Wednesday 31 July 2019

Menteri Besar ketuai misi perdagangan ke Singapura


… turut menganjurkan ‘Forum Pelaburan Pahang 2019’, serta tanda tangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU)

POSTER BERKENAAN PIF 2019...


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai misi perdagangan Kerajaan Negeri ke Singapura selama dua hari pada esok, Khamis 1 Ogos dan lusa, Jumaat 2 Ogos ini.

Bersempena dengannya, ‘Forum Pelaburan Pahang 2019’ (PIF; Pahang Investment Forum 2019) akan diadakan di sebuah hotel terkemuka yang dijangka dihadiri lebih 150 peserta termasuk dalam kalangan syarikat-syarikat serta syarikat-syarikat multinasional yang berpejabat di negara republik itu.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar yang dikeluarkan di sini, PIF 2019 ialah anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura (SMF; Singapore Manufacturers Association). 

Pada hari pertama PIF 2019 menurut kenyataan itu, Dato’ Sri Wan Rosdy dijangka menyampaikan Ucaptamanya yang antara lain menyentuh tentang tarikan-tarikan menarik bagi pelabur untuk melabur ke negeri ini.

Yang turut hadir dan berucap sebelum Ucaptama oleh Menteri Besar ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dato’ Zainol Rahim Zainuddin, dan Presiden SMF, Dato' Sri Douglas Foo. 

MB ADA LIMA (5) PERBINCANGAN PERNIAGAAN ‘ON THE SIDELINES’

Pengisian lain PIF 2019 ialah Perbincangan Panel (Panel Discussion) bertajuk – ‘Peluang Pelaburan di Pahang’ yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi, Pahang Skills, Dato’ Mas’ut Awang Samah.

Ahli-ahli panel yang terlibat dalam sesi Panel Perbincangan ini antara lainnya ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Encik Ahmad Tajudin Omar dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura; dan Encik Nik Mohd Zaidi Nik Mohd Zain dari Isuzu HICOM Malaysia Sdn Bhd.

Dalam pada itu menurut kenyataan yang sama lagi, Dato’ Sri Wan Rosdy akan turut mengadakan sekurang-kurangnya lima (5) Perjumpaan Perniagaan (Business Meetings) dengan wakil-wakil syarikat terkemuka Singapura.

Kedua-dua Ahli Exco Kerajaan Negeri yang turut serta dalam misi perdagangan ini – Dato’ Sri Mohd Sharkar dan Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dijangka turut mengadakan sesi Perjumpaan Perniagaan secara berasingan dengan wakil-wakil syarikat yang berkenaan.

Pada hari kedua pula, Jumaat, 2 Ogos menurut kenyataan itu lagi, akan diadakan majlis menanda tangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, dengan syarikat-syarikat terbabit.

Menteri Besar akan menyaksikan majlis tersebut. Dengan pemeteraian MoU ini menandakan komitmen serta persetujuan awal syarikat-syarikat berkenaan untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi ke negeri ini. – Khabar


Thursday 4 July 2019

Pahang jadi ‘model’ kerjasama ikhlas, erat UMNO/PAS


NOTA EDITOR ;

Berikut ialah artikel yang ditulis mengenai kerjasama erat dan ikhlas yang semakin terjalin antara kedua-dua parti UMNO dan PAS di Pahang, hasil usaha bersama khususnya peranan yang dimainkan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi Barisan Nasional Negeri.

Artikel ini dijangka turut mendapat siaran dalam akhbar Utusan Malaysia terbitan esok, Jumaat, 5 Julai di halaman 18 dalam ruangan rencana.

Semoga kita sama-sama dapat memanfaatinya.  

MESRA DAN BERSAHAJA... Dato' Sri Wan Rosdy diapit sebelah kirinya, Encik Rosli dan kanannya, Encik Andansura (yang duduk beraksi di atas motosikal) sambil mengangkat tanda bagus. 

Mereka sama-sama menghadiri Majlis Hari Raya Aidil Fitri anjuran Jabatan Perhutanan Negeri pada pagi Selasa, 2 Julai bersamaan 28 Syawal 1440 H, bertempat di Kompleks Dagangan Mahkota dekat sini.  


Oleh ALAMAYA

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN –  Jika sebelum ini, UMNO Pahang disebut telah mengambil alih daripada UMNO Johor sebagai ‘model’ bagi UMNO-UMNO Negeri setelah Pahang ialah hanya satu daripada dua negeri yang masih dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), Mei 2018.

Kini, selepas lebih setahun berlalu, UMNO Pahang telah melonjakkan lagi kehebatannya hingga menjadi pula ‘model’ kepada kerjasama ikhlas dan erat antara parti tersebut dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

“Kita dah menjalin hubungan yang baik dengan PAS ini, sejak selepas Pilihanraya (Umum Ke-14) lagi dan setakat ini – sama ada PAS ataupun UMNO, BN; kita tidak ada apa-apa masalah.

“Saya bersama-sama dengan PASpun – ada masa-masa tertentu kita duduk semeja berbincang, dan sebagainya. Jadi kerjasama antara PAS dengan UMNO di Pahang ini sangat baik,” kata Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai kerjasama UMNO/PAS itu.    

Segalanya bermula dengan pertemuan santai sambil makan malam antara Dato’ Sri Wan Rosdy dengan Ahli-ahli Dewan Negeri PAS – tujuh yang hadir daripada kesemua lapan orang; menjelang persidangan Dewan Negeri pertama selepas PRU-14, pada bulan Julai (2018).

MENGHADIRI RUMAH TERBUKA AHLI DEWAN NEGERI BESERAH... Dato' Sri Wan Rosdy yang diiringi Encik Andansura, kelihatan sedang berbual mesra dengan ahli PAS yang hadir pada Majlis Hari Raya Aidil Fitri Dewan Negeri Beserah yang diadakan di Dewan Orangramai Balok, Beserah.

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Yang Dipertua, Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad (dua dari kiri) serta, Ketua Penerangan PAS Pusat, Encik Nasrudin Hassan Tantawi (kiri sekali, bertengkolok).  


UMNO/BN/PAS, 33 KERUSI LWN DAP/PKR, 9 KERUSI

Komposisi Ahli Dewan Negeri selain lapan orang dari PAS itu ialah 25 dari BN (24 UMNO dan satu MCA), tujuh dari DAP, dan dua dari PKR; menjadikan kesemua Ahli Dewan Negeri tersebut seramai 42 orang.

Mengenai pertemuan itu terutamanya tentang perkara yang mendorong beliau menganjurkannya kata Dato’ Sri Wan Rosdy, “Saya cuma ambil ‘cue’ (petunjuk) daripada apa yang disebut dan ditonjolkan oleh Presiden parti, Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi tentang perlunya hubungan baik UMNO/PAS”.

Sejak itulah bermula kerjasama antara kedua-dua UMNO/BN dan PAS, yang turut terbawa ke dalam persidangan Dewan Negeri pertama pasca PRU-14 pada bulan Julai itu dengan kombinasi padu 33 Ahli Dewan Negeri UMNO/BN/PAS berbanding cuma sembilan (9) Ahli Dewan Negeri (tujuh DAP dan dua PKR) di pihak lawan.

Momentum kerjasama itu diperkukuhkan lagi dari hari ke hari sehinggalah ujian pertama terjelma menerusi Pilihanraya Kecil (PRK) parlimen kawasan Cameron Highlands pada Januari lepas (2019).

Awal-awal lagi, PAS mengumumkan tidak bertanding bagi memberi laluan kepada calon UMNO/BN untuk menentang satu lawan satu dengan parti lawan – DAP; sebagai membuktikan semangat kerjasama tersebut.

SIGNIFIKANNYA KEMENANGAN BN DI PRK CAMERON HIGHLANDS

Dan yang membuktikannya lagi ialah, keseluruhan jentera parti tersebut kemudian telah memberikan kerjasama yang erat dengan undi yang diberikan kepada calon PAS pada PRU lepas dialih dan diberikan kepada calon UMNO/BN, hingga akhirnya calon tersebut, Encik Ramli Mohd Nor memenangi kerusi itu dengan majoriti yang tinggi.

Signifikannya PRK Cameron Highlands ini pula ialah, ia PRK pertama selepas PRU-14 yang dimenangi oleh BN setelah kecundang pada PRK-PRK sebelumnya di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor, serta Port Dickson di Negeri Sembilan.

Selepas PRK Cameron Highlandslah juga, BN memenangi dua PRK berikutnya iaitu di Semenyih, Selangor dan di Rantau, Negeri Sembilan. Dan semua kemenangan ini adalah hasil kerjasama UMNO/PAS.

Tidak terhenti setakat PRK Cameron Highlands, kerjasama UMNO/PAS di negeri ini dilanjutkan lagi dan hanya beberapa bulan kemudian pada 26 April, dianjurkan Himpunan Perpaduan Ummah Pahang yang dihadiri lebih 10,000 orang selain pemimpin utama parti masing-masing – Dato’ Sri Mohamad Hassan yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO dan Presiden PAS, Dato’ Sri Abdul Hadi Awang.   

Sehinggalah terkini pada sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang Dato’ Sri Wan Rosdy turut ke Rumah Terbuka PAS kawasan Cameron Highlands dan sehari kemudian, hadir pula ke Rumah Terbuka Ahli Dewan Negeri Beserah, Encik Andansura Rabu.  

SEPERTIMANA TURUT TERSIAR DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA TERBITAN JUMAAT, 5 JULAI...


AHLI AKAR-UMBI JUGA FAHAM PENTINGNYA KERJASAMA UMNO/PAS

Pada satu jamuan Hari Raya Aidil Fitri anjuran sebuah jabatan kerajaan Selasa lepas pula, Dato’ Sri Wan Rosdy juga kelihatan mesra serta berfoto kumpulan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri, Encik Rosli Abdul Jabar serta Encik Andansura, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri.

Sepertimana kerjasama erat yang terjalin antara kepimpinan kedua-dua parti, begitulah juga yang terserlah di peringkat akar-umbi yang kerana itulah maka kemenangan diperolehi BN pada PRK Cameron Highlands berkenaan.

“Sebab kita faham bahawa ini adalah soal penyatuan ummah. Dan saya fikir, ahli-ahli UMNOpun faham bahawa kekalahan kita (BN) di lima (5) kerusi Parlimen (sebelum ini) adalah kerana undi antara UMNO dengan PAS itu berpecah.

“Kalau kita gabungkan UMNO dengan PAS ini undinya, kelima-lima Parlimen yang sekarang ini kita kalah – Kuantan, Indera Mahkota, Bentong, Raub dan Temerloh; insyaAllah, kita akan boleh mencapai kemenangan,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Berdasarkan keputusan PRU-14, kelima-lima kawasan parlimen yang dimaksudkan itu telah dikuasai oleh calon-calon PKR di Kuantan, Indera Mahkota dan Temerloh, serta oleh calon-calon DAP di Raub dan Bentong.

‘KITA TERUS BUAT KERJALAH’

Di Kuantan, calon PKR memperolehi 22,807 undi berbanding calon PAS, 14,696 undi dan UMNO, 13,667 undi yang jika digabungkan menjadi 28,363 undi; di Indera Mahkota, calon PKR mendapat 28,578 undi berbanding calon BN, 17,628 undi dan PAS,17,515 undi yang jika dicampurkan menjadi 35,143 undi;

Begitu juga di Temerloh, calon PKR meraih 23,998 undi berbanding calon BN, 22,094 undi dan calon PAS, 14,734 yang bila dikumpulkan menjadi 36,828 undi.

Di Raub, calon DAP mendapat 20,659 undi berbanding calon BN, 17,500 undi dan calon PAS, 7,866 undi yang bila disatukan menjadi 25,366 undi; dan di Bentong, calon DAP menerima 25,716 undi berbanding calon BN, 23,684 undi dan calon PAS, 5,706 undi yang bila disekalikan menjadi 29,390 undi.

Dalam pada itupun, kemungkinan pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) akan berusaha untuk menggagalkan usaha penyatuan dan kerjasama UMNO/PAS ini memang tidak dapat ditolak. 

Maka, persoalan yang menyusul ialah; apakah usaha oleh kedua-dua UMNO dan PAS untuk mengelak pihak berkenaan menggagalkan usaha penyatuan dan kerjasama erat dan ikhlas UMNO dan PAS ini?

“Kita terus buat kerjalah, kita terus buat kerja. Kita tunjukkan keikhlasan kita sebab perkara ini kita tahu; kalau kita bersatu, kita akan menjadi kuat,” jawab spontan Dato’ Sri Wan Rosdy. – Khabar