Friday 29 May 2020

Tidak perlu pertandingan bagi PRK kawasan Chini.


“Biarlah DN Chini terus diwakili oleh calon dari UMNO sehingga tempoh penggal berakhir,” saran Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM)

PETANG RABU, 13 MAC 2019 LAGI... Perbincangan di pejabat Loji Rawatan Air (LRA) Chini bagi mencari daya-usaha memastikan bekalan air ke seluruh Chini yang terjejas, diatasi. Asalnya, peruntukan telah Kerajaan Persekutuan di bawah BN luluskan tetapi dihentikan apabila PH mengambil-alih tampuk pemerintahan. 

Kini, dengan jatuhnya Kerajaan PH dan kembalinya kita menguasai pemerintahan, insyaAllah, projek menaik-taraf LRA di sini akan diteruskan demi kesejahteraan penduduk DN Chini sekalian. 

Selain Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri (duduk dari kiri)  - Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, yang juga Pengerusi, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Dato' Sri Norol Azali Sulaiman dan Dato' Nazri Ngah; ialah wakil rakyat DN Chini sendiri, Dato' Sri Abu Bakar Harun atau lebih dikenali sebagai 'Dato' Burn' atau Ayah Ngah (duduk, dua dari kanan) dalam kalangan penduduk Chini sekalian.      


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Sebuah lagi badan bukan Kerajaan (NGO) – Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM),
menyarankan agar tidak diadakan pertandingan bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) kawasan Chini yang ditetapkan pada 4 Julai ini.

Saranan ini dibuat bersandarkan alasan betapa apabila ada pertandingan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 sekarang, hanya akan memudaratkan lagi keadaan.

Saranan ini juga dibuat sambil akur kepada hakikat tentang kehendak demokrasi serta undang-undang sama ada Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang mahupun Perlembagaan Negara, yang memerlukan PRK diadakan serta kekosongan jawatan sebagai wakil rakyat di situ, diisi.

“... kami dari PPUGFM terpanggil untuk menyarankan agar tidak perlu wujud pertandingan bagi kerusi DN Chini jika PRK dijalankan oleh SPR. Biarlah DN Chini terus diwakili oleh calon dari Umno sehingga tempoh penggal berakhir.

“Keputusan Pilihanraya Umum lepas bagi DN Chini juga menunjukkan bahawa sokongan pengundi kepada UMNO yang diwakili Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun mendapat majoriti yang besar berbanding parti lawan.

BERI LALUAN KEPADA CALON BN SELAKU ‘INCUMBENT’

“Jika diambilkira kewujudan Muafakat Nasional (MN) pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi DN Chini buat masa ini,” demikian saranan PPUGFM menerusi Presidennya, Encik Mohd Rosidi Hassan dalam kenyataan media yang dikeluarkan pagi Sabtu, 30 Mei ini.

Sebelum ini pada 21 Mei, NGO dari Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Kuantan turut membuat gesaan yang sama dengan antara lain menyebut;

“Sehubungan dengan itu, KAF menyeru agar parti-parti politik sama ada dari Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana calon Bebas tidak bertanding pada PRK N23 Chini dan memberi laluan kepada BN selaku penyandang jawatan.

“Tindakan tidak bertanding akan menjimatkan perbelanjaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia RM4.3 juta yang boleh digunakan bagi tujuan lebih penting seperti pembangunan ekonomi,” kata Pengerusi KAF Felda Chini Timur 1, Encik Ahmad Shahril Zailudin.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media oleh PPUGFM tersebut –

ANTARA DEMOKRASI DAN KESELAMATAN NYAWA

‘Antara Demokrasi dan Keselamatan Nyawa’

Pada 15 Mei 2020 yang lepas, Pengerusi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun telah mengumumkan PRK DN Chini akan diadakan pada tarikh 4 Julai 2020.

Kita sedar bahawa Perkara 22 (1) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang mengesahkan sesuatu kerusi Dewan Negeri akan menjadi kosong disebabkan oleh kematian ADN tersebut.

Kita juga akur bahawa Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku dan kekosongan ini secara congaknya adalah melebihi tempoh dua (2) tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihanraya umum yang lalu.

Namun begitu, dalam usaha kita secara bersama untuk menangani penularan wabak Covid-19 yang kini merupakan satu ancaman serius kepada dunia di mana Malaysia juga tidak terkecuali menjadi sasaran penyebaran wabak ini, maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menyelamatkan nyawa berbanding tuntutan-tuntutan dan kehendak-kehendak yang lain. Ini selaras dengan ‘Maqosid Syariah’ yang dituntut Islam supaya menjaga nyawa dan keselamatan diri.

Tidak perlu lagi dihurai apakah wabak Covid 19 ini kerana bukan segelintir orang yang terkesan dengan penularannya, malah seluruh dunia tidak kira jantina, tidak kira usia, pangkat atau bangsa semuanya terjejas teruk disebabkan oleh wabak dahsyat ini. Ramai yang kehilangan sumber pendapatan, ramai yang menganggur dan paling menyedihkan ialah mereka yang kehilangan anggota keluarga dan insan tersayang disebabkan oleh serangan wabak ini.

Maka yang demikian, kami dari PPUGFM terpanggil untuk menyarankan agar tidak perlu wujud pertandingan bagi kerusi DN Chini jika PRK dijalankan oleh SPR. Biarlah DN Chini terus diwakili oleh calon dari UMNO sehingga tempoh penggal berakhir.

Keputusan Pilihanraya Umum lepas bagi DN Chini juga menunjukkan bahawa sokongan pengundi kepada UMNO yang diwakili Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun mendapat majoriti yang besar berbanding parti lawan. Jika diambil-kira kewujudan Muafakat Nasional (MN) pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi DN Chini buat masa ini.

Adakah saranan ini berlawanan dengan semangat demokrasi?

Kita tidak menidakkan tuntutan demokrasi bahkan kita sangat menyanjung tinggi amalan demokrasi di negara ini. Namun jika sekiranya SPR mempunyai satu kaedah lain pada masa akan datang yang dibenarkan secara undang-unadng untuk menjalankan pilihanraya secara atas talian misalnya, maka kami amat menyokong usaha ini supaya diangkat amalan demokrasi ini ke tempat yang selayaknya.

Namun, buat masa ini adalah lebih baik untuk tidak ada pertandingan bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk kepada rakyat dan negara. Marilah kita sama-sama putuskan rantaian Covid-19 secara bersungguh-sungguh dan bersepadu. Insya Allah kita akan menang.

Mohd Rosidi Hassan
Presiden PPUGFM – Khabar

Tuesday 26 May 2020

Mengenang jasa bakti besar Allahyarham Dato’ Sri ‘Burn’/Ayah Ngah di Chini.


… bekas wakil rakyat UMNO/BN lebih tiga (3) penggal yang sangat disayangi semua.

AL-FATIHAH...


NOTA EDITOR ;

Berikut ialah artikel sebagai pembuka tirai (curtain raiser) kepada artikel-artikel serta ‘story’ yang bakal menyusul, sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri kawasan Chini, yang tarikh penamaan calon ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 20 Jun 2020 dan hari pengundian pada 4 Julai 2020.

PRK ini ialah susulan pulangnya ke Rahmatullah, bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun pada lewat malam Rabu, 6 Mei. PRK ini dengan itu, bakal diadakan dalam tempoh negara masih mendepani masalah penularan wabak pandemik COVID-19, serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan.

Jika hendak diikutkan, PRK ini sebenarnya tidak perlu diadakan dengan mengambil kira faktor bahawa, DN Chini sememangnya kubu kuat UMNO/BN sejak Allahyarham – seorang bekas peneroka dan pula memberi perkhidmatan yang sentiasa ‘tip-top’ kepada pengundinya; menjadi ADN di kawasan itu pada tahun 2004 lagi.

Inikan pula sekarang dengan Muafakat Nasional (MN) – kerjasama UMNO dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN). Kalau berdasarkan undian yang Allahyarham perolehi pada PRU-14 sebanyak 10,027 campur yang calon PAS perolehi sebanyak 5,405 undi menjadikan kira-kira 15,432 undi; berbanding calon PKR cuma perolehi 1,065 undi.

Yang kalau begitu dan jika boleh diadaptasikan kepada senario semasa, calon PKR berkenaan boleh bukan sahaja kalah, malah hilang wang deposit kerana gagal memperolehi 1/8 atau 12.5 peratus daripada jumlah undi dikira. Maka, penglibatan PKR kali ini sebenarnya, tidak diperlukan.

Ini bukan soal riak, takabbur atau bercakap besar. Cuma sesuatu yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya sementelah, bagi menganjurkan sebuah PRK akan memakan belanja yang besar – kira-kira RM4.3 juta sepertimana anggaran oleh SPR sendiri.

Dan sekarang pula, kita sedang menghadapi wabak pandemik COVID-19 yang amat menggerunkan. Dengan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada calon UMNO/BN campur MN/PN, pastinya dapat mengelakkan PRK yang kita sendiri tidak pasti akan kesan daripada berkempen dan semasa beratur untuk mengundi, kepada penularan wabak pandemik ini.

Namun, jika tetap juga ada pertandingan dan PRK ini diadakan, tentunya jentera pilihanraya UMNO/BN + MN/PN akan digerakkan secara penuh berhemah, bagi menghadapi dan memastikan agar DN kawasan Chini terus kekal di bawah penguasaan kita, insyaAllah.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Betul sangatlah peribahasa ini sebagai merujuk kepada bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan Chini, Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia pada lewat malam Rabu, 6 Mei lepas.

Anak peneroka Felda dari Jengka, Maran, Allahyarham ialah juga seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Chini 3, Pekan sebelum dikesan kemudian diminta bertanding pertama kali sebagai calon UMNO/Barisan Nasional (BN) di Dewan Negeri (DN) kawasan Chini pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-11 tahun 2004. 

Sejak itu, Allahyarham terus-menerus menyumbangkan khidmat bakti terbaik sehingga berjaya mengekalkan kedudukan di situ dengan majoriti besar pada PRU-12 tahun 2008, PRU-13 tahun 2013 dan terakhir pada PRU-14 tahun 2018.

Mendapat gelaran ‘Burn’ atau kemudian ‘Dato’ Burn’ oleh bekas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sejak Allahyarham menjadi wakil rakyat atas alasan; mahu membezakannya dengan tiga-empat lagi orang di Pekan yang mempunyai nama sama iaitu Bakar;

Dalam tempoh lebih tiga (3) penggal Allahyarham menjadi wakil rakyat, banyak yang telah menjadi ‘buah tangannya’ – menjadi penggerak utama dalam pembangunan fizikal dan sosio-ekonomi yang dimanfaati secara langsung dan tidak langsung, oleh penduduk DN kawasan Chini.


SEPERTIMANA TERSIAR DALAM AKHBAR BERITA HARIAN, RUANGAN MINDA PEMBACA TERBITAN JUMAAT, 5 JUN 2020...

PENGGERAK PEMBANGUNAN FIZIKAL & EKONOMI DN CHINI

Antaranya ialah pembinaan enam (6) buah Dewan Semai Bakti di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda Chini 1, 2, 3, 4 dan 5 serta di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 3. Setiap satunya antara RM800,000 dan RM1 juta.

Selain itu ialah pembinaan sebuah masjid di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 3, pusat sukan di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 2, pasar tani kekal FAMA di Bandar DARA Chini, perumahan generasi kedua Felda di Taman Lamanda, Chini.

Begitu juga dalam pelaksanaan projek perumahan dan pengwujudan pekerjaan di bawah Projek Sentuhan Kasih di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 2; perumahan transit untuk golongan asnaf dan memerlukan di di Perumahan Komuniti dan Projek Peruamahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Baru Salong;

Allahyarham turut berperanan menyelesaikan masalah perumahan di tapak perumahan TNB di Bandar DARA untuk didiami oleh penduduk yang layak; menyegerakan pembinaan Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Tasik Chini; serta dalam kerja-kerja membaikpulih dan menaiktaraf Kompleks Pelancongan di Kuala Chini.

Daripada aspek pembangunan ekonomi dan tanah pula, Allahyarham juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK)/Felcra di Bukit Udang; dan projek ekonomi di Kampung Salong.

SEPERTIMANA SIARAN DALAM AKHBAR HAEIAN METRO TERBITAN SABTU, 13 JUN 2020...


JUARAI PENGWUJUDAN RTK ORANG ASLI DI KAMPUNG GUMUM

Berkaitan masyarakat Orang Asli, Allahyarhamlah yang menjuarai usaha bagi pengwujudan RTK Orang Asli di Kampung Gumum; serta menyelasaikan isu pertindihan kawasan tanah antara OA di Tanah Merah dengan penduduk/peserta Melayu di RTK Terapai dan antara OA Tasik Mentiga dengan penduduk Kampung Melayu Mambang.

Telah menjadi amalan Allahyarham juga dalam mengadakan sesi bertemu penduduk secara mingguan bagi membantu menyelesaikan masalah; serta menyumbang lampin pakai buang kepada pesakit-pesakit kronik selain katil, dan kerusi roda sambil menyampaiakn bantuan kewangan dan barangan kepada yang memerlukan.

Dan Allahyarham sudah sebati kini – dengan liputan media diberikan; dalam penganjuran-penganjuran seperti Pesta Lemang DN Chini yang dianjurkan 17 tahun berturut-turut; Pesta Dodol; Majlis Mengacau Bubur Ayura pada bulan Ramadan serta aktiviti bersama OA seperti Malam Kebudayaan.

Menurut Pengurus Rancangan Tanah Felda Chini 3, Encik Misbari Nazir, beliau tidak pernah lagi melihat gigihnya wakil rakyat sepertimana Allahyarham ‘Datuk Burn’ sepanjang kerjayanya sebagai pengurus rancangan tanah Felda di tempat lain sebelum ini.

“Dulu, saya juga jaga banyak rancangan lain (dan berhubungan dengan wakil rakyat di sana) tetapi inilah wakil rakyat yang paling ‘open’ (terbuka) dan ‘caring’ (penyayang) terhadap peneroka.

ALLAHYARHAM MUNGKIN PENDIAM TETAPI AMBIL PERHATIAN/TINDAKAN CEPAT SELESAIKAN MASALAH RAKYAT 

“Jika ada sahaja padanya barangan yang diperlukan seperti ‘pampers’, kerusi roda; terus diberinya. Jika tidak, barangan yang diperlukan akan sampai ke tangan pemohon mungkin pada petang hari yang sama,” katanya.

Menurut Setiausaha Penyelaras dan Pembangunan DN Chini yang juga rakan rapat Allahyarham, Encik Ramlee Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Li Janggut’, Allahyarham mungkin seorang pendiam tetapi sangat ikhlas serta beri perhatian dan bertindak cepat bagi mengatasi apa juga masalah melibatkan penduduk.

Pejabat Khidmat Dewan Negerinya kata Encik Ramlee, ialah seperti sebuah kedai runcit penuh dengan barangan keperluan seperti lampin pakai buang, tongkat 3-kaki serta kerusi roda, yang segera diberikan kepada mereka datang, yang memerlukannya.

Oleh kerana khidmatnya yang cemerlang dan pula penduduk Chini sukakan perkhidmatannya maka pada setiap PRU tiba termasuk PRU-14 lepas, tiada nama lain yang dicalonkan kecuali Allahyarham sahaja.

Maka tidak menghairankan pada PRU-11 ketika pertama kali Allahyarham menjadi calon, majoriti kemenangan yang diperolehinya kata Encik Ramlee, ialah yang tertinggi begitu juga dengan peratus keluar mengundi dalam kalangan DN-DN di Pahang.

NAMA NAIK JADI CALON SAAT-SAAT AKHIR PADA PRU-11 TAHUN 2004

Oleh itu kata Encik Ramlee lagi, tepat sangatlah Allahyarham dipilih sebagai calon pertama kalinya pada PRU-11 (tahun 2004), “… yang sebelum itu telah ditetapkan seorang yang lain, hanya digantikan dengan nama Allahyarham pada saat-saat akhir,” katanya yang juga sebaya – 60 tahun, dengan Allahyarham.

Menurut Batin Oh Jo Heng dari Kampung Orang Asli (OA) Tasik Mentiga pula, Allahyarham terlalu baik dengan masyarakat OA di DN Chini termasuk tidak kedekut – sentiasa bersedekah kepada yang susah dan memerlukan.

Dua-tiga minggu sebelum meninggal dunia katanya, diceritakan oleh seorang OA bagaimana Allahyarham menahan motosikal dinaiki pasangan suami-isteri OA hanya untuk bertanya khabar, kemudian menghulurkan sumbangan.

“Sangkaan awal OA suami-isteri tadi bimbang mereka ditahan polis, maklumlah dalam (tempoh) PKP (tetapi) rupa-rupanya Allahyarham. Begitulah amat tajam beliau dapat cam pasangan suami-isteri OA atau terhadap penduduk di kawasannya.

“Dan apabila mendapat berita Allahyarham, pasangan suami-isteri ini seolah-olah tidak percaya dan apabila disahkan, mereka menangis meratap pemergian seorang YB berjiwa rakyat,” kata Batin Oh dan menambah kata bahawa, kehilangan Allahyaham tentunya amat sukar diketemukan penganti.  

LEBIH DIKENALI SEBAGAI ‘AYAH NGAH’ ATAU ‘PAK NGAH’

Kepada Penghulu Mukim Penyor, Pekan, Encik Norisham Ismail, Allahyarham ialah seorang yang bukan sahaja sangat dihormati, tetapi pemurah, kuat bekerja, mudah mengasihani orang dan berprinsip.

“Dengan masyarakat, Arwah sangat dihormati sebagai YB. Apa yang saya perhatikan, Arwah sentiasa ambil peduli tentang aduan masyarakat seperti masalah berkaitan kesihatan, keselamatan malahan kewangan juga yang mana Arwah sangat pemurah dan tidak berkira, memberi bantuan kewangan kepada sesiapa sahaja yang mengadu,” katanya.

Begitulah akrabnya Allahyarham dengan penduduk DN Chini hinggakan Allahyarham kata Norisham, lebih dibahasakan sebagai ‘Ayah Ngah’ atau ‘Pak Ngah’ daripada penduduk memanggilnya dengan gelaran ‘Dato’ atau ‘Dato’ Sri’.

Tidak terhenti setakat itu kata Norisham, jasa baktinya hendak terus ditaburkan lagi dengan usahanya untuk menjayakan tiga (3) lagi perkara utama dalam diarinya sebagai Ahli DN (ADN) Chini, yang belum tercapai.

Paling utama ialah gerak-kerja telah lama diusahakannya untuk menjayakan kerja menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Chini demi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih dalam kawasan DNnya.

TIGA PERKARA UTAMA BELUM SELESAI

Semasa Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN), peruntukan RM12 juta telah diluluskan kepada Felda untuk menjayakannya namun dihentikan penyalurannya apabila Kerajaan Persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14 lepas.
 
Dua lagi ialah bagi pembinaan Pusat dan Latihan dan Ujian Kereta Kebal di bawah Kementerian Pertahanan di Kampung Bintang Terapai; dan, pembinaan Pusat Hemodialisis bagi pesakit-pesakit buah pinggang di Pusat Latihan Felda Chini.

Adalah diharapkan, pengganti Allahyarham kelak akan dapat meneladani segala perkara baik yang telah Allahyarham lakukan khususnya di bawah naungan UMNO dan BN, yang kini diperkuatkan lagi dalam kerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN). – Khabar