Monday 28 November 2016

Jangan nanti ‘sudah terhantuk, baharu tergadah’



… Menteri Besar saran jabatan-jabatan berkenaan, supaya lakukan pemantauan sekarang ke kawasan-kawasan sensitif, sebelum tibanya musim tengkujuh

CENDERAMATA BUAT MB... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang membelek cenderamata yang diberikan kepadanya oleh pihak tuanrumah. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak, Dato' Sri Muhammad Safian, dan, Dato' Wan Bakri.  
 

SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Saranan telahpun dibuat kepada jabatan kerajaan-jabatan kerajaan berkenaan supaya meningkatkan usaha pemantauan ke kawasan-kawasan sensitif sekarang, sebelum tibanya musim tengkujuh kelak.

Ini bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang dijangka terjejas lalu mengambil langkah segera untuk menanganinya, sebelum tiba musim tengkujuh yang boleh mengakibatkan kerosakan yang lebih besar.

“Saya dah beritahu jabatan-jabatan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “… (bahawa) musim tidak hujan sekarang ini, kering; elok kita pergi tengok tempat-tempat yang mungkin (dijangka berlaku kerosakan seperti) tanah nak runtuh ke…

“Masa inilah kita pergi tengok. Kalau (sudah tiba musim tengkujuh lalu berlakunya) banjir baharu nak pergi tengok, tak ada benda ler (yang tidak mendatangkan kebaikan seperti yang diharapkan lagi).

“Kita selalu ‘wiser after the event’, sudah terhantuk baharu tergadah,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Logo Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) pagi Isnin, 28 November di sini.  

KHALAYAK PAGI ISNIN... Yang antaranya ialah (dari kanan) wakil rakyat, Dato' Fadhil Osman (BN - Kemayan); Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Fadzila Salleh; bekas Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pahang, Dato' Adnan Sulaiman; dan, Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato' Abdul Rahim Ali.    
 

KDYTM TENGKU MAHKOTA PAHANG BERANGKAT KE TAKLIMAT BANJIR

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan dari akhbar New Straits Times (NST) tentang persiapan Kerajaan Negeri bagi menghadapi musim tengkujuh yang lazimnya berlaku pada hujung tahun khususnya bulan Disember, yang hanya beberapa hari sahaja lagi.  

Daripada segi persiapan logistik menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail telahpun mengadakan mesyuarat bagi berbincang mengenainya.

Lanjutan itu katanya, KDYTM Tengku Mahkota Pahang akan mencemar duli, berangkat ke Majlis Taklimat tentang persiapan menghadapi banjir di Wisma Sri Pahang ini, pada Jumaat, 9 Disember nanti.

Selain Dato’ Sri Muhammad Safian; yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Roslan Harun; dan tuanrumah, Ketua Pegawai Eksekutif, PKPP, Dato’ Wan Bakri Wan Ismail. 

TETAP MESRA MELAYANI MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diapit Dato' Sri MUhammad Safian (terlindung) dan Dato' Wan Bakri, sedang melayani media dengan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan mengenai PKPP, serta juga berkenaan persiapan menghadapi musim tengkujuh. – Khabar    

Friday 25 November 2016

Kerajaan Negeri akan perkenal mekanisme baharu untuk struktur semula punca-punca pendapatannya.




“Akan datang ini, kita akan cari mekanisme (baharu). Kerajaan mungkin terlibat ‘direct’ dalam perniagaan berkenaan atau, Kerajaan boleh terlibat selaku pemudah-cara,” kata Menteri Besar.

DALAM UCAPAN PENGGULUNGAN 38-MINITNYA... 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri akan memperkenalkan mekanisme baharu untuk menstrukturkan semula punca-punca pendapatannya (revenue-earner) ke arah meningkatkan hasil pendapatan tahunannya.

Ini dinyatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan luar teks 38-minit, menggulung perbahasan ke atas Bajet Negeri 2017 pada petang Jumaat, 25 November di sini.

“Akan datang ini, kita akan cari mekanisme (baharu),” katanya. “Kerajaan mungkin terlibat ‘direct’ dalam perniagaan berkenaan atau, Kerajaan boleh terlibat selaku pemudah-cara,” katanya lagi.

“Kalau misalannya, kita bagi satu kerja – ini kita (Kerajaan) punya tapi, pihak swasta buat. Dia (swasta tersebut) buat ‘projection’ dia – berapa dia pinjam, berapa dia boleh untung selepas berapa tahun.

“Kalau dia kata selepas 10 tahun ada untung RM100 juta; kita khabar kat dia, kita hendak RM30 juta tapi RM30 juta tu bukan dia bayar semasa dia dapat untung selepas 10 tahun, tapi dia (kena) bayar ‘upfront’ sekarang.
KECAM MYANMAR ATAS KEKEJAMAN TERHADAP MINORITI ROHINGYA... Persidangan hari terakhir ini juga telah meluluskan usul mengecam Kerajaan Myanmar atas kekejaman junta tenteranya terhadap penduduk minoriti muslim Rohingya. 
  

HAK UNTUK KERJA KOREK PASIR HINGGA 40 TAHUN?

“Kalau dia kata, ‘Oh ini teruk, tak boleh jalan Dato’ Sri’. Okay (Kerajaan kata), berapa you boleh bayar? RM30 juta boleh bayar berapa lama? (Dalam tempoh) enam tahun (kata pihak swasta berkenaan). (Maka) satu tahun (swasta bayar secara ansuran kepada Kerajaan Negeri) RM5 juta,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

Menurutnya, jika mekanisme ini diguna-pakai, ia dapat menyelesaikan banyak perkara tentang hasil pendapatan negeri khususnya ke arah meningkatkannya.

“Jadi, kita ada cara kita untuk menstrukturkan ‘revenue-earner’ kita (daripada bergantung kepada punca pendapatan tradisional seperti hutan dan tanah, yang makin mengecil pada setiap tahun).

“InsyaAllah, saya akan kaitkan (libatkan) Kerajaan, swasta dan saya mungkin ‘co-opt’ satu-dua orang pembangkang, dan kita akan masukkan SPRM (ke dalam Special Purpose Vehicle yang bakal ditubuhkan),” katanya lagi.

Mengenai kerja-kerja mengorek pasir Sungai Pahang yang Kerajaan Negeri tawarkan kepada sebuah syarikat tempatan katanya, laporan mengatakan syarikat itu diberi hak mengerjakannya selama 40 tahun adalah tidak betul.

LAPORAN BERITA TENTANG USUL MENGECAM MYANMAR... Usul dibawa oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak. Dato' Sri DiRaja Adnan turut mengambil bahagian dalam perbahasan yang turut disertai oleh wakil rakyat pembangkang, sebelum usul diluluskan sebulat suara. 
 

JADUAL SEMULA KEPENTINGAN DALAM PASDEC HOLDINGS

Sebaliknya, ia ditawarkan untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut dalam tempoh Cuma 21 tahun, berdasarkan perjanjian dua pusingan, selama tujuh (7) tahun satu pusingan dengan pilihan satu pusingan tujuh (7) tahun lagi.    

“Yang sebenarnya, selepas banjir (besar yang melanda negeri ini pada tahun) 2014, kita carilah jalan untuk sesiapa sahaja buat ‘proposal’ untuk nak korek Sungai Pahang sebab ia salah satu (usaha) untuk mengurangkan banjir.

“Tak ada ramai orang yang masuk (tapi) syarikat ini masuk, (kemudian) keluar suratkhabar baru-baru ini mengatakan dia (syarikat itu) diberi hak untuk menjalankan kegiatan selama 40 tahun! Tak ada orang yang tak terkejut. Semua orang terkejut, tersentap,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh mengenai langkah-langkah penjadualan semula kepentingan Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia – PASDEC Holdings Bhd.

Ketika disenaraikan pada tahun 1997 katanya yang juga Pengerusi PKNP, pegangan saham PASDEC Holdings Bhd ialah 51.65 peratus oleh PKNP manakala selebihnya, 48.35 peratus oleh pemegang awam.

ELAK DARIPADA BAYAR HUTANG RM800,000 SEBULAN

Namun, selepas penjadualan semula, kepentingan PKNP didalamnya hanya tinggal 30 peratus manakala selebihnya menjadi milik pemegang awam dan juga syarikat Jasa Imani Sdn Bhd, yang juga ialah tuanpunya Hotel Zenith di sini.

Menerusi langkah penjadualan semula ini katanya, dijangkakan ia bukan sahaja dapat menambah nilai atau, ‘enhance the value of the PASDEC shares in the stock market’, tetapi dapat turut menyuntik tunai (cash injection) ke dalamnya.

“Daripada kita meneruskan keadaan kita (PASDEC Holdinsg Bhd) berhutang RM80 juta, kemudian itu membayar setiap bulan RM800,000 bersamaan dengan dua atau tiga buah rumah banglo, lebih baiklah kita membuat penstrukturan semula ini,” tegasnya.

Sebelum itu pada awal ucapan penggulungannya, beliau telah menarik perhatian Dewan Undangan Negeri ini kepada apa yang diperkatakannya mengenai kekayaan, hingga menyebabkan berlakunya jurang dan ketidak semimbangan antara yang miskin dan kaya.

“Wealth creation leads to wealth accumulation; wealth accumulation leads to wealth concentration; wealth concentration leads to income gap; income gap leads to inequality,” katanya.

BAJET NEGERI 2017 LULUS SEBULAT SUARA

Dan beliau menterjemahkannya betapa, mencipta kekayaan boleh membawa kepada pengumpulan kekayaan; yang apabila kekayaan telah dikumpulkan, ianya akan membawa kepada keadaan kekayaan pada yang tertentu sahaja;

“Akhir-akhirnya, ada jurang antara orang kaya dengan orang miskin; dan akhir-akhirnya menjurus kepada ketidak-samaan. Itu sebab, memang tidak ada kesamaan antara sesorang itu;

“… tetapi, tanggungjawab Kerajaan ialah memastikan golongan yang patut dibantu, dibantu. Itu kerja kita,” tegasnya.

Bajet Negeri 2017itu – yang dibahas sejak Selasa, 22 November selepas pembentangannya pada Isnin, 21 November; kemudian diluluskan sebulat suara oleh kesemua 42 wakil rakyat negeri – daripada parti Kerajaan atau pembangkang. – Khabar   

Monday 21 November 2016

Bajet Negeri 2017, bajet lebihan ke-14 sejak 1992



... dengan jangkaan hasil, RM739.28 juta berbanding jangkaan perbelanjaan, RM738.06 juta atau lebihan RM1.22 juta

Fokus kepada empat (4) bidang utama – Perumahan, Pendidikan, Kebajikan, dan, Menerokai Sumber Baharu untuk menjana hasil pendapatan negeri.   

AKSI BERSAHAJA... Sudah tentu ada sesuatu yang melucukan sehinggakan kelihatan wajah-wajah riang pada Dato' Sri DiRaja Adnan serta barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
 

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membentangkan bajet lebihan ke-14 (sejak 1992) bagi Bajet Negeri 2017 pada Persidangan Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-13 pagi Isnin, 21 November di sini.

Dengan jangkaan hasil kira-kira RM739.28 juta berbanding  jangkaan perbelanjaan kira-kira RM738.06 juta; menjadikan bajet lebihan kali ini kira-kira RM1.22 juta.Bajet ini juga menyediakan peruntukan pembangunan kira-kira RM194.83 juta ringgit.

Dalam ucapan kira-kira 47-minit, beliau turut menyebut tentang fokus Kerajaan Negeri ke arah melaksanakannya iaitu dalam empat (4) bidang utama -  Perumahan, Pendidikan, Kebajikan, serta, Meneroka Sumber-sumber Baharu Untuk Menjana Hasil Pendapatan Negeri.

Berkaitan dengan bidang utama keempat menurutnya, Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah 'Special Purpose Vehicle' (SPV) yang beliau sendiri akan mengetuainya, untuk usaha-usaha penerokaan sumber-sumber baharu tersebut. 
 
Mengenai jangkaan hasil RM739.28 juta ringgit katanya, ia diperolehi daripada kutipan hasil tanah dan galian kira-kira RM343.18 juta; hasil perhutanan kira-kira RM100 juta; hasil air kira-kira RM5.5juta; geran bakal daripada Kerajaan Persekutuan kira-kira RM105.3 juta; dan, hasil-hasil lain kira-kira RM185.3 juta.

Tentang jangkaan perbelanjaan kira-kira RM738.06juta pula katanya, RM545.32 juta adalah batas perbelanjaan jabatan; RM23.14 juta ialah bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu seperti emolumen dan kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan pekeliling-pekeliling terbaharu; dan, RM169.6juta untuk bajet ‘one-off’.

MENGAMINKAN DOA SEBELUM PERSIDANGAN BERMULA... 


PRESTASI YANG MENYAMAI PRESTASI KDNK NEGARA

Tentang jangkaan perbelanjaan kira-kira RM738.06juta pula katanya, RM545.32 juta adalah batas perbelanjaan jabatan; RM23.14 juta ialah bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu seperti emolumen dan kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan pekeliling-pekeliling terbaharu; dan, RM169.6juta untuk bajet ‘one-off’

Bajet ‘one-off’ ini ialah seperti bayaran tunggakan pencen dan pencen terbitan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri; bayaran gaji dan elaun kepada kakitangan kontrak; pembelian harta modal untuk peralatan kerja dan perabut pejabat;

Caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan; bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan; serta, perbelanjaan lain seperti hospitaliti dan tuntutan insurans.

Pada Tahun 2014 kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mencatatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Pahang pada enam (6) peratus berasaskan harga malar 2010.

Ini adalah bersamaan dengan prestasi KDNK Negara yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang sangat kukuh dengan kadar pengangguran yang rendah serta inflasi yang terkawal di negeri ini.

SUASANA DAMAI DALAM DEWAN YANG MULIA... 
 

YANG BERMATLAMATKAN KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
 
“Prestasi ini disokong oleh pelaksanaan pelbagai projek dan program transformasi yang dilaksanakan. Bagi tahun 2014, negeri Pahang telah berjaya menarik pelabur-pelabur asing dan tempatan dengan nilai pelaburan sebanyak RM9.5 bilion.

Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang mula dilaksanakan pada tahun 2016 yang merupakan rancangan pembangunan lima (5) tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020, akan mengukuhkan lagi komitmen Kerajaan untuk mencapai pertumbuhan yang bermatlamatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menjelang tahun depan pula katanya, Pahang akan terus mencatatkan prestasi KDNK kira-kira 5.7 peratus setahun berasaskan harga malar 2010 sehingga tahun 2020, dengan mengambilkira pertumbuhan ekonomi negara yang dijangkakan berkembang antara lima (5) dan enam (6) peratus setahun.

“Bagi meningkatkan pendapatan per kapita dan pendapatan isi rumah serta kesejahteraan rakyat di negeri Pahang,” katanya lagi, “Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan dan perhatian terhadap usaha-usaha peningkatan inovasi dan produktiviti dalam  RMK-11”.

Pada awal ucapannya, beliau ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, yang telah membentangkan Bajet Negara 2017 pada 21 Oktober lepas yang bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.

MESRA BERSAMA KETUA JABATAN... Inilah suasana ceria Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama beberapa ketua jabatan ketika menunggu bermulanya persidangan pagi Isnin ini. 

Mereka ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Roslan Harun (membelakangi); serta, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato' Nazri Abu Bakar, dan, Pengarah, Jabatan Kerjaraya (JKR) Negeri, Dato' Ir Abdul Jalil Mohamad (bersongkok). 
 


USAHA UNTUK TERUS JAMIN PERPADUAN 

Bajet Negara 2017 itu memperuntukkan RM260.8 ribu juta yang daripadanya, RM214.8 ribu juta ialah perbelanjaan mengurus, dan, RM46,000 juta bagi perbelanjaan pembangunan termasuk simpanan luar jangka kira-kira RM2,000 juta.

Beliau seterusnya menyatakan penghargaan Kerajaan Negeri kepada Perdana Menteri yang telah meluluskan pembinaan Akademi Bolasepak Fasa II di Gambang dekat sini dengan peruntukan RM50 juta;

Pelaksanaan projek East Coast Rail Line (ECRL) bernilai RM55,000 juta menghubungkan Lembah Klang ke negeri-negeri Pantai Timur sepanjang 600 kilometer yang melalui Pelabuhan Klang,  Gombak, Mentakab, Kuantan dan berakhir di Tumpat, Kelantan.  

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata betapa Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk menjamin perpaduan dan mensejahterakan rakyat menerusi penyediaan rumah mampu milik, pembangunan Orang Asli, meningkatkan taraf kesihatan rakyat, pembangunan infrastruktur luar Bandar, pembangunan projek bekalan air, dan, pengembangan ugama Islam.

Selain itu ialah usaha-usaha untuk merancakkan sector pelancongan; menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi penggalakan kemasukan pelaburan, pembangunan usahawan serta melipat-gandakan usaha dan hasil sektor pertanian.

Menjamin pembangunan sosial dan modal insan dengan menggembleng belia berwawasan dan pembangunan sukan negeri. – Khabar

Saturday 19 November 2016

Bangkit kerah tenaga, tumpuan untuk berdepan PRU-14, kata Dato’ Sri Hishammuddin



… ketika merasmikan penutupan Konvensyen UMNO Negeri Pahang 2016

CENDERAMATA BUAT BEKAS WAKIL RAKYAT... Dato' Sri Hishammuddin yang diiringi oleh Dato' Sri DiRaja Adnan, sedang menyampaikan cenderamata kepada veteran UMNO yang juga bekas Pengerusi, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Pahang, Dato' Sri Abdul Jabbar Ibrahim. 
 

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN AHMAD SHAH, KUANTAN – Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Hishammuddin Hussein mengingatkan Ahli-ahli UMNO supaya tidak berasa selesa, sebaliknya perlu bangkit mengerah segala tenaga dan tumpuan untuk berdepan cabaran getir pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, Ahli-ahli UMNO perlu menghimpunkan segala kekuatan, memfokuskan pemikiran dan menzahirkan kebersamaan dengan tidak sesekali memperjudikan masa depan parti, agama, bangsa serta tanah air.

“Dengan tekad yang bulat dan azam yang kuat, saya mahu Ahli UMNO bangkit dengan semangat luar biasa bahawa menerusi UMNO kita mempertahankan kedaulatan serta maruah kehidupan rakyat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Menteri Pertahahanan, berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen UMNO Negeri Pahang 2016 petang Sabtu, 19 November di sini. Konvensyen seharian ini bermula sejak pagi.

Dato’ Sri Hishammuddin turut me­ng­in­gatkan Pemimpin-pemimpin dan Ahli-ahli UMNO supaya merapatkan saf serta mengetepikan kepentingan peribadi dalam perjuangan demi kepentingan rakyat dan negara.

SESI BERFOTO BUAT KENANG-KENANGAN... 
 

PERLU SIAP-SEDIA SEPENUHNYA

Pada masa sama katanya, mereka perlu menjadi barisan hadapan mempertahankan habis-habisan Pemimpin UMNO yang kini menerima serangan daripada segenap penjuru, selain sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk berdepan pilihan raya umum.

“Apabila Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen dan mengumumkan pilihan raya umum, kita sudah bersiap-sedia sepenuhnya untuk menghadapinya,” katanya yang disambut tepukan gemuruh peserta konvensyen berkenaan.

Selain Menteri Besar yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; antara yang turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob;

Timbalan Speaker, Dewan Rakyat yang juga KetuaUMNO Bahagian Kuala Krau, Dato’ Sri Ismail Said; Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; serta Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Sharkar Shamsuddin yang juga Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Temerloh serta, Pengerusi Konvensyen;

Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang juga Bendahari, Badan Perhubungan UMNO Negeri; Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub; Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands; serta, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Ketua Penerangan, Badan Perhubungan UMNO Negeri. 

MENJIWAAI PERASAAN VETERAN KITA... Dato' Sri Hishammuddin kelihatan sedang menanyakan khabar kepada veteran UMNO kita - Chu Rahimah. 

SEBAHAGIAN PESERTA KONVENSYEN KITA... – Khabar