Tuesday 26 April 2016

Koridor Utiliti Pahang



– penyelaras kerja-kerja penyelenggaraan utiliti supaya lebih teratur, cekap dan berkesan, demi kesejahteraan rakyat.

Selain diberi tanggungjawab membangunkan Pangkalan Data Infrastuktur Utiliti Negeri ini.

SEMPURNAKAN 'GIMMICK' PERASMIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan tersenyum-riang selepas menyempurnakan 'gimmick' perasmian. 

Antara yang turut kelihatan (dari kiri ke kanan) ialah Dato' Norul; Dato' Sri Wan Rosdy; Dato' Sharifah Fatimah; Encik Nur Iskandar; dan Dato' Abdul Rahman.   


SILK BALLROOM, SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikan pelancaran Koridor Utiliti Pahang, serta, Seminar Pengurusan Koridor Utiliti dan Pembangunan Pangkalan Data Utiliti Negeri Pahang pagi Selasa, 26 April di sini.

Pelancaran ini khususnya Koridor Utiliti Pahang, tidak akan menyebabkan apa-apa kos tambahan dikenakan ke atas rakyat; sebaliknya ditanggung oleh pengendali utiliti yang sedia ada sendiri.

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri – Dato’ Norul Azali Sulaiman dan Dato’ Johari Husin;

Pengarah Eksekutif, Pahang Teknologi Resources Sdn Bhd (PTR), Dato’ Sharifah Fatimah Syed Omar yang juga, Pengerusi, KUP; Ahli Lembaga Pengarah PTR, Dato' Abdul Rahman; Pengarah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri, Dato’ Sr Mohamad Yunus Md Yusof; dan, Ketua Pegawai Eksekutif KUP, Encik Nur Iskandar Othman.

Menurut maklumat yang disediakan, Koridor Utiliti Pahang diuruskan oleh Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd (KUP) – jalinan usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri, Pahang Technology Resources Sdn Bhd (PTR) dengan Asia Debut (Pahang) Sdn Bhd.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 11-MINITNYA...


JANGAN GAGAL URUS INFRASTRUKTUR UTILITI 

Berperanan sebagai penyelaras kerja-kerja penyelenggaraan utiliti supaya lebih teratur, cekap dan berkesan, demi kesejahteraan rakyat; KUP juga bertanggungjawab untuk membangunkan pangkalan data infrastuktur utiliti negeri ini.

Pahang sebagai sebuah negeri yang menuju ke arah status negeri maju, antara cabarannya ialah dalam hal pengurusan infrastruktur utiliti dengan sebaik-baiknya yang jika gagal, boleh menyumbang kepada pelbagai masalah seperti;

Kerosakan infrastruktur awam (misalnya, permukaan jalan, sistem perparitan dan lanskap); serta, gangguan lalulintas khususnya semasa kerja pemasangan atau kerja-kerja pembaikian kerosakan kepada infrastruktur utiliti sedia ada (seperti, paip pecah dan kabel putus).

“Secara amnya, kegagalan pengurusan infrastruktur utiliti boleh menyumbang kepada pelbagai masalah yang akhirnya, akan mengganggu kesejahteraan rakyat,” demikian menurut maklumat berkenaan.

Bagi menangani soal kegagalan pengurusan infrastruktur utiliti inilah, Kerajaan Persekutuan menerusi agensi-agensi seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), dan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung (JPBD), telah berusaha merangka pelbagai garis panduan dan ketetapan.

SESI FOTO BERKUMPULAN...


PERLU LAKUKAN PEMETAAN BAWAH TANAH

Misalnya, di bawah usaha JPBD, satu Garis Panduan Perancangan Laluan Kemudahan Utiliti (GP006-A) telah diluluskan oleh mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 April 2012.

Garis Panduan itu antara lain menetapkan; setiap kerja pemasangan utiliti perlu dilakukan pemetaan bawah tanah; pemetaan laluan utiliti pula mestilah dibuat secara digital;

Penggunaan teknologi elektronik dan pengkomputeran dalam pengurusan, perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan; dan, pelantikan agensi penyelaras di peringkat negeri bagi menjalankan tugas-tugas penyelarasan, pemantauan, dan,  penyimpanan pangkalan data.

Dibawah usaha JUPEM pula, mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-68 pada 18 september 2014, telah bersetuju dengan Garis Panduan Pelaksanaan Pengukuran Ke atas Jajaran Utiliti Bawah Tanah Semasa Pemasangan.

Garis Panduan ini pula menetapkan antara lainnya - semua kerja pemasangan utiliti perlu ada pemetaan utiliti bawah tanah yang dijalankan oleh juru ukur bertauliah dan dijadikan syarat dalam kelulusan merancang; dan, pemetaan utiliti yang diambil perlu diserahkan kepada JUPEM untuk disimpan.

PARA HADIRIN SEKELIAN... Sedang mengikuti penuh minat, ucapan luar teks 11-minit yang disampaikan oleh Menteri Besar di atas pentas. 


PASTIKAN PELAKSANAAN KETETAPAN GARIS PANDUAN

Bagi memastikan keberkesanan Garis Panduan-Garis Panduan yang dirangka ini, menurut maklumat yang sama, Kerajaan Negeri bersetuju melantik PTR sebagai penyelaras utiliti negeri maka, tertubuhlah KUP.

Fungsinya ialah untuk memastikan pelaksanaan ketetapan Garis Panduan yang berkaitan; menguruskan permohonan, pemberian permit dan sijil sempurna kerja secara atas talian bagi menjamin kelancaran dan ketulusan keseluruhan proses;

dan, untuk membangunkan pangkalan data utiliti negeri pahang serta menjalinkan usahasama dengan JUPEM bagi urusan penyimpanan data.

Menurut maklumat itu lagi, antara masalah utama berkaitan pemasangan infrastruktur utiliti selama ini ialah kerja-kerja penurapan permukaan jalan oleh kontraktor yang dilantik oleh pemilik infrastrutkur iaitu syarikat utiliti sedia ada.

Dengan mengambil contoh pelaksanaan di Bandaraya Kuala Lumpur, menurut maklumat itu, Kerajaan Negeri melalui penyelaras PTR, akan melantik kontraktor turapan yang berkelayakan, dengan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan.

MAMPU JANA EKONOMI HINGGA RM80 JUTA SETAHUN

PTR mengunjurkan kira-kira 200 usahawan (kontraktor) akan dilantik di seluruh negeri pahang bagi menjalankan kerja-kerja penurapan jalanraya. Keseluruhan penjanaan ekonomi bernilai RM40 juta setahun (1,000 KM x RM40,000/KM).

Bagi memastikan pemetaan utiliti bawah tanah dijalankan dengan baik untuk diserahkan kepada JUPEM; PTR juga akan bertanggungjawab melantik juru ukur bertauliah dan berkemampuan menjalankan kerja-kerja pemetaan utiliti bawah tanah serta integrasi dengan peta GIS (Geographical Information System) sedia ada.

PTR mengganggarkan kira-kira 100 usahawan pemetaan utiliti bawah tanah akan diwujudkan dengan janaan ekonomi, juga, kira-kira RM40 juta setahun (2,000 KM x RM20,000/KM).

“Kerajaan Negeri berharap, PTR dengan rakan pelaksana mereka, KUP; akan berjaya menjalankan tugas dan peranan mereka dengan efisien, amanah dan penuh integriti.

“Dalam masa yang sama diharapkan, agensi-agensi Kerajaan di negeri ini termasuklah Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); akan dapat memberikan kerjasama penuh kepada PTR dan KUP dalam menjayakan fungsi dan peranan mereka, insya-Allah,” menurut maklumat berkenaan. – Khabar

Thursday 21 April 2016

Mempromosi Tahun Melawat Pahang 2017


… dengan sasaran kedatangan pelancong antara 14 dan 15 juta orang.

BERMULALAH PROMOSI AWAL, LAPAN BULAN SEBELUM...
 

SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Dengan sasaran kedatangan pelancong antara 14 dan 15 juta orang, promosi Tahun Melawat Pahang 2017 dilancarkan pada majlis meriah petang Khamis, 21 April di sini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Antara yang turut hadir ialah anakanda KDYMM Sultan Pahang, YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang, Tengku Dato’ Shahariah Sultan Ahmad Shah;

Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi, Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin;

beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pengarah, Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab; dan, Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Dato’ Ishak Mokhtar.

Berslogankan ‘Hogoh Pahang’ – hogoh, loghat negeri yang bermaksud gegar; Dato’ Sri DiRaja Adnan turut melancarkan logo serta memperkenalkan maskot, ‘Mat Jumbo’.


CENDERAMATA BUAT KETUA EKSEKUTIF NEGERI... Daripada Mat Jumbo, sambil yang lain memerhatikan termasuk dalam foto ini - Dato' Sri Muhammad Safian, Dato' Sri Mohd Sharkar, dan, Dato' Ishak Mokhtar. 


PENYAMPAIAN BAHAN-BAHAN PENERBITAN

Beliau kemudian menyampaikan bahan-bahan penerbitan promosi kepada wakil-wakil badan pelancongan serta agensi-agensi berkaitan pelancongan di negeri ini.

Kali terakhir Tahun Melawat Pahang dianjurkan ialah lebih 20 tahun lepas pada 1994.

Majlis promosi hari ini berlandaskan premis/angka pelancongan tahun lepas (2015); seramai 10.5 juta kedatangan pelancong yang membelanjakan kira-kira RM7,009 juta, dengan jumlah hotel 529 buah yang menyediakan 29,882 bilik. 

PELEKAT PROMOSI TAHUN MELAWAT PAHANG PADA RAPIDKUANTAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengenakan pelekat promosi pada cermin depan syarikat bas RapidKuantan ini. – Khabar     
   

Monday 11 April 2016

Akurlah kepada syarat dalam tempoh lanjutan moratorium!

“Kerajaan Negeri menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan ini. Ia keputusan terbaik demi kesejahteraan rakyat – yang semestinya perlu sentiasa diutamakan,” kata Menteri Besar.

FOTO FAIL; PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA PADA 6 JANUARI... Ketika inilah, Kerajaan mengumumkan pengenaan tempoh moratorium selama tiga (3) bulan bermula 15 Januari dan berakhir 15 April.  

 
NOTA EDITOR;
 
Ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan tempoh moratorium selama lagi tiga (3) bulan, YOPE KEY-DARE telah menulis artikel berikut.
 
Sama-samalah kita menelitinya serta mungkin – khususnya bagi mereka yang telibat secara langsung ataupun tidak dengan aktiviti bauksit; dapat mengambil satu-dua pengajaran daripadanya.

 
Oleh YOPE KEY-DARE

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan atas ketegasannya melanjutkan lagi tiga bulan tempoh moratorium aktiviti bauksit di Kuantan, yang asalnya berakhir Jumaat, 15 April, kini dipanjangkan kepada 15 Julai pula.
 
Ini sepertimana diumumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Dato' Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan media pasca-Mesyuarat Kabinet di Kementeriannya di Putrajaya, pada Jumaat lepas (8 April).
 
Keputusan ini menerima reaksi segera daripada Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menerusi kenyataan medianya menyebut; “Saya telah dihubungi dan dimaklumkan tentang keputusan Kabinet ini oleh Dato' Sri Dr Wan Junaidi.
 
“Kerajaan Negeri menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan ini. Ia keputusan terbaik demi kesejahteraan rakyat – yang semestinya perlu sentiasa diutamakan”.
 
Lanjutan itu, rata-rata penduduk Kuantan yang diminta reaksi mereka oleh pihak media telah menyatakan kegembiraan mereka dengan keputusan yang memang dinanti-nantikan itu.
 
SUDAH TERHANTUK BARU TERGADAH
 
Namun, sepertimana yang diduga, para pengusaha aktiviti ini membantahnya. Seperti sudah terhantuk baru tergadah, baharu sekarang hendak bersuara kononnya turut memperjuangkan nasib serta periuk nasi para pekerja mereka.

“Masalah sebenar bertunjang daripada pengusaha haram tetapi berakhir dengan kami pula menjadi mangsa,” demikian dakwa seorang daripada pemimpin sebuah persatuan – terdiri daripada 15 pengusaha bauksit, yang hanya akhir tahun lepas ditubuhkan itu.
 
Dan beliau mahu kita semua mempercayai serta ‘menelan bulat-bulat’ kata-katanya itu? Maaflah. Kita boleh sahaja katakan kepadanya supaya ‘go fly a kite’lah dengan alasan untuk meraih simpati itu.  
 
Bukanlah rahsia lagi betapa, setiap pengeluaran mineral termasuklah bauksit, mestilah berserta dengan dokumen-dokumen tertentu yang pada peringkat akhir untuk menjual atau mengeksport; memerlukan Permit Kelulusan (AP) daripada NRE untuk melaksanakannya.
 
Bagaimanakah pengeluaran oleh pengusaha-pengusaha bauksit haram ini hendak menyaksikan penjualan dan pengeksportan jika tidak secara menumpang dengan AP (semestinya dengan kos) yang dimiliki oleh pengusaha-pengusaha yang sah?   
 
NILAI EKSPORT STOK SIMPANAN BAUKSIT, RM290 JUTA!
 
Jika soal kehilangan pendapatan yang didakwa oleh persatuan yang sama – kira-kira RM400 juta sebulan akibat daripada pengenaan tempoh moratorium ini; ia juga tidak boleh diterima.
 
Selain di Pelabuhan Kuantan sendiri, yang kini (setakat 11 April), jumlah stok simpanannya tinggal 23,000 tan sahaja lagi; stok simpanan di 11 kawasan lain masih kekal pada 1.3 juta tan manakala di persekitaran lombong-lombong bauksit sendiri, kira-kira 2.3 juta tan. Kesemuanya, 3,623,000 tan atau kira-kira 3.62 juta tan.
 
Dalam tempoh lanjutan tiga (3) bulan inilah (15 April – 15 Julai), kesemua stok simpanan ini mesti dilupuskan dalam bentuk pengeksportan ke luar negara. Dengan harga kira-kira RM80 setan, pendapatan daripada pengeksportan kesemua 3.62 juta tan nanti ialah RM289,984,000 atau kira-kira RM290 juta!
 
Ke manakah perginya wang sebanyak kira-kira RM290 juta ini jika tidak ke kocek para pengusaha sendiri setelah membuat bayaran sebagai pendapatan bagi para pekerja termasuk pemandu-pemandu lori pengangkut bahan mineral tersebut.
 
Sudah tentulah cabaran kepada pengusaha-pengusaha ini ialah untuk terlebih dahulu mendapatkan AP daripada NRE, yang dengannya baharulah boleh melakukan urusan dengan pembeli dari Negara China untuk menjual dan mengeksportnya.
 
PERLU DAPATKAN BORANG 13D SERTA AP
 
Dan mereka tidak boleh lagi melakukan kerja-kerja pengangkutan atau pemindahan – dengan perlu pula mendapatkan Borang 13 D (dokumen pemindahan mineral) daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri; secara ‘gelojoh’ dan tergesa-gesa.
 
Bagi setiap pengeluaran sama ada AP oleh NRE atau sebelum itu, Borang 13D oleh PTG; Kerajaan mungkin boleh bersetuju dengan permintaan sebuah lagi persatuan yang lebih lama kewujudannya – Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang; untuk terlebih dahulu mendapat pengesahan daripadanya.
 
Dengan ini, tahap kebertanggungjawaban persatuan adalah lebih demi memastikan laku-gelagat ahli-ahli persatuannya termasuk para pengusaha bauksit; sentiasa dalam ‘radar’ kepatuhan syarat-syarat di bawah Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang akan Kerajaan perkenalkan.
 
Di Pelabuhan Kuantan sendiri, menurut pihak berkuasanya, kapasiti pengendalian di empat dermaganya hanyalah 1.5 juta tan sebulan atau 4.5 juta tan dalam masa tiga bulan. Maka, dengan jumlah stok simpanan sebanyak kira-kira 3.62 juta tan, kesemuanya boleh diselenggara untuk pengeksportan dalam tempoh tiga bulan ini atau lebih awal lagi.
 
Masalahnya di Pelabuhan Kuantan sebelum ini ialah apabila pada satu ketika, stok simpanan hingga mencecah tiga juta tan – melebihi sekali ganda daripada kapasiti sebenar.
 
1.5 JUTA TAN IALAH KAPASITI DI EMPAT DERMAGA PELABUHAN KUANTAN
 
Dan ketika itu, terdapat sehingga 2,000 ‘trip’ lori mengangkut bahan mineral tersebut ke pelabuhan berkenaan dalam sehari, yang oleh kerana itulah berlaku pencemaran tersangat teruk sehingga menyebabkan limpahan ke laut berdekatan, menjadikannya kemerah-merahan.
 
Dengan ketegasan nanti - akur kepada kapasiti Pelabuhan Kuantan sebanyak 1.5 juta tan sebulan, maka, jumlah ‘trip’ lori di atas jalanraya sebelum memasuki kawasan pelabuhan pun boleh dikurangkan yang mungkin tidak begitu menyesakkan serta membahayakan nyawa pengguna jalanraya lain.
 
Lori-lori ini pula – selain perlu melalui peringkat pembersihan di kawasan ‘washing bay’ yang lebih teratur dan berkesan yang para pengusaha perlu sediakan, muatannya mesti tidak melebihi had dan ditutup kemas; ia juga perlu dipastikan bergerak pada kelajuan 60 KM sejam sahaja.
 
Soalnya sekarang, mahu atau tidak mereka – para pengusaha serta operator pengangkutannya, akur kepada syarat-syarat yang ditetapkan yang akan perkukuhkan lagi apabila SOP menyeluruh mengenainya siap dan dikuatkuasakan kelak? – Khabar

 

  

 

Thursday 7 April 2016

Bersih, tenang, aman, tenteram!



… keadaan sekarang di Kuantan yang harus dikekalkan jika pengusaha bauksit hendak dibenarkan beroperasi semula, tegas Menteri Besar.    

MENDONGAK, MELIHATKAN BAHAGIAN SILING RUMAH... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang melihat ke bahagian siling rumah sambil mendengar apa yang diperkatakan oleh Dato' Sri Liow mengenainya. Yang turut kelihatan ialah Dato' Azhar.

TAPAK PROJEK PERUMAHAN RAKYAT DIMILIKI (PPRM), KAMPUNG BARIS, SIMPANG PELANGAI, BENTONG – ‘Bersih, tenang, aman, tenteram’ – inilah keadaannya di Kuantan sekarang dalam tempoh tiga (3) bulan moratorium dikenakan ke atas aktiviti bauksit di sana.  

Maka, jika tempoh ini terhenti setakat pertengahan bulan ini lalu, para pengusaha bauksit kembali dibenarkan beroperasi semula; jaminan keadaan inilah juga – ‘Bersih, tenang, aman, tenteram’ dituntut daripada mereka.

“… saya ucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan juga pihak Kementerian kerana adakan moratorium ini. Dan kita nampak Kuantan sekarang ini, lain sangat – bersih, tenang, aman, tenteram (tidak sepertimana semasa aktiviti bauksit rancak berlangsung).  

“Jadi, kalau bauksit nak dikeluarkan (kembali), keadaan ini mesti berterusan. Kalau sebab bauksit esok, keadaan balik kelam-kabut, ha, itu terpulang kepada Menteri (Kabinet untuk) buat keputusan,” inilah kata-kata tegas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian pada persidangan media tengah hari Khamis, 7 April sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Cabutan Undi PPRM Simpang Pelangai di Kampung Baris ini.

PENYERAHAN KEPADA SEORANG DARIPADA 129 PENERIMA... 
 

PERTIMBANGAN UTAMA BUKAN SOAL DUIT…

Beliau diminta mengulas keputusan yang bakal diambil oleh Kabinet pada mesyuaratnya minggu depan, tentang sama ada akan melanjutkan atau tidak, tempoh moratorium berkenaan yang bermula 15 Januari dan berakhir 15 April ini.

“Kerajaan Negeri boleh belaka - terus boleh, berhentipun boleh. Tapi kalau nak diteruskan (semula operasi aktiviti bauksit), pertimbangan utama bukan soal duit tapi keselesaan rakyat,” tegasnya lagi.

Menurutnya, Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang terperinci mengenai aktiviti bauksit kini sedang pada peringkat akhir penyiapan (finalise) oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Di pihak Kerajaan Negeri katanya, satu perbincangan khusus akan diadakan minggu depan untuk melihat apakah lagi ciri-ciri penambah-baikan yang boleh dicadangkan untuk pelaksanaan.

“Apa lagi ‘recommendation’ kita kepada Kerajaan Persekutuan. Apa lagi yang patut ditambah-baik. Contoh - saya telah berikan pandangan supaya lori-lori mengangkut bauksit had laju(nya) tidak lebih 60 KM sejam.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS, LUAR RUANG ROSTRUM, 25-MINITNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bersahaja dalam menyampaikan ucapan luar teksnya, yang antara lain memesankan betapa Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah demi mensejahterakan rakyat termasuklah dalam mengadakan perumahan mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.  

Selain Dato' Sri Liow; antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Roslan (separuh terlindung di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan); Dato' Azhar (berbatik merah jambu); Encik Mohamed Ali; dan, Encik Md Yusli (kanan sekali). 

HAD LAJU LORI BAUKSIT CUMA 60 KM SEJAM

“Menteri (Pengangkutan) kata dah setuju. Maknanya, dikunci (pedal) ‘accelerator’ (pada lori), dia (pemandu lori) tekan banyak manapun, (lorinya masih bergerak pada kelajuan) 60 KM sejam,” katanya.

Mengenai PPRM Simpang Pelangai ini, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga wakil rakyat negeri di sini (BN – Pelangai) berkata, 129 unit telah siap manakala 100 lagi akan dibina di atas tapak berdekatan.

“Saya puas hatilah tengok - rumah ini baik, hanya kedudukan bilik air dengan dapur sahaja…,” katanya mengenai PPRM ini yang setiap unit berharga RM30,000 bagi unit tengah, dan, RM35,000 bagi unit tepi; serta layak untuk yang berpendapatan bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah sahaja.   

Menurutnya, permohonan bagi rumah PPRM di seluruh Pahang kini ialah 15,000 yang tidak mungkin dapat dipenuhi kesemuanya yang oleh itulah, program-program perumahan lain mungkin boleh turut membantu.

“Itu sebab kita kena buat juga rumah (mampu-milik) lain. Semua nak harapkan rumah PPRM tak boleh. Tak boleh harapkan projek ini sahaja, tak boleh. Itu sebab kita ada PR1MA Malaysia, PR1MA Pahang,” katanya lagi.

SEBAHAGIAN DARIPADA PARA PENERIMA... 


AHLI PARLIMEN BENTONG TURUT HADIR

Antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Khamis ini ialah Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang juga wakil rakyat parlimen (BN – Bentong); Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Roslan Harun; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad;

Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Hoh Khai Mun; Timbalan Setiausaha, Jabatan Perumahan Negara, Kementeran Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Mohamed Ali Othman;

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Encik Mohammad Shahid Ismail; dan, Setiausaha Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus. 

RUMAH TERES SETINGKAT... Kos pembinaan sebenar ialah kira-kira RM86,000 seunit tetapi kerana sikap ambil berat Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri yang telah menyediakan tapak/tanah tanpa kenaan premium, pembeli rumah PPRM ini cuma perlu membayar RM30,000 bagi unit tengah dan RM35,000 bagi unit tepi. 

Yang bermakna, mereka mendapat subsidi atau boleh jimat antara RM51,000 dan RM56,000 seunit yang bukanlah calang-calang nilainya! – Khabar