Monday 31 October 2016

57.5 peratus atau 2.07 juta hektar negeri Pahang masih berhutan.



… atau, bersamaan negeri Perak yang seluas kira-kira 2.10 juta hektar.

“Ini menunjukkan negeri Pahang mampu mengekalkan khazanah hijau yang begitu luas, melebihi 50 peratus daripada keluasan negeri walaupun mengalami tuntutan arus pembangunan pesat,” kata Menteri Besar.

DALAM MENYAMPAIKAN UCAPTAMA, LUAR TEKS 38-MINITNYA... 
 

SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan betapa 57.5 peratus atau kira-kira 2.07 juta hektar daripada kira-kira 3.6 juta hektar negeri Pahang masih berhutan.

Yang daripada 2.07 juta hektar ini, 44 peratus atau 1.56 juta hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK); 11 peratus atau 400,000 hektar ialah Taman Negara, suaka hidupan liar dan burung; dan, tiga (3) peratus atau kira-kira 100,000 hektar ialah Tanah Kerajaan Berhutan.

“Ini menunjukkan negeri Pahang mampu mengekalkan khazanah hijau yang begitu luas, melebihi 50 peratus daripada keluasan negeri walaupun mengalami tuntutan arus pembangunan pesat,” tegasnya.

Ini dikatakannya dalam ucapan luar teks 38-minit ketika menyampaikan ucaptama pada Bengkel Kelestarian Sumber Air Negeri Pahang Darul Makmur 2016 anjuran Kerajaan Negeri pada Isnin, 31 Oktober, di sini.

Beliau juga berkata, sebanyak 2,059 batang sungai sepanjang kira-kira 11,960 KM telah Kerajaan Negeri wartakan sepertimana yang serupa dilakukan kepada tasik-tasik utama di negeri ini seperti Tasik Chini di Pekan; Tasik Bera di Bera; dan, Tasik Paya Bungor di Kuantan ini.

GONG DIPALU, TANDA RASMILAH SUDAH BENGKEL... Selain hari pertama dengan Ucaptama dan pembentangan kertas kerja; Bengkel ini juga bersambung esok, Selasa, 1 November yang turut disusuli dengan Sidang Pleno yang akan membuat rumusan sebelum diakhiri dengan Penyerahan Resolusi kepada Kerajaan Negeri. 
 

PETIKAN KATA-KATA SETIAUASAHA AGUNG PBB TENTANG AIR

Pada awal ucapatamanya, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang kepentingan air kepada kehidupan manusia sejagat, dengan memetik kata-kata (2) bekas dan seorang (1) penyandang jawatan Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Boutrous Boutrous-Ghali (Januari 1992 – Disember 1996) katanya, pernah menyebut betapa; “The next war in the Middle East will be fought over water, not politics”.

Dalam ucapannya di PBB pada tahun 2001 pula, Koffi Anan (Januari 1997 – Disember 2006) diperik sebagai berkata; “Fierce competition for fresh water may well become a source of conflict and wars in the future”.

Dan Ban Ki-Moon pula dalam ucapannya sempena ‘World Water Development Report 1’ pada tahun 2009 kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, telah menyebut betapa; “Countries do not go to war over water, they solve their water shortages through trade and international agreements”.

Pada persidangan media kemudian, beliau berkata betapa yang penting bagi Kerajaan Negeri ialah memastikan dengan kira-kira 57.5 peratus negeri masih dilitupi hutan, ia dan rakyatnya tidak akan menghadapi masalah air.

PARA HADIRIN SEKELIAN... Ini merupakan hadirin kira-kira 1,000 orang yang dalam kalangan pegawai-pegawai Kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, para pengusaha serta wakil penduduk setempat.
 

‘BLUEPRINT’ TENTANG URUSKAN AIR?

“Dan kita adakan Bengkel ini – kita akan mengenal pasti ‘area’ atau bidang yang terdapat masalah (dan) bagaimana kita akan atasi semula.

“Kalau contohnya untuk melindungi punca air ini, undang-undangnya ada – mesti ada ‘buffer zone’ sebagainya. Tapi, bagaimana kita menguatkuasakan, itu yang mustahak.

“Bermakna, dengan adanya sumbangan daripada semua pihak kepada Bengkel ini, mungkin kita akan dapat satu jalan keluar iaitu dengan mengeluarkan dasar tertentu mungkin dalam bentuk ‘blueprint’ atau dalam bentuk panduan; bagaimana kita perlu menguruskan punca air negeri Pahang ini dengan baik,” katanya.

Beliau juga berkata, sememangnya Kerajaan Negeri mementingkan pemeliharaan alam sekitar sepertimana yang sering disebut-sebut termasuk dalam ucapan Bajet Negeri mahupun dalam Titah Ucapan KDYMM Sultan Pahang.  

“Tapi, seperti saya katakan tadi, ‘pronouncement’ ataupun perisytiharan ini, dengan perkara yang berlaku itu, kadang-kadang berbeza. Kita buat perisytiharan, kita buat kenyataan tetapi di peringkat pelaksanaan itu penting.

SUDI MELAYANI PIHAK MEDIA... 
 

300,000 HEKTAR SEBAGAI KAWASAN TADAN AIR

“Sebab, peringkat pelaksanaan bukan kita (kepemimpinan Kerajaan Negeri). Jadi kita berharap, pihak jabatan dan agensi-agensi terlibat, mesti menjalankan usaha ini, mesti proaktif,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata, betapa dalam soal ‘buffer zone’ di Taman Negara misalnya, asalnya jaraknya cuma 500 meter tetapi telah dipanjangkan kepada hingga 1.5 KM ketika beliau mula-mula menjawat jawatan Menteri Besar.

“Masa mula-mula saya jadi Menteri Besar, saya wartakan 300,000 hektar sebagai kawasan tadahan air (dan) 300,000 hektar ini, satu incipun (pokok) tak boleh usik tahu… Banyak kita buat tapi itulah saya katakan, pelaksanaan, penguatkuasaan,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamed; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Sebaik-baik selepas persidangan media, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah meluangkan masa menghadiri sesi pembentangan kertas kerja antaranya oleh Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid bertajuk ‘Pengurusan Lestari Sumber Air – Perspektif Global’.

NGO JUGA TURUT DIWAKILI

Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Sri Ir Dr Zaini Ujang turut membentangkan kertas kerjanya bertajuk, “Dasar dan Polisi Pengurusan Lestari Sumber Air KeTHHA”.

Wakil Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Prof Dr Maketab Mohamed, turut membentangkan kertas kerjanya bertajuk, “Pengurusan Lestari Sumber Air – Perspektif NGO”. – Khabar  
     

Saturday 29 October 2016

Daripada cuma sebuah kedai buku, kini jadi yang terbesar di Malaysia!



“Dari sebuah kedai buku kemudian itu membesar, membesar sehingga kita ada MBS World Mega Bookstore ini,” kata Menteri Besar.

MAKA RASMILAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menurunkan tandatangannya pada plak yang telah disediakan sambil Dato' Rosdi (kiri sekali), Encik Mohd Razaki (kanan sekali), Encik Leong Ah Kow (dua dari kiri) dan Encik Albert (dua dari kanan); memerhatikan. 

MBS WORLD MEGA BOOKSTORE, JALAN TANAH PUTIH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob memuji keluarga Encik Leong atas kejayaan mengembangkan perniagaan kedai buku daripada cuma sebuah kira-kira 35 tahun lepas, kini mengusahakan kedai buku terbesar di negara ini.

“Dari sebuah kedai buku kemudian itu membesar, membesar sehingga kita ada MBS World Mega Bookstore ini,” katanya dalam ucapan luar teks 14-minitnya ketika merasmikan kedai buku ini tengah hari Sabtu, 29 Oktober di sini.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Encik Leong yang mengasaskan Kedai Buku Men Men sejak tahun 1980. Dan pada hari ini, saya ucapkan tahniah kepada anaknya, Encik Albert Leong, Pengarah Urusan, MBS World Mega Bookstore,” katanya lagi.

Kedai buku diasaskan oleh Encik Leong Ah Kow ini mula dibuka pada tahun 1980 yang dikenali sebagai Kedai Buku Men Men. Kemudian membesar dengan pembukaan lebih banyak kedai buku hinggalah yang ke-13 di sini, yang juga ialah terbesar di negara ini.   
    
Berkeluasan 46,000 kaki persegi atau bersamaan saiz lima (5) gelanggang futsal (atau, 8,611 kaki persegi setiap sebuah); keluasan ini dikatakan mengatasi kedai buku terbesar sebelum ini di Midvalley Megamall, Kuala Lumpur yang seluas hanya 36,000 persegi.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 14-MINITNYA...  


KELUARGA ENCIK LEONG SEBAGAI CONTOH

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, keluarga Encik Leong ialah antara contoh yang boleh diambil apabila memperkatakan tentang kegigihan dan sikap berjimat-cermatnya seseorang peniaga Cina ketika menjalankan perniagaan mereka.

“… saya suka melihat, bagaimana orang Cina berniaga,” katanya dan menambah betapa, “Orang Cina berniaga mula dari kecil-kecilan kemudian sehingga besar. Saya telah lihat banyak kes - semasa saya kecil sehinggalah sekarang umur saya 66 tahun;

“Bagaimana masyarakat Cina sentiasa bekerja keras dan kalau mereka berbuat sesuatu, mereka akan buat dengan serius dan mereka berjimat-cermat. Ada duit lebih mereka simpan.

“Apabila duit sudah agak banyak, mereka akan cari jalan, cari peluang untuk berniaga, membesarkan perniagaan sehinggalah mereka berjaya. ‘Family Leong’ ini salah satu contoh,” katanya.

Menurutnya, beliau ada dibisikkan oleh Encik Leong mengenai modal kecil yang dibelanjakan ketika memulakan perniagaan, tetapi kini telah meningkat mungkin hingga 30,000 peratus daripadanya.

MENELITI BUKU-BUKU AKADEMIK YANG DIPAMERKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang meneliti buku-buku yang disediakan.

MB SUKA DATANG MAJLIS BERKAITAN ILMU

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebutkan tentang betapa; “Ini antara majlis yang saya suka datang. Sebab, majlis ini ada kaitan dengan buku. Buku ada kaitan dengan pelajaran. Pelajaran ada kaitan dengan ilmu pengetahuan.

“Ilmu pengetahuan itu penting kepada semua manusia,” katanya yang serentak itu disambut tepukan secara berterusan oleh para hadirin .

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang kadar celik huruf dalam kalangan rakyat negara ini yang boleh dikatakan tinggi pada 94.6 peratus, tidak jauh di belakang negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Jepun dan Australia pada 99 peratus.

“Ini satu perkara yang agak membanggakan. Cuma di Malaysia ini, berbanding dengan negara-negara maju seperti yang saya sebutkan tadi; mereka di negara-negara maju suka membaca buku.

“Tapi di Malaysia ini, daripada kira-kira 85 peratus rakyat yang selalu membaca, 77 peratus gemar baca suratkhabar, tiga (3) peratus suka baca ‘magazines’, tiga (3) peratus lagi baca buku, dan, 1.6 peratus baca komik.

INILAH BANGUNANNYA, YANG TAK MUNGKIN TAK TERPANDANG DARI JALAN TANAH PUTIH DI DEPANNYA...  


ORANG KITA SUKA BACA BAHAN RINGAN

“Maknanya, orang kita lebih suka baca bahan-bahan ringan (sedangkan) untuk kita maju, rakyat mesti baca buku. Dan rakyat mesti baca buku-buku subjek yang ada kaitan dengan kehidupan. Bagaimana untuk menambah baik kehidupan kita, termasuk mereka cipta,” tegasnya.

Selain Encik Leong Ah Kow dan anaknya, Encik Albert Leong; antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Sabtu ini ialah Pengarah Pendidikan Negeri, Dato’ Rosdi Ismail; dan, Penghulu Mukim Kuantan 1, Encik Mohd Razaki Abdul Razak. – Khabar

Thursday 27 October 2016

Projek Tanaman Semula Berkelompok untuk Orang Asli Hulu Semie, diteruskan


… tetapi, untuk kawasan tambahan seluas 300 ekar di bawah projek TSB yang sama, ditangguhkan sementara kajian dilakukan.

Begitu juga projek Ladang Rakyat seluas 929 ekar, yang jika kajian dapati akan memudaratkan Sungai Gapoi dan Loji Air Sungai Gapoi maka Kerajaan Negeri akan batalkan.

PETA ARAH KE KEDUA-DUA RANCANGAN PEMBANGUNAN TANAH DEMI KEBAJIKAN RAKYAT KITA JUGA... 


BILIK MESYUARAT, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Kerajaan Negeri hari ini memutuskan membenarkan projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) Orang Asli Hulu Semie diteruskan, tetapi, menangguhkan dua (2) projek baharu yang lain.

Kedua-dua projek baharu itu ialah bagi kawasan tambahan seluas 300 ekar di bawah projek TSB yang sama; dan, projek pembangunan Ladang Rakyat seluas 929 ekar di kawasan berhampiran.

Dan dalam tempoh penangguhan ini, kajian akan dilakukan tentang kesan kepada alam sekitar khususnya kepada Sungai Gapoi serta Loji Air Sungai Gapoi yang jika negatif, Kerajaan Negeri akan membuat keputusan untuk membatalkannya terus.

“Hasil perbincangan kita tadi, setelah kaji ‘pros and cons’ sebagainya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “… maka kita memutuskan kawasan tanaman semula Orang Asli ini terpaksa berjalan, sebab ia kawasan menanam semula.

“Kawasan tambahan itu (300 ekar) kita tangguh sekejap, untuk kita kaji sama ada ia menjejaskan ataupun tidak air di Sungai Gapoi,” katanya pada persidangan media tengah hari Khamis, 27 Oktober di sini.

MEMPENGERUSIKAN SESI PERBINCANGAN... Atas permintaan Menteri Besar, para petugas media turut dijemput hadir sama pada sesi perbincangan kira-kira sejam sebelum diadakan persidangan media mengenainya. Sebelum itu, petugas media yang sama turut menyertai Menteri Besar bersarapan pagi.  

KEDUA-DUA PROJEK INI DEMI KEBAJIKAN RAKYAT JUGA

“Di kawasan sebelah kiri Ladang Rakyat tadi, kita juga akan mengkaji tetapi buat masa ini, Kerajaan menangguhkan projek sehingga selesai kajian dibuat sama ada menjejaskan atau tidak alam sekitar di situ, menjejaskan ke tidak air di Sungai Gapoi yang bekalkan air ke Loji Air Sungai Gapoi.

“Selepas kajian, Kerajaan akan memutuskan sama ada meneruskan ataupun tidak, menolak ataupun  tidak projek ini. Sebab, kedua-dua projek ini untuk rakyat… Projek (TSB) Orang Asli tu untuk Orang Asli. Projek Ladang Rakyat tu untuk semua masyarakat,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan hari ini dibuat ekoran penduduk Kampung Manchis dan Kampung Hulu Semie di sana, telah menyuarakan kebimbangan kalau-kalau projek-projek berkenaan – demi kebajikan penduduk Orang Asli dan masyarakat sekitar juga; bakal mencemarkan Sungai Gapoi dan Loji Air Sungai Gapoi di situ.

“… kita mengakui kebimbangan mereka – bukan mereka sahaja bimbang, kita (Kerajaan Negeri) juga bimbang. Itu sebabnya kita buat kajian lanjut, kalau terpaksa kita batalkan, kita boleh batalkan. Tak ada masalah,” tegasnya.

Beliau turut memberikan latar belakang kepada cadangan Kerajaan Negeri untuk  menjayakan TSB Orang Asli dan Ladang Rakyat ini yang bermatlamat untuk memberi peluang ekonomi kepada penduduk di Simpang Pelangai khususnya di Kampung Hulu Semie, Kampung Manchis dan Kampung Simpang Pelangai.

KERAJAAN NEGERI TURUT BERKONGSI BIMBANG DENGAN PENDUDUK TENTANG ANCAMAN ALAM SEKITAR... 

TAMBAHAN 300 EKAR SEBAB ORANG ASLI JUGA BERTAMBAH

Projek TSB Orang Asli di Hulu Semie yang berkeluasan 1,000 ekar katanya, diusahakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pekebun-pekebun Kecil Getah (RISDA) dan juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Di bawah TSB ini, Kerajaan Negeri melalui RISDA dan JAKOA membantu menjayakan rancangan tanaman semula berkelompok ke atas kebun-kebun Orang Asli yang telah sedia ada di Hulu Semie, dan ditanami getah dan kelapa sawit.

“Tapi pada ketika yang sama, ada juga lebih kurang dalam 300 ekar untuk kawasan tambahan. Sebab, Orang Asli di situ bilangannya telah bertambah,” katanya.  

Di bawah projek Ladang Rakyat yang berkeluasan 929 ekar pula katanya, cadangannya ialah untuk mengagih-agihkan tanah seluas antara empat (4) dan enam ekar kepada setiap peserta, yang dengan itu boleh dimanfaati oleh antara 150 dan 230 ketua isi rumah.

“Projek yang kedua ini (Ladang Rakyat) belum lagi berjalan. Dan di projek kedua inilah, tunjuk perasaan itu berlaku dan tunjuk perasaan ini kita – dari segi saya, saya alu-alukan, tak apa, sebab mereka mengenengahkan isu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PENEROKAAN HARAM JUGA BERLAKU DALAM KAWASAN LADANG RAYAT

Dalam pada itupun, beliau mendedahkan, betapa Kerajaan Negeri mendapati ada kegiatan penerokaan tanah secara haram di kawasan Ladang Rakyat yang hendak dibangunkan itu yang dengan ini menurutnya, usaha tegas akan diambil terhadap mereka.

“Dan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan haram akan dijalankan. Kalau Kerajaan Negeri tidak ada kemampuan dari segi logistik dan juga ‘personnel’, kita akan minta macam Cameron Highlands. Kita akan minta dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” beliau tegaskan.

Sebelum persidangan media kira-kira 9-minit ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi-agensi berkaitan, yang turut dihadiri sama oleh para petugas media.

Selain Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Nazri Abu Bakar; yang turut hadir ialah Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Paiz Kamaruzaman; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; serta, wakil-wakil dari RISDA dan JAKOA. – Khabar         

Sunday 23 October 2016

Corak kepemimpinan Adnan yang kekal ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’



‘Yang kerana itulah, Kerajaan Negeri yang  beliau ketuai, dinaungi pula oleh KDYMM Sultan Pahang dengan pemerintahan ‘Raja Rakyat, Sehati Sejiwa, Raja Rakyat, Berpisah Tiada’; terus popular dalam kalangan rakyat’.

MENJADI KELAZIMANNYA, MENZIARAHI MEREKA YANG MEMERLUKAN... 


NOTA EDITOR;

Bersempena Sambutan Hari Keputeraan KYMM Sultan Pahang, Sultan Hj Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah pada Isnin, 24 Oktober, berikut diperturunkan pula artikel yang menyentuh tentang kepemimpinan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang di bawah naungan pemerintahan Baginda. 

Semoga kita dapat sama-sama memanfaati daripadanya.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – ‘Mesra rakyat, mesra pelabur’ – inilah corak kepemimpinan yang pertama kali Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob umumkan ketika mula-mula menjadi Menteri Besar Pahang kira-kira 17 tahun lepas, yang terus kekal dengan corak kepemimpinan itu sehingga kini.

Yang kerana itulah, Kerajaan Negeri yang  beliau ketuai, dinaungi pula oleh KDYMM Sultan Pahang dengan pemerintahan ‘Raja Rakyat, Sehati Sejiwa, Raja Rakyat, Berpisah Tiada’; terus popular dalam kalangan rakyat.

Ukuran populariti ini tentunya menerusi keputusan-keputusan positif pilihanraya yang Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri ketuai selaku Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri sama ada pada  Pilihanraya Umum (PRU) mahupun Pilihanraya Kecil (PRK).

Bagi PRU, beliau mengepalai dan menempuhi empat (4) kesemuanya pada tahun-tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013, yang tidak satupun daripadanya, BN Negeri kehilangan majoriti dua-pertiga.

Ini termasuklah PRU-10 pada bulan November tahun 1999 yang dianggap paling getir, ekoran pemecatan Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri dan pula Dato’ Sri DiRaja Adnan, baharu sahaja mengepalai Kerajaan Negeri, enam bulan selepas pelantikan (pada 25 Mei 1999).

YANG CACAT JUGA MENDAPAT PERHATIAN DAN PEMBELAANNYA... 
 

DANA KHAS PAHANG BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

Untuk Pilihanraya Kecil (PRK) pula, beliau turut mengetuai jentera parti dengan jayanya pada tahun-tahun 2000 (kerusi negeri Sanggang), 2002 (kerusi negeri Ketari), 2007 (kerusi negeri Batu Talam), 2011 (kerusi negeri Kerdau) dan tahun lepas (2015), bagi kerusi parlimen Rompin.
“Semuanya (kejayaan-kejayaan cemerlang pada pilihanraya-pilihanraya berkenaan) ialah kerana corak dan pendekatan kepemimpinan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’nya.

“Dato’ Sri DiRaja Adnan bukanlah orangnya yang suka berslogan-slogan. ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’ menurutnya, bukan slogan apatah lagi untuk dicanang-canangkan. Sebaliknya ialah pendekatan yang beliau mahu kekal dijayakan secara praktikal,” kata seorang pegawai kanannya.    

Inisiatif memperkenalkan Dana Khas Pahang (DKP) menurut pegawai itu, merupakan manifestasi aspek ‘Mesra Rakyat’nya itu, dan pula terhasil daripada pemerhatiannya semasa kempen PRK Negeri Sanggang pada akhir Mac tahun 2000.

Semasa dalam tempoh kempen itu Dato’ Sri DiRaja Adnan mendapati, masih ramai dalam kalangan penduduk yang memerlukan bantuan terutamanya dalam kalangan fakir-miskin, ibu tunggal, berpenyakit kronik dan wargatua.

HAL-HAL BERKAITAN PENDIDIKAN PELAJAR, SUDAH SEMESTI MENJADI TUMPUAN PENTADBIRANNYA... 
   

BANTUAN ‘ONE-OFF’ RM500 DILAKSANA SEJAK TAHUN 2000 LAGI

Ekoran itu, peruntukan tahunan kira-kira RM3.75 juta dikhususkan kepada DKP – yang diurusetiakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), untuk menjayakan misi membantu mereka yang memerlukan ini.

Maka, wargatua yang mencecah dan melepasi usia 80 tahun tanpa mengira latar belakang kaum dan ekonomi keluarga misalnya, diberikan bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM500.  

Tahun 2000 yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Yayasan Pahang (YP), telah mengarahkan pengwujudan Geran Bantuan Pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi membantu pelajar-pelajar anak Pahang melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Mereka yang berjaya diberikan geran ‘one-off’ RM500 setiap seorang, sehinggalah pada Januari 2014, selain kekal RM500 bagi yang melanjutkan pengajian peringkat diploma dan ijazah; yang ke peringkat sarjana dan kedoktoran telah dinaikkan kepada RM1,000.

Hasilnya, sejak penubuhan pada tahun 1983 hingga kini, YP – yang ditubuhkan semasa Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah Menteri Besar; telah membelanjakan kira-kira RM757 juta, dimanfaati kira-kira 740,000 pelajar sebahagian besarnya terlibat di bawah Geran Bantuan Pelajar ke IPT ini.

PATRIOTISMENYA... 
 

MANA NAK DAPAT TAWARAN SEPERTI INI?

Oleh kerana berjayanya inisiatif inilah – dapat mengurangkan beban kewangan bagi urusan kemasukan awal para pelajar yang ditanggung ibubapa khususnya dalam kalangan yang memerlukan; ia telah akhirnya menjadi ikutan oleh beberapa  Kerajaan Negeri lain.

Satu lagi inisiatif ‘Mesra Rakyat’ Kerajaan Negeri pimpinan beliau sudah semestinya dalam membangunkan rumah-rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang – satu usaha untuk saling lengkap-melengkapi PR1MA yang di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan.

Di bawah PR1MA Pahang, Kerajaan Negeri menyediakan tanah yang dikenakan bayaran premium pada kadar yang menarik ke atas pemaju, yang oleh kerana itulah pemaju dapat membina rumah-rumah ini pada harga yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat jelata.

Rumah yang disediakan ialah rumah kembar setingkat berkeluasan lantai minimum, 93 meter persegi; mempunyai tiga bilik tidur, dua tandas, ruang tamu, ruang makan dan dapur, yang dijual pada harga RM150,000 sebuah, berbanding harga pasaran semasa melebihi  RM300,000 sebuah!

“Mana nak dapat tawaran seperti ini? Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan kita, Kerajaan Barisan Nasional,” kata Dato’ Sri Mohd Najib sendiri, ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang pada 19 Mac lepas. Ternyata, beliau kagum dengan program tersebut.

KEMESRAAN DENGAN PEMIMPIN UTAMA NEGARA SENTIASA TERPELIHARA... 
 

PM UCAP TAHNIAH KEPADA KERAJAAN NEGERI KERANA PR1MA PAHANG

Yang lebih menarik, PR1MA Pahang ialah antara akujanji yang terkandung dalam Manifesto BN Negeri bagi menghadapi yang PRU-13 lepas dengan sasaran untuk membina 15,000 unit rumah berkenaan dalam tempoh lima tahun antara 2014 dan 2018.

Namun kini, sudah kira-kira 40,000 unit – melepasi sasaran lebih sekali ganda, sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan dan ini juga mendapat perhatian Dato’ Sri Mohd Najib; “Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kejayaan ini”.

Tidak cukup dengan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengarahkan PR1MA Pahang yang diurusetiakan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ditambah-baikkan dengan menjurus kepada pembinaan rumah teres bertiang pula dengan harga jualan lebih rendah, pada kira-kira RM80,000 sebuah.

Jika PR1MA Pahang bagi rumah kembar setingkat RM150,000 disasarkan kepada rakyat berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM10,000 sebulan; bagi rumah teres bertiang RM80,000 pula tertumpu kepada yang berpendapatan seisi rumah tidak lebih RM5,000 sebulan.

Golongan minoriti seperti Orang Asli, juga tidak terlepas daripada ‘radar’ keprihatinan mesra Kerajaan Negeri yang oleh itulah – pertama, Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri melantik dirinya sebagai Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri yang menunjukkan sikap seriusnya ke arah memelihara dan meningkatkan mutu kehidupan masyarakat ini.

BERSAHAJA SERTA SIKAP 'DOWN TO EARTH'NYA... 
 

GERAN TANAH BAGI TAPAK RUMAH ORANG ASLI

Yang sering Orang Asli bangkitkan ialah berkenaan tanah rizab yang sehingga kini menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, 7,038 hektar tanah di negeri ini telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli manakala lagi 8,958 hektar dalam proses pengwartawaan.

Dan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Batin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli, November lepas (2015), beliau telah membuat kejutan dengan mengumumkan kesediaan Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan suratan hakmilik tanah bagi tapak rumah seluas suku ekar atau 10,890 kaki persegi, bagi setiap sebuah keluarga Orang Asli.

Adalah difahamkan, dengan pengumuman di depan kira-kira 300 Batin dan JKKK Orang Asli yang disambut penuh gembira itu, akan menjadikan Pahang sebagai negeri pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Dalam soal pembangunan rancangan tanah-rancangan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pula, sikap prihatin dan mesra Kerajaan Negerilah menyaksikan, setakat Ogos lepas, 85.72 peratus atau 36,967 daripada kira-kira 43,125 peneroka Felda di Pahang telahpun menerima suratan hak milik tanah masing-masing.

Daripada segi keluasan tanah, 43,125 peneroka di Pahang ini tinggal atau mengerjakan keseluruhan kira-kira 179,746 hektar – lebih dua kali ganda keluasan Perlis; yang daripadanya, 54,717.83 hektar telahpun diserahkan suratan hakmilik tanah kepada 36,967 peneroka tadi.

LAGI AKSI BERSAHAJANYA... 
 

TARIF AIR TIDAK NAIK SEJAK LEBIH 30 TAHUN!

Maka kini, tinggal cuma 25,028 hektar tanah kepada hanya 6,158 peneroka di Pahang yang belum menerima suratan hakmilik masing-masing yang dengan sikap bertanggungjawab Kerajaan Negeri, pasti terlaksana juga nanti.

Jika yang telah disebut tadi ialah apa yang telah dilakukan, tetapi ada juga yang tidak Kerajaan Negeri lakukan tetapi masih bersifat ‘Mesra Rakyat’ yang antaranya, Kerajaan Negeri tidak menaikkan tarif air dirawat sejak tahun 1984 atau sudah lebih 30 tahun kini!

Sejak itu hingga kini, kadar tarif itu terus kekal pada purata 66 sen semeter padu, sedangkan kos pemprosesan dan pembekalan sudah meningkat berkali-kali ganda yang kini melampaui RM1 untuk semeter padu.

Dan Dato’ Sri DiRaja Adnan sekadar menyebut betapa bagi setiap RM1 yang rakyat atau pengguna bayar untuk mendapat bekalan itu, Kerajaan Negeri sebenarnya membayar lagi lebih 50 sen, demi memastikan mereka kekal menerima bekalan air berkenaan pada harga yang kekal rendah.

Ini disebalik Kerajaan Negeri menerusi Pengurusan Air Pahang (PAIP), perlu terus menyenggara 82 loji rawatan air serta kira-kira 12,393 km panjang paip air – menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, lebih jauh daripada jarak antara Kuala Lumpur dan London (sejauh 10,548 km); yang kini sebahagiannya telah usang, yang turut perlu diganti daripada jenis asbestos kepada jenis PVC.

MESRA MELAYANI PELABUR - TEMPATAN DAN ASING... 
 

MESTI UNTUK ‘FACILITATE’ BUKAN ‘FRUSTRATE’

“Beliau cuma berharap, rakyat faham seterusnya berterima kasih atas usaha Kerajaan Negeri ini, demi memastikan rakyat tidak terbeban apatah lagi dengan kos kehidupan yang semakin meningkat sekarang,” kata pegawai yang sama.    

Bagi segmen Mesra Pelabur pula, penekanan Dato’ Sri DiRaja Adnan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini ialah dengan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk ‘facilitate’ atau memudah-carakan, bukannya untuk ‘frustrate’ atau membantut dan mengecewakan, pihak pelabur.

Oleh kerana tanah di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri, beliau sentiasa menekankan termasuk kepada Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT), supaya apa juga urusan berkaitan tanah termasuk kelulusannya, perlulah dipercepatkan tanpa melalui karenah birokrasi yang terlalu panjang.

Maka tidak hairanlah, Kerajaan Negeri diberi pujian ‘melangit’ oleh Perdana Menteri sendiri khususnya dalam aspek kelulusan tanah bagi pembangunan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang seluas kira-kira 607.5 hektar atau 1,500 ekar di Gebeng dekat sini.

Malah, Dato’ Sri Mohd Najib memperkenalkan istilah baharu, ‘Kuantan Speed’ atau Kelajuan Kuantan dengan menyebut; “… sejak awal, saya menasihati pegawai-pegawai kita yang pembangunan ini (MCKIP) mestilah standing dengan kelajuan pembangunan di Qinzhou. Malah, saya telah memberi istilah ‘Qinzhou Speed’ (Kelajuan Qinzhou).

‘KUANTAN SPEED’ - ISTILAH BAHARU TENTANG USAHA PERCEPATKAN PEMBANGUNAN DI MALAYSIA 

“Hasilnya? Hanya dalam tempoh empat bulan, taman perindustrian ini (MCKIP) telahpun sedia untuk dilancarkan. Dan sekarang, kita sudah ada istilah baharu bagi usaha-usaha mempercepatkan pembangunan di Malaysia – ‘Kuantan Speed’,” kata Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan pelancaran MCKIP pada 5 Februari, 2013.

Untuk rekod, MCKIP ialah taman perindustrian berkembar (sister park) dan lanjutan kepada China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) di Qinzhou, China sepertimana yang telah dilancarkan bersama oleh Dato’ Sri Mohd Najib dan Perdana Menteri, Republik Rakyat China, Wen Jia Bao pada 1 April 2012.   

Oleh kerana itulah, kemasukan pelaburan ke Pahang sentiasa meningkat yang menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), ia mencatatkan kemasukan pelaburan dari dalam dan luar negara sehingga RM14,550 juta (RM14.55 billion) dalam tempoh tidak sampai enam tahun antara 2011 hingga Mac lepas.

Nilai pelaburan ini – purata RM2,430 juta (RM2.43 billion) setahun; bukan sahaja melibatkan pelaburan baharu kira-kira RM9,030 juta (RM9.03 billion); malah pelaburan tambahan kira-kira RM5,520 juta (RM5.52 billion), bagi kerja-kerja sama ada pembesaran ataupun mempelbagaikan.

Pelaburan tambahan ini terutamanya, jelas membuktikan betapa pelabur yang sedia ada di negeri ini, berpuas hati dengan iklim pelaburan positif yang terhasil daripada pendekatan ‘Mesra Pelabur’.        

Dengan segala apa yang telah disebutkan ini ternyatalah, sesungguhnya corak kepemimpinan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelabur’ yang terus kekal diamalkan hingga kini, merupakan resipi kejayaan negeri demi kesejahteraan rakyatnya. – Khabar