Saturday 30 July 2016

Lebih 50,000 orang hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pekan


Saya mesti ‘istiqamah’ pada tugas serta tanggungjawab saya sama ada sebagai Ahli Parlimen Pekan mahupun Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan hampir 30 juta rakyat Malaysia,” kata Dato' Sri Mohd Najib

PEMIMPIN UTAMA KITA, MESRA DENGAN RAKYAT-JELATA... Dato' Sri Mohd Najib sedang mencedukkan lauk ke pinggan anak ini - yang tentunya teruja mendapat layanan teristimewa daripada pemimpin nombor satu negara. 

Berada di belakang Dato' Sri Mohd Najib ialah wakil rakyat negeri, Dato' Sri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali (BN - Peramu Jaya). 
 


TAMAN TASIK SULTAN ABU BAKAR, PEKAN – Lebih 50,000 orang masyarakat tempatan dan luar termasuk luar Pahang, menghadiri serta memeriahkan Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pekan yang juga Perdana Menteri pada Sabtu, 30 Julai di sini.

Selain meraikan tetamu-tetamu utama, tuanrumah – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, disertai isteri, Datin Sri Rosmah Mansor; turut beramah-mesra dengan yang hadir.

KDYMM Sultan Pahang turut berangkat, diiringi DYMM Sultanah Pahang, serta, KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang yang disertai anakanda-anakanda Baginda.  

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob serta Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang termasuklah Dato’ Abu Bakar Harun, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

Dato’ Sri Mohd Najib yang ditemui wartawan pada  majlis sama berkata, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara sungguhpun berdepanan dengan pelbagai cabaran dan tekanan dari dalam mahupun luar negara.

LAGI KEMESRAAN DENGAN PARA HADIRIN... Datin Sri Rosmah pula kelihatan sedang menyudukan juadah ke piring tetamu yang hadir. 

Selain Dato' Sri Mohd Najib, yang turut kelihatan ialah Dato' Abu Bakar (berbaju Melayu biru).  


‘TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN BAIK SELAMA INI’

“Tidak ada apa-apa, semua macam biasa... Saya mesti ‘istiqamah’ pada tugas serta tanggungjawab saya sama ada sebagai Ahli Parlimen Pekan mahupun Perdana Menteri untuk menjaga kepentingan hampir 30 juta rakyat Malaysia,” katanya sepertimana Bernama melaporkan.

Kata-kata ringkasnya itu sebagai mengulas tentang pelbagai cabaran dan tekanan yang beliau hadapi sejak akhir-akhir ini, termasuk mengenai isu 1MDB yang dibangkitkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ketika ditanya pula mengenai majlis Rumah Terbukanya ini, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, kehadiran ramai tetamu pada majlis ini jelas membayangkan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.

“Terima kasih kerana telah beri sokongan yang baik selama ini. Memang hubungan saya dengan pengundi Pekan khasnya amat erat dan baik. Kalau tidak, mereka tidak mungkin akan datang.

“Rumah terbuka ini juga satu daripada cara saya untuk beramah mesra dengan kebanyakan mereka yang jarang saya jumpa,” kata Dato’ Sri Mohd Najib lagi.

KEMESRAAN SESAMA UMARA' - KERAJAAN PUSAT DAN NEGERI... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan berbual mesra dengan Dato' Sri DiRaja Adnan dalam pada menjamu juadah di meja utama. 


KEJUTAN BUAT ‘BIRTHDAY PRINCE’

Pada majlis yang berlangsung antara 10.30 pagi dan 3.30 petang ini, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa termasuk nasi arab, kambing bakar, puding raja, dan sate yang terdapat di 165 gerai yang disediakan.  

Bernama turut melaporkan bahawa, sebanyak 3,000 batang lemang dan 5,000 biji ketupat yang disediakan secara gotong-royong oleh masyarakat pelbagai latar belakang di Parlimen Pekan; disajikan kepada tetamu.

Selain juadah, mereka yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datin Alyah, Ameng Spring, Azlan Typewriter; yang dipengacarakan oleh anak kelahiran Pahang - Sharifah Shahirah, dan, Karl Shafiq.

Paling istimewa, mereka turut berpeluang mendengar persembahan nyanyian oleh KDYTM Tengku Mahkota dengan dendangan lagu ‘Butakah Cinta’ yang dipopularkan oleh kumpulan Spring.

KDYTM Tengku Mahkota yang menyambut ulang tahun ke-57 keputeraan Baginda pada hari ini juga, menurut laporan Bernama lagi, diberi kejutan dengan acara memotong kek serta nyanyian lagu ulang tahun kelahiran oleh yang hadir.

Pada majlis yang meriah ini, Dato’ Sri Mohd Najib turut meraikan 100 bakal haji dari Parlimen Pekan dengan turut menyampaikan sumbangan barangan kelengkapan mengerjakan rukun Islam kelima itu kepada mereka. 

TURUT MERAIKAN YANG HADIR... Dato' Sri DiRaja Adnan tetap 'play host' kepada yang hadir sepertimana saudara dalam kerusi roda ini. Malah, meluangkan masa untuk sesi bergambar lagi dengannya. – Khabar

Friday 29 July 2016

RM14,550 juta nilai pelaburan ke Pahang!



… nilai pelaburan ke negeri ini sejak 2011 hingga Mac lepas (2016);

RM9,030 juta bagi projek baharu,
dan,
RM5,520 juta projek pembesaran dan pelbagaian

PERTEMUAN DAN MAKAN MALAM BERSAMA... 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Pahang terus menarik perhatian pelabur dalam dan luar negara dengan catatan kira-kira RM14,550 juta nilai pelaburan yang diluluskan ke negeri ini sejak 2011 hingga Mac lepas.

Nilai pelaburan ini bukan sahaja melibatkan pelaburan baharu – kira-kira RM9,030 juta; malah pelaburan tambahan – kira-kira RM5,520 juta, bagi kerja-kerja sama ada pembesaran ataupun mempelbagaikan.

Pelaburan tambahan ini jelas membuktikan betapa pelabur yang sedia ada di negeri ini, berpuas hati dengan iklim pelaburan di sini lalu bersetuju membuat pilihan positif tersebut.        

Maklumat mengenai status pelaburan ini disediakan oleh Pejabat Wilayah Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sempena lawatan sehari Menterinya, Dato’ Sri Mustapa Mohamed ke negeri ini, Rabu, 27 Julai.

Sempena lawatan sehari ini, Dato’ Sri Mustapa turut mengadakan pertemuan sambil makan malam dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob di sebuah hotel terkemuka di bandar Kuantan ini.

SANTAI DI MEJA MAKAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Mustapa; yang turut menyertai mereka pada malam Rabu itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; 

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Dato' Sri Shahruddin Ab Moin; serta, Pengerusi, Persatuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) cawangan timur, Dato' Mas'ut Samah (kiri sekali). 
 

JERMAN IALAH PELABUR ASING TERBESAR DI PAHANG SETAKAT INI
 
Nilai pelaburan bagi projek-projek dalam pelaksanaan pula, menurut maklumat yang sama, ialah kira-kira RM7,190 juta yang daripadanya, kira-kira RM3,530 juta atau 49.10 peratus ialah pelaburan tempatan, manakala RM3,660 juta atau 50.9 peratus ialah pelaburan asing.

Nilai keseluruhan pelaburan asing bagi projek-projek perkilangan yang telah dilaksanakan di negeri Pahang pula ialah kira-kira RM3,660 juta.

Jerman merupakan pelabur asing terbesar – kira-kira RM1,650 juta; diikuti Jepun,  kira-kira RM1,040 juta; China, kira-kira RM230 juta; dan, Indonesia, kira-kira RM210 juta.

Lima (5) sektor utama perindustrian di negeri ini (antara 2011 dan 2015) dengan nilai pelaburan kira-kira RM5,930 juta pula ialah - produk petroleum termasuk petrokimia, produk logam asas, industri mineral bukan logam, industri kimia  dan produk kimia, serta, produk plastik.

Projek-projek dengan nilai pelaburan melebihi RM500 juta ialah – BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd, dengan nilai pelaburan kira-kira RM1,540 juta yang mengeluarkan ’Isoprenol, citral, citronellol,menthol, energol-ME and energel-C` (projek pelbagaian bermula tahun 2013).

SAMBUTAN MESRA, KETIBAAN... 
 

PELABURAN KOMITED BAHARU – RM15,015 JUTA KE MCKIP

First Sino Steel Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM1,250 juta yang mengeluarkan `Hot rolled steel bars & hot rolled steel wire rods` (projek pembesaran bermula tahun 2012).

Dan, Kinsteel Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM990 juta yang mengeluarkan `Wire mesh, rail tracks` (projek pelbagaian bermula tahun 2011).

Pelabur asing utama di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dekat Gebeng pula ialah China, dengan nilai pelaburan kira-kira RM5,600 juta oleh Alliance Steel (M) Sdn Bhd.

Kilang keluli ini yang dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun depan (2017) dijangka dapat menyediakan sehingga kira-kira 3,515 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Dalam pada itupun, pelaburan komited baharu akan turut mengalir ke MCKIP ini dengan nilai kira-kira RM15,015 juta serta bakal menjana hingga kira-kira 15,50 peluang pekerjaan.

BUAT KENANG-KENANGAN... 


PROJEK PENGELUARAN ‘CLAY PORCELAIN’, PELABURAN RM2,000 JUTA

Antaranya ialah pelabur-pelabur – Guangxi Zhongli Enterprise Group, China, yang bercadang melaksanakan projek pengeluaran clay porcelain, bernilai pelaburan kira-kira RM2,00 juta dan bakal mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

Dan, Hunan Zkenergy Science & Technology Co Ltd, China, yang bercadang untuk menubuhkan pengkalan sistem tenaga baru dan pusat kejuruteraan, dengan nilai pelaburan kira-kira RM215juta dan mampu menjana kira-kira 500 peluang pekerjaan. – Khabar

Tuesday 26 July 2016

UMNO Pahang sekali lagi tegaskan sokongan penuhnya kepada Presiden parti

“Prinsip kita mudah. Kalau Presiden tidak disokong, kita nak sokong siapa lagi?

“Dari dulu sampai sekarang, sejak UMNO ditubuhkan; Presiden sentiasa disokong oleh ahli-ahli untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihanraya seterusnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

MESRA DENGAN PENERIMA/PENEROKA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berbual mesra dengan pasangan penerima pada pagi Selasa ini. Yang turut kelihatan ialah (dari kiri) Dato' Abu Bakar; Dato' Abdul Manan; Encik Shahrizal; dan, Encik Mohd Hasrin.  


PERKARANGAN DEWAN SERBAGUNA, RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI PANCHING TIMUR, KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri sekali lagi menegaskan sokongan penuhnya kepada Presiden parti dalam pada isu mengenai 1MDB terus diperkatakan.

“UMNO Negeri Pahang memberikan sokongan penuh kepada Presiden parti. Prinsip kita mudah. Kalau Presiden tidak disokong, kita nak sokong siapa lagi?

“Dari dulu sampai sekarang, sejak UMNO ditubuhkan; Presiden sentiasa disokong oleh ahli-ahli untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihanraya seterusnya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Beliau berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Tanah kepada Peneroka Felda Sungai Panching Timur Peringkat 03 pagi Selasa, 26 Julai, di sini.

Kata-katanya ini sebagai menjawab soalan wartawan mengenai isu 1MDB, terbaru; ekoran persidangan media mengenainya oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch pada Rabu, 20 Julai lepas.     

LAGI PENEROKA TERIMA SURATAN HAK MILIK TANAH DARIPADA MENTERI BESAR KITA... 


AHLI UMNO WAJIB SOKONG PRESIDEN

“Ini bukan soal peribadi. Bukan soal peribadi, bukan soal emosi. Tapi ini berdasarkan kepada pemikiran yang rasional.

“Dari dahulu lagi – zaman Almarhum Tunku (Abdul Rahman), Allahyarham Tun Razak (Hussein), Tun Hussein (Onn), zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), zaman Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan sekarang ini zaman Dato’ Sri Najib Tun Razak; ahli UMNO wajib menyokong Presiden parti,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

“Sejarah UMNO juga menunjukkan, kalau Presiden UMNO itu disokong, siapapun – walaupun Timbalan Presiden itu kuat, kuat sangat; takkan menang lawan Presiden,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyarankan agar rakyat khususnya ahli-ahli UMNO, dapat mengikuti perkembangan terbaru ini dengan hati terbuka, kepala yang dingin, sambil mendapatkan maklumat sahih mengenainya.

“… kemudian itu, terpulang kepada undang-undang untuk mengambil tempat. Biarlah undang-undang berjalan, berkuatkuasa. Kita jangan campuri,” katanya.

DALAM KALANGAN HADIRIN SEKELIAN... 
 

JEMPUT PAKAR BERI PENJELASAN

Bagi dirinya sendiri kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, beliau berpuas hati tentang perjalanan 1MDB sambil memberi analogi; “Kalau 1MDB keluar duit, kemudian itu dapat balik, tak ada masalah.

“Macam bank pinjamkan wang, dia dapat duit dia (bank berkenaan) balik. Apa yang dibuat oleh peminjam kepada wang yang dipinjam itu, itu cerita lain”.

Kepada soalan lanjutan, beliau memberitahu tentang majlis-majlis penerangan yang akan dianjurkan di negeri ini dengan menjemput mereka yang pakar mengenainya supaya rakyat faham isu yang sedang dihadapi sekarang.    

Beliau juga menyarankan agar artikel mengenai isu yang sama oleh seorang yang bernama Lim Sian See, dibaca kerana apa yang diutarakan oleh penulis itu adalah mantap, kukuh dan meyakinkan.

“Jadi, kita bacalah dahulu, tahu fakta-fakta baru kita keluar kenyataan. (Artikel oleh) Lim Sian See sangat meyakinkan.

MENGHADAPI DAN MELAYANI MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan yang sedang menerangkan sesuatu pada persidangan media ini; serta, (duduk dari kiri) Dato' Abdul Manan, Dato' Abu Bakar, dan Dato' Mohd Zaili (sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan, separuh terlindung) ialah; 

(berdiri dari kiri) Encik Abu Samah, Dato' Suhaimi, Encik Shahrizal dan Encik Mohd Hasrin.  
 

BIARLAH UNDANG-UNDANG MENGAMBIL TEMPATNYA

“Seperti kata YAB Perdana Menteri, biarlah undang-undang mengambil tempat. Itulah ulasan saya,” kata Menteri Besar itu lagi.

Beliau seterusnya secara sinis menempelak kumpulan yang mahu menganjurkan Bersih 5.0 kononnya sebagai tanda bantahan kepada Kerajaan pimpinan Perdana Menteri akibat daripada gejala 1MDB.

“Saya minta maaflah, saya bukan takbur. Dia orang nak buat Bersih 150pun tak ada hal. Kita ada polis, kita ada… Jangan ganggu (keamanan), jangan tumpah darah sudahlah,” katanya.  

Diminta mengulas lanjut katanya, sepertimana perhimpunan Bersih yang lepas-lepas, penganjurannya sekadar sebagai pernyataan perasaan sekumpulan rakyat yang jika mereka dapat mengumpulkan 150,000, 200,000 orang, Barisan Nasionalpun boleh menghimpunkan sehingga 400,000 orang.

“Tapi, kita banyak kerja lain. (Penganjurannya mungkin) bagus daripada segi penjanaan ekonomi - orang makan (di kedai-kedai sekitar kawasan perhinmpunan), alat-alat semua laku. Tapi, teksi tak dapat cari makan, jalan ‘jam’, orang nak pergi ke kedai tak dapat,” tempelaknya.

85 PERATUS PENEROKA PAHANG SUDAH TERIMA GERAN TANAH

Pada awal persidangan media, Dato’ Sri DiRaja Adnan jelas berbangga dengan hakikat betapa, 85 peratus daripada kira-kira 44,000 peneroka Felda di Pahang kini, telahpun menerima suratan hak milik tanah masing-masing.

Pencapaian ini menurutnya, mengatasi peringkat nasional yang mana, 80 peratus daripada daripada 112,635 peneroka seluruh negara yang telahpun menerma suratan hak milik tanah masing-masing.

Yang turut hadir pada majlis pagi Selasa ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; wakil rakyat Parlimen, Dato’ Abdul Manan Ismail (BN – Paya Besar); wakil rakyat-wakil rakyat negeri – Dato’ Mohd Zaili Besar (BN – Panching) dan Dato’ Mohd Suhaimi Jusoh (BN – Lepar);

Pengarah Tanah Felda, Encik Shahrizal Mohd Saleh; Pengurus Besar, Felda Wilayah Kuantan, Encik Mohd Hasrin Ismail; dan, wakil peneroka Felda Sungai Panching Timur, Encik Abu Samah Kassim.

Pada majlis ini, 63 peneroka dari peringkat 03 dan yang terakhir di Felda Sungai Panching Timur ini, menerima suratan hak milik tanah masing-masing daripada Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Bagi peringkat 01, melibatkan seramai 220 orang, telahpun menerimanya pada tahun 1995; manakala bagi peringkat 02, seramai enam (6) orang, telahpun menerimanya pada tahun 2003. – Khabar