Saturday 29 February 2020

Tahniah untuk Tan Sri Muhyiddin




KENYATAAN MEDIA

Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tahniah diucapkan kepada Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

Keputusan ini amat melegakan seluruh rakyat negara dan negeri, yang membuktikan kedaulatan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam melaksanakan pemerintahan negara.

Keputusan ini juga membuktikan keberkesanan persepakatan dalam kalangan parti-parti politik yang termasuklah Parti BERSATU serta Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN).

Semoga dengan ini, pentadbiran negara dapat digerakkan kembali demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, In Sya Allah.

DATO' SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang - Khabar

Friday 28 February 2020

Tahniah atas pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu


“Dengan pelantikan dan pembentukan Kerajaan Negeri Johor yang baharu ini sudah pasti akan meningkatkan lagi semangat dan kerjasama dalam MN/BN di seluruh negara, apatah lagi di Pahang,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy

DATO' IR HASNI... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada Dato’ Ir Hasni Mohammad atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Pelantikan Dato’ Ir Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor katanya, membuktikan kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan parti-parti komponen MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) terbukti berkesan.

“… yang dengan wujudnya kerjasama dengan Parti Bersatu di negeri itu telah memungkinkan pelantikan dan pembentukan kerajaan yang baharu tersebut.

“Dengan pelantikan dan pembentukan Kerajaan Negeri Johor yang baharu ini sudah pasti akan meningkatkan lagi semangat dan kerjasama dalam MN/BN di seluruh negara, apatah lagi di Pahang,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN serta Badan Perhubungan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berkata demikian dalam kenyataan media sebagai mengulas pelantikan Dato’ Ir Hasni dan penubuhan Kerajaan Negeri Johor yang baharu.

AHLI DEWAN NEGERI BENUT BERUSIA 61 TAHUN

Dato’ Ir Hasni, 61, yang juga Ahli Dewan Negeri BN bagi kawasan Benut, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 di Istana Bukit Serene, Johor pada petang Jumaat, 28 Februari ini.

Pelantikan dan penubuhan kerajaan yang baharu ini dilaporkan dibuat selepas gabungan BN, PAS dan Parti Bersatu bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu. Beliau menggantikan Dato’ Dr Sahruddin Jamal.

Berikut ialah kenyataan media sepenuhnya oleh Dato’ Sri Wan Rosdy –

Saya ucapkan tahniah kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato' Ir Hasni Mohammad atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Pelantikan ini serta Kerajaan Negeri yang baharu terbentuk ialah ekoran tumbangnya Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya.

KERAJAAN BAHARU TERTUBUH SEBAB TUMBANGNYA KERAJAAN PH

Pelantikan ini membuktikan kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan parti-parti komponen MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) terbukti berkesan, yang dengan wujudnya kerjasama dengan Parti Bersatu di negeri itu telah memungkinkan pelantikan dan pembentukan kerajaan yang baharu tersebut.

Dengan pelantikan dan pembentukan Kerajaan Negeri Johor yang baharu ini sudah pasti akan meningkatkan lagi semangat dan kerjasama dalam MN/BN di seluruh negara, apatah lagi di Pahang. – Khabar

Saturday 22 February 2020

Hutan Tadahan Air Pahang seluas lebih tiga (3) kali ganda saiz Pulau Pinang


… pengwartaan yang Kerajaan Negeri laksanakan demi memelihara alam sekitar

MENDAMAIKAN... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Ramai yang menjangkakan, dengan Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, ia memliki tanah yang luas untuk dimajukan hingga mengenepikan aspek penjagaan alam sekitarnya.

Namun jangkaan itu meleset jika mereka tahu betapa, Kerajaan Negeri telah mewartakan lagi 132,212.58 hektar pada Mei lepas (2019), menjadikan keseluruhan 386,971.14 hektar sebagai Hutan Tadahan Air di negeri ini.

Dengan keluasan ini (386,971.14 hektar) sepertimana disebutkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, ia merupakan lebih tiga (3) kali ganda keluasan seluruh negeri Pulau Pinang (yang seluas 103,104 hektar).

Untuk makluman, Hutan Tadahan Air ialah di bawah pengelasan Hutan Perlindungan yang bermakna, tiada langsung penebangan pokok apatah pula pengeluaran balak dibenarkan di kawasan ini. 

Kawasan Hutan Tadahan Air ini ialah sebahagian daripada kira-kira 1.5 juta hektar hutan yang di bawah Hutan Simpanan Kekal (HSK), yang menjadikan Pahang negeri yang mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung Malaysia.

KAWASAN BERHUTAN PAHANG IALAH 2.05 JUTA HEKTAR

Oleh itulah tidak menghairankan betapa, luas kawasan berhutan (forested area) sahaja ialah kira-kira 2.057 juta hektar atau, 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang yang seluas kira-kira 3.6 juta hektar.

Keluasan kawasan berhutan ini pula (2.057 hektar) ialah kira-kira bersamaan saiz seluruh negeri Perak – negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia, yang seluas 2.1 juta hektar.

Kenapa Kerajaan Negeri membuat keputusan atau pengorbanan besar ini? Ia tidak lain demi memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar, seterusnya turut menjamin bekalan air mentah yang mencukupi.  

Dan menurut Dato’ Sri Wan Rosdy; “Kepentingan sumber hutan negeri Pahang – sepertimana sumber air mentahnya; bukan sahaja memenuhi keperluan negeri Pahang, tetapi juga untuk negeri-negeri yang bersempadanan dengannya seperti Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Johor”.  

Berdasarkan satu kajian, air mentah yang diperolehi dari lembangan sungai-lembangan sungai di Pahang khususnya Sungai-sungai Pahang, Kuantan dan Rompin sahaja, menyumbang kira-kira 12.661 juta meter padu sehari.

KEPERLUAN AIR DIRAWAT CUMA 1.888 JUTA METER PADU SEHARI

Keperluan penduduk Pahang untuk bekalan air dirawat sehingga tahun 2050pun, ialah sekadar kira-kira 1.888 juta meter padu sehari. Maka, jumlah besar air mentah (12.661 juta meter padu sehari) itu adalah lebih daripada memadai untuk diproses bagi menampung keperluan air terawat di negeri ini.

Selebihnya, boleh dimanfaatkan dengan menjualnya ke negeri-negeri memerlukan sepertimana menerusi Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) bagi penyaluran kira-kira 1.893 juta meter padu sehari ke negeri tersebut.

PPAMPS ialah projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM3,751 juta (RM3.751 billion) yang melibatkan beberapa komponen termasuk terowong bawah tanah berdiameter 5.2 meter, sepanjang 44.6 km dari Karak, Bentong ke Loji Rawatan Air Langat (LRA) 2 di Hulu Langat, Selangor.

Telah siap sejak 2017 lagi, hanya menunggu siapnya LRA2 sahaja lagi – yang tertangguh sekian lama dan kini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023; untuk menerima bekalan air mentah menerusi PPAMPS tersebut.

Pada tahun 2007 lagi, perjanjian telah ditanda tangani antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi pembekalan air mentah 1.893 juta meter padu sehari itu pada kadar 10 sen semeter padu.

PAHANG DIJANGKA DAPAT RM69.094 JUTA SETAHUN

Dengan itu, jangkaan pendapatan tahunan kepada Kerajaan Negeri Pahang menerusi perjanjian tersebut yang boleh disemak-semula menurut jadualnya; ialah kira-kira RM69.094 juta.  

Selain Hutan Tadahan Air, Kerajaan Negeri juga turut memberi fokus kepada perkara-perkara lain yang masih berkaitan dengan usaha memelihara dan memulihara hutan termasuk yang khusus melibatkan daerah-daerah tertentu.

Misalnya, ia (Kerajaan Negeri) juga telah baru-baru ini meluluskan kawasan seluas 50,000 hektar bagi pelaksanaan Projek Penghutanan Semula Kawasan Terosot di daerah-daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan. 

Kawasan terosot atau juga dikenali sebagai ‘hutan miskin’, ialah kawasan hutan yang kurang produktif yang dengan itu akan dipulihkan dengan penanaman pelbagai spesies pokok hutan.

Bagi menangani isu berkaitan penjagaan hutan di Tasik Chini, Pekan pula, ia telah turut memperkenalkan dasar khas dengan tidak lagi meluluskan pajakan melombong baharu di sekitar tasik tersebut.

HENDAKLAH BUKAN SETAKAT ‘INDAH DI ATAS KERTAS’ SAHAJA

Sehubungan itu juga, Kerajaan Negeri mewartakan kawasan seluas 4,497.25 hektar di sekitar Tasik Chini tersebut sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) – satu tindakan tegas demi memelihara secara khusus, alam sekitar di tasik tersebut.

Ini sepertimana juga dilaksanakan di Cameron Highlands apabila Kerajaan Negeri juga pada Oktober lepas, bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar di kawasan tanahtinggi itu sebagai Hutan Taman Negeri.  

Dengan ini menjadikannya sebagai Hutan Taman Negeri kedua terbesar di negeri ini selepas Hutan Simpan Taman Negeri Endau Rompin yang berkeluasan kira-kira 31,797 hektar.

Demi memastikan segala inisiatif ini terlaksana dan berjaya – dan bukan setakat ‘indah di atas kertas’ sahaja; sudah tentulah aspek penguatkuasaan turut diutamakan, selain meminta kerjasama semua pihak agar patuh kepada apa yang telah ditetapkan berkaitan pemeliharaan hutan di negeri ini. 

“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan saya, amat komited untuk memastikan agar sumber hutan kita ini yang tidak ternilai harganya, diuruskan secara mampan dan berkekalan.

“Jangan akibat ketidak-pandaian kita generasi sekarang dalam menguruskan hutan kita ini, sampai anak cucu kita dan generasi seterusnya mengutuk kita (kelak) kerana kecuaian kita sendiri,” demikian tegasnya Dato’ Sri Wan Rosdy. – Khabar

Tuesday 18 February 2020

Tingkatkan lagi penguatkuasaan demi memelihara Tapak RAMSAR Tasik Bera

... saran Menteri Besar ekoran laporan berita mengenai tahap alam sekitar di tapak berkenaan. 

“Tapak RAMSAR Tasik Bera yang berkeluasan 31,255 hektar, sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan yang mengelilinginya sehingga seluas kira-kira 77,380 hektar atau lebih sekali ganda keluasan tapak berkenaan.

“Oleh itulah, Kerajaan Negeri menekankan tentang kepentingan aspek penguatkuasaan yang diharap dapat diambil oleh Jabatan Perhilitan – sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS),” tegasnya. 

TASIK BERA... Tanah lembab yang akan terus dipelihara. 


NOTA EDITOR;

Akhbar bercetak Berita Harian telah menyiarkan laporan berita 2-siri pada Ahad, 16 Februari dan semalam, Isnin, 17 Februari berkaitan dengan tanah lembab RAMSAR – berdasarkan konvensyen antarabangsa mengenai tanah lembab terutamanya sebagai habitat unggas air dan berlangsung di bandar Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971; termasuklah yang sebuah terletak di sekitar Tasik Bera, Bera.

Intipati kepada laporan berita ini ialah betapa semakin terjejasnya mutu alam sekitar di tapak berkeluasan 31,255 hektar tersebut, atau bersamaan kira-kira separuh keluasan daerah Cameron Highlands, dengan zon penampannya seluas 77,380 hektar atau lebih luas daripada daerah tanahttinggi itu (yang seluas 71,200 hektar).   

Ekoran itu, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah diminta mengulas mengenainya, dan berikut ialah ‘story’ balas disusuli kenyataan media penuh olehnya.  
  

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyarankan agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat meningkatkan kerja-kerja penguatkuasaan demi kelestarian Tapak RAMSAR Tasik Bera.

“Tapak RAMSAR Tasik Bera yang berkeluasan 31,255 hektar, sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan yang mengelilinginya sehingga seluas kira-kira 77,380 hektar atau lebih sekali ganda keluasan tapak berkenaan.

“Oleh itulah, Kerajaan Negeri menekankan tentang kepentingan aspek penguatkuasaan yang diharap dapat diambil oleh Jabatan Perhilitan – sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS),” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan pagi ini, Selasa, 18 Februari. Ia sebagai mengulas laporan berita dalam 2-siri pada Ahad, 16 Februari dan semalan, Isnin, 17 Februari mengenai Tapak Ramsar Tasik Bera itu oleh akhbar bercetak Berita Harian.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media tersebut ;

SEPERTI TERSIAR PADA HALAMAN 14 AKHBAR BERITA HARIAN TERBITAN RABU, 19 FEBRUARI...


KENYATAAN MEDIA     

Tingkatkan penguatkuatkuasaan demi memelihara Tapak RAMSAR Tasik Bera

Kerajaan Negeri meminta kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan jabatan-jabatan berkaitan, agar dapat meningkatkan kerja-kerja penguatkuasaan demi kelestarian Tapak RAMSAR Tasik Bera.

Tapak RAMSAR Tasik Bera yang berkeluasan 31,255 hektar, sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan yang mengelilinginya sehingga seluas kira-kira 77,380 hektar atau lebih sekali ganda keluasan tapak berkenaan.

Oleh itulah, Kerajaan Negeri menekankan tentang kepentingan aspek penguatkuasaan yang diharap dapat diambil oleh Jabatan Perhilitan – sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).

Jabatan Perhilitan juga dilantik mengetuai Unit Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera (UPTRTB) dengan bantuan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli, dan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser atau kini dikenali Tourism Pahang.

PELAN PENGURUSAN ASAL OLEH WETLANDS INTERNATIONAL ASIA PACIFIC

Sejak UPTRTB diwujudkan menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun 1999, semua perancangan pembangunan di Tasik Bera mestilah berpandukan kepada pelan Pengurusan Bersepadu Tasik Bera sepertimana disediakan oleh Wetlands International Asia Pacific.

Pada tahun lepas (2019), Pelan Pengurusan Bersepadu Tapak RAMSAR Tasik Bera yang disediakan oleh Jabatan Perhilitan dengan kerjasama KATS dan Kerajaan Negeri pula diperkenalkan, demi memastikan semua pelaksanaan pembangunan mampan di tasik itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Selain itu, Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengenai pengurusan pembangunan bagi pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera juga disediakan oleh Majlis Daerah Bera (MDB) dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri atau kini, PlanMalaysia@Pahang.

RKK ini yang diperkenalkan tahun lepas juga, bermatlamat untuk mengukuhkan lagi pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera serta memastikan pembangunan di kawasan persekitaran terutamanya pertempatan Orang Asli, tidak menjejaskan tapak berkenaan.

Dengan inisiatif-inisiatif yang disebutkan ini, seharusnya tiada isu khususnya bekenaan pencemaran alam sekitar yang timbul di Tapak RMASAR Tasik Bera ini namun laporan mengenainya terutamanya tentang pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar, masih dilaporkan juga.

22 RONDAAN PENGUATKUASAAN DIJALANKAN PADA TAHUN LEPAS

Ini masih berlaku disebalik tahun lepas, 22 rondaan penguatkuasaan dijalankan oleh Jabatan Perhilitan dengan tindakan-tindakan antara lainnya –

Mengenalpasti dan bertindak ke atas kawasan hutan dicerobohi haram dan memastikan tiada pembalakan haram, memusnahkan jerat-jerat binatang serta pondok-pondok pemburu haram, serta, menjalankan pemeriksaan ke atas orang awam yang ditemui untuk mengetahui tujuan kehadiran mereka dalam kawasan berkenaan.    

Oleh itulah Kerajaan Negeri berharap, kerja-kerja penguatkuasaan dapat diperkukuhkan lagi, sambil meminta semua pihak untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan matlamat memelihara Tapak RAMSAR Tasik Bera ini. – Khabar