Tuesday 14 July 2015

Damainya... tanpa lori bauksit!



Berkesannya arahan Menteri Besar, melarang lori mengangkut bauksit beroperasi dalam tempoh tiga (3) hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidil Fitri.

'LINE CLEAR'... Pemanduan yang penuh kedamaian. Mana lori pengangkut bauksit? Foto ini dirakam menerusi telefon bimbit penulis, pada pagi Rabu, 15 Julai - sedang menghampiri Kawasan Perindustrian Gebeng berdekatan simpang Pejabat SIRIM Bhd cawangan timur.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Damainya memandu atas laluan Indera Mahkota ke Kawasan Perindustruian Gebeng menerusi Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan; tanpa kehadiran lori pengangkut bauksit!

Ini dapat benar-benar dirasai dalam tempoh sehari-dua ini, ekoran arahan larangan beroperasi lori berkenaan oleh Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, tiga (3) hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidil Fitri.

Hari Raya Aidil Fitri tahun ini dijangka jatuh pada Jumaat, 17 Julai – dengan Hari Kelepasan Am diberikan pada hari tersebut serta Sabtu, 18 Julai, disusuli cuti mingguan pada Ahad, 19 Julai.

Yang bermakna, tempoh larangan itu ialah antara Selasa, 14 Julai dan Rabu, 22 Julai. Lori-lori ini akan dibenarkan kembali beroperasi pada Khamis, 23 Julai.

Sejak awal tahun ini, setiap hari, penulis menggunakan laluan Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan kerana menghantar pada pagi, dan mengambil pada petang; isteri yang dipindah kerja di kawasan perindustrian berkenaan.

KEMALANGAN BABITKAN LORI PENGANGKUT BAUKSIT...  Inilah foto kemalangan membabitkan lori pengangkut bauksit, petang Jumaat, 10 Julai hingga menyebabkan perjalanan pulang 24 KM penulis petang berkenaan dari Kawasan Perindustrian Gebeng - biasanya 20-minit; menjangkau hingga hampir 2-jam!
 

PERSAINGAN ANTARA ‘KANCIL’ DAN ‘GAJAH’

Setiap hari jugalah penulis terpaksa menempuhi ketidak selesaan, ‘bersaing’ dengan lori-lori pengangkut bauksit yang pelbagai jenis – ada yang panjang, yang tidak; yang kayu, yang besi – bermuatan, sarat dengan bahan-bahan mentah bauksit yang kemerah-merahan.  

‘Persaingan’ itu pula seumpama, antara ‘kancil’ dan dengan ‘gajah’, dengan lagak sang ‘gajah’ pula persis pembuli besar, bukan ia peduli akan hal ehwal si‘kancil’ asalkan ia dapat cepat mencapai matlamat keuntungannya.

Senarionya begitu berbeza sekali dalam sehari-dua ini. Selain kedamaian, pemanduan ketika dalam tempoh ini, seolah-olah terjamin 100 peratus keselamatan diri; tanpa bimbangkan ancaman lori-lori pengangkut bauksit.
    
Oleh itulah, arahan yang Menteri  Besar keluarkan ini amat bertepatan sekali – sungguhpun penulis dapati (di laluan antara Indera Mahkota-persimpangan Kawasan Perindustrian Gebeng), tiada pula pegawai penguatkuasa yang berada di sepanjang laluan, untuk memastikan pematuhan larangan ini.

Dengan pelbagai lagi peraturan yang diperkenal dan diperketatkan, sepertimana yang turut diumumkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, Sabtu lepas; penulis yakin, gejala buruk daripada keseluruhan usaha perlombongan dan pengangkutan bauksit di daerah ini, dapat dibataskan. – Khabar  

Saturday 11 July 2015

Kesemua 34 MOL berkaitan bauksit akan terbatal pada 31 Julai!


“Sudah empat (4) kali tindakan kita ambil – 1, 2, 3 dan sampai pada tindakan ke-4, dan dengan titah nasihat Tuanku Tengku Mahkota, yang ke-5; kita (harap) dapat kurangkan masalah ini,” kata Menteri Besar.

Tindakan ke-4 yang dilihat lebih keras ini dicapai setelah pertemuan kali ke-4 Menteri Besar dengan kesemua pengusaha-pengusaha bauksit tersebut pada Rabu, 8 Julai di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.

Keputusan keras lain yang diambil, termasuk ke atas pengusaha sah -- yang memiliki Lesen Melombong Tuanpunya (PML: Proprietary Mining License) dan, Lesen Melombong (ML: Mining License) keluaran Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri ialah;

# akan ada jadual pengangkutan; hanya antara 8 pagi dan 12 tengah hari, serta, 2 petang dan 4 petang sahaja.   

# tiada pengangkutan bauksit dibenarkan dalam tempoh tiga (3) hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidil Fitri ini.

Disamping amaran yang telah beliau diberikan kepada pengusaha-pengusaha bauksit ini betapa;

“… saya beritahu mereka, kalau rakyat ‘complaint’, kalau orang hantar memorandum sebagainya, maka jangan terkejut kalau Kerajaan Persekutuan pula haramkan pengeksportan bauksit sebagaiman Kerajaan Indonesia haramkan. 

MENANYA KHABAR... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang mendengar penjelasan seorang penduduk di situ mengenai hal penyakit yang dialaminya. Di sebelah kiri (berbaju Melayu biru) ialah Dato' Azhar. 


PERKARANGAN MASJID SULTAN HJ AHMAD SHAH, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – Membatalkan kesemua 34 Lesen Melombong Bijih (MOL) berkaitan bauksit yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri, berkuatkuasa 31 Julai ini.

Selain ketetapan – yang turut meliputi pengusaha bauksit yang mempunyai Lesen Melombong Tuanpunya (PML) dan Lesen Melombong (ML) yang dikeluarkan oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) iaitu;

Akan ada jadual pengangkutan harian yang ‘rigid’ untuk bahan mineral itu, termasuk melibatkan laluan jalan arah ke Pelabuhan Kuantan, iaitu antara 8 pagi dan 12 tengah hari, serta, antara 2 petang dan 4 petang sahaja.

Sempena Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka pada Jumaat, 18 Julai; tiada pengangkutan bahan tersebut dibenarkan dalam tempoh tiga (3) hari sebelum dan selepasnya.

Ketetapan-ketetapan terbaharu yang dilihat lebih keras ini, diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Berbuka Puasa beliau bersama-sama penduduk Dewan Undangan Negeri Pelangai yang diwakilinya, petang Sabtu, 11 Julai, di sini.

SUMBANGAN DUIT RAYA KEPADA YANG MEMERLUKAN... 

… DENGAN TITAH NASIHAT TUANKU TENGKU MAHKOTA

“Sudah empat (4) kali tindakan kita ambil – 1, 2, 3 dan sampai pada tindakan ke-4, dan dengan titah nasihat Tuanku Tengku Mahkota, yang ke-5; kita (harap) dapat kurangkan masalah ini,” kata tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Tindakan ke-4 yang dilihat lebih keras ini dicapai setelah pertemuan kali ke-4lah juga  Menteri Besar dengan kesemua pengusaha-pengusaha bauksit tersebut pada Rabu, 8 Julai lepas di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur.

Dua hari selepas itu, pada Jumaat, 10 Julai, KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang ditemui wartawan sempena majlis rasmi di Istana Abdulaziz, telah turut menitahkan tentang gejala bauksit yang sama sambil meminta Kerajaan Negeri bertegas mengenainya.     

Mengenai MOL yang dikeluarkan oleh JMG, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjelaskan betapa ia lesen bagi membenarkan pemegangnya untuk membeli bahan-bahan mineral bauksit tersebut daripada mana-mana pihak yang menjualnya.

“MOL yang Kerajaan Negeri keluarkan, empat (4). Kemudian saya semak dengan Jabatan Mineral dan Geosains, rupa-rupanya (dah) jadi 34. Yang 30 lagi itu ialah pembahruan. Ada yang (pemegang MOL yang) lama itu, minta membaharui, pihak JMG meluluskan. Sekarang ini ada 34.

LAGI SUMBANGAN DUIT RAYA, TERMASUK KEPADA KANAK-KANAK INI... 

TEMPOH PEMBATALAN DICEPATKAN SEBULAN

“Kita bercadang untuk menamatkan semua MOL ini (pada) 31 Ogos. Tapi, oleh sebab keadaan terlampau mendesak, hari Rabu yang lepas (8 Julai), kita telah ambil kesimpulan, telah ambil keputusan, akan kita batalkan semua MOL pada 31 Julai,” katanya.

Sepatutnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pemegang MOL hendaklah mengerjakan pengeluaran bahan mineral bauksit itu di atas tanah kepunyaannya tetapi tidak. Sebaliknya, menggunakan lesen itu untuk sekadar membeli bahan tersebut termasuk dari kawasan yang diusahakan secara haram.

Beliau turut menyatakan betapa pada pertemuan beliau dengan pengusaha-pengusaha bauksit pada 8 Julai itu, mereka telah diberi amaran tentang kemungkinan Kerajaan Persekutuan mengharamkan terus pengeksportan bauksit sepertimana yang diputuskan oleh Kerajaan Republik Indonesia.     

“… saya beritahu mereka, kalau rakyat ‘complaint’, kalau orang hantar memorandum sebagainya, maka jangan terkejut kalau Kerajaan Persekutuan pula haramkan pengeksportan bauksit sebagaimana Kerajaan Indonesia haramkan.

“Saya dapat ‘feedback’, mereka nampaknya sedang berusaha untuk membersihkan jalan sebagainya… Sebab, lori yang keluar tu, macam lori tepung, menggangu orang lain, jalan semua merah,” katanya lagi.

SEMBANG-SEMBANG DENGAN MEDIA... Sungguhpun sudah berakhir persidangan media, Dato' Sri DiRaja Adnan - seorang lagi pemimpin yang mesra-media, melapangkan masa untuk bersembang-sembang dengan mereka. 

Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ketua Biro Bernama Pahang, Cik Shamsiah Mohamed (empat dari kiri); dan, Ketua Biro Berita Harian Pahang, Encik Abdul Razak Raaf (berkopiah hitam, tiga dari kanan). 

OPERASI BERSEPADU 24-JAM DIKETUAI PTG

Pada awal persidangan media, beliau menyebut mengenai betapa operasi bersepadu melibatkan pejabat PTG, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) dan RELA, telah dan masih dijalankan namun masih tidak menemui matlamatnya.

“Kita buat juga (kerja-kerja penguatkuasaan), 24 jam. Sampai ada seorang SO yang bekerja di pejabat PTG meninggal dunia. (Beliau) balik dari kerja penguatkuasaan (yang) mempunyai rumah di Pekan, ‘accident’ hamba Allah (itu). (Semoga) Allah Taala mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.

Beliau seterusnya mengakui betapa terdapat banyak kawasan yang menjadi tapak pengeluaran bauksit secara harap namun tumpuan lebih di Bukit Goh yang termasuklah ada para peneroka di situ yang memohon kepada Kerajaan Negeri untuk menjual tanah mereka kepada pengusaha-pengusaha bahan mineral tersebut.

“(Ada) peneroka Felda juga nak jual tanah dia tapi saya sekat. Sebab, kalau kita benarkan peneroka Felda ini jual tanah dia, seluruh (Rancangan Tanah) Felda Bukit Goh itu akan jadi lombong bauksit,” katanya.

Beliau tidak menafikan betapa tindakan-tindakan tegas Kerajaan Negeri ini akan menyebabkan ada pihak yang masih marah terhadapnya, terutamanya mereka yang mengusahakan secara haram.

KERAJAAN NEGERI JAGAI KEPENTINGAN UMUM

“Tapi Kerajaan (Negeri) akan (terus) menjaga masalah umum, kepentingan umum,” katanya.

“Saya telah ambil tindakan empat (4) kali. Cara lembut, cara lembut. Tapi, Rabu lepas (8 Julai), memang saya betul keras. Dan Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas titah nasihat Tuanku Tengku Mahkota,” katanya lagi.

Penulis difahamkan bahawa, selain MOL yang dikeluarkan oleh JMG, PTG pula ada mengeluarkan PML dan ML yang turut dipegang oleh mereka yang mengusahakan bahan mineral bauksit ini.

Bilangan pemegang kedua-dua PML dan ML yang berkaitan bauksit  ketika ini ialah 11. Dengan kedua-dua lesen ini, pemegang-pemegangnya dibenarkan untuk mengusahakan sendiri pengeluaran bauksit di atas tanahnya sendiri, serta mengangkut dan mengeksportnya.

Maka, selepas 31 Julai ini, tumpuan tentunya menjurus kepada kelompok pengusaha bauksit yang semakin kecil ini dan diharap mereka akan lebih atau terus bertanggungjawab dalam pengusaha hasilan bahan-bahan mentah tersebut.

Antara yang turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa petang Sabtu ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; dan, penceramah jemputan yang juga Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Badlishah Mohd Alauddin; serta, lebih 2,000 penduduk setempat. – Khabar

Friday 10 July 2015

KDYTM Tengku Mahkota titah bertegas atasi gejala bauksit


LAUT MERAH... Beginilah tercemarnya kawasan dalam ladang kelapa sawit di Rancangan Tanah Felda Bukit Goh akibat gejala perlombongan bauksit yang meng'gila' di situ. 


ISTANA ABDULAZIZ, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang melahirkan kebimbangan dengan kegiatan perlombongan bauksit secara haram di daerah ini dan menitahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk mengatasinya.

Baginda bertitah, berdasarkan pemerhatian Baginda sendiri, penguatkuasaan yang longgar menyebabkan pihak pelombong haram ini semakin berani dan rakus menjalankan kegiatan tersebut.

“Ini menjadi satu kebimbangan. Saya harap pihak Kerajaan Negeri sendiri harus bertegas dalam hal ini kerana kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang terjadi di Cameron Highlands.

“Perbuatan meneroka tanah serta perlombongan secara haram seperti ini secara berleluasa tanpa mengira masa dan tempat, akan mendatangkan masalah besar jika pihak berkuasa tidak membuat tindakan sewajarnya,”
titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat berjumlah RM2.56 juta daripada enam (6) badan korporat pada pagi Jumaat, 10 Julai di sini.



GEJALA AKIBAT PENGANGKUTAN BAUKSIT PULA... Dalam aspek pengangkutan bahan bauksit ini yang menerusi Jalan Pintasan Kuantan untuk pengeksportan ke China menerusi Pelabuhan Kuantan; turut mendatangkan masalah khususnya daripada segi keselamatan kepada pengguna jalanraya yang lain. 

Penulis sendiri mengalami keadaan ini pada petang Jumaat, 10 Julai. Akibat kemalangan sebegini yang membabitkan sebuah lori pengangkut bauksit dan sebuah lori lain berhampiran stesen minyak Shell, perjalanan penulis dari Kawasan Perindustrian Gebeng ke Indera Mahkota sejauh 24 KM yang kebiasaannya mengambil masa cuma 20-minit, telah menjangkau hingga hampir 2-jam akibat kemalangan yang menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk di situ.  



KONTRAKTOR-KONTRAKTOR SEMAKIN BERANI

Adalah dilaporkan, perlombongan bauksit secara haram semakin berleluasa di kawasan Bukit Goh, Bukit Sagu dan Bukit Kuantan yang menyebabkan pencemaran alam sekitar termasuk mengotorkan jalan raya, udara dan air.

Mengulas lanjut tentang masalah itu, KDYTM Tengku Mahkota juga mahukan pihak berkuasa supaya lebih proaktif dalam menjalankan tugas untuk menangani tindakan licik pelombong haram ini yang dikatakan semakin bijak menukar strategi untuk mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Saya dimaklumkan, kontraktor-kontraktor yang terlibat (dalam perlombongan buaksit) semakin berani dan pandai (elak perbuatan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa).

“Jadi saya harap, pihak penguatkuasa dapat mengambil tindakan yang lebih proaktif dan lebih mantap. Kalau tidak, habis bukit-bukit ini semua,”
titah Baginda lagi.

Baginda turut bertitah betapa setiap aktiviti perlombongan bauksit perlulah mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

ZAKAT PERNIAGAAN RM2.56 JUTA DISERAHKAN

“Ia termasuk soal kenderaan itu sendiri dan setiap lori yang keluar dari kawasan perlombongan bauksit perlulah dipastikan bersih sebelum memasuki jalan raya dan ditutup untuk mengelakkan debu-debu bauksit itu berterbangan sehingga mengotorkan jalan raya dan mencemar alam sekitar.

“Apa yang saya perhatikan, lori hantupun ada dan ini tidak mencerminkan penguatkuasaan yang tepat. Dalam hal ini, mereka perlu ikut prosedur standard yang ditetapkan dan bertimbang rasalah sedikit,”
titah Baginda.

Pada majlis ini, KDYTM Tengku Mahkota menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.56 juta daripada enam (6) badan korporat iaitu Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma);

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas); Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa); dan, Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Baginda selaku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), menyasarkan kutipan zakat pada tahun ini akan meningkat kepada RM110 juta dengan melibatkan 81,000 pembayar, berbanding RM102.6 juta dengan 74,000 pembayar pada tahun lepas.

LAGI PERJUMPAAN, LAGI KATA-DUA KERAS DIHAMBURKAN TERHADAP PENGUSAHA BAUKSIT

Sementara itu, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob terus-menerus menunjukkan sikap seriusnya terhadap masalah yang ditimbulkan oleh perlombongan dan pengangkutan bauksit, apabila memanggil serta mengadakan perjumpaan sekali lagi dengan pengusaha-pengusaha bahan mineral kemerah-merahan itu pada pagi Rabu, 8 Julai di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur dekat sini.

Sepertimana perjumpaan yang sudah-sudah, beliau bertegas dalam usaha memastikan para pengusaha tersebut sentiasa patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan mengenai perlombongan dan pengangkutan bahan mentah tersebut.

Oleh kerana sikap yang masih degil pengusaha-pengusaha tersebut, kata-dua yang dalam nada keras terpaksa dihamburkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan – tindakan yang tentunya wajar dilakukan olehnya. – BERNAMA/Khabar  

Wednesday 8 July 2015

Buka puasa dengan wartawan, jurufoto dan jurukamera tempatan


… diraikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri

PENYAMPAIAN CENDERAHATI... Selain Dato' Shahaniza, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Abdul Wahab dan Encik Rozilan (berbaju Melayu warna jingga) - yang sudi berperjalanan dari Putrajaya pada tengahari sama, semata-mata untuk hadir pada Majlis Iftar petang 21 Ramadan ini. 

HOTEL VISTANA, KUANTAN – Lebih 100 orang petugas media yang dalam kalangan wartawan, jurufoto dan jurukamera tempatan termasuk dari portal berita Pahang-ku, diraikan pada Majlis Iftar Bersama Media pada petang Rabu, 8 Julai di sini.

Sepertimana tahun sudah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin sekali lagi hadir bagi menyempurnakan majlis Iftar petang 21 Ramadan ini.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali, hadir mengiringi beliau. Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Encik Rozilan Salleh turut melapangkan masa, hadir.

Yang turut hadir ialah Pengarah Penerangan Negeri, Dato’ Sabri Abdullah; Timbalan Pengarah Penyiaran Negeri, Encik Nasrul Hakim Md Noh serta, Presiden, Kelab Media Pahang (KMP), Dato’ Nik Naizi Husin; dan Presiden, Kelab Editorial Pahang (KePAH), Encik Mohd Shahrinahar Abd Latib.

Pada majlis yang sama, Dato’ Shahaniza yang diiringi oleh Dato’ Abdul Wahab dan Encik Rozilan, telah menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada setiap yang hadir. Sekali lagi, penyumbang ialah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), PASDEC Holdings Bhd. 

MESRA... Sebaik-baik tiba pada Majlis Iftar ini, Dato' Shahaniza berkunjung meja ke meja, menemui dan bertanya khabar kepada para petugas media yang hadir. 

Beliau kelihatan berbual-mesra dengan Ketua Biro, Berita Harian, Encik Razak Raaf; serta Ketua Biro, BERNAMA, Cik Shamsiah Mohamed (membelakangi kamera); dan, wartawan kanan Utusan Malaysia, Puan Zamzurina Ahmad (berbaju dan bertudung biru). 

MAKA, BERBUKALAH... Sebahagian daripada petugas media sedang menjamah makanan berbuka puasa. 

UCAPAN RINGKAS DATO' SHAHANIZA... Dalam ucapannya antara lain meminta petugas media khususnya wartawan, menulis berdasarkan fakta yang disahkan kebenarannya. 

PUJI-MEMUJI... Dato' Abdul Wahab yang berucap sebelum Dato' Shahaniza, antara lain memuji sikap mesra-media yang semakin terserlah oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri itu, yang juga wakil rakyat negeri BN - Kuala Sentul. – Khabar