Thursday 21 February 2019

Tindakan bersepadu tangani aktiviti perlombongan dekat Tasik Chini


“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari),” kata Menteri Besar.

KE MANA MENGALIRNYA KELODAK DARI TAPAK YANG TELAH DICEROBOHI INI JIKA TIDAK KE TASIK DI BAHAGIAN BAWAH SANA... Beberapa pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan kita sedang meninjau tapak yang diceroboh pada petang semalam. 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri mengesahkan satu tindakan susulan bersepadu melibatkan beberapa jabatan kerajaan berkaitan telah dilakukan petang semalam (Rabu, 20 Februari) ekoran aduan mengenai aktiviti perlombongan berhampiran Tasik Chini, Pekan.

“Aduan diterima ialah menerusi panggilan telefon daripada seorang penyelidik yang bertugas di tasik tersebut pada 14 Februari, dan daripada JAS sehari selepas itu (15 Februari).

“Aduan oleh penyelidik berkenaan antara lain menyebut tentang aktiviti perlombongan yang tiba-tiba meningkat di sebuah daripada lombong yang ada di situ, yang telah melarat hingga menghampiri perairan Tasik Chini,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy dalam kenyataan media petang Khamis, 21 Februari.

Penyelidik itu juga menurutnya, mengadu berlakunya pergerakan secara tiba-tiba lori-lori mengangkut tanah yang berkemungkinan bijih besi, masuk dan keluar di atas tapak Pusat Latihan Kemahiran Negara (PLKN) selepas jam 10 malam setiap hari.

Ekoran itu, tindakan bersepadu melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pekan telah dijalankan petang semalam ke tapak PLKN berkenaan dan kawasan lombong yang dimaksudkan.

LAGI KAWASAN YANG DICEROBOH... 


ADA BEKAS KERJA-KERJA PENEBANGAN/PENGOREKAN

Ketika tindakan tersebut didapati, tiada kerja-kerja ataupun jentera yang terdapat di atas tapak tetapi yang didapati ialah bekas kerja-kerja penebangan pokok dan aktiviti mengorek tanah dipercayai untuk maksud penjualan.

Status tanah pula menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, merupakan masih Tanah Kerajaan yang dalam proses untuk pertukaran hakmilik kepada Perbadanan Setiuasaha Kerajaan (PSK).

“Berdasarkan perbincangan bersama oleh jabatan-jabatan terlibat telah memutuskan agar PTG, PDT Pekan dan JMG mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan sambil menyediakan laporan lengkap mengenainya.

“Keputusan juga dibuat agar satu pasukan pengawasan penguatkuasaan PTG ditempatkan di tapak lain dalam kawasan yang dipercayai telah diceroboh untuk tujuan perlombongan tersebut,” katanya. 


APA YANG HANYA TINGGAL... – Khabar




Wednesday 6 February 2019

“Menang sorak, kampung terbela”


“Saya pula sering mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri mahupun rakan-rakan politik betapa, jikapun kita perlukan publisiti, biarlah ianya yang membawa kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung tergadai’.

“Ternyata sekali, YB Ramli dalam tempoh 14-hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya terutamanya daripada DAP itu,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy. 

DOUBLE THUMBS-UP...  Dato Sri Wan Rosdy dalam aksi mengangkat tanda bagus berganda.   


NOTA EDITOR ;

Ekoran kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Encik Ramli Mohd Nor pada Pilihanraya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands 26 Januari lepas, Pengarang Rencana, akhbar Utusan Malaysia, Sdr Zulkifli Jalil telah mewawancara Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengarah Pilihanraya untuk BN bagi PRK tersebut.

Berikut disiarkan sepenuhnya hasil wawancara berkenaan. Wawancara yang sama yang dijangka disiarkan dalam  Utusan Malaysia esok, Khamis 7 Februari hanyalah sebahagian tertentu daripadanya ekoran masalah kekangan ruang (space constraint).

Singkatan DSWR merujuk kepada Dato’ Sri Wan Rosdy manakala ZJ ialah Sdr Zulkifli Jalil.     


ZJ (01) : Selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tempoh hari, apa yang dapat dikongsi oleh Dato’ Sri hasil kerjasama UMNO-Pas dalam memastikan kemenangan calon BN?

DSWR : Sebelum bercakap tentang kerjasama (‘collaboration’) UMNO-PAS ini, sukacita saya katakan terlebih dahulu mengenai hubungan mesra (‘friendly relations’) antara UMNO dengan PAS di negeri Pahang ini, yang telah lama terjalin dan menjadi bertambah mesra lagi selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Dengan mengambil pedoman (‘cue’) daripada hubungan mesra antara UMNO dan PAS di peringkat kepemimpinan pusat yang ketika itu UMNO diketuai oleh Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi; saya sendiri telah mengambil inisiatif agar hubungan mesra UMNO-PAS di Pahang diperkukuhkan lagi.

Ekoran itulah, beberapa siri perjumpaan formal dan tidak formal telah diadakan antara saya dengan kepemimpinan PAS peringkat negeri yang diketuai oleh Pesuruhjayanya, YB Rosli Abdul Jabar yang juga wakil rakyat Tanjung Lumpur.

Daripada siri-siri perjumpaan inilah telah wujud seperti keserasian antara kedua-duanya sehinggakan, apabila saya melawat kawasan dilanda banjir di Beserah tahun lepas, telah turut diiringi oleh wakil rakyat di situ yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Andansura Rabu.

HUBUNGAN MESRA BERTUKAR JADI KERJASAMA PULA

Momentum hubungan mesra ini yang tentunya berasaskan kejujuran, terus kekal hinggalah ketika mana PRK P078 Cameron Highlands perlu diadakan, yang dengan itu, bak kata orang – ‘Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal’.

Maka, hubungan mesra inipun diterjemahkan pula kepada bentuk kerjasama, yang dengan itulah, PAS membuat keputusan untuk tidak meletakkan calonnya bertanding pada PRK ini. Dan yang lebih penting lagi, undi lebih 3,000 undi yang diperolehi calonnya pada PRU lepas telah diberikan kepada calon UMNO/BN pada PRK ini.

Pemberian undi yang besar ini saya harus akui, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan – setelah lebih 60 tahun UMNO/BN dianggap musuh sepertimana Encik Wan Mahadir Wan Mahmud, AJK PAS Cameron Highlands katakan.

Namun oleh sebab wala’ mereka terhadap arahan pemimpin parti dan saya percaya, ia turut ada kena-mengena dengan kepercayaan mereka kepada kejujuran oleh kepemimpinan UMNO Negeri sendiri, maka undi merekapun diberikan.

Saya sendiri dapat merasai bahawa kerjasama UMNO-PAS ini adalah sesuatu yang ‘real’ tatkala saya tiba awal pagi (Sabtu, 26 Januari) ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, Lipis untuk mengundi.

KEPUTUSAN ‘LUAR KOTAK’

Dalam perjalanan pulang, saya didatangi penyokong/pengundi PAS yang sudi bersalaman dan berpelukan dengan saya, yang tentunya menandakan sesuatu yang positif sedangkan ini tidak pernah berlaku pada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya.

Malahan, ketika pegumuman dibuat (pada malam Sabtu, 26 Januari dalam Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Hj Ahmad Shah, Tanah Rata), penyokong-penyokong PAS tetap setia berada dalam dewan serta datang kepada saya mengucapkan tahniah, termasuklah Encik Wan Mahadir. Takbir dilaungkan pula ketika saya hendak meninggalkan Dewan.

ZJ (02) : Bagaimana tercetus idea mencalonkan Encik Ramli Mohd Nor. Bolehkah kongsi kisah-kisah ‘human interest’ mengenai detik-detik pemilihan beliau dan kriteria yang dimilikinya?

DSWR : Segala-galanya berlaku ekoran calon BN dari MIC yang diuar-uarkan untuk bertanding semula, rakan saya, Datuk C.Sivarraajh, telah diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak layak berbuat demikian atas peraturan-peraturan yang telah ia nyatakan.

Memanglah jika menurut tradisi, kerusi Cameron Highlands dikhaskan untuk MIC. Namun, dengan senario terkini apatah pula dengan segala sentimen negatif ekoran kejadian tidak diingini berlaku di Selangor, saya telah terfikir, sesuatu yang di luar daripada kebiasaan atau ‘out of the box’ harus diambil dalam penentuan calon kita.

TERIMA KASIH BUAT MIC

Dalam pada itu, saya telah terbayangkan kemungkinan meletakkan seseorang dalam kalangan Orang Asli sebagai calon dan kebetulan, nama Encik Ramli Mohd Nor telah timbul lalu saya berjumpa dengannya, kemudian cuba meyakinkan semua bahawa Encik Ramlilah orangnya.

Saya akui, saya ada sebut dalam ucapan saya pada majlis 9 Januari lepas di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis betapa, bukanlah mudah untuk mendapatkan calon ini “apabila kita hendak buat perubahan” yang melibatkan perjumpaan dan perjumpaan hingga awal pagi.

“Akhirnya pagi semalam (8 Januari), kita mendapat kata putus – adalah calon yang memenuhi selera orangramai dalam Parlimen Cameron Highlands,” kata saya tanpa menyebut lagi nama calon kita Encik Ramli ketika itu.

Selain beliau Orang Asli yang dengan pemilihannya akan menjadikannya Orang Asli pertama sebagai Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, beliau juga beragama Islam yang dengan ini memudahkan pengundi yang sebahagian besarnya ialah Melayu/Islam, untuk mengundinya.

Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada MIC khususnya Presidennya, Tan Sri Vigneswaran, yang telah sudi mengorbankan kerusi untuk diserahkan kepada UMNO. Juga terima kasih saya kepada pemimpin-pemimpin MIC peringkat pertengahan dan bawahan serta ahli-ahlinya, yang terus berkempen demi kemenangan calon kita.         

KURANG BERCAKAP, ELAK KESILAPAN

ZJ (03) : Kelihatan segala percaturan calon DAP/PH tidak menjadi. Ada sahaja apa yang dibuat sepanjang kempen 14 hari itu tidak menjadi. Apa yang dapat dikongsi Dato' Sri akan hal ini?

DSWR : Dalam menjawab soalan ini, saya teringatkan kata-kata YB Ramli sendiri yang ditanyakan wartawan tentang keengganannya untuk lebih banyak bersuara atau bercakap dengan pihak media, tidak sepertimana lawannya dari DAP itu.

Dan YB Ramli menjawab yang beliau tidak boleh berbuat demikian kerana bimbangkan apa yang dicakapkanya itu mungkin tersilap, hingga menimbulkan kontroversi.

Dan calon DAP yang ‘kerana pulut, santan binasa, kerana mulutlah badan binasa’. Lihat sahaja kontroversi yang diakibatkannya apabila menyentuh tentang kononnya ‘kuih’ yang Orang Asli jual tak akan dibeli oleh orang Melayu.

Begitu jugalah apabila calon DAP itu mempertikaikan tentang pelbagai perkara termasuk kononnya saya sebagai wakil rakyat Dewan Negeri Jelai, tidak berbuat apa-apa untuk membina jalanraya di kawasan saya.

PENGUNDI LEBIH FAHAMI PEMBANGUNAN YANG DIBAWA

Sedangkan, Jalanraya Tanahtinggi Ringlet-Sungai Koyan sejauh 79.1 KM yang dilaluinya dari Tanah Rata untuk sampai berkempen ke kawasan Jelai, ialah jalanraya yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan siap semasa saya berada dalam penggal kedua saya sebagai wakil rakyat di situ.

Jadi, bila kita menjawab balik dengan fakta-fakta pula itu, dan pengundi pula lebih memahaminya; ia sudah jadi satu ‘backlash’ yang teruk juga terhadap kempen pilihanrayanya.

Saya pula sering mengingatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri mahupun rakan-rakan politik betapa, jikapun kita perlukan publisiti, biarlah ianya yang membawa kebaikan kepada diri bukannya setakat, ‘menang sorak’, tetapi ‘kampung tergadai’.

Ternyata sekali, YB Ramli dalam tempoh 14-hari kempen PRK ini, tidaklah sangat ‘menang sorak’ tetapi akhirnya, beliau keluar sebagai pemenang mengatasi calon lawannya terutamanya daripada DAP itu. 

ZJ (04) : Biarpun Pakatan Harapan menurunkan Menteri-menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, waima TPM dan PM sekali pun, apa yang cuba `dijual’ oleh mereka kepada pengundi dan masyarakat di Cameron Highlands tidak `dimakan’ oleh mereka. Mengapa?

SEBAB PENGUNDI TAK TERPENGARUH

DSWR : Sebabnya, sepertimana saya pernah sebut sebelum ini lagi, mereka gemar ‘memutarkan semula piring hitam lama’ yang kepada pengundi di sini, sudahpun terlebih maklum mengenainya.

Oleh sebab itulah, apabila PM sendiri yang turun ke Sungai Koyan sehari sebelum hari mengundi, dan membangkitkan hal-hal berkaitan kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak; ia langsung tidak dapat mempengaruhi pengundi.

Begitu juga apabila Menteri Kewangan berceramah, mempertikaikan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri pimpinan saya yang kononnya tidak mungkin dapat mentadbir negeri dengan baik kerana hutang besar kami kepada Kerajaan Persekutuan;

Inipun tidak dipedulikan oleh pengundi dan penduduk setempat. Kenapa? Sebab ini bukan perkara baharu. Dalam persidangan Dewan Negeri sebelum inipun telah dijelaskan khususnya apabila hutang-hutang ini adalah berkaitan keperluan asas berkenaan sistem bekalan air.

Selepas itu, Menteri yang sama juga ada ‘tendency of shifting the goalpost’. Apabila soal hutang tidak ambil kisah, dituduhnya pula Kerajaan Negeri mengalami bajet deficit terkumpul sebanyak RM228.37 juta bagi tempoh empat (4) tahun (2014 – 2017), yang dengan itu kononnnya, tidak memungkinkan Kerajaan Negeri ini mentadbir negeri dengan baik.

MAMPUKAH KEJAYAAN DIULANGI DI SEMENYIH?

Dalam mengatakan soal itu, beliau mungkin ingat pengundi/rakyat tidak tahu betapa defisit bajet Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tahun 2019 ini sahaja ialah kira-kira RM352.8 juta, manakala defisit tahun 2018nya ketika mana Menteri itu ialah Ketua Menteri, ialah kira-kira RM748.5 juta!

Daripada segi itu sahajapun, pengundi sendiri tahu betapa Menteri berkenaan rupa-rupanya ‘dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih’! Makanya, apa juga yang di‘jual’nya tidak ‘dibeli’ atau ‘ditelan’ orang di Cameron Highands khususnya di Dewan Negeri Jelai.

ZJ (05) : Mampukah buah kemenangan di Cameron Highlands ini laku sekali lagi di PRK DUN Semenyih 2 Mac depan?

DSWR : Dengan kebangkitan BN yang sebenar-benarnya di Cameron Highlands, apatah pula dengan kerjasama kukuh daripada PAS, pada pandangan saya, tidak mustahil bagi BN untuk meraih kejayaan yang sama di sana.

Tetapi, kita harus sentiasa ingat bahawa – ‘lain padang, lain belalang, lain orang, lain ragamnya’. Apapun, kejujuran yang sentiasa menjadi asas kepada kerjasama UMNO-PAS harus terus dititik-beratkan.

KATA KUNCI ; KESEPAKATAN DAN KESETIAKAWANAN

ZJ (06) : Berhubung keutuhan UMNO Pahang dalam mengharungi cabaran semasa politik tanah air mampukah bertahan/berdaya saing.

DSWR : InsyaAllah, kita akan terus mampu mempertahankannya, hendak-hendak pula kita sentiasa mementingkan kesepakatan – bekerja sebagai satu pasukan, sebuah keluarga besar dan kesetiakawanan dalam parti.

Ini sepertimana pada PRK di Cameron Highlands apabila tokoh-tokoh besar kami seperti Dato’ Sri Mohd Najib, dan ‘mentor’ saya, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, telah turut turun padang membantu jentera parti menjayakan misi perjuangan kami.

ZJ (07) : Apa yang sepatutnya/wajar dilakukan/diteruskan oleh barisan kepemimpinan UMNO/BN Pahang dalam menjamin survival parti di Pahang memandangkan Pahang selain Perlis, kini menjadi kubu kuat UMNO.

DSWR : Kata kuncinya di sini ialah – kesepakatan (‘unity’) dan bekerja sebagai satu pasukan, sebuah keluarga, serta kesetikawanan (‘comradeship).

SEMOGA PERJUANGAN DIBERKATI ALLAH SWT

UMNO Pahang sendiri telah buktikan selama ini betapa dengan kesepakatan dan kesetiakawanan antara pemimpin dengan pemimpin tidak kira di peringkat mana sekalipun; serta, antara pemimpin dengan ahli-ahlinyalah yang menyumbang kepada kekukuhan parti – dulu, kini dan selama-lamanya.

Dan kita di Pahang, tidak suka malah benci kepada rasmi ketam, yang tidak membenarkan dalam kalangan mereka untuk ‘naik ke atas’ dan berjaya.

Kita juga tidaklah teruja sangat untuk dikenali sebagai kubu kuat UMNO. Yang penting, kita perlu sentiasa pelihara kekuatan ini menerusi kedua-dua ‘kesepakatan’ dan ‘kesetiakawanan’ ini.

Moga-moga perjuangan kita di negeri ini, diberkati Allah Subhanahu Wata‘ala. Amin. – Khabar