Monday 30 March 2020

Lima lagi inisiatif, jadi 13 demi tangani kebajikan rakyat terkesan PKP COVID-19


Duduk Di Rumah Duduklah Kita,
Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Inisiatif Kerajaan Demi Rakyat-jelata,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan

Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Mak, Anak Rajin Buat Masakan,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan,
Penjarakan Sosial, Bersih Diutamakan.

ARAHAN DUDUK DI RUMAH SAHAJAPUN, BUKAN DIJADIKAN BURUH KERAHAN... 

NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan sepenuhnya, kenyataan media oleh Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail sepertimana dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaah Akhbar kepada Menteri Besar petang Isnin, 30 Mac.

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Lagi inisiatif Kerajaan Negeri tangani tempoh PKP COVID-19

01. Sepertimana semua sedia maklum, pada 23 Mac lepas, saya telah mengumumkan lapan (8) inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19 terutamanya dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang asalnya bermula 18 Mac sehingga 31 Mac, kemudian dipanjangkan kepada 14 April 2020.

02. Antara kelapan-lapan inisiatif itu termasuklah sumbangan tunai bernilai RM150 dan barangan keperluan bernilai RM50, kepada mereka khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan.

03. Setelah seminggu inisiatif-inisiatif ini diperkenal dan dilaksanakan terutamanya berkaitan sumbangan tunai dan barangan keperluan, sukacita saya katakan bahawa sehingga kini, seramai 18,000 orang telahpun menerima dan memanfaatkannya.
04. Lanjutan itu, sukacita saya umumkan pada hari ini, lima (5) lagi inisiatif terbaharu yang masih berteraskan menjagai kebajikan demi kesejahteraan rakyat.

05. Inisiatif-inisiatif ini ialah -

I) Sumbangan tunai RM100 dan barangan bernilai RM50 kepada 500 orang lagi penerima yang sangat memerlukan di semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) di Pahang.

Senarai penerima akan ditentukan dengan kerjasama Penghulu-penghulu serta Ketua Kampung-Ketua Kampung berkenaan.

Nilai peruntukan bagi melaksanakan inisiatif ini ialah RM3.15 juta.

II) Bantuan tunai RM300 kepada Penghulu-penghulu serta RM200 kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK).

Terdapat 80 orang Penghulu dan 542 Pengerusi JKKK seluruh Pahang.

Nilai peruntukan yang disediakan untuk maksud ini ialah RM132,400.

III) Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian 500 kampit beras kepada semua 42 kawasan Dewan Negeri (DN) untuk disumbangkan juga kepada golongan yang memerlukan.

Nilai peruntukan untuk ini pula ialah RM304,500.

IV) Sumbangan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 1,500 orang dalam kalangan miskin tegar di negeri ini.

Nilai peruntukan untuk bantuan ‘one-off’ ini ialah RM75,000.

V) Sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada masyarakat Orang Asli di seluruh negeri, melibatkan 3,975 orang.

Nilai peruntukan untuk maksud ini ialah RM596,250.

06. Nilai keseluruhan untuk kelima-lima inisiatif yang diumumkan hari ini ialah RM4.258 juta.

07. Sebelum ini, nilai peruntukan bagi pelaksanaan lapan (8) inisiatif ialah RM14.99 juta.

Dengan itu, nilai keseluruhan 13 inisiatif termasuk lima (5) yang diumumkan hari ini ialah RM19.248 juta.

08. Semoga dengan ini, dapat saling melengkapi kepada usaha Kerajaan Persekutuan meringankan beban rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), In Sya Allah.

(PANTUN)

Duduk Di Rumah Duduklah Kita,
Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Inisiatif Kerajaan Demi Rakyat-jelata,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan

Takpun Dipaksa Jadi Buruh Kerahan,
Mak, Anak Rajin Buat Masakan,
Hargailah Ia, Patuhilah Arahan,
Penjarakan Sosial, Bersih Diutamakan.


YAB DATO' SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
30 Mac 2020 – Khabar

Wednesday 25 March 2020

Potongan Gaji 10 peratus Ahli MMK untuk Tabung COVID-19 Pahang

“Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati Ahli-ahli MMK sekalian terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya; yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19,” kata Menteri Besar.

INFOGRAFIK MENGENAINYA... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan potongan gaji 10 peratus selama tiga (3) bulan ke atas Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri untuk disumbangkan ke Tabung COVID-19 Pahang.

“Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati Ahli-ahli MMK sekalian terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya; yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19.

“Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada Tabung ini, In Sya Allah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian dalam siaran media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbarnya tengah hari Rabu, 25 Mac. Dato’ Sri Wan Rosdy sebelum itu mempengerusikan mesyuarat MMK tersebut di Bangunan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jalan Tanah Putih dekat sini.

Ahli-ahli MMK atau sering disebut Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri ialah Menteri Besar sendiri serta kesemua 10 Ahlinya – Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.

Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Dato’ Abdul Aziz Mat Kiram, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Dato’ Nazri Ngah, dan Encik Abd Rahim Muda.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media berkenaan –

KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG

Potongan Gaji 10 peratus Ahli MMK untuk Tabung COVID-19 Pahang


Sukacita saya maklumkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang yang saya pengerusikan, telah bersetuju agar potongan 10 peratus daripada gaji Ahli-ahli MMK dilakukan selama tiga (3) bulan bermula April hingga Jun 2020.

Dengan potongan ini akan disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung COVID-19 Pahang yang telah Kerajaan Negeri wujudkan.

Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati Ahli-ahli MMK sekalian terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya; yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19.

Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada Tabung ini, In Sya Allah.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang
25 Mac 2020 – Khabar

Sunday 22 March 2020

Inisiatif terkedepan Pahang

... dalam ketegasan dan diplomasi tangani wabak pandemik COVID-19


KETEGASAN DENGAN BERDIPLOMASI... 



Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidaklah keterlaluan untuk menyatakan yang Kerajaan Negeri Pahang terkedepan dalam beberapa inisiatif bagi menangani wabak pandemik COVID-19 termasuk dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 18 Mac dan 31 Mac.

Terkedepannya ia bukan kerana faktor persaingan ‘siapa lebih dahulu’ antara Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri mahupun dengan Kerajaan Pusat, tetapi lebih kerana daya praktikal (practicality) dan daya buat (doability) pada inisiatif-inisiatif tersebut.

Yang pada matlamat akhirnya ialah untuk membendung malah membanteras penularan wabak ini dan pada masa sama, menyejahterakan kehidupan rakyat yang rata-rata – tak kira latar kaum, usia dan kerjaya; terkesan dengannya.

Dan inisiatif-inisiatif ini dicadang, dibincang, diolah dan dilaksanakan sebegitu rupa sehingga ianya dilihat mempunyai elemen ketegasan namun berdiplomasi (stern yet diplomatical).

Antara inisiatif ini ialah arahan penutupan premis perniagaan dari 7 malam hingga 7 pagi keesokannya di lima (5) daerah dikesani ada kes jangkitan wabak itu – Kuantan, Pekan, Temerloh, Bentong, Jerantut yang berkuatkuasa Sabtu, 21 Mac hinggalah akhir tempoh PKP pada 31 Mac.  

UPACARA DI KUIL SRI MARATHANDAVAR... Ada penganut yang mendakwa, upacara di kuil dan perkarangannya ini boleh menggamit penganutnya secara keluar-masuk, mencecah sehingga 400,000 orang!
 

PREMIS NIAGA TUTUP 7 MALAM HINGGA 7 PAGI

Di daerah Cameron Highlands bagaimanapun, tempoh penutupan yang sama ini telahpun dikuatkuasakan sejak bermulanya PKP pada Rabu, 18 Mac lagi.

Ini sepertimana disebut oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN) petang Khamis, 19 Mac di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Susulan itu pada Jumaat, 20 Mac, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Sri Dr Sallehuddin Ishak  telah mengeluarkan kenyataan media yang antara lain menyebut –

I. Semua premis yang dibenarkan beroperasi di Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),
Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Majlis Daerah Pekan (MDP), Majlis Daerah Jerantut (MDJ), dan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) ditutup bermula jam 7 petang hingga 7 pagi termasuk khidmat pandu lalu (drive-through).

II. Semua kedai serbaneka di stesen-stesen minyak di MPK, MPT, MPB, MDP, MDJ dan MDCH ditutup dari jam 10 malam hingga 6 pagi. Hanya perkhidmatan isian minyak dibenarkan beroperasi mengikut kelulusan lesen premis sedia ada.

‘PENANG OPEN TO PAHANG-STYLE BUSINESS CLOSURES’

III. Semua kedai serbaneka 24 jam termasuk 7-Eleven di MPK, MPT, MPB, MDP, MDJ dan MDCH ditutup bermula jam 7 petang hingga 7 pagi.

Menurut kenyataan media sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di keenam-enam daerah berkenaan diminta mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan arahan ini dipatuhi.

Ekoran pengumuman inisiatif mengenai arahan penutupan premis perniagaan ini, beberapa Kerajaan Negeri lain seperti Terengganu, Kelantan dan Melaka turut meneladaninya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula menyatakaan kesediaan untuk turut meneladani dengan Ketua Menterinya, Encik Chow Kon Yeow dilapor berkata demikian oleh sebuah portal berita di bawah tajuk ‘Penang open to Pahang-style business closures if COVID-19 still spreads’.

Satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang terkedepan serta yang boleh mengelak malapetaka ialah pengumuman Dato’ Sri Wan Rosdy pada persidangan media sama petang Khamis (19 Mac) itu mengenai kesanggupan pengurusan Kuil Sri Marathandavar menangguhkan upacara ‘Panguni Uthiram’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini.

TANGGUH PERHIMPUNAN 120,000 PENGANUT

“Sukacita juga saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran telah bersetuju dengan pandangan Kerajaan Negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Panguni Uthiram’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini, ditangguhkan.

“Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan keluar-masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut. Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi membendung wabak Pandemik COVID-19 ini,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Ekoran itulah, beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar, atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan tersebut.

Inisiatif-inisiatif lain yang diumumkan pada persidangan media sama ialah –

I. Menyediakan peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat PKP COVID-19 sepanjang tempoh 14 hari.  

Agihan peruntukan khas ini akan diperincikan kemudian.

BAYARAN BANTUAN AM DIPERCEPATKAN

II. Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan 2,895 penerima.

Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

III. Bagi meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis.

IV. Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang tempoh PKP ini.   

V. Bagi bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan ini.

Mekanisme sumbangan oleh orangramai dan syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.

WARGANEGARA, WARGA KORPORAT BERTANGGUNGJAWAB

“Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri, saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya, In Sya Allah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi.

Beliau turut berkata, akan ada beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi terus menangani wabak Pandemik COVID-19 dan juga untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Semoga dengan ini, usaha kita bersama-sama untuk menangani seterusnya mengatasi wabak Pandemik COVID-19 ini akan berjaya, In Sya Allah,” katanya. – Khabar

Wednesday 18 March 2020

Akurlah kepada Perintah Kawalan Pergerakan


“Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini,” kata Menteri Besar.

SEMOGA ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA MELINDUNGI KITA SEMUA...  


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan sepertimana ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini sepertimana pengumuman dibuat dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam Isnin, 16 Mac berkuatkuasa antara 18 Mac dan 31 Mac demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.
  
Di Pahang katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, telah diaktifkan demi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

“Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.

“Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini,” katanya.

KENYATAAN MEDIA

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar tengah hari Rabu, 18 Mac di sini dan berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media tersebut –

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dan Salam Sejahtera.

01. Berikutan Perutusan Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Isnin, 16 Mac, mengenai wabak Pandemik COVID-19 khususnya berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, sukacita saya menyarankan rakyat Pahang supaya akur kepada Perintah ini.

02. Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sesuai dengan Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 87 pada 17 Mac 2020 bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan wabak Pandemik ini.  

03. Negeri Pahang telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, bagi membolehkan atur gerak yang lebih tersusun dan menyeluruh.

SELARAS DENGAN ARAHAN MKN 20

04. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, keputusan ini dibuat demi membendung gejala wabak COVID-19 daripada menjadi lebih parah hingga akhirnya menggugat nyawa kita dan anggota keluarga kita sekalian.

05. Saya tidak nafikan bahawa, akan berlaku sedikit ketidak-selesaan pada kehidupan biasa seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac,  tetapi inilah pengorbanan yang harus kita lakukan bagi menghadapi situasi yang amat mencabar ini.

06. Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri, telah membuat beberapa keputusan yang selaras dengan Arahan MKN 20 yang antaranya –

# Semua Pejabat Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri (kecuali agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan penting) termasuk UTC Pahang dan RTC Pahang akan ditutup.

# Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan Perkhidmatan Bas Domestik akan beroperasi namun, premis-premis selain premis makanan di tempat tersebut akan ditutup.

GALAKAN PENGGUNAAN PERBANKAN INTERNET

# Semua urusan perbankan masih diteruskan tetapi penggunaan kemudahan perbankan internet lebih digalakkan.  

# Operasi kilang-kilang bergantung kepada keputusan terkini Kementerian-kementerian berkenaan.

# Semua pemegang permit/lesen batuan, mineral dan balak dikehendaki menghentikan aktiviti pemindahan dan pengeluaran bahan mineral, batuan dan balak termasuk aktiviti memproses bahan tersebut.
# Selaras dengan Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang khusus untuk umat Islam, semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat dan solat berjemaah tidak diadakan. Tetapi, Muazzin dibenarkan melaungkan Azan.  

# Masjid dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) hanya dibenarkan bagi tujuan pengurusan berkaitan dengan kematian sahaja.

HANYA PERKHIDMATAN BAWA PULANG

# Pasaraya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi, manakala pasar awam pula hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

# Semua aktiviti pasar tani dan pasar pagi dihentikan, begitu juga operasi pasar malam dan ‘car boot sale’.

# Semua premis menjual makanan boleh dibuka dengan syarat berikut –

Tidak dibenarkan makan di premis,
Hanya perkhidmatan bawa pulang (take away) dan pandu lalu dibenarkan.

# Semua bentuk hiburan dan sukan termasuk taman tema, kelab sukan, kelab golf, pusat akuatik, gimnasium, dewan awam/orang ramai kerajaan serta swasta, pusat hiburan (disko, kelab malam, pub), mesin slot, arked hiburan keluarga (karaoke, snooker, panggung wayang, fun-fair dan seumpamanya), rumah kesihatan (spa, massage, sauna dan seumpamanya) ditutup.

KEKAL MENGINAP DI ASRAMA

# Urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanyalah untuk mendaftar kelahiran baharu, pendaftaran kematian dan pendaftaran dan penggantian kad pengenalan.

# Menyedari kepentingan keperluan kecemasan, bengkel membaiki kenderaan, pusat servis dan kedai tayar akan dibenarkan beroperasi dengan had waktu dari pukul 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

# Penghuni hotel, residensi dan asrama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) boleh kekal menginap di premis masing-masing.

# Semua ‘coffee house’ di hotel tidak dibenarkan beroperasi kecuali untuk kegunaan tetamu yang menginap di hotel sahaja.

# Semua kedai menjual makanan dan keperluan haiwan dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 12.00 tengah hari sahaja.

TERIMA KASIH BUAT PETUGAS KESIHATAN

# Pusat asuhan kanak-kanak yang khusus untuk anggota perkhidmatan penting dibenarkan untuk terus beroperasi.

# Pegawai penguatkuasa bersama (PDRM, PBT, APM, KPDNHEP) akan membuat pemantauan di seluruh premis bagi memastikan pematuhan arahan yang telah dikeluarkan. Sebarang perlanggaran arahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun.

07. Semoga dengan kita akur kepada Perintah Kawalan Pergerakan serta dengan langkah-langkah lanjutan yang Kerajaan Negeri ambil ini, kita dapat melalui tempoh sukar ini dengan hasil yang terbaik, In Sya Allah.

08. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada para petugas kesihatan serta semua pihak yang terlibat dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 ini. – Khabar

Saturday 14 March 2020

Pahang kekal tenang


Pahang di bawah teraju Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tenang sejak Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lagi membawa hingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan baharu di bawah Perikatan Nasional hari ini.


NOTA EDITOR ;

Berikut disiarkan kembali dengan editan pada tahap minimum, ke atas artikel tulisan wartawan kanan yang juga Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Pahang yang berpangkalan di Kuantan, Sdr Nik Amirul Mu’min Nik Min sepertimana tersiar dalam halaman 16 akhbar Sinar Harian terbitan Jumaat, 13 Mac.

Sepatutnya kita di Pahang berasa syukur kerana wa’ima apa juga kedudukan negeri kita berada – sama ada semasa bersama-sama Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN), kemudian sebagai negeri pembangkang di bawah Pakatan Harapan (PH) sebaik-baik selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU), dan kini kembali semula bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan BN bersama-sama komponen dalam Muafakat Nasional (MN) – UMNO dan PAS; serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Gabungan Parti Sarawak;

Hubungan Kerajaan Negeri pimpinan BN (dan kini turut bersama-sama PAS dalam MN) dengan pihak media arus perdana yang sebahagian besarnya milik Kerajaan Persekutuan menerusi Khazanah Nasional mahupun ‘proksi-proksi’nya, tidaklah terjejas teruk.

Jika tidak, sudah pastilah serangan media demi serangan media dilancarkan ke atas Kerajaan Negeri pimpinan BN dan kini MN, yang matlamatnya ialah untuk memberikan gambaran umum tentang betapa teruknya kepemimpinan Kerajaan Negeri hingga sepatutnya turut dikecam rakyat yang akhirnya membuatkan mereka jelek kepadanya.

Namun Alhamdulillah – sebagai seorang yang telah berada lebih dua (2) dekad dalam Kerajaan Negeri ini dan sebagai seorang bekas wartawan BERNAMA, saya boleh katakan bahawa ini tidak pernah berlaku. Kenapa? Sebabnya, rakan-rakan media arus perdana kita adalah mereka yang amat ‘sensible’ dan kita pula amat sedar dan faham serta menghormati kedudukan mereka yang tentunya perlu lebih bertanggungjawab ke atas ‘paymaster’ masing-masing.

Dalam hubungan inilah juga, apabila ada artikel positif yang ditulis oleh media arus perdana sepertimana Sinar Harian berkenaan kepemimpinan Kerajaan Negeri dalam artikel ini, kita sewajibnya terus bersyukur. Janganlah pula – sungguhpun masih agak baharu lalu tidak begitu mengerti tentang ‘the mechanics of our mainstream media-people’, cuba bersinis-sinisan terhadapnya. Wallah-hu‘alam.  


Oleh NIK AMIRUL MU’MIN NIK MIN  

KETIIKA tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH), negeri-negeri di bawah pakatan itu turut terheret dan tergugat menyaksikan beberapa negeri seperti Johor dan Melaka beralih tampuk pemerintahan manakala Perak hampir pasti dapat kerajaan baharu.

Berbeza di negeri Pahang diterajui UMNO/Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjadi negeri pembangkang di bawah kerajaan PH, situasinya terus tenang.

Pahang di bawah teraju Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tenang sejak Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lagi membawa hingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Berikutan situasi politik di negeri ini yang tenang dan stabil, Dato’ Sri Wan Rosdy tidak perlu untuk ‘pening kepala’, malah dalam reaksinya pada 26 Februari lalu beliau yakin pentadbiran BN di Pahang tidak terjejas.

Bahkan tidak perlu menghadap Sultan Pahang bagi mengekalkan jawatan dan barisan pentadbirannya ekoran BN masih menguasai majoriti Dewan Negeri.

CABARAN BERSTATUS PEMBANGKANG

Reaksi itu disuarakan beliau ketika ditanya mengenai keadaan semasa pentadbiran Kerajaan Pahang selepas Kabinet terbubar ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ketika BN tersungkur di tangan PH pada PRU14, hanya Pahang dan Perlis bertahan di bawah BN.

PAS terus diberi mandat di Kelantan dan di Terengganu, Pas menggantikan BN manakala negeri-negeri lain termasuk Johor yang menjadi kubu UMNO terlepas ke tangan PH.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 15 Mei 2018, Dato’ Sri Wan Rosdy berdepan cabaran besar untuk menerajui negeri yang berstatus pembangkang selain dibebani hutang dengan Kerajaan Pusat yang begitu tinggi.

Ketika itu, Pahang tetap tenang. Menteri Besarpun tenang merangka strategi mencorak pentadbiran demi pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya.

PEMBANGKANG YANG MESRA-KERAJAAN PERSEKUTUAN

Memilih pendekatan pembangkang yang mesra-Kerajaan Pusat, Dato’ Sri Wan Rosdy tenang bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam hal-hal yang berkait kepentingan rakyat dan kerana itu, Pahang tidak tersisih.

Bahkan, Pahang antara negeri yang menerima peruntukan terbesar daripada Kerajaan Pusat apabila diluluskan Perbelanjaan Pembangunan berjumlah RM2.41 billion untuk pelbagai projek pembangunan di negeri ini di bawah ‘Rolling Plan 4 2019’, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020).

Atas kerjasama baik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat sebelum ini, Dato’ Sri Wan Rosdy turut dilantik sebagai Pengerusi Bersama, Majlis Tindakan Negeri Pahang (MTNP) bersama-sama Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar Negeri ketika itu.

MTNP ditubuhkan Kerajaan Pusat PH bagi memastikan negeri ini terus membangun dan tidak terpinggir.

Selain itu, permasalahan di negeri ini turut mendapat perhatian melalui Menteri dan Timbalan Menteri dari Pahang iaitu Dato’ Sri Saifuddin (PKR); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Puan Fuziah Salleh (PKR); Timbalan Menteri Kerja Raya, Encik Mohd Anuar Tahir (Parti Amanah); dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP) ketika itu.

BN DIPERKUKUHKAN DENGAN KERJASAMA DALAM MN

Dalam konteks politik juga, Pahang terus tenang apabila BN majoriti di Dewan Negeri diperkukuhkan dengan lapan Ahli Dewan Negeri daripada PAS yang dari awal memilih untuk menjadi pembangkang konstruktif sebelum menjadi sekutu melalui Muafakat Nasional (MN) antara UMNO/Pas

Untungnya juga, sembilan (9) Ahli Dewan Negeri PH terdiri daripada DAP dan PKR juga, tidak terlalu agresif sebaliknya masing-masing menjalankan tugas cuma sesekali ‘bersuara’ membangkang terhadap beberapa dasar dan keputusan Kerajaan Negeri.

Juga jarang kedengaran kekecohan akibat pergolakan politik dalaman baik daripada UMNO/BN dan dari PH terdiri DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dengan beralihnya Kerajaan Pusat hari ini, Pahang mungkin akan lebih tenang kerana secara automatik status negeri pembangkang sudah bertukar sebagai negeri blok Kerajaan Pusat.

Sudah pasti di bawah Kerajaan PN dengan dua (2) Menteri dan empat (4) Timbalan Menteri dari negeri ini, ia dijangka akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Negeri khusus dalam kawasan parlimen diwakili.

KEMBALINYA 3 DATO’ SRI ISMAIL

Apatah lagi dengan kembalinya tiga (3) Ismail dalam barisan Kabinet baharu – Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan Pertahanan); Dato’ Sri Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri I); dan Dato’ Sri Ismail Abdul Mutalib (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Ia diperkukuh dengan pelantikan Dato’ Sri Saifuddin sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Encik Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Kewangan II) dan Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I). – Khabar

Monday 9 March 2020

Sandarkan harapan kepada Kabinet Baharu Malaysia


“…yang dianggotai oleh rencaman tokoh-tokoh yang melampaui batasan kaum dan latar kerjaya yang dilihat mampu melonjakkan kemajuan serta memelihara kemakmuran negara demi kesejahteraan rakyat-jelata,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

SENARAI KABINET BAHARU... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin atas pengumuman Kabinet Kerajaan Persekutuan yang baharu;

“…yang dianggotai oleh rencaman tokoh-tokoh yang melampaui batasan kaum dan latar kerjaya yang dilihat mampu melonjakkan kemajuan serta memelihara kemakmuran negara demi kesejahteraan rakyat-jelata”.

Sambil itu beliau ucapkan terima kasih atas pelantikan enam (6) Anggota Parlimen dari Pahang bagi menduduki dua (2) kerusi Menteri termasuk Menteri Kanan, dan empat (4) lagi kerusi Timbalan Menteri.

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media Dato’ Sri Wan Rosdy, sepertimana dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbarnya pada lewat petang Isnin, 9 Mac di sini –

KENYATAN MEDIA

Tahniah buat Kabinet Baharu Malaysia

Saya ucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, atas pengumuman Kabinet Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dianggotai oleh rencaman tokoh-tokoh yang melampaui batasan kaum dan latar kerjaya yang dilihat mampu melonjakkan kemajuan serta memelihara kemakmuran negara demi kesejahteraan rakyat-jelata.

Saya turut ucapkan terima kasih atas pelantikan enam (6) anggota Parlimen dari Pahang, iaitu dua (2) menteri termasuk Menteri Kanan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah.

Empat (4) lagi ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Encik Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said; Timbalan Menteri Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Ismail Abdul Mutalib.

Dengan pembentukan Kabinet Kerajaan Persekutuan ini diharap negara dapat segera ditadbir dan digerakkan semula ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sepertimana yang telah dirangkakan, In Sya Allah. – Khabar


Friday 6 March 2020

Pahang bakal tarik RM1,213 juta (RM1.213 billion) pelaburan Thailand

… menerusi pemeteraian dua (2) Perjanjian dan dua (2) lagi MoU dengan pelabur negara gajah putih itu.

MENJADI SAKSI... Dato' Sri Wan Rosdy yang diapit kanan dan kirinya oleh Dato' Jojie Samuel dan Dato' Sri Dr Sallehuddin; sedang menyaksikan majlis menandantangani dokumen yang berkenaan pada pagi Jumaat ini. 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Pahang bakal menarik pelaburan bernilai RM1,213 juta (RM1.213 billion) dari negara Thailand dengan termeterainya Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur-pelabur negara itu pagi Jumaat, 6 Mac ini.

Majlis pemeteraian Perjanjian dan MoU ini berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Bangkok sambil disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohammad.

Yang turut menyaksikan ialah Duta Malaysia ke Thailand, Dato’ Jojie Samuel M.C.Samuel, serta delegasi Kerajaan Pahang yang lain termasuklah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Dato’ Nazri Ngah.

Ini sepertimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada tengah hari Jumaat ini.

Sebanyak dua (2) Perjanjian termeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Green World Genetics bernilai pelaburan RM400 juta; dan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan AE Carbon Capital (Bentong), bernilai pelaburan RM380 juta.

'GROUP PHOTO'... 


PELABURAN BAGI TAMAN PENYELIDIKAN BENIH TROPIKAL GLOBAL

Pelaburan oleh Green World Genetics ialah bagi pembangunan Taman Penyelidikan Benih Tropikal Global termasuk pembinaan Pusat Latihan Inkubator Agropreneur di kawasan seluas kira-kira 518 hektar (1,280 ekar) di Gambang, Kuantan.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bentong) pula ialah bagi pembangunan Taman-Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas kira-kira 11.33 hektar (28 ekar) di Bentong.

Dua (2) MoU pula termeterai antara PKNP dengan AE Carbon Capital (Bera) bernilai RM320 juta; dan antara PSK dengan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd bernilai pelaburan RM113 juta.

Pelaburan oleh AE Carbon Capital (Bera) ialah bagi pembangunan Taman Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas 20.23 hektar (50 ekar) di Bera.

Pelaburan oleh Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd pula ialah bagi pembangunan Taman Akuakultur termasuk pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di kawasan seluas 101.17 hektar (250 ekar) di Rompin.

SEDANG MENYAMPAIKAN UCAPANNYA... 


PENGHARGAAN BUAT DUTA MALAYSIA KE THAILAND

Dalam ucapannya pada majlis menandatangani Perjanjian dan MoU ini, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, majlis hari ini ialah susulan kepada usaha berterusan dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing ke Pahang.

“Majlis ini ialah susulan kepada promosi ‘Invest Pahang’ yang berterusan yang dianjurkan menerusi pendekatan langsung (direct approach) dengan syarikat-syarikat yang berpotensi serta juga menerusi sesi ‘High Tea’ seperti yang dianjurkan Januari lepas di Hotel Marriott, Bangkok,” katanya.

Beliau menyatakan penghargaannya kepada Dato’ Jojie Samuel serta kakitangan Kedutaan Malaysia di Bangkok, yang telah memberikan kerjasama mereka dalam menjayakan majlis di kotaraya itu.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Dr Sallehuddin serta pegarai-pegawainya, ekoran kejayaan penganjuran satu lagi sesi ‘Invest Pahang’ di sini.

“Belajar daripada pengalaman lampau, saya sedar bahawa kita tidak akan dapat memberi penyelesaian hanya menerusi set soal-jawab (Q&A) dan penyediaan panduan. Saya sangat percaya kepada perjumpaan bersemuka dan perbincangan.

PADA SESI PERJUMPAAN DAN PERBINCANGAN SEBELUM MAJLIS SEBENAR... 


‘DIRECT ENGAGEMENT’

“Oleh kerana kepercayaan inilah maka saya menegaskan supaya majlis seumpama ini diadakan bagi mendampingi bakal-bakal pelabur secara langsung (ENG; to directly engaged with potential investors),” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, Pahang menyediakan beberapa lokasi strategik kepada pelabur-pelabur antaranya ialah Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan dan Taman Maritim Tanjung Agas, Pekan.

Dalam pada itupun katanya, Kerajaan Negeri sedang mengkaji lokasi yang paling sesuai di Kuantan, bagi pengwujudan Taman Aerospace Pahang sepertimana Taman Automatif yang sedia terdapat di Pekan.

Sebelum majlis menandatangani Perjanjian dan MoU ini, Dato’ Sri Wan Rosdy turut mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan dengan kepemimpinan syarikat-syarikat Berli Jucker Public Ltd dan Garden Office Holdings Co, serta Dewan Perniagaan Thailand-Malaysia. – Khabar