Tuesday 30 July 2013

Tambahan 100 lagi meja judi di Genting?


… berdasarkan laporan berita dalam akhbar Star, keluaran 31 Julai pada halaman 3 ruangan StarBiz.

Laporan berita ini mengutip CIMB Research sebagai membuat jangkaan tersebut, lanjutan kepada pengumuman pelaburan RM3,000 juta oleh Genting Malaysia Bhd untuk menaik-taraf resort bersepadunya – Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands, Bentong.

Adalah diharapkan bahawa laporan berita ini merupakan spekulasi semata-mata, maka pihak-pihak berkenaan perlu segera tampil menafikannya.

KOTA KERIANGAN...


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTANBenarkah projek RM3,000 juta bagi menaik-taraf ‘kota keriangan’ Resorts World Genting (RWG) di Genting Highlands, akan turut melibatkan pertambahan lagi 100 meja judi di sana?

Ini selain daripada apa yang telah diuar-uarkan untuk membelanjakan kira-kira RM400 juta daripadanya, bagi pembinaan semula taman temanya, dengan usahasama syarikat perfileman Amerika Syarikat, 20th Century Fox. 

Jika menurut laporan berita dalam akhbar Star, keluaran hari ini, 31 Julai pada halaman 3 ruangan StarBiz, begitulah yang dibayangkan di bawah tajuk berbentuk soalan – ‘100 more tables for Genting?’.

Laporan berita ini mengutip badan penyelidikan CIMB Research sebagai membuat jangkaan tersebut, lanjutan kepada pengumuman pelaburan RM3,000 juta oleh Genting Malaysia Bhd untuk menaik-taraf resort bersepadunya itu (RWG).

Jangkaan tambahan 100 meja judi oleh CIMB Research itu dikatakan berasaskan kepada 1,300 bilik hotel baharu yang bakal dibina dan disiapkan, di bawah pelaburan RM3,000 juta tersebut, menjelang tahun 2015.

JUMLAH 100 MASIH JANGKAAN ‘KONSERVATIF’?

Malah, CIMB Research turut menyebut betapa jangkaannya itu masih dikira kecil atau  ‘konservatif’.

Genting Malaysia Bhd menurutnya, boleh sahaja menaikkan bilangan meja judinya kepada 300 buah jika RWG mahu sandarkan kepada amalan di negara-negara lain yang menetapkan bilangan meja judi kepada kadar tiga hingga lima bilik hotel kepada sebuah meja judi.

Apapun bilangannya, dan jikalah benar laporan berita ini, sewajarnya Kementerian Kewangan – pihak berkuasa yang bakal dipohon untuk mendapatkan lesen bagi pertambahan tersebut, menolaknya mentah-mentah.

Kita mungkin boleh menerima hasrat konglemerat berkenaan untuk melabur ribuan juta ringgit bagi meningkatkan lagi taraf resort bersepadunya di sana termasuk kepada taman temanya, tetapi bukanlah dengan turut menambahkan prasarana perjudiannya.

Sungguhpun kita juga tahu betapa perolehan daripada sektor inilah penyumbang terbesar kepada seluruh operasi RWG tetapi, ‘cukup-cukup’lah. Mohon bawalah ia ke negara-negara lain yang ia turut punya pelaburan di sana.

CUKUP-CUKUPLAH

Perlu diingat, ada sebuah lagi resort di sebuah lagi tanahtinggi yang sudah lama mengidam-idamkan untuk mendapat lesen bagi maksud yang sama, atas alasan kononnya ia tidak akan maju dan setanding RWG jika tidak turut memperolehi lesen berkenaan.

Sekiranyalah permohonan RWG ini dilayan, sudah pasti menjadi sebab dan alasan kukuh bagi resort yang satu lagi ini untuk menggerakkan usahanya semula yang sudah sekian lama terbantut, bagi memiliki lesen tersebut.

Cukup-cukuplah. – Khabar
    

Sunday 21 July 2013

Antara dua (2) darjat?


… berkaitan keadaan surau di sebuah kompleks membeli-belah di Kuantan
  
CANTIKNYA HIASAN, DI RUANGAN 'MAIN CONCOURSE'... 

DI BAWAH SILING YANG TERLOPONG...  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Bersyukur kita kerana di kebanyakan kompleks membeli-belah milik swasta bukan Melayu/Islam di negara ini, ada dikhususkan tempat untuk umat Islam – muslimin mahupun muslimat, mengerjakan solat.

Namun, setimpalkah apabila tempat yang disediakan itu dilihat seolah-olah tidak diselenggarakan dengan baik hingga boleh sahaja timbul keraguan, kot-kot penyediaan tempat itu sekadar mahu melepas batuk di tangga?

Inilah yang penulis musykilkan sejak sekian lama, hanya pada kunjungan bagi mengerjakan solat Asar petang Ahad, 21 Julai di surau, tingkat 3, kompleks membeli-belah milik sebuah konglomerat terkenal negara itu, baharu mendorong kepada tulisan ini.

Penulis tidak mahu bersifat menghukum, hingga mungkin berlaku tidak adil kepada pihak pengurusan kompleks membeli-belah berkenaan. Yang penulis hendak lakukan ialah menimbulkan persoalan untuk sama-sama difikirkan jawapan dan kesimpulannya.  

Persoalannya; Tidak mengapakah bahawa tempat yang dikhaskan ini terletak bersebelahan dengan tandas – tandas lelaki dan wanita? Tidak mengapakah juga apabila ruang yang diberikan agak sempit?

HIASAN INDAH, SAMBUT PENGUNJUNG... Menjangkakan pulangan lumayan daripada kos promosinya?

LAGI SILING YANG TERLOPONG... Tiada pulangan?

MASIH TETAP KHUSYUK BERSOLAT... 


SILING TERLOPONG

Tidak mengapakah apabila mendongak ke atas ternampak, siling yang pada bahagian-bahagian tertentunya terlopong, manakala pada kepingan yang ada terkesan tompok-tompok bekas lelehan air?

Dan, tidak mengapakah apabila melihat ke bawah, ialah lantai lepa simen yang dihampar tikar getah di atasnya yang semakin lusuh warna hijaunya?  

Bandingkan keadaan ini dengan surau di sebuah kompleks membeli-belah lain yang berdekatan, milik asal sebuah syarikat tempatan yang kemudian dijual kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan di seberang Tambak Johor sana.

Bukan sahaja ruangan yang disediakan luas – baik ruang solat mahupun untuk mengambil wudhu’, malah lebih kontemporari sepertimana kontemporari pada luaran kompleks membeli-belah tersebut, mahupun dalamannya.

Dan pula penulis dapati, tak sampaipun setahun kompleks membeli-belah ini ‘jatuh’ kepada pegangan asing, sudahpun telah dilakukan kerja-kerja penambah-baikan kepada ruangan suraunya itu – untuk muslimin di tingkat 1, dan muslimat di tingkat 2.

Mungkin pengurusan kompleks membeli-belah yang penulis sedang perkatakan ini, mahu mempelajari sesuatu daripadanya? – Khabar


Thursday 18 July 2013

Berbuka puasa dengan media tempatan

KUIH MUIH UNTUK WARTAWAN... Dato' Shahaniza sedang menyampaikan 'goodies' berupa kuih-muih Raya sumbangan bersama Yayasan Pahang (YP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri Pahang, kepada wartawan dari akhbar Cina yang turut hadir. 

Yang turut kelihatan ialah Encik Abdul Wahab.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Anggota-anggota media tempatan – wartawan, jurufoto, jurukamera dan para ‘blogger’ dari kumpulan ‘Pahang-ku’, telah diraikan pada Majlis Iftar petang Khamis, 18 Julai bersamaan 9 Ramadan di sebuah hotel tepian laut di Teluk Chempedak, dekat sini.

Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin yang mewakili Menteri Besar, telah hadir meraikan mereka.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Encik Abdul Wahab Mohamad Ali.

Selain majlis berbuka puasa, mereka – kira-kira 100 orang termasuk dalam kalangan wartawan dan jurufoto dari akhbar-akhbar Cina, telah turut diberikan cenderahati berupa kuih Raya sumbangan Yayasan Pahang (YP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri Pahang.

Dato’ Shahaniza yang diiringi oleh Encik Abdul Wahab, telah menyampaikan cenderahati ini kepada mereka.

MELAYAN-BERI, DAGING KAMBING PANGGANG... Dato' Shahaniza sedang melayan-berikan kepingan daging kambing panggang kepada wartawan.

DIBUAI MUZIK TRADISIONAL OLEH '3-PIECE BAND' INI... Buat santapan halwa telinga. - Khabar  

Wednesday 10 July 2013

Berpuasa kita weh...



Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Ramadhan al-Mubarak menjelma lagi dan hari ini, Rabu, 10 Julai, ialah hari pertama umat Islam di negara ini memulakan ibadah puasa mereka.

Jika pada siangnya umat Islam mengerjakan ibadah tersebut – menahan diri daripada lapar dan dahaga, serta perkara-perkara yang boleh membatalkannya; malamnya dipenuhi dengan mengerjakan solat sunat Terawih yang bermula sejak selepas Isya', Selasa, 9 Julai lagi.

Maka malam ini, Rabu, 10 Julai, ialah malam kedua menunaikan ibadah tersebut yang di negeri ini telah ditetapkan, masjid-masjid dan surau-surau mengerjakan penuh 20 rakaat, disusuli (3) rakaat solat sunat Witir.  

Namun, sepertimana biasa, ahli-ahli jemaah termasuklah penulis, lebih tertumpu untuk mengerjakan setakat lapan (8) rakaat kemudian berhenti, dan masing-masing pulanglah meninggalkan rumah ibadat berkenaan dengan jumlah jemaah yang ketara kurang.

Kebiasaannya pula, keketaraan ini akan semakin terserlah menjelang pertengahan bulan yang mulia ini, yang mungkin juga – jika kita mahu bersangka baik, kebanyakan kita telahpun mengambil cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman untuk berHari Raya.   

SUASANA DI SURAU AL-MUHAJIRIN... Foto ini dirakam dari bawah khemah di sisi bangunan surau Al-Muhajirin, Indera Mahkota 5, Kuantan pada malam Rabu, 10 Julai atau malam kedua umat Islam menunaikan solat sunat Terawih. 

Lihat banyaknya kasut yang menandakan besarnya jumlah jemaah, sebahagian besarnya juga disumbangkan oleh anak-anak pelajar Kolej Antarabangsa IKIP dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC). Kedua-dua institusi pengajian tersebut menyewa beberapa blok bangunan milik PASDEC dekat sini, dan dijadikan asrama.  


ANALOGI TENTANG KEHADIRAN JEMAAH

Berkenaan dengan jemaah ini, ia ada disentuh oleh Encik Badli Shah Alauddin yang diundang berceramah sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan anjuran Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Pahang (TERATAI) petang Isnin, 8 Julai di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, dekat sini.

Beliau analogikan tentang kehadiran jemaah ke solat sunat Terawih di masjid-masjid dan surau-surau seumpama sebuah kejohanan bolasepak yang mana, pasukan yang bertanding tentulah banyak di peringkat pusingan tetapi mengecil pada peringkat separuh akhir, dan, akhir.

Begitulah katanya, pada 10 Ramadhan pertama, masjid-masjid dan surau-surau penuh dikunjungi; tetapi mengecil pada 10 malam berikutnya; dan, terus mengecil pada 10 malam terakhir bulan tersebut.

Secara berjenaka beliau berkata betapa, sewajarnya ‘Lailatul Qadar’ yang dicari sebaliknya, ‘Lailatul Qamdar’ – yang seolah-olah merujuk kepada sebuah gedung membeli-belah terkemuka di bandar ini; yang ditemui. – Khabar
     



Tuesday 9 July 2013

Asalkan layak dan memerlukan!

… tentang kriteria pemberian bantuan pendidikan – pinjaman dan biasiswa Yayasan Pahang, tanpa sebarang kuota atau menurut kaum dan fahaman politik

RIANG, CERIA BERSAMA MENTERI BESAR... Seorang budiman, bersama-sama anak-anak pelajar 'creme de la creme'.


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Asalkan layak dan memerlukan. Dan pula, tanpa penetapan apa-apa kuota atau mengambil-kira latar-belakang kaum dan fahaman politik.  

Inilah sandaran utama Yayasan Pahang (YP) dalam menghulurkan bantuan-bantuan pendidikan – termasuk biasiswa dan pinjaman; kepada anak-anak Pahang, sepertimana ditegaskan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob;

“Kepada ibubapa saya nak beritahu. Yayasan Pahang ini tak ada pilih(-pilih). Layak sahaja, jalan… Apa yang menyebabkan layak? Pertama, pelajar itu cemerlang. Kedua, pelajar itu dari golongan yang susah tapi cemerlang, ha kita bagi.

“Tak kira Cina, Melayu, India, kita bagi semua. Kita tak kira fahaman politik emak-ayah masing-masing.,.,” katanya dalam ucapan luar teks 21-minitnya pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Negeri Pahang 2013 – Hadiah Menteri Besar Pahang (HMBP) petang Selasa, 9 Julai di sini.

“Kita tak ada kuota. Tak ada kuota untuk Orang Asli, tak ada kuota untuk orang Melayu, Cina, India tak dak…

MENTERI BESAR BERSAMA PENERIMA-PENERIMA HMBP... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama dengan penerima HMBP yang terdiri daripada pelbagai kaum; yang turut kelihatan ialah Encik Norul (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan); Dato' Ahmad Munawar (kanan sekali) dan Dato' Saariah.


MEMBERI, SEBAB LAYAK

“Kuota kita ialah; kelayakan dan keperluan seseorang itu! Dia perlu, dia layak, ha itu kuota, ambillah awak,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi YP.

Beliau turut mengisahkan tentang maklumat yang diperolehi, ada ibubapa yang anak mereka ditaja YP bagi pembelajaran di Mesir, tetapi memberi sokongan kuat kepada parti pembangkang pada pilihanraya umum lepas.

Ekoran itu, beliau diminta oleh banyak pihak supaya membuat keputusan menarik balik tajaan berbentuk biasiswa yang diperolehi oleh anak pasangan ibubapa tersebut tetapi,  “Saya kata tak boleh. Biarlah,” katanya, disusuli tepukan para hadirin tanda menghargai sikap budimannya.

“Sebab, kita memberi bukan sebab emak-ayah dia orang PAS atau orang UMNO, atau orang DAP, atau orang PKR.

“Kita beri mereka hadiah, kita beri mereka biasiswa, pinjaman; sebab mereka layak. Itu yang penting,” katanya disambut tepukan lagi. “Tapi kalau boleh, bila dah anak dapat biasiswa tu, ayahya undi UMNO lagi elok…,” disambut pula dengan ketawa kecil tanda bersetuju.

HADIRIN, PENUHI DEWAN...


PATI SEGALA PATI, CRÈME DE LA CRÈME

Dato’ Sri DiRaja Adnan  turut berkata betapa anak-anak pelajar yang hadir pada majlis petang Selasa ini – yang seramai 302 orang, ialah golongan ‘pati segala pati’ atau ‘cream of the cream’, yang dalam Bahasa Perancis, ‘crème de la crème’.

“Anak-anak yang ada ni – ‘cream of the cream’, ‘crème de la crème’, pati sagala pati ini, insyaAllah, pada satu masa nanti, akan menjadi pemimpin-pemimpin dalam bidang masing-masing,” yang disusuli tepukan.

“Mungkin (apabila berada di alam pekerjaan selepas belajar, akan) ada (yang) jadi Pengurus Besar, Yayasan Pahang. Mungkin ada juga jadi Tan Sri. Mungkin juga menjadi ahli Exco. Mungkin juga menjadi Menteri Besar,” katanya sambil menasihatkan mereka untuk terus rajin belajar.

Beliau juga mengulang-sebut tentang peruntukan besar – kira-kira RM757 juta yang dimanfaati oleh kira-kira 740,000 anak Pahang; yang telah YP sumbangkan demi pendidikan, sejak penubuhannya pada tahun 1983 semasa Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ialah Menteri Besar.     

Selain Pengurus Besar, YP, Dato’ Saariah Saad; yang turut hadir pada majlis yang menyaksikan dewan penuh dengan kehadiran sama ibubapa kepada 302 pelajar; serta, para guru khususnya daripada 66 sekolah cemerlang ialah;

SERAH/TERIMA SIJIL PENGHARGAAN...


YANG TURUT HADIR

Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YP, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Dato’ Mohamad Jaafar, yang juga Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri, dan, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Encik Norul Azali Sulaiman dan Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Polis Negeri, DCP Dato’ Sharifuddin Ab. Ghani; dan, Timbalan Pengarah, Pelajaran Negeri, Encik Rosdi Ismail. – Khabar

Monday 8 July 2013

Wujudkan peruntukan larangan menghina Raja-raja dalam Akta Hasutan, tegas Menteri Besar


… selain itu, Kerajaan Negeri juga mahu kajian menyeluruh dibuat ke arah mewujudkan ‘sedikit-sebanyak’ ‘regulation’ bagi bendungi gejala fitnah dalam media maya

SINGGAH KE MAJLIS ANJURAN TERATAI... Disebalik sibuk dengan persidangan Dewan Undangan Negeri, Dato' Sri DiRaja Adnan masih mahu hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadhan kepada masjid-masjid, surau-surau - setiap satu di kesemua Dewan Undangan Negeri, serta, pusat-pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) sebanyak 39 buah di seluruh negeri; petang Isnin, 8 Julai di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan. 

Foto ini dirakam ketika Dato' Sri DiRaja Adnan hendak berjalan keluar selepas menyampaikan ucapannya. Beliau perlu berkejar pula ke Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur kerana menghadiri taklimat tertutup mengenai sistem baharu pemilihan bagi kepimpinan UMNO peringkat nasional. 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Wujudkan peruntukan tentang larangan menghina Raja-raja dalam Akta Hasutan, dan, lakukan  kajian menyeluruh bagi mengadakan peraturan demi membendung gejala fitnah dalam media maya.

Inilah dua (2) perkara utama yang dibawa oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada sesi soal-jawab sebelah pagi, dan semasa mencelah ketika penggulungan perbahasan sebelah tengah hari, persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin, 8 Julai di sini.   

“… yang pentingnya insya-Allah, Kerajaan Negeri akan menulis kepada pihak SKMM (Kerajaan Persekutuan) supaya perbuatan menghina Raja-raja ini mesti dibuat undang-undang khusus.

“Kalau dalam Sedition Act itu – yang salah seorang pemimpin pembangkang (yakni) Naib Ketua PKR cadangkan supaya dihapuskan dan telahpun dijawab oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, ianya tidak akan dihapuskan;

“Maka dalam Sedition Act ini, Akta Hasutan ini, wajar dimasukkan satu perkara khusus iaitu larangan menghina Raja-raja,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato’ Mohd Suhaimi Mohd Shah (BN – Sungai Lembing).

HULUR SUMBANGAN... Isteri Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim yang juga Yang Dipertua, Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Pahang (TERATAI) sedang bermesra dengan para penerima. 

Yang turut kelihatan ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato' Ishak Mohamad yang sepemergian awal Menteri Besar, telah mewakili beliau menyampaikan sumbangan berupa wang tunai masing-masing RM1,000 untuk masjid dan surau, dan, RM1,200 untuk setiap PDK. Wang tunai ialah untuk kegunaan penerima menganjurkan aktiviti 'moreh' pada bulan puasa Ramadhan bermula Rabu, 10 Julai. 


SKMM PERLU BERSUNGGUH-SUNGGUH KUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG

Dalam pada itu katanya, SKMM atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, hendaklah menguatkuasakan ‘dengan bersungguh-sungguh’ undang-undang yang ada berkaitan dengan media maya.

“Kita hanya tahu ada penguatkuasaan jika ada pendakwaan dijalankan. Setakat ini, tidak banyak pendakwaan dijalankan. Sedangkan kita tahu, fitnah ini berleluasa,” katanya sambil menyebut beberapa undang-undang sedia ada.  

Antaranya; Seksyen 500, Kanun Keseksaan mengenai fitnah; Seksyen 4 (1) (B) Akta Hasutan 1948 , yang menyebut tentang apa-apa perkataan yang disifatkan menghasut, serta, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tentang penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Saranan agar Kerajaan Persekutuan lakukan kajian bagi mengadakan peraturan demi membendung gejala fitnah dalam media maya pula ada Dato’ Sri DiRaja Adnan sebut semasa mencelah ketika Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak menggulung perbahasan bagi pihak Jawatankuasa Negerinya, terhadap usul menjunjung kasih atas titah KDYMM Sultan Pahang merasmikan Dewan Undangan Negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan menulis secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan, supaya media sosial, media maya ini, diberikan sedikit-sebanyak ‘regulation’, maknanya diselaraskan; supaya tidak membuta-tuli menghentam atas nama demokrasi, atas nama ‘fundamental rights’.

DATIN SRI DIRAJA JUNAINI, BERSAMA-SAMA PARA PENERIMA... 


‘GOOGLE’PUN TIDAK DAPAT DICAPAI DI NEGARA CHINA

“Kita akan cadangkan supaya pihak Kerajaan buat kajian sepenuhnya dan menghantar rombongan pergi ke Amerika (Syarikat) yang terdapat luasnya, bebasnya, penggunaan media maya ini.


“Dan pergi juga ke Singapura dan juga negara China, bagaimana ‘googgle’pun tidak dapat ‘access’ (mudah-capai). Kita perlu hantar rombongan pergi ke Singapura, pergi ke China, belajar bagaimana sikit-sebanyak media mayanya boleh diselaras dan dikawal,” katanya lagi. – Khabar 

Thursday 4 July 2013

Tanda hubungan semakin erat negeri Pahang dengan negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE)


… Kerajaan Negara itu sumbang 1,000 naskah al-Quran dan 3,600 kg buah tamar untuk diagih-agihkan ke masjid-masjid negeri ini sempena bulan Ramadhan.

BERJABAT ERAT... Sepertimana eratnya berjabat tangan kedua-dua Dato' Sri DiRaja Adnan dengan Assayyid Hamid, begitulah erat dan kukuhnya hubungan antara Pahang dengan UAE. 

Yang turut kelihatan ialah Pengarah JAIP, Dato' Roslan Harun (kanan sekali).   


BILIK REHAT, DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Sebagai tanda hubungan semakin erat negeri Pahang dengan negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Kerajaan Negara itu menyumbang 1,000 naskah al-Quran dan 3,600 kg buah tamar untuk diagih-agihkan ke masjid-masjid di negeri ini pada bulan puasa, Ramadhan al-Mubarak ini.

Ini merupakan kali pertama Kerajaan Negara Arab itu membuat sumbangan tersebut.

Sejak tahun 1997 lagi, hubungan dua negara/negeri ternyata erat dengan penghantaran 14 guru Bahasa Arab dari negara itu ke negeri ini, yang kemudian disalur untuk mengajar  di Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) ini.

Penghantaran itu ialah ekoran hubungan akrab KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang juga Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dengan kepimpinan tertinggi negara itu sendiri.      

Pada persidangan media selepas kunjung-hormat dan penyampaian sumbangan-sumbangan tersebut oleh Pegawai Diplomasi, Kedutaan UAE di Kuala Lumpur, Assayyid Hamid Muhammad Abdullah At-Tamimi pada tengah hari Khamis, 4 Julai di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata; 

SAMPAI DAN TERIMA, NASKAH AL-QURAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima senaskah daripada 1,000 naskah al-Quran tersebut.

Yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah Negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan). 


LANGKAH-LANGKAH PERLU DIAMBIL BAGI JAMIN KESELAMATAN PELAJAR KITA DI MESIR

“Saya menerima kunjungan wakil dari kedutaan UAE di Kuala Lumpur, menyerahkan naskah al-Quran, 1,000 naskah, dan juga tamar, 3,600 kg. Kita akan sebarkan, ataupun agih-agihkan ke masjid-masjid dan senarai itu akan dipilih oleh Jabatan Agama (Islam Pahang).

“Mungkin tidak boleh beri kepada semua masjid, tapi tanda ingat, kita berilah mana yang boleh kepada sebanyak mungkin masjid”.  

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan ditanya tentang nasib pelajar-pelajar negeri ini yang sedang menuntut di negara Mesir, setelah negara itu berada dalam keadaan tidak menentu ekoran Presidennya, Encik Mohammed Morsi, digulingkan oleh pihak tentera pada kira-kira 2 pagi tadi, waktu Malaysia.

Menurutnya, terdapat 680 pelajar Pahang di negara sedang bergolak itu ketika ini yang daripadanya, 160 orang adalah dibawah tajaan agensi Kerajaan Negeri – Yayasan Pahang (YP).

“Kita ada seorang pegawai (atase pendidikan, YP) di sana, Ustaz Khairul Anwar (Abu Bakar). Kita memang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menghadapi keadaan di sana.

MERASAI 'JAUH' ENAKNYA TAMAR UAE... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang hendak merasai kenikmatan buah tamar UAE, yang selepas mencubanya mendapati, ia jauh lebih sedap daripada yang biasa dirasainya.


SERAH KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN UNTUK BAWA BALIK PELAJAR

“Apakah langkah-langkah yang perlu itu? Antara lainnya, supaya mereka tidak keluar dari asrama, dari rumah sewa. Dan baru-baru ini, salah seorang pelajar itu telahpun memberitahu bahawa, mereka memang telah menyimpan bahan makanan, lebih kurang dua minggu dulu, ketika kekacauan mula timbul.

“Mereka tidak pergi ke tempat-tempat yang sensitif (lokasi berlakunya kacau-bilau). Dan kita ingatkan mereka sekali lagi, duduk di rumah sewa atau asrama masing-masing, dan tidak sekali-kali keluar,” katanya yang juga Pengerusi YP.

Setakat ini menurutnya, beliau tidak melihat keperluan untuk menghantar pegawai tambahan ke negara tersebut sementelah Ustaz Khairul Anwar katanya, ialah seorang yang berpengalaman, yang fasih berBahasa Arab lalu memudahkan komunikasi.

“… and he knows what to do. In fact, the SOP (Standard Operating Procedure) is already there,” katanya sambil mengakui betapa pelajar Pahang lebih banyak berada di Kaherah daripada tempat-tempat lain di negara itu.

“Ada cadangan hendak bawa mereka balik?” tanya seorang wartawan, yang Dato’ Sri DiRaja Adnan jawab, “Itu kita serah kepada Kerajaan Persekutuan. Kita (yakni, Kerajaan Persekutuan sebelum ini) juga ada Ops Piramid.

PERJUMPAAN ‘A GENTLEMAN AND A NICE MAN’

“Mungkin jika keadaan memerlukan, mungkin Perdana Menteri akan mengarahkan Ops Piramid 2 pula. Sebab Bersih 1 ada, Bersih 2 ada, Bersih 3 ada (disusuli ketawa kecil wartawan); takkan Ops Piramid satu sahaja,” katanya berseloroh.

Mengenai perjumpaan luar jadualnya dengan Pengerusi, pergerakan bukan Kerajaan Himpunan Hijau, Encik Wong Tack pada pagi semalam, Rabu, 3 Julai di sini juga katanya, ia perjumpaan antara seorang budiman (gentleman) dengan seorang yang baik (a nice man).

Kata-kata positif ini disebutnya disebalik Encik Wong – tanpa membuat janjitemu terlebih dahulu, telah berkeras hendak berjumpa dengannya lalu ‘gatecrash’ disebalik Menteri Besar ketika itu, masih terikat dengan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-13, yang masuk hari ke-2 pada hari itu.   

“I find that he’s a nice man, and he says that I’m a gentleman. So okaylah, a nice man meets a gentleman, so that’s it. Tak ada masalahlah,” katanya sambil ketawa. 
  
“… kita berbincang tapi mungkin permintaan dia tentang satu-dua perkara tu kita tak dapat nak selesaikan, tak dapat terima; tentang Lynas sebagainya. (Dia) minta supaya digantung lesen ataupun dibatalkan sebab TOLnya tamat pada hari dulu semalam.

BIDANG KERAJAAN PERSEKUTUAN TENTANG TOL

“Saya kata itu bukan bidang saya. Itu bidang Kerajaan Persekutuan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi sambil mengakui Encik Wong, yang turut menjadi calon DAP, bertanding dan kalah pada Pilihanraua Umum (PRU) ke-13 lepas di kawasan parlimen Bentong; masih berpendirian menentang projek kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, dekat sini.

Encik Wong menurutnya, membangkitkan betapa keputusan PRU-13 bagi kawasan parlimen Kuantan yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) tewas kepada calon Pakatan Rakyat; sepatutnya diterima sebagai ‘referendum’ penolakan rakyat daerah ini terhadap LAMP.  

“Tapi, pilihanraya bukan ‘referendum’,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Menurut semakan penulis tentang kedua-dua istilah pilihanraya atau ‘election’ dan ‘referendum’, makna bagi kedua-duanya adalah berbeza.

Jika pilihanraya atau ‘election’ bermaksud (menurut kamus ‘Collins Dictionary & Thesaurus’); ‘Choosing of representatives by voting’ atau, ‘Memilih perwakilan menerusi undian’;

Maksud ‘referendum’ pula (menurut ‘Webster’s Dictionary’) ialah; ‘A public vote on an item for final approval or for rejection’ atau, ‘Undian oleh orang awam ke atas sesuatu perkara bagi mendapatkan persetujuan muktamad atau untuk ditolak’.

BEZANYA PILIHANRAYA, BAGI PILIH WAKIL; DENGAN REFERENDUM, TENTANG UNDIAN BAGI TOLAK ATAU TERIMA SATU-SATU PERKARA

Maka jelaslah bahawa, PRU-13 termasuklah bagi kawasan parlimen Kuantan mahupun Indera Mahkota yang turut dimenangi oleh Pakatan Rakyat, ialah urusan mengenai memilih perwakilan.

Oleh sebab itulah, ia (pilihanraya tersebut), tidak boleh diterima sebagai ‘referendum’ kononnya, keputusan pilihanraya itu (khusunya bagi kawasan parlimen Kuantan) turut disabitkan sebagai satu penolakan terhadap isu atau perkara berkaitan LAMP. – Khabar    


Tuesday 2 July 2013

KDYMM Sultan Pahang zahirkan dukacita Baginda


… dengan segelintir pihak yang masih ganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara dengan berdemonstrasi dan berhimpunan haram.

“Beta berharap, budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta,” titah tegas Baginda.

TABIK HORMAT... KDYMM Sultan Pahang, dengan kedua-dua anakanda di sisi - KDYTM Tengku Mahkota dan YAM Tengku Muda; sedang membalas tabik hormat pada Istiadat di luar Dewan.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang menzahirkan dukacita Baginda dengan gelagat segelintir pihak di negara ini, yang terus-menerus melakukan usaha yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan kestabailan negara, menerusi demonstrasi dan perhimpunan haram.

Sambil itu Baginda, yang bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Selasa, 2 Julai di sini, mengingatkan agar gejala-gejala negatif sebegitu tidak sampai meliputi negeri ini.  

“Beta  berasa dukacita dengan sikap segelintir pihak yang masih mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara dengan mengadakan demonstrasi serta perhimpunan tanpa mengikut undang-undang.

“Sepatutnya kita sebagai rakyat di negara demokrasi berparlimen seharusnya menunjukkan sikap yang bijak dalam menangani dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum.

“Kita wajar menggunakan kebebasan yang terdapat dalam negara kita dengan sebaik-baiknya untuk bersuara dan menyatakan pendapat yang membina melalui saluran yang sesuai.

MEMERIKSA PERBARISAN... Sepertimana tradisi, KDYMM Sultan Pahang memeriksa perbarisan kehormatan sebelum memasuki ke dalam Dewan bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Selasa ini.    


TAK PERLU BERARAK DI JALANAN

“Tidak perlu kita berarak di jalanan seperti berlaku di negara-negara luar kerana ini akhirnya akan mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Beta berharap, budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta,” titah Baginda.

Berikut ialah teks penuh titah ucapan Baginda, yang disampaikan dalam tempoh 22-minit, bermula 10.03 pagi dan berakhir pada 10.25 pagi;

“Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, membolehkan Beta berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-13 pada hari yang bersejarah ini.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana Barisan Nasional (BN) telah memenangi Pilihanraya Umum ke-13 dan diberi kepercayaan menerajui pentadbiran negara ini.

“Beta berharap, pentadbiran Kerajaan baharu di bawah kepimpinan beliau, akan terus mantap, untuk memastikan perpaduan kaum dan keamanan negara terus dipelihara.
 
                                     
SUASANA DALAM DEWAN... Dengan anakanda, KDYTM Tengku Mahkota di sebelah kanan, dan YAM Tengku Muda di sebelah kiri; KDYMM Sultan Pahang sedang bersiaga untuk menyempurnakan Istiadat.   


KDYMM SULTAN PAHANG HARGAI KEIKHLASAN MENTERI BESAR

“Beta juga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Orang Tua Beta, YAB Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, kerana atas kepercayaan Beta, terus dilantik sebagai YAB Menteri Besar.

“Usaha gigih beliau berkhidmat dengan ikhlas atas landasan yang betul selama ini, amatlah Beta hargai.

“Beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YH Dato’ Sri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin, atas khidmat beliau sebagai Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri sejak 1999 hingga 2013.

“Semoga beliau menikmati hari-hari persaraannya dengan lapang dan berbahagia.

“Selain itu, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada YB Dato' Ishak Muhammad, di atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri yang baharu.

“Beta ucapkan tahniah juga kepada YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang baharu dipilih dan baru sahaja mengangkat sumpah semalam.

FOTO BERSAMA... YAM Tengku Muda dan Dato' Sri DiRaja Adnan memberi pose istimewa, selepas hampir selesai Istidat Pembukaan ini.  


KEKALKAN KEHARMONIAN KAUM

“Beta menyeru semua Ahli-ahli Dewan supaya sentiasa proaktif dengan menitikberatkan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama serta fahaman politik.

“Keharmonian kaum yang dikecapi pada hari ini, merupakan hasil kerjasama erat semua pihak dan perjuangan tokoh-tokoh tanahair yang terdahulu. Ia perlu dikekalkan agar menjadi warisan generasi sekarang dan pada masa akan datang.

“Perpaduan kaum yang erat merupakan tonggak kejayaan negara kita selama ini dan perlulah dikekalkan selamanya.

“Beta  berasa dukacita dengan sikap segelintir pihak yang masih mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara dengan mengadakan demonstrasi serta perhimpunan tanpa mengikut undang-undang.

“Sepatutnya kita sebagai rakyat di negara demokrasi berparlimen, seharusnya menunjukkan sikap yang bijak dalam menangani dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum.

RAMAH-MESRA DENGAN PEMBANGKANG... Secara budiman, Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bersahaja sambil berseloroh dengan wakil rakyat pembangkang dan mereka kelihatan riang dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh ketua eksekutif negeri itu.    


“BETA BANGGA DENGAN PENCAPAIAN EKONOMI NEGERI”

“Kita wajar menggunakan kebebasan yang terdapat dalam negara kita dengan sebaik-baiknya untuk bersuara dan menyatakan pendapat yang membina melalui saluran yang sesuai.

“Tidak perlu kita berarak di jalanan seperti berlaku di negara-negara luar kerana ini akhirnya akan mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Beta berharap budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta.

“Negeri Pahang terus berkembang pesat selari dengan arus globalisasi dunia. Kepelbagaian sumber, amalan mesra perniagaan serta suasana selesa didiami, merupakan antara banyak keistimewaan negeri Pahang yang menyumbang ke arah mencapai status negeri maju menjelang tahun 2020.

“Beta merasa bangga dengan pencapaian ekonomi negeri Pahang yang memberangsangkan. Pada tahun 2012, kadar pertumbuhan negeri Pahang ialah 5.8 peratus berbanding dengan KDNK negara sebanyak 5.6 peratus.

“Pendapatan isi rumah dan nilai pelaburan juga terus meningkat. Kadar kemiskinan dan kadar pengangguran pula semakin menurun.

MENGHARGAI PETUGAS-PETUGAS DEWAN... Dato' Sri DiRaja Adnan disamping isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; sedang berfoto bersama-sama petugas Dewan Undangan Negeri yang termasuk Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri yang baharu, Dato' Ishak Muhamad, serta yang baharu digantikannya, Dato' Sri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin (di sebelah kanan Dato' Ishak).  


52 PROJEK DALAM PELAKSANAAN, 63 PROJEK DALAM PERANCANGAN

“Beta ucapkan syabas dan tahniah  kepada semua pihak yang berusaha gigih memastikan prestasi ekonomi negeri Pahang berada pada tahap yang membanggakan.

“Kerajaan Beta memberikan tumpuan kepada projek-projek pelaburan yang menjadi penggerak ekonomi dan projek-projek pembangunan yang menjadi pemudahcara kepada kesejahteraan rakyat.

“Di negeri Pahang, terdapat 52 projek yang kini dalam perlaksanaan serta 63 projek dalam perancangan.

“Pada tahun 2012, negeri Pahang telah menerima pelaburan yang diluluskan termasuk insentif bernilai RM7.76 billion merangkumi 51 projek pelbagai sektor dan dijangka mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.

“Bagi melebarkan jaringan sosial di negeri ini, Kerajaan Beta sedang melaksanakan program Perumahan Rakyat Dimiliki dengan sasaran 15,000 unit rumah dibina sehingga tahun 2015.

BERSALAMAN SESAMA AHLI-AHLI EXCO KERAJAAN... Kedua-dua Ahli Exco Kerajaan yang baharu ini - Encik Norul Azali Sulaiman (berdiri), sedang bersalaman dengan Dato' Mohd Johari Hussain (duduk).


PAHANG AKAN DAPAT HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK

“Kerajaan Beta memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di beberapa lokasi di negeri ini dengan sasaran sebanyak 20,000 unit rumah dibina untuk mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

“Kesihatan rakyat tidak diabaikan oleh Kerajaan. Sehingga kini, sembilan (9) buah hospital daerah dan 70 buah klinik kesihatan telah beroperasi di negeri Pahang.

“Seterusnya, perancangan sedang dibuat untuk membina dua (2) buah hospital pakar iaitu di Gambang dan di Bentong; serta hospital wanita dan kanak-kanak yang akan dilaksanakan pada tahun 2014 melalui Private Finance Initiative (PFI) Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Salah satu elemen penting dalam pembangunan negara ialah pemerkasaan modal insan. Kerajaan Negeri sedang giat berusaha untuk memperkasakan tenaga kerja melalui latihan, bantuan pendidikan kepada graduan, serta Kerajaan juga menyediakan premis perniagaan berdaya-maju kepada usahawan.

“Pada tahun 2012, sebanyak RM82.4 juta bantuan pendidikan melalui Yayasan Pahang telah diberikan kepada seramai 187,273 orang pelajar di negeri Pahang.

ANGKAT SUMPAH SEORANG WAKIL RAKYAT... Foto ini dirakam pada Isnin, 1 Julai di Dewan yang sama, sempena Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Dengan tangan kanan diangkat, Dato' Sri DiRaja Adnan melafazkan angkat sumpahnya.  


KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN ORANG ASLI TIDAK DIABAIKAN

“Kerajaan Negeri tidak sekali-kali mengabaikan kebajikan dan pembangunan Orang Asli di negeri ini. Antara projek yang telah dilaksanakan ialah penempatan semula Orang Asli di tiga (3) lokasi iaitu Sungai Bilut, Raub; Sungai Ruil, Cameron Highlands; dan Jelai, Lipis.

“Kerajaan Beta akan mewartakan semua tanah rizab Orang Asli di negeri ini.

“Bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir dari merasai nikmat pembangunan serta mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, telah membangunkan kawasan luar bandar melalui Projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh yang berasaskan pertanian moden.

“Melalui Projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh, para peserta mampu meraih pendapatan bulanan dengan purata antara RM800 hingga RM1,500.

“Pembangunan infrastruktur negeri ini ditingkatkan melalui menaiktaraf jaringan jalan raya antara daerah ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menuju ke Lembah Klang dan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Johor Bharu.

MEMBETULKAN JUBAH 'SPEAKER'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang membetulkan jubah yang dipakai oleh Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri yang baharu, Dato' Ishak Muhamad. Yang turut kelihatan ialah Timbalan Yang Dipertua, Dato' Mohamad Jaafar (BN - Jenderak).

Pada majlis pagi Isnin yang sama, Dato' Sri DiRaja Adnan telah mencadangkan kedua-duanya pada jawatan baharu tersebut, yang disokong oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin (yang turut kelihatan dalam foto ini). 


KAPASITI BEKALAN AIR DI PAHANG CAPAI TAHAP 99 PERATUS

“Jaringan jalanraya antara daerah melibatkan pembinaan jalanraya empat (4) lorong baharu iaitu ‘Central Spine Road (CSR) manakala menaikkan taraf jalan melibatkan Jalan Benta-Jerantut-Maran, Jalan Pekan-Nenasi-Endau-Rompin, Jalan Gambang-Segamat dan persimpangan Sungai Ular ke Terengganu.

“Bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam demi keselesaan rakyat di negeri Pahang, dua (2) buah  terminal bersepadu iaitu Terminal Kuantan Sentral di Indera Mahkota dan Terminal Jengka Sentral, Bandar Tun Razak, Jengka bakal beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

“Beta sukacita dan bergembira kerana liputan bekalan air di negeri Pahang telahpun mencapai tahap 99 peratus. Kapasiti bekalan air pada tahun 2012 ialah 1.3 juta meter padu sehari.

“Bagi memastikan kapasiti bekalan air mencukupi, kerja pembinaan loji baharu dan naik-taraf loji sedang giat dijalankan. Loji baharu yang sedang dibina dan dijangka siap pada tahun ini ialah Loji Panching. Loji yang dinaiktaraf ialah Loji Semambu, Kuantan; dan Loji Sekor, Pekan.

“Bekalan elektrik juga dijangka dapat dipertingkatkan dengan pembinaan empangan hidroelektrik di Telom, Lipis dan di Tekai, Jerantut yang dijangka siap dan beroperasi pada tahun 2020.

KES JENAYAH MENURUN

“Beta menaruh keyakinan yang tinggi terhadap usaha-usaha ini yang akan memberikan manfaat besar kepada rakyat jelata.

“Keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil kecekapan anggota pasukan keselamatan kita yang sentiasa siap-siaga menjalankan tugas.

“Berdasarkan perangkaan Polis DiRaja Malaysia, terdapat pengurangan kes jenayah pada tahun 2012 iaitu sebanyak 5,965 kes berbanding 6,363 kes pada tahun 2011.

“Beta ucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota pasukan keselamatan, yang telah menjalankan tugas dengan baik tanpa mengira waktu dan ketika.

“Sebagai penutup, Beta juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam termasuk anggota keselamatan, yang telah menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab serta telus, semasa mengendalikan Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini.

MB DIHARAP TERUS BEKERJA DENGAN GIGIH

“Beta sekali lagi menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Orang Tua Beta, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas khidmat bakti yang tulus ikhlas.

“Beta berharap, Orang Tua Beta akan terus bekerja dengan gigih, sungguhpun beban dan tanggungjawab menjadi semakin berat serta mencabar dari hari ke hari.

“Beta tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi, penjawat-penjawat awam termasuk Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, yang memainkan peranan membangunkan negeri Pahang bagi memastikan negeri Pahang tidak ketinggalan, bahkan lebih maju jauh ke hadapan dari masa ke masa.

“Dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-13 pada hari ini.

“Wabillahitaufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,”. – Khabar