Wednesday 24 February 2016

Yayasan Pahang (YP) taja guru ke Anugerah Guru Global 2016 di Dubai



MENGUMUMKAN PENAJAAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Puan Noorjahan dan Pengurus Besar YP, Dato' Mahmud Nawawi.
 

TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Yayasan Pahang (YP) mengumumkan penajaan ke atas Puan Noorjahan Sultan, guru pra-sekolah dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota, yang terpilih dalam kalangan 50 guru seluruh dunia untuk Anugerah Guru Global 2016 di Dubai, Mac depan.

Ketika mengumumkannya, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, tajaan berupa penginapan dan tiket perjalanan itu merupakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan Noorjahan dalam memartabatkan bidang pendidikan negara sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Beliau merupakan seorang guru yang kreatif dengan menghasilkan kaedah baharu pengajaran dalam Bahasa Inggeris untuk pelajar, sehingga tercalon untuk Anugerah Guru Global 2016.

“Namun, tidak ramai yang datang membantu beliau dan sebagai mengiktiraf kejayaannya, Yayasan Pahang bersetuju menaja penginapan dan perjalanan beliau,”
kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media selepas menyampaikan sumbangan tajaan itu pagi Rabu, 24 Februari di sini.

Ini sepertimana laporan berita oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang tersiar dalam portal beritanya pagi Rabu ini.

DARIPADA BEKAS GURU KEPADA SEORANG GURU... 


GURU BERPENGALAMAN 22 TAHUN

Puan Norjahan, 45, merupakan guru pra-sekolah yang berpengalaman selama 22 tahun dalam bidang ini. Beliau ialah antara dua (2) calon dari negara ini yang terpilih daripada kira-kira 8,000 penyertaan dari 150 negara, untuk merebut anugerah berkenaan yang menawarkan hadiah bernilai RM4.3 juta.

Anugerah anjuran Yayasan Varkey GEMS yang berpangkalan di Dubai itu, merupakan pencalonan kedua dari Malaysia selepas seorang guru fizik, Yasmin Noorul Amin, 38, tersenarai dalam kalangan 50 guru untuk anugerah yang sama tahun lepas.

Puan Norjahan memperkenalkan kaedah pembelajaran berirama dan mengasilkan buku 'Lets Rhyme' yang direka khas untuk meningkatkan pemahaman Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak berusia antara lima (5) dan 12 tahun.

Beliau yang ditemui pemberita, merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar dan YP atas tajaan berkenaan, dan berharap dapat memberikan lebih banyak sumbangan dalam bidang pendidikan di negara ini terutamanya di Pahang. 

PUAN NOORJAHAN DENGAN CENDERAMATA YANG DITERIMANYA... Semoga beliau berjaya nanti. – BERNAMA