Wednesday 17 April 2019

Kerajaan Negeri cadang tuntut pampasan RM17,100 juta daripada Kerajaan Persekutuan


… sebagai kos melepas akibat korbankan hutan sebagai kawaan tadahan air dan pembinaan Empangan Klau, kira-kira sejuta hektar 

ALAM SEKITAR YANG TERUS TERPELIHARA... 


DEWAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri bercadang menuntut pampasan kira-kira RM17,100 juta daripada Kerajaan Persekutuan sebagai kos melepas akibat korbankan hutan sebagai kawaan tadahan air dan pembinaan Empangan Klau.  

“Sekarang ini pihak Kerajaan Negeri memang bercadang untuk mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk membuat tuntutan pampasan bagi kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air iaitu seluas hampir satu juta hektar.

“Begitu juga bagi kawasan Empangan Klau yang mana Kerajaan Negeri Pahang kerugian daripada segi hasil pembalakan, mineral, premium dan cukai tanah lebih kurang 23,000 hektar.

“Sebab ini adalah kos melepas bagi Kerajaan Negeri Pahang,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sesi soal-jawab hari kedua, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Ke-14 pagi Selasa, 17 April di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan kepada soalan asal oleh Dato’ Khairuddin Mahmud (BN – Pulau Manis). Soalan asal dikemukakan oleh Puan Young Syefura Othman berkaitan dengan hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

KOS MELEPAS

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, kos melepas yang Kerajaan Negeri tanggung atas pengorbanan Kerajaan Negeri menjadikan kawasan Hutan Simpan dan Hutan Rizab Hidupan liar sebagai Kawasan Tadahan Air ialah RM16,400 juta (RM16.4 billion), manakala bagi kawasan yang dijadikan Empangan Kelau ialah RM692 juta.

“Jadi, jumlah keseluruhannya ialah RM17.1 billion. Ini kos melepas yang terpaksa Kerajaan Negeri lepaskan demi untuk mensejahterakan rakyat di luar dari negeri Pahang,” katanya.

Adalah difahamkan bahawa, ekoran wujudnya kawasan tadahan air berkenaan telah turut dimanfaati oleh negeri-negeri bersempadan dengan Pahang, ada antara sungai di negeri berkenaan berpunca dari kawasan tadahan air ini.

Manakala bagi Empangan Kelau pula, pembinaannya merupakan sebahagian daripada projek Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi keperluan Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

“Jadi yang ini (mengenai tuntutan pampasan akibat pengorbanan negeri ini), kita akan berjumpa dengan Kerajaan Persekutuan, kita akan minta supaya RM17 billion ini akan ditolak daripada hutang sehanyak RM3.17 billion.

BELUM LAGI KIRA TUNGGAKAN, FAEDAH

“Dengan kata lain, sebenarnya Kerajaan Pusat berhutang dengan Kerajaan Negeri dan belum lagi dikira tunggakan. Kalau kira tunggakan ataupun faedahnya, mungkin lebih daripada angka yang saya sebutkan tadi,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Ketika menjawab soalan tambahan oleh Puan Young Syefura sebelum itu katanya, hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan ialah sebanyak RM3,172 juta (RM3.172 billion).

Yang daripadanya, RM2,085 juta (RM2.085 billion) ialah hutang berkaitan pembekalan air yang telah Kerajaan Negeri cadangkan supaya dihapuskira 60 peratus menjadikannya berbaki RM1,251 juta (RM1.251 billion).

Kerajaan Persekutuan pula katanya, ada berhutang dengan Kerajaan Negeri menerusi penganjuran SUKMA Pahang 2012 sebanyak RM200 juta, dan bantuan bagi mangsa banjir tahun 2014 sebanyak RM43 juta.

“Jadi, jumlah yang dicadangkan untuk dihapuskira ialah RM1,494 juta (RM1.494 billion), maka baki selepas cadangan hapuskira ialah sebanyak RM1,678 juta (RM1.678 billion),” katanya lagi.

BELUM TERIMA TERMA-TERMA TAWARAN

Dalam menjawab soalan asal, beliau berkata, hutang Kerajan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan yang berkaitan dengan bekalan air, akan dilaksanakan menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri yang sejajar dengan kehendak Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA) 2006.

Kaedah penstrukturan ini pula katanya, adalah tertakluk kepada terma-terma tawaran daripada Kerajaan Persekutuan serta rundingan bersama yang bagaimanapun, Kerajaan Negeri belum menerima terma-terma tawaran tersebut.

Kerajaan Negeri juga menurutnya, telah mengemukakan permohonan untuk hapuskira pinjaman bagi projek bekalan air luar bandar sebanyak 60 peratus daripada jumlah pinjaman semasa, kepada Perdana Menteri dalam surat bertarikh 25 Oktober lepas.  

Baki yang tidak dihapuskira (lagi 40 peratus) menurutnya, akan diambil-alih oleh Perbadanan Aset Air Bhd (PAAB) yang sebagai balasannya, Kerajaan Negeri perlu memindah-milik asset tak alih yang nilainya bersamaan dengan jumlah pinjaman yang diambil-alih oleh PAAB bagi tempoh 45 tahun. – Khabar