Friday 31 August 2018

Selamat Hari Kebangsaan ke-61


“Jika kita bercakap tentang ‘government of the day’ maka kita di Pahang ini, ianya masih kekal di bawah BN atau secara khususnya, UMNO.

“Sungguhpun begitu, sukacita saya tegaskan betapa, dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan; Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama yang sebaik-baiknya demi untuk terus memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelatanya, insya-Allah,” kata Menteri Besar.

DARI ATAS PENTAS DIRAJA... KDYMM Pemangku Raja Pahang sedang membalas tabik hormat kepada kontinjen bagi pasukan keselamatan sempena perbarisan Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Negeri pada pagi Jumaat ini di dataran berdepan bangunan Mahkota Square, Jalan Mahkota, Kuantan. 

Baginda diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang serta Paduka Anakanda-Paduka Anakanda. Antara yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini selain Dato' SRi Wan Rosdy dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed, ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Sri Ishak Mohamad; 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; serta, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Negeri, Dato' Mohd Nazri Ngah.     


NOTA EDITOR ;

Sempena Hari Kebangsaan ke-61 pada hari ini, Jumaat, 31 Ogos, disiarkan di bawah ini Perutusan Hari Kebangsaan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Perutusan ini telah diedarkan kepada ke seluruh 11 daerah di negeri ini untuk dibacakan oleh Pegawai-pegawai Daerah pada sambutan yang sama di peringkat negeri.


WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Alhamdulillah, kita sekali lagi berada pada tarikh keramat – 31 ogos, yang merupakan Hari Kebangsaan, dan pada tahun 2018 ini ialah tahun ke-61 kita merai serta menyambutnya.

Keraian dan sambutan kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, apabila pertama kali dalam sejarah lebih enam (6) dekad kemerdekaan negara, Kerajaan Persekutuan kini diterajui oleh kepimpinan parti yang bukan Barisan Nasional (bn), iaitu Pakatan Harapan (PH).

Saya percaya, setelah lebih 100 hari Kerajaan Persekutuan yang baharu ini memerintah negara, semua orang telah menerima hakikat tentang peralihan kuasa pemerintahan ini.

Oleh itulah, kita perlu sama-sama ‘move on’, demi memastkan Kerajaan Persekutuan dapat terus digerakkan dalam membangunkan negara dengan jayanya.  

Sepertimana kita menerima hakikat tentang peralihan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan, saya percaya kita, khususnya penjawat awam dan rakyat-jelata negeri ini keseluruhannya;

KEBAWAH DULI TUANKU BERSAMA-SAMA ANAK-ANAK BANGSA MALAYSIA... KDYMM Tuanku tidak keberatan untuk memperkenankan kepada permintaan bagi sesi berfoto kumpulan dengan anak-anak pelbagai bilang bangsa ini.    


PAHANG TERUS KEKAL DI BAWAH BN, UMNO

Turut menerima hakikat betapa Kerajaan Negeri Pahang ini masih terus kekal di bawah BN, sejak Pilihanraya Umum (PRU) pertama lagi, hinggalah terpilih sekali lagi untuk menerajuinya selepas PRU-14, pada 9 Mei yang lepas.

Jika kita bercakap tentang ‘government of the day’ maka kita di Pahang ini, ianya masih kekal di bawah BN atau secara khususnya, UMNO.

Sungguhpun begitu, sukacita saya tegaskan betapa, dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan; Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama yang sebaik-baiknya demi untuk terus memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelatanya, insya-Allah.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, sepertimana kita sedia maklum, tema ini bermaksud menyeru kita rakyat-jelata sekalian, agar sentiasa menyayangi negara kita Malaysia.

Tema ini adalah selaras dan bersesuaian pula dengan logo – iaitu satu simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di bahagian depan yang menyatukan mereka.

TABIK HORMAT BUAT KE BAWAH DULI TUANKU... Kontinjen dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melepasi Pentas DiRaja lalu memberikan tabik hormatnya.  


‘SAYANGI MALAYSIAKU’, ‘KITA PUNYA MALAYSIA’

Logo ini juga membawa maksud bahawa rakyat-jelata yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam harmoni, seia sekata, bersatu padu dan kasih sayang kepada negara.

Tema ini juga selaras dan bersesuaian juga dengan lagu tema yang telah dipilih bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’, yang antara lain liriknya ialah ; ‘Sayangi Malaysiaku,
tanah airku (ini kita punya), Sayangi Malaysiaku, Sayangi Malaysia, satu suara laungkan (Merdeka!).

Semoga dengan tema, logo dan lagu tema ini, kita semua dapat meningkatkan lagi semangat kesayangan dan kecintaan kita kepada negara.

Oleh itulah juga, kita tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan yang termasuklah daripada segi kehidupan harmoni kaum yang wujud selama ini, ekoran kesepaduan kita.

Sunggupun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya, tetapi, dalam kepelbagaian itulah kita boleh dan dapat terus bersatu.

KOMUNIKASI MESRA... Tentu ada sesuatu yang menarik yang telah disembah-tuturkan oleh Dato' Sri Wan Rosdy sehingga KDYMM Tuanku kelihatan tersenyum mendengarnya. 


PERPADUAN BUKAN SOAL SUKA-SUKA BER‘RHETORIC’

Apatah lagi apabila kita bersama-sama ‘sehati sejiwa’ dalam  memberikan segala sokongan kepada dasar-dasar dan program-program yang kerajaan perkenalkan, bagi memakmurkan negara demi kesejahteraan kitalah juga.

Dalam pada kita terus bercakap tentang pentingnya memelihara kesepaduan dan perpaduan, mungkin ada yang bersikap sinis dengan mendakwa kita asyik suka ber‘rhetoric’ mengenainya.

Seolah-olah kita masih mahu mendendangkan ‘lagu lama’ sedangkan kita sudah berada pada abad yang lebih canggih dan negara kitapun sudah lebih enam (6) dekad merdeka.

Sebaliknya, kita harus terima hakikat bahawa, soal perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh diremeh-temehkan. Dan, apabila kita terus mengingatkan rakyat mengenainya, bukanlah kita suka-suka untuk melakukannya.    

Bak kata orang, ‘history repeats itself’ atau sejarah sentiasa mengulangi peristiwa silam, termasuklah sejarah lampau yang hitam, yang boleh berlaku semula jika tidak diambil langkah untuk menghindarkannya.

BERSAMA-SAMA AHLI MMKNYA... Ahli-ahli MMK Negeri - Dato' Mohd Fakhruddin Mohd Airf (dua dari kanan) dan Encik Abdul Rahim Muda (kanan sekali) tidak melepaskan peluang untuk dirakam foto mereka bersama-sama pemimpin Numero Uno Negeri dan isteri.   


JANGAN KITA ADA ‘SHORT AND SELECTIVE MEMORY’

Oleh itulah, dalam soal untuk memelihara kesepaduan dan perpaduan ini, kita tidak boleh jemu-jemu untuk memperkatakannya. Apatah pula apabila kita berdepanan dengan segelintir rakyat yang mempunyai pemikiran singkat dan berpilih-pilih (‘short and selective memory’) tentang hal-hal lampau.

Dalam pada kita terus mengejar kemajuan dan kemodenan, perkara asas tentang usaha memelihara perpaduan harus terus diingat-ingatkan agar kita tidak terjebak kembali dalam perkara-perkara yang boleh memudaratkan kita semula.

Sekianlah sahaja perutusan ringkas ini sempena hari kemerdekaan atau kebangsaan tahun 2018 ini.

Semoga apa yang telah disebutkan ini dapat difahami dalam perspektif yang betul; saya sudahi dengan kalimah ‘Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh’. – Khabar  


Thursday 23 August 2018

Kerajaan Negeri rayu pertimbangkan semula keputusan pembatalan projek ECRL


PROJEK PULUH RIBUAN JUTA RINGGIT YANG DIBATALKAN...  


WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Rayuan ini katanya, ialah demi rakyat terbanyak, yang selama ini menyambut berita tentang projek ini dengan gembira ekoran manfaat besar yang bakal turut mereka perolehi daripadanya.

Manfaat itu pula bukan sahaja secara langsung tetapi juga secara tidak langsung - dengan wujudnya pertumbuhan pusat-pusat aktiviti sosio-ekonomi baharu khususnya di kawasan sekitar stesen-stesen ECRL yang akan turut dibina di sepanjang jajaran berkenaan.

Namun dengan keputusan pembatalan ini, perkara-perkara yang dijangkakan itu tidak lagi akan berlaku, kata Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, 23 Ogos.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman pembatalan projek berkenaan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pada persidangan media di Beijing, Selasa, 21 Ogos, sempena berakhir lawatan rasmi lima (5) harinya ke Negara China.

POSTER DIPETIK DARIPADA FB 'WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL'... 


RAMAI YANG AKAN KEHILANGAN KERJA

Projek Kerajaan Persekutuan – ECRL dilaporkan bernilai RM81,000 juta (RM81 billion), sejauh 688 KM yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan dengan menerusi Pahang dan Terengganu. Dilancarkan tahun lepas, ia dijadual siap pada 2024.

Selain menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, pembatalan itu menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, turut merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telahpun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Malah, di tapak-tapak seperti Genting dan Bentong, kerja-kerja pengorekan terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telahpun bermula.

“Malah, kerja-kerja untuk pengambil-alihan tanah sudahpun berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah-tanah milik persendirian yang perlu kemudian diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya.

Menurut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 KM merentasi daerah-daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan; yang akan terlibat dengan projek ECRL di Pahang ini.

RAYU BAGI PIHAK YANG TERKESAN TERUK DENGAN PEMBATALAN  

Daripada 1,394.4 hektar ini pula, kira-kira 385 hektar atau 27.6 peratus ialah Tanah Kerajaan manakala yang lain ialah tanah-tanah milik persendirian, tanah-tanah rizab Melayu dan Hutan Simpan Kekal.   

“Oleh itulah, saya merayu bagi pihak Kerajaan Negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja-pekerja yang bakal diberhentikan, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula keputusan tersebut,” katanya lagi. – Khabar  

Tuesday 21 August 2018

Selamat Hari Raya Korban


“Semoga Aidiladha ini kita sambut dengan penuh kesyukuran dan penuh penghayatan, InsyaAllah,” kata Menteri Besar.

POSTER RASMI UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA... Sepertimana dipetik daripada laman sosial rasmi FB - Wan Rosdy bin Wan Ismail yang telahpun mempunyai lebih 24,000 pengikut sehingga kini.


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha” kepada semua, sempena perayaannya pada Rabu, 22 Ogos ini.

Secara kebetulan, hari ini juga ialah genap 100-hari Dato’ Sri Wan Rosdy dilantik menjadi Menteri Besar pada Istiadat Pelantikan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangu Raja Pahang pada Selasa, 15 Mei lepas.

Berikut disiarkan sepenuhnya ucapan Hari Raya tersebut sepertimana dipetik daripada laman sosial ‘Facebook’ rasmi beliau – Wan Rosdy bin Wan Ismail, yang kini telah menerima lebih 24,000 pengikut ;

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan penuh rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha 1439 Hijrah pada 10 Zulhijjah 1439H bersamaan 22 Ogos 2018 ini.

DALAM PERJALANAN PULANG BERHARI RAYA DI KAWASAN JELAI... Sempat lagi singgah pada malam Raya, Selasa, 21 Ogos, demi mengikuti perkembangan operasi SAR melibatkan seorang renjer PERHILITAN yang hilang sejak 11 Ogos lalu, di Hutan Simpan Yong, dalam Taman Negara (sebelah daerah Lipis).

Antara yang kelihatan dalam foto ini ialah wakil rakyat negeri (BN - Padang Tengku), Dato' Mustapha Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Encik Mohd Hafizi Ibrahim (tiga dari kanan, berbaju-T putih).    


UCAPAN WAKILI KERAJAAN NEGERI  

Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga Malaysia beragama Islam, khususnya warga Negeri Pahang yang dicintai. 

Kepada mereka yang pulang ke kampung halaman, pandulah berhati-hati dan pastikan anda mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.

Semoga Aidiladha ini kita sambut dengan penuh kesyukuran dan penuh penghayatan, InsyaAllah. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd. 


HADIRI MAJLIS KORBAN PADA PAGI RAYA, RABU 22 OGOS, DI KAMPUNG TANJUNG GAHAI, LIPIS... 


TURUT MEMBANTU DI DAPUR... 



TIDAK KEKOK UNTUK TURUT MEMBANTU - BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING... 
– Khabar

Monday 20 August 2018

Peruntukan lebih RM5 juta bagi tangani segera masalah gangguan air di Kuantan


 … ini adalah susulan kepada lawatan kerja oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke Rumah Pam berkenaan disusuli ke Loji Rawatan Air (LRA) Panching pada pagi semalam, Ahad, 19 Ogos.

DALAM PERBINCANGAN... Dato' Sri Wan Rosdy kelihatan sedang tenang mendengar apa yang diluahkan oleh seorang daripada anggota GISG. Antara yang turut bersama dalam pertemuan dan perbincangan pagi Isnin ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; 

Dato' Sri Norol Azali; Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Dato' Mohd Zahari Md Isa (kanan sekali); serta Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato' Indera Abdul Rahim Mohd Ali (kiri sekali).     


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan peruntukan lebih RM5 juta bagi menangani segera masalah gangguan bekalan air di Kuantan, yang terkesan ekoran musim kemarau ketika ini.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Menteri Besar, peruntukan ini ialah bagi membaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat dan menjalankan kerja-kerja pembenihan awan di atas kawasan-kawasan tadahan air yang berkenaan. 

Kedua-dua langkah ini dijangka dapat membantu dalam meningkatkan kandungan air di kawasan-kawasan berkenaan, seterusnya mengatasi gangguan bekalan air yang membabitkan 80,000 akaun di daerah ini. 

Ini adalah susulan kepada lawatan kerja oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke Rumah Pam berkenaan disusuli ke Loji Rawatan Air (LRA) Panching pada pagi semalam, Ahad, 19 Ogos. 

Sebelum itupun, pada Selasa, 14 Ogos, lawatan kerja yang sama telah dilakukan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Kemudahan Asas, Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman. 

TURUN PADANG, SUNGGUHPUN PADA PAGI CUTI HUJUNG MINGGU... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, Dato' Sri Norol Azali dan Dato' Mohd Zahari; yang turut hadir pagi Ahad, 19 Ogos ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (dua dari kanan). 


PERUNTUKAN RM5 JUTA SUMBANGAN CSR PEMAIN UTAMA INDUSTRI GEBENG

“Sebanyak RM5 juta daripada peruntukan ini akan disumbangkan oleh pemain-pemain utama industri di Kawasan Perindustrian Gebeng, sepertimana mereka persetujui pada pertemuan dengan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pagi ini (Isnin, 20 Ogos). 

“Peruntukan RM5 juta ini khusus bagi memperbaiki kebocoran pada ban berhampiran Rumah Pam Kobat, manakala selebihnya akan ditanggung sendiri oleh Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembenihan awan,” menurut kenyataan media tersebut.

Pada pertemuan dengan Menteri Besar, pemain-pemain utama industri ini yang menamakan diri sebagai Kumpulan Sokongan Industri Gebeng (GISG; Gebeng Industrial Support Group), telah bersetuju membiayai peruntukan RM5 juta ini sebagai memenuhi Tanggung jawab Sosial Korporat (CSR) mereka. 

Peruntukan RM5 juta ini akan digunakan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan kebocoran pada ban tersebut, dengan menggunakan kaedah ‘sheet pile’ yang lebih kukuh. 

Menurut rekod, sudah dua (2) kali ban ini diperbaiki iaitu pada tahun 2015 dan 2017, melibatkan peruntukan kira-kira RM14 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri. 

KEANGGOTAAN - JAC KERAJAAN NEGERI/GISG... Pada sesi berfoto kumpulan selepas pertemuan/perbincangan pagi Isnin.
   

JAWATANKUASA BERTINDAK BERSAMA KERAJAAN NEGERI/INDUSTRI

Pada pertemuan yang sama antara Menteri Besar dengan GISG ini, turut diputuskan ialah penubuhan Jawatankuasa Bertindak Bersama (JAC; Joint Action Committee) melibatkan kedua-dua Kerajaan Negeri dan pemain-pemain industri berkenaan. 

Peranan JAC menurut kenyataan media itu lagi, ialah sebagai perantaraan bagi kedua-dua pihak untuk berbincang secara langsung mengenai apa juga perkara yang melibatkan kepentingan kedua-duanya. – Khabar   

Thursday 16 August 2018

Kompleks DRB-HICOM Pekan; kewujudannya dapat terus menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi daerah, seterusnya negeri dan negara


… dengan nilai pelaburan RM1,258 juta (RM1.258 billion), jumlah tenaga kerja 3,618 orang atau, libatkan lebih 12,000 orang ahli keluarga.

MENINJAU KE TAPAK 'TEST TRACK' UNTUK LEBIH DEKATI DAN KENALI KEUPAYAAN SEBENAR KENDERAAN-KENDERAAN KETENTERAAN INI... Mengiringi dan kelihatan dalam foto ini selain Dato' Sri Wan Rosdy ialah Ketua Pegawai Operasi, Pengedaran Automotif, Pertahanan dan Pembuatan & Kejuruteraan, DRB-Hicom, Dato' Abdul Harith Abdullah (kiri sekali) dan, Ketua Pembinaan dan Kejuruteraan, DRB-Hicom, Encik Terence Soo (kanan sekali). 


KOMPLEKS AUTOMOTIF DRB-HICOM, PEKAN – Dengan nilai pelaburan kira-kira RM1,258 juta (RM1.258 billion) serta jumlah tenaga kerja 3,618 orang atau lebih 12,000 ahli keluarga; kewujudan Kompleks DRB-Hicom ini dijangka dapat terus menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi daerah seterusnya negeri dan negara.

Inilah yang dapat disimpulkan hasil lawatan kerja setengah hari Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ke kompleks berkeluasan 315.7 ekar ini pada petang Rabu, 15 Ogos lepas.

Lawatan kerja ini ialah sebahagian daripada acara seharian, yang telah diatur oleh Pejabat Menteri Besar sempena program ‘Tok Wan Jelajah’ seluruh Pahang, yang pada hari Rabu itu di Pekan.  

Acara bermula awal pagi di Bandar DiRaja Pekan dengan beliau bersiar kaki (walkabout) ke Pasar Tani Kekal, bersarapan dengan penjawat awam di Pejabat Daerah dan Tanah, dan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri di tempat sama.

Lawatan kerja ke kompleks ini bermula dengan singgahan-singgahan ke DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dengan 1,249 pelajar, 82 pensyarah serta dengan penyediaan 48 program pengajian;

MARI BERGAMBAR KENANG-KENANGAN... 


TENAGA KERJA ANAK TEMPATAN BERKEMAHIRAN TINGGI

Sebelum singgah dan meninjau, sambil beramah-mesra dengan tenaga kerja di kilang-kilang Isuzu Hicom Malaysia Sdn Bhd dan ke DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech).

Yang terkesan dengan lawatan ini ialah kebanggaan melihat kejayaan konglomerat tempatan dengan sebahagian besar tenaga kerjanya di kilang-kilang merupakan anak Melayu tempatan.

Lebih membanggakan ialah, tenaga kerja-tenaga kerja ini memiliki mutu serta tahap kemahiran tinggi sehingga menyumbang kepada mutu kerja seterusnya pengeluaran dan pemasangan kenderaan yang berkualiti.

Salain kilang-kilang Isuzu dan Deftech, kompleks ini turut meliputi antara lain, kilang Automotive Manufacturer (M) Sdn Bhd – pemasang kenderaan jenis Mercedes Benz, Volkswagen, dan, Mitsubishi Fuso dengan kapasiti kira-kira 15,000 unit setahun.

Dengan pelaburan yang besar – RM1,258 juta (RM1.258 billion) serta komitmen kilang pengeluar kenderaan yang ternama dan banyak, dan pula mempunyai program pengembangan yang jelas untuk masa depan;

Adalah diyakini bahawa, kehadiran Kompleks Automotif DRB-Hicom di Pekan ini ‘is definitely here to stay’, sekaligus mematikan ura-ura sebelum ini bahawa kompleks ini akan dialih ke luar Pahang. 


KATA DATO' SRI WAN ROSDY... Beliau berkata sesuatu pada persidangan media yang diadakan selepas lawatan kerja ke Kompleks Automotif DRB-Hicom ini. Di sebelahnya ialah Dato' Abdul Harith. – Khabar

Sunday 12 August 2018

Isteri Menteri Besar – Datin Sri Burhah rasmi Majlis Jalinan Kasih Persatuan Amal Wanita Pahang di Ibu kota (PERAWAN) bersama asnaf warga Pahang

Seramai 170 asnaf warga Pahang di Kuala Lumpur telah diraikan

DALAM UCAPANNYA PADA MAJLIS PETANG HUJUNG MINGGU... Datin Sri Burhah Mohammed. 


HOTEL GRAND CONTINENTAL, KUALA LUMPUR – Isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri Burhah Mohammed telah hadir merasmikan Majlis Jalinan Kasih Persatuan Amal Wanita Pahang di Ibu kota (PERAWAN) bersama asnaf warga Pahang petang Ahad, 12 Ogos di sini.

Kehadirannya yang juga Pengerusi, Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) disambut Pengerusi PERAWAN, Dato’ Norashikin Taib serta Ahli-ahli Jawatankuasanya.

Sempena majlis ini, seramai 170 asnaf yang berasal dari Pahang tetapi tinggal di Kuala Lumpur telah diraikan, selain masing-masing turut menerima sumbangan wang tunai oleh PERAWAN.

Dalam ucapannya, Datin Sri Burhah menyatakan terharu dan bangganya dengan PERAWAN, yang belumpun usia ‘setahun jagung’ telahpun mampu menjalankan kerja-kerja amal sepertimana petang hujung minggu ini.

“Baharu sahaja ditubuhkan kira-kira lima (5) bulan lepas pada 14 Februari (2018), beberapa kerja amal telahpun dilaksana dan dijayakannya, sungguhpun dengan keterbatasan punca kewangan yang dihadapinya. 

]
MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


TAHNIAH BUAT PENGERUSI KELAHIRAN ROMPIN  

“Pada hari ini sahaja, saya difahamkan, seramai 170 orang asnaf warga Pahang di Ibu kota, diraikan termasuk menerima sumbangan wang daripada persatuan ini.

“Oleh itulah, sukacita saya ucapkan syabas kepada puan-puan dan tuan-tuan sekalian, terutamanya kepada YBhg Pengerusi, Dato’ Norashikin – anak kelahiran Rompin,” katanya tentang persatuan dengan keahlian setakat ini, 80 orang.

Beliau juga memuji PERAWAN kerana bijak mendapatkan kerjasama Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mempunyai segala maklumat termasuk dalam menentu dan mengenal pasti golongan asnaf di Kuala Lumpur ini.

Dengan maklumat yang sahih inilah, Bahagian Baitulmal dan kini dengan penyertaan PERAWAN katanya, dapat bertindak dengan wajar dan berkesannya.

“Misalnya, dengan data yang dikumpulkan oleh Bahagian Baitulmal ini maka kita ketahui bahawa, terdapat kira-kira 800 orang golongan asnaf warga Pahang di Ibu kota ini.

SESI FOTO BERKUMPULAN... Semuanya kelihatan ceria setelah selesai dengan lancar dan jayanya majlis anjuran PERAWAN ini.   


PERJALANAN SERIBU BATU…

“Sudah tentulah bukan kesemua mereka yang dapat dibantu oleh PERAWAN. Namun kata orang, ‘perjalanan sejauh seribu batu bermula dengan langkah yang pertama’. Dan PERAWAN hari ini saya dapati; bukan sahaja telah mengorak langkah pertama tetapi sudah dua (2), tiga (3) langkah ke depan.

“Moga-moga langkah-langkahnya yang akan datang – dengan kerjasama Bahagian Baitulmal serta para penyumbang yang budiman; akan terus mengecapi kejayaan,” katanya lagi.

Pada peringkat awal ini kata Datin Sri Burhah lagi,, mungkin tumpuan PERAWAN ialah kepada golongan asnaf dalam kalangan orang Pahang sahaja, tetapi, apabila kedudukan PERAWAN sudah kukuh kewangannya katanya, haruslah dilebarkan lagi penerima-penerimanya kepada yang bukan warga Pahang pula.

“Dengan ini, PERAWAN – dalam pada memberi perhatian kepada hal-hal melibatkan anak negeri Pahang di ibu kota ini, tetapi turut mengutamakan aspek kebangsaan yang  dengan inilah juga saya percaya, PERAWAN akan akhirnya meletakkan dirinya setanding dengan persatuan-persatuan amal lain, yang lebih ‘established’ kedudukannya,” katanya.

Demi meluaskan lagi fungsi dan peranan PERAWAN, beliau turut sarankan agar – sebagai permulaan, menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, dalam penganjuran aktiviti ‘soup kitchen’.

DIIRINGI MASUK... Datin Sri Burhah yang diiringi Dato' Norashikin, sedang memasuki dewan bagi merasmikan majlis ini.  


ANJURKAN ‘SOUP KITCHEN’ UNTUK SISWA/SISWI DAIF

Penganjuran ‘soup kitchen’ katanya, ialah untuk membantu mengadakan makanan dan minuman secara percuma, kepada golongan gelandangan di ibu kota yang PERAWAN boleh turut serta.

Ada berita melaporkan betapa dalam kalangan mahasiswa/mahasiswi di menara-menara gading di ibu kota ini, turut menghadapi kekangan kewangan hingga menyukarkan mereka untuk membeli dan mendapatkan makanan yang sempurna setiap hari.

“Di sinilah kepada saya, PERAWAN boleh turut membantu, yang dengan itu sekurang-kurangnya pada hari-hari tertentu dalam seminggu, aktiviti ‘soup kitchen’ dianjurkan di lokasi berdekatan dengan kampus-kampus mahasiswa/mahasisiwi ini.

“Yang dengan itu juga, para mahasiswa/mahasiswi berkenaan dapat menikmati dan memanfaati sumbangan makanan yang diberikan, insya-Allah,” katanya lagi. – Khabar



 

Saturday 11 August 2018

Menteri Besar dilantik sebagai Pro Canselor KUIPSAS


… pelantikan ialah sempena Istiadat Konvokesyen ke-17 KUIPSAS

PRO CANSELOR KUIPSAS... Dato' Sri Wan Rosdy - segak dalam jubah Pro Canselor.


BUKIT GAMBANG RESORT CITY, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail telah dilantik sebagai Pro Canselor, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Ia sempena Istiadat Konvokesyen KUIPSAS ke-17 pagi Sabtu, 11 Ogos di sini. Dato’ Sri Wan Rosdy mewakili KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah bagi menyempurnakannya.

KDYMM Sultan Pahang Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah ialah Canselor KUIPSAS. Sebagai wakil, Dato’ Sri Wan Rosdy turut diamanahkan untuk menyampaikan Titah DiRaja KDYMM Pemangku Raja Pahang.

Intipati Titah DiRaja tersebut antara lain menyentuh tentang ilmu yang seharusnya dituntut graduan hingga ke akhir hayat, dan betapa mereka juga perlu turut melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu.

“Saya yakin kejayaan yang dikecapi oleh para graduan pada hari ini akan kekal tersemat dalam lipatan sejarah hidup kalian. Namun harus diingat, perjuangan ini masih belum berakhir, dan perjalanan ini masih panjang.

MENYAMPAIKAN, SEBAGAI WAKIL, TITAH DIRAJA... Berdiri di belakangnya ialah Rektor, Dato' Yahya.


TIADA NOKTAH DALAM PERJALANAN MENIMBA ILMU

“Tiada noktah dalam perjalanan menimba ilmu dan tiada garis penamat dalam usaha mengejar kecemerlangan. Justeru, teruskanlah perjalanan menuntut ilmu selagi hayat dikandung badan, sepertimana kata-kata hukama ‘tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad.

Baginda turut bertitah, “Harus juga diingat bahawa di zaman yang penuh persaingan ini, selain daripada segulung sijil, para graduan perlu melengkapkan diri dengan berbagai ‘softskills’ termasuk kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan dan sebagainya. 

“Tambahan pula, dalam dunia globalisasi dan era Revolusi Industri 4.0, adalah menjadi kemestian kepada setiap graduan berupaya menguasai teknologi terkini agar tidak ketinggalan dengan arus perdana.

“Kemuncaknya, semua ciri-ciri positif ini perlulah ditunjangi dengan keperibadian yang mulia, serta jiwa yang kental dalam mendepani cabaran yang mendatang,” titah Baginda sepertimana disampaikan oleh Menteri Besar.

“Saya percaya sepanjang tempoh pengajian di KUIPSAS siswa-siswi telah berjaya menimba ilmu serta berpeluang melibatkan diri dalam berbagai aktiviti bagi membangunkan kemahiran insaniah. 

HADIAH BUAT PENERIMA ANUGERAH... 


JADILAH KEBANGGAAN KELUARGA

“Nasihat saya supaya para graduan menggunakan segala apa yang dipelajari untuk berbakti kepada masyarakat di samping  mengejar  kejayaan dalam apa jua bidang yang bakal diceburi.

“Inilah langkah pertama dalam membuka lembaran baru masa depan yang cerah untuk kalian semua, sarat dengan cabaran dan melimpah dengan harapan. Garaplah kejayaan yang terbuka luas untuk saudara-saudari.

“Jadilah kebanggaan keluarga dan negara. marilah kita bersama, membangun bangsa dan memakmur negeri,” titah Baginda lagi.

Pada Istiadat ini, 388 graduan daripada 17 kursusu diplioma menerima sijil masing-masing.

Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safianm Ismail yang juga Pengarah, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn Bhd, dan Rektror KUIPSAS, Dato’ Yahya Zainal Abidin. 
DALAM PERARAKAN MASUK...  – Khabar


Tuesday 7 August 2018

Anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri diminta tingkatkan produktiviti dan hasil tahunan

“Dengan hasil yang ditingkatkan serta bertambah itu, adalah diharapkan kadar-kadar tertentu – mungkin antara 15 dan 30 peratus hasil keuntungan tahunan anak-anak syarikat ini, disumbangkan kepada Kerajaan Negeri,” kata Menteri Besar

DALAM UCAPANNYA... 


AMPHITHEATRE, DE RHU BEACH RESORT, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) supaya meningkatkan produktiviti dan hasil tahunan masing-masing, seterusnya menyumbang kembali pada kadar tertentu, kepada Kerajaan Negeri.

“Dengan hasil yang ditingkatkan serta bertambah itu, adalah diharapkan kadar-kadar tertentu – mungkin antara 15 dan 30 peratus hasil keuntungan tahunan anak-anak syarikat ini, disumbangkan kepada kerajaan negeri.

“Pada peringkat permulaan ini, apatah pula hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi tahun 2018 akan berakhir; anak-anak syarikat kerajaan negeri ini mungkin boleh tentukan sendiri jumlah yang mampu mereka sumbangkan.

“Tetapi, bermula tahun depan, perlulah mempunyai plan perniagaan yang jelas, dengan menetapkan sasaran masing-masing tentang jumlah atau ‘recurring returns’ sebenar, yang boleh disumbangkan itu,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian pada Makan Malam bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan S-GLC malam Selasa, 7 Ogos di sini.

KETIBAANNYA DISAMBUT PENUH MESRA... 


ENCIK KAMARUL ARIFFIN IALAH PENYELARAS S-GLC PAHANG

Pada awal ucapannya, beliau telah menyebut kembali cabaran-cabaran yang perlu Kerajaan Negeri hadapi, termasuk untuk membayar kembali hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan kira-kira RM3,200 juta.

Selain itu ialah usaha untuk memperolehi sumber kewangan secukupnya bagi menampung Bajet Negeri yang dibentang setiap tahun, yang bagi Bajet Negeri 2018 ini, memerlukan kira-kira RM700.64 juta untuk menjayakannya.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Wan Rosdy turut mengumumkan pelantikan Encik Kamarul Ariffin Ahmad sebagai Pegawai Khasnya, yang turut bertindak sebagai Penyelaras kepada kesemua 45 S-GLC yang sedia ada.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang perniagaan, Encik Kamarul Ariffin, 46, ialah bekas pegawai kanan di Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), dilantik ke jawatan sekarang berkuatkuasa 1 Ogos lepas.

“Dalam hal ini, tumpuan anak-anak syarikat hendaklah diperbetulkan agar apa juga usaha yang dilakukan, mestilah ke arah membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat juga.

SESI FOTO BERKUMPULAN... 


PELIHARALAH SIKAP BEKERJA BERAMANAH, JUJUR

“Tugas dan tanggungjawab besar Encik Kamarul Ariffin selaku Pegawai Khas saya serta Penyelaras, ialah untuk memastikan ini benar-benar berlaku,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memnita kesemua S-GLC tersebut supaya membetulkan atau menstrukturkan semula syarikat masing-masing dengan mengolah kembali plan-plan pembangunan agar dapat menepati jangkaan serta matlamat Kerajaan Negeri terhadapnya.

Mana-mana S-GLC yang bermasalah dan berada dalam keadaan tersebut untuk jangkamasa yang agak lama katanya, haruslah bertindak dan perlu diberi tempoh tertentu agar kembali berada dalam keuntungan.

Pada setiap lapisan pekerjanya kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, haruslah secara terus-menerus berusaha untuk  tingkatkan lagi kecekapan, elakkan pembaziran dan yang sama pentingnya ialah, sentiasa memelihara sikap bekerja yang beramanah dan jujur.

“Kita harus ingat bahawa Kerajaan Negeri BN di Pahang ialah cuma satu antara dua (2) sahaja Kerajaan Negeri – selain Perlis, yang di bawah kekuasaan BN.

KHALAYAK MALAM SELASA... 


PAHANG JADI TUMPUAN ISTIMEWA  

“Oleh itu, ia sudah tentunya menjadi tumpuan istimewa oleh rakyat. Maka, kita haruslah memberikan fokus yang lebih  demi memastikan kejayaan kita khususnya di mata rakyat-jelata, insya-Allah,” katanya.

Antara yang turut hadir ialah bekas Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; Timbalan Yeng Dipertua, Dewan Negeri, Dato’ Sri Mohamed Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugaam Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin;

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohd Roslan Harun; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; serta lebih 350 Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan S-GLC Pahang.  

MEMPERKENALKAN, ENCIK KAMARUL ARIFFIN AHMAD... 


SEBAHAGIAN LAGI TEKS UCAPAN

Berikut ialah sebahagian lagi ucapan Menteri Besar tersebut;

Adapun hasrat dan matlamat saya selaku Menteri Besar, ke atas 45 anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri, ialah untuk menyaksikan kesemuanya berada dalam keadaan baik dan kukuh, terutamanya daripada segi kewangan.

Dengan ini sahajalah, bukan sahaja anak-anak syarikat ini dapat berdikari (self-reliance), malah, dapat pula menyumbang pada kadar-kadar tertentu, kepada hasil kewangan negeri.

Sudah tentu kita sama-sama memahami betapa Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN);  dijangka menghadapi keadaan yang agak sukar sedikit dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Paling tidakpun, Kerajaan Negeri masih terikat untuk membayar kembali hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan yang sebanyak kira-kira RM3,200 juta (RM3.2 billion).

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat, Dato’ Sri DiRaja Adnan sebelum ini bahawa, hutang-hutang ini bukanlah untuk perkara-perkara yang bukan-bukan.

Ia sebaliknya ialah untuk pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat-jelata, yang telah meletakkan kita – pemimpin-pemimin BN, dalam kedudukan untuk terus memerintah negeri tercinta.

Daripada RM3,200 juta ini, sebanyak RM2,200 juta (RM2.2 billion) sahaja ialah untuk kerja-kerja berkaitan pembekalan air terawat, yang termasuklah bagi kerja-kerja penukaran paip-paip lama jenis asbestos yang sudah usang (yang turut menyumbang kepada tingginya kadar ketidak-berhasilan air [NRW - Non-Revenue Water]), kepada jenis PVC.

Selainnya ialah kira-kira RM200 juta bagi penganjuran SUKMA XV Pahang 2012; dan, RM40 juta bagi usaha-usaha bantuan mangsa banjir pada tahun 2013.

Menurut Yang Berhormat, Dato’ Sri Muhammad Safian, hutang sebanyak RM2,200 juta dijangka dapat dilupuskan sebaik-baik sistem pembekalan air terawat distrukturkan semula oleh Kerajaan Persekutuan, menjelang akhir tahun ini.

Manakala hutang selebihnya, Kerajaan Negeri akan meminta Kerajaan Persekutuan turut melupuskannya memandangkan hutang-hutang tersebut ialah bagi penganjuran SUKMA tahun 2012 iaitu kejohanan sukan bertaraf kebangsaan (RM200 juta).

Dan RM40 juta pula ialah demi membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terkesan teruk dengan banjir besar yang melanda negeri ini pada tahun 2013.

Maka, sepatutnya tinggal lagi RM760 juta baki hutang tersebut dan baki hutang inilah yang sedang kerajaan negeri mencari daya-usaha dan keadah, untuk membayarnya kembali kepada Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga harus berdepan dengan pembentangan bajet tahunan, dan Kerajaan Negeri perlu sediakan peruntukan yang cukup untuknya.

Misalnya, bagi Bajet Negeri 2018 yang dibentangkan pada November lepas (2017), peruntukannya ialah kira-kira RM700.64 juta dengan perbelanjaan mengurus sahaja ialah kira-kira RM700.04 juta.

Daripada manakah kita jangka akan memperolehi peruntukan RM700.64 juta ini, jika tidak daripada hasil-hasil negeri yang kita harap dapat perolehi secara tradisi seperti –

Sebanyak RM337.70 juta daripada kutipan hasil tanah dan galian; RM102.45 juta daripada hasil perhutanan; RM12.50 juta daripada hasil air; RM88.99 juta daripada hasil-hasil lain; dan, RM159.00 juta daripada pemberian geran oleh Kerajaan Persekutuan (yang kini di bawah teraju, PH).  

(Bagi peruntukan pembangunan untuk Bajet Negeri yang sama, ia diperolehi daripada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM108.57 juta yang daripadanya, RM50 juta sahaja ialah bagi urusan pembekalan air oleh Pengurusan Air Pahang Bhd [PAIP]).

Jumlah kewangan ini harus, tidak dapat tidak, diada dan disediakan oleh Kerajaan Negeri yang dengannya, pentadbiran Kerajaan Negeri dapat berjalan secara berkesan dengan matlamat akhirnya, demi mensejahterakan rakyat.

Dan kita semua seharusnya sedar bahawa, rakyat ialah sebenar-benarnya pemegang taruh (stakeholder) utama kepada kepimpinan Kerajaan BN Negeri.

Jika kelak kita kehilangan kepercayaan daripada pemegang taruh ini atau kata mudahnya, pengundi, tentu kita – Kerajaan Negeri pimpinan BN; sama-sama tahu akan penyudahnya terutamanya pada Pilihanraya Umum ke-15 kelak, ‘na‘u-zubillah-himinzalik’. – Khabar