik berhemah ialah apabila pemimpin-pemimpin negeri ini sentiasa sahaja memberi keutamaan kepada kemesraan sesama pemimpin serta dengan rakyat-jelata, sehingga turut membuat dasar-dasar dan program-program pembangunan yang rakyat-jelata manfaati.

Berpada-pada pula bermaksud, masing-masing tahu sempadan peranan dan kuasa terutamanya betapa – sungguhpun pemimpin-pemimpin ini mempunyai kuasa eksekutif namun mereka juga bernaung di bawah Raja Pemerintah sementalah Baginda sekarang ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sangat sensitif dan amat rapat dengan rakyat-jelata.

Oleh itulah, pemimpin-pemimpin ini tidak boleh ‘overdo’ atau melangkaui batas peranan dan kuasa masing-masing yang menurut sesetengah orang pula, ini termasuklah dalam soal-soal titik bengik seperti pemakaian dan gaya hidup sekalipun.

Bahawa berhemahnya kepemimpinan Dato’ Sri Wan Rosdy sekarang ialah dengan melihat kepada hubungan mesra yang terus dijalinkan dengan para pemimpin lain termasuklah dengan bekas ketua serta ‘predecessor’nya, Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Oleh sebab hubungan baik dan mesra inilah juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah membantu jentera pilihanraya BN semasa kempen PRK Cameron Highlands, dengan sanggup ke sebuah perkampungan Orang Asli terpencil demi ‘Long Nan’ meraih sokongan mereka kepada calon BN.

SENTIASA TERSELIT JADUAL TEMUI RAKYAT

Daripada segi berhemahnya Dato’ Sri Wan Rosdy dengan yang lain seperti dengan para penjawat awam mahupun pihak swasta apatah lagi dengan rakyat-jelata daripada pelbagai latar kaum dan ekonomi, memang tidak dapat dinafikan lagi.

Boleh dikatakan pada setiap kali beliau berada di pejabatnya di Wisma Sri Pahang, Kuantan kerana pelbagai urusan termasuk mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, akan turut terselit jadualnya menemui pelbagai pihak termasuk rakyat-jelata yang memerlukan.

Kalau sindrom ‘kaduk naik junjung’ jelas kelihatan pada sesetengah pemimpin yang baharu naik menjadi pemimpin khususnya dalam PH yang memerintah negara; ini langsung tidak kelihatan pada Dato’ Sri Wan Rosdy yang terus-menerus menunjukkan sikap berhemah dan berpada-padanya.

Daripada segi publisitipun, memang berpada-pada dan terbukti ianya strategi yang berkesan. Berbanding Kerajaan Persekutuan serta negeri lain pimpinan BN yang kecundang pada PRU-14 tersebut, yang akhirnya belajar betapa pahitnya peribahasa ‘menang sorak kampung tergadai’.

“Kita di Pahang sangat berpada-pada tentang publisiti ini, hendak pula sedar betapa publisiti merupakan ‘a double-edged sword’ yang jika ianya tidak menikam lawan, boleh menikam diri sendiri.

MENANG SORAK KAMPUNG TERBELA

“Oleh itulah juga maka prinsip publisiti di Pahang ialah, biarlah ‘menang sorak’ walaupun tak sebesar mana tetapi, ‘kampung’ atau negeri, perlu terus terbela dan terpelihara dengan BN Negeri terus-menerus mengemudinya”, demikian kata seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar.

Dalam hal ini juga menurutnya, peranan pegawai-pegawai turut penting dalam membantu pemimpin-pemimpin ini dan betapa pula sebagai ‘backroom boys’, tempat dan peranan mereka hendaklah berada di belakang tabir tanpa perlu menonjolkan diri dalam kalangan khalayak.

Jika tidak apatah lagi sekiranya berlebih-lebihan, akan menyusup pula nanti amalan disusuli sindiran – ‘lebih sudu daripada kuah’ yang tempiasnya pasti terkena secara negatif terhadap pemimpinnya juga.  

Dalam pada berhemah dan berpada-pada, Dato’ Sri Wan Rosdy kini sudahpun mula terkenal sebagai seorang ‘strategist’ dan antara ‘buah tangan’nya yang jelas ternampak ialah hubungan erat terjalin antara UMNO dan PAS di negeri ini.

Buktinya ialah kemenangan besar calon BN pada PRK Cameron Highlands 26 Januari lepas itu ekoran sokongan kuat pemimpin serta ahli kedua-dua parti itu, disusuli penganjuran Himpunan Penyatuan Ummah Pahang pada 27 April lepas di Padang MPK 1 dengan kehadiran lebih 10,000 orang.  

KERJASAMA UMNO-PAS SEJAK SEBELUM SIDANG DEWAN NEGERI PERTAMA PASCA PRU-14 LAGI

Ramai yang melihat, kerjasama UMNO-PAS di negeri ini bermula dengan PRK Cameron Highlands tersebut sedangkan ia sebenarnya berlaku lebih awal lagi, sebelumpun bermulanya persidangan Dewan Negeri pertama selepas PRU-14, pada akhir Julai 2018.

Sungguhpun mengetahui betapa PAS Negeri ketika itu, menerusi Pesuruhjaya Negeri, Haji Rosli Jabar mengumumkan untuk membuat usul cuti mingguan kepada Jumaat/Sabtu pada persidangan Dewan Negeri berkenaan, dan ini dilihat sebagai satu ancaman kepada kepemimpinannya;

Namun Dato’ Sri Wan Rosdy tetap meneruskan usaha awalnya untuk bertemu secara santai dengan Haji Rosli serta tujuh Ahli Dewan Negeri PAS yang lain, sehingga berlakulah pertemuan mesra itu kira-kira seminggu sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri berkenaan.

Sejak tarikh itu hinggalah kepada PRK Cameron Highlands, kemudian HPU Pahang, kerjasama UMNO dan PAS di negeri ini terus dieratkan termasuklah dengan kehadiran beliau pada Himpunan Tiga (3) Menteri Besar Pantai Timur di Kuala Terengganu 22 Ogos lepas.  

“Daripada segi ini, beliau (Dato Sri Wan Rosdy) memang seorang ‘strategist’ sungguhpun beliau sendiri mengakui dalam ucapannya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang diketuai Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini (3 Ogos) betapa beliau bukanlah seorang ‘orator’ yang baik berbanding Annuar.

“Tak mengapalah beliau bukan ‘orator’ yang baik asalkan Pahang terus kekal makmur dan sejahtera serta dikuasai UMNO dan BN – insyaAllah bersama-sama PAS kelak; dengan perancangan serta politik berhemah dan berpada-pada,” kata pegawai yang sama. – Khabar