Tuesday 15 October 2019

Tanah Rizab Orang Asli yang telah dan dalam proses pengwartaan



“Tetapi pokok-pangkalnya di sini; Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan tanah rizab kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang yang mana penduduknya tidak sampai enam (6) peratuspun daripada jumlah penduduk negeri Pahang yang seramai 1.6 juta (orang),” kata Menteri Besar.

HADIAH SEBUAH BASIKAL BUAT PEMENANG CABUTAN BERTUAH... 


PADANG AWAM, POS ISKANDAR, BERA – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meminta masyarakat Orang Asli di Pahang agar tidak risau mengenai soal pengwartaan Tanah Rizab Orang Asli kerana Kerajaan Negeri sama ada telah atau dalam proses mewartakannya.

“Tanah Rizab Orang Asli ini kita telah wartakan sebagaimana saya katakan tadi. Exco (Majlis Mesyuarat) Kerajaan Negeri juga telah meluluskan juga untuk Tanah Rizab Orang Asli dan masih dalam proses pengwartaan.

“Sebab tanah ini ia luas; memerlukan banyak perkaralah (untuk dilaksanakan). Bukan lulus hari ini esok-lusa kita boleh isytihar (wartakan), tidak. Ia kena ukur, kemudian kena ukur halus sebagainya. Ia harus teliti,” katanya kepada wartawan.

“Tetapi pokok-pangkalnya di sini; Kerajaan Negeri telahpun memperuntukkan tanah rizab kepada masyarakat Orang Asli di negeri Pahang yang mana penduduknya tidak sampai enam (6) peratuspun daripada jumlah penduduk negeri Pahang yang seramai 1.6 juta (orang),” katanya lagi ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama-sama Masyarakat Orang Asli pada tengah hari Selasa, 15 Oktober di sini.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas lanjut ucapan 20-minitnya sebelum itu yang antara lain mengulas permintaan wakil Batin yang juga Presiden, Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Encik Noria Abas yang dalam ucapannya agar Kerajaan Negeri menyegerakan pengwartaan Tanah Rizab Orang Asli tersebut.   

CENDERAHATI DARIPADA BATIN NORIA BUAT MENTERI BESAR... 


ORANG ASLI TAK PERLU RISAU

“Jadi masyarakat Orang Asli tidak perlu risau. Kalau tidak ada tindakan daripada Kerajaan, yang itu mereka perlu risau. Tetapi Kerajaan telah rizabkan kemudian dalam proses nak rizabkan lagi. Cuma proses-proses tertentu sahaja yang mengambil masa sikit,” tegas Dato’ Sri Wan Rosdy.

Menurut maklumat yang disalurkan kepada wartawan, seluas kira-kira 7,156.53 hektar tanah di negeri ini, telahpun diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli dan, 8,958.17 hektar lagi telah mendapat kelulusan MMK Negeri untuk pengwartaan.

Manakala lagi 8,571.36 hektar dalam proses permohonan untuk mendapat kelulusan yang dengan itu luas keseluruhannya ialah kira-kira 24,686.06 hektar, atau besar sedikit daripada keluasan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (seluas 24,346 hektar)

Bahawa masyarakat Orang Asli ialah golongan  minoriti di negara dan negeri ini ialah  berdasarkan fakta bahawa jumlah mereka cuma 198,000 atau 0.62 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk Malaysia, dan hanya kira-kira 89,375 orang atau kira-kira 5.59 peratus daripada kira-kira 1.6 juta penduduk Pahang.

Membandingkan jumlah Orang Asli di Pahang (89,375 orang) dengan jumlahnya di seluruh Semenanjung Malaysia (198,000) maka Orang Asli Pahang menyumbang kira-kira 45.12 peratus – yang merupakan negeri paling ramai Orang Asli di negara ini.

BERCAKAP KEPADA WARTAWAN... 

KERAJAAN NEGERI MAMPU LULUS PROJEK-PROJEK KECIL

Dato’ Sri Wan Rosdy turut ditanya mengenai bantuan-bantuan yang Kerajaan Negeri sediakan untuk golongan minoriti di sini yang menurutnya, ia (bantuan) adalah berdasarkan bentuk permohonan mereka.  

Permohonan sepertimana dibuat hari ini menerusi ucapan Batin Noria – memohon peruntukan bagi melebarkan jalan masuk termasuk mewujudkan ‘bahu jalan’ ke Pos Iskandar ini sepanjang 8 km serta untuk menganjurkan Bengkel Adat termasuk bagi mendokumentasikan adat-adat suku kaum Semelai di sini katanya, bolehlah Kerajaan Negeri luluskan.     

Kelulusan itu seperti yang diumumkannya sebagai maklum-balas kepada permintaan Batin Noria itu ialah RM50,000 untuk kerja-kerja pelebaran jalan berkenaan dan lagi RM10,000 bagi penganjuran bengkel serta kerja-kerja pendokumentasian tersebut.
  
“Tapi untuk (Kerajaan Negeri berikan peruntukan yang) banyak tidaklah sebab selama inipun, JAKOA di bawah Kementerian (Pembangunan) Luar Bandar (yang berikan peruntukan tersebut),” katanya.

“Dan bagi kerja-kerja (atau pembinaan) jalan-jalan yang (perlukan peruntukan) besar, semua di bawah Kerajaan Persekutuan (maka) Kerajaan Persekutuanlah yang kena bantu. Yang sikit-sikit ini bolehlah kita bantu,” katanya lagi.  

MENJENGAH HINGGA KE RUMAH... Ditemani oleh Batin Noria, Dato' Sri Wan Rosdy yang dalam perjalan keluar Pos Iskandar setelah selesai majlis ini, telah singgah sebentar ke rumah seorang penghuni ini.


PALING MENDUKACITAKAN

Sehubungan itu, beliau melahirkan perasaan ‘paling mendukacitakan’nya apabila kelulusan untuk projek-projek infrastruktur seperti jalan di Pos Iskandar ini yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) dulu, telah dibatalkan oleh parti memerintah sekarang.

“Sebenarnya, kalau mereka betul-betul prihatin kepada rakyat, mereka kena teruskan projek tersebut kerana projek tersebut untuk masyarakat Orang Asli, bukan untuk kepentingan-kepentingan tertentu sebagainya,” tegasnya.

Dalam ucapannya pada majlis yang sama sebelum itu, Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mendedahkan betapa projek jalan menghubungkan Kampung Kuin/Lenguit ke Kampung Jelawat dalam kawasan Pos Iskandar yang diluluskan oleh BN sebelum ini, telahpun dibatalkan.

Selain Dato’ Sri Ismail Sabri dan Batin Noria; antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Selasa ini ialah Ketua Hakim Syar’ie Negeri, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunus; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Aziz Mat Kiram; Ahli-ahli MMK Negeri yang lain – Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Dato’ Sri Norol Aazali Sulaiman;

Serta, Ahli Dewan Negeri kawasan Kemayan, Dato’ Mohd Fadil Osman; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Encik Ramli Mohd Noor dan, Pegawai Daerah Temerloh yang menjalankan tugas-tugas Pegawai Daerah Bera, Dato’ Razihan Azaharuddin.

PENYAMPAIAN NOTIS 5A/HAKMILIK TANAH KEPADA 200 PENDUDUK SETEMPAT

Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama-sama Masyarakat Orang Asli di Pos Iskandar ini ialah acara pemula kepada lawatan rasmi 2-hari Menteri Besar ke daerah Bera ini.

Selepas menunaikan solat Isya’ di Masjid Daerah Bera disusuli makan malam, Dato’ Sri Wan Rosdy dijangka menyertai Sesi Santai Bersama Pemimpin Masyarakat Setempat di Rumah Rehat Bera.    

Pagi esok, Rabu, 16 Oktober, acara beliau bermula dengan Sesi Ramah Mesra Bersama Kakitangan Awam Daerah Bera disusuli sarapan pagi di Perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Bera.

Beliau kemudian akan ditaklimatkan mengenai pembangunan daerah Bera di Bilik Gerakan, PDT tersebut yang sesudah itu, akan mempengerusikan mesyuarat mingguan MMK Negeri di tempat yang sama.

Pada sebelah petang dan acara terakhir lawatannya ke daerah Bera ini, beliau akan berlepas ke Dewan Orangramai Kampung Bohor Bharu bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Notis 5A dan Suratan Hakmilik Tanah kepada 200 orang penduduk setempat – Khabar

Friday 11 October 2019

Syukur Belanjawan 2020 turut umum manfaat langsung kepada Pahang


“Menerusi peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, ia adalah berselari dengan usaha giat Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian seluas kira-kira 1,215 hektar (3,000 ekar) sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) berhampiran pelabuhan tersebut,” kata Menteri Besar.

DALAM KENANGAN... Bekas Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Razak Hussein sedang meninjau kerja-kerja awal dalam membangunkan Rancangan Tanah Felda. 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan kesyukuran betapa Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen petang ini, Jumaat, 11 Oktober turut mengumumkan perkara-perkara positif berkaitan Pahang.

Antaranya ialah peruntukan RM810 juta bagi hal-hal berkaitan kebajikan masyarakat di Rancangan Tanah Felda yang mana Pahang mempunyai peneroka teramai di negara ini iaitu kira-kira seramai 43,124 orang.

Begitu juga peruntukan RM69.5 juta bagi kerja-kerja meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, serta pengumuman untuk membina kembali klinik-klinik kesihatan termasuk di Cameron Highlands.

“Menerusi peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, ia adalah berselari dengan usaha giat Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian seluas kira-kira 1,215 hektar (3,000 ekar) sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) berhampiran pelabuhan tersebut,” katanya.

Berikut ialah kenyataan media penuh Dato’ Sri Wan Rosdy sepertimana didikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar sebaik-baik tamat ucapan Encik Guan Eng yang bermula 4.05 petang, pada 6.25 petang.

KENYATAAN MEDIA

Saya bersyukur kerana Belanjawan 2020 yang dibentangkan selama 2 jam 20 minit oleh Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng pada petang ini, turut mengumumkan perkara-perkara positif yang berkaitan langsung dengan Pahang.

Misalnya, peruntukan kira-kira RM810 juta termasuk RM100 juta untuk bekalan air dan RM 70 juta bagi perumahan generasi baharu demi menjagai kebajikan masyarakat Felda adalah dialu-alukan, yang tentunya akan dimanfaati oleh kira-kira 43,124 peneroka – jumlah paling ramai di negara ini; serta anggota keluarga mereka yang terdapat di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda di negeri ini.

Menerusi peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, ia adalah berselari dengan usaha giat Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian seluas kira-kira 1,215 hektar (3,000 ekar) sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) berhampiran pelabuhan tersebut.

Dengan ini, sudah pasti menjadi penggalak tambahan (additional booster) kepada bakal-bakal pelabur untuk mendirikan kilang-kilang mereka di KIIP, selain kawasan perindustrian lain yang berdekatan seperti di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, 2 dan 3.

Menerusi Pelabuhan Kuantan yang dinaikkan tarafnya lagi, sudah pasti memudahkan kerja-kerja pengangkutan masuk dan pengangkutan keluar bahan-bahan serta barangan khususnya eksport ke Negara China terutamanya.

KLINIK KESIHATAN BAHARU DI TANAH RATA

Saya juga menyambut baik pengumuman untuk membina klinik-kilinik kesihatan baharu termasuklah sebuah di Cameron Highlands, yang mana klinik kesihatan sedia ada ialah di pekan kecil Tanah Rata.

Dengan ini saya berharap, semoga apa yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2020 bertemakan – Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke arah Kemakmuran Bersama ini, dapat direalisasikan khususnya di negeri ini . – Khabar  



Tuesday 8 October 2019

Loji Rawatan Efluen Kilang Sawit yang ‘super-mesra alam’ di kilang sawit milik LKPP Corporation



“Saya istilahkan loji ini sebagai ‘super-mesra alam’ kerana ia satu-satunya loji yang boleh merawat efluen atau sisa, sehingga ke tahap paling minimum dengan nilai ‘Biological Oxygen Demand’ (BOD) yang dilepaskan ke alur air ialah 20 part per million (p.p.m) ke bawah.

“Sedangkan, tahap yang dibenarkan oleh undang-undang dan masih dikira selamat serta bersih selama ini ialah kira-kira 100 part per million (p.p.m). Oleh itu, jika hendak diikutkan, loji ini ialah kira-kira lima (5) kali ganda lebih selamat serta bersih daripada yang dibenarkan,” kata Menteri Besar.

RASMILAH... Dato' Sri Wan Rosdy sedang menurunkan tanda tangannya pada 'plaque' yang disediakan. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ishak, Dato' Sri Ir Mohd Soffi, Encik Abdul Rahim (kiri sekali) dan Dato' Mohd Suhaimi (kanan sekali). Foto dipetik daripada BH Online.


KILANG SAWIT DOMINION SQUARE SDN BHD, NO 37, LEBUHRAYA TUN RAZAK (KUANTAN – SEGAMAT), PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pagi Selasa, 8 Oktober telah hadir ke sini bagi merasmikan Loji Rawatan Efluen I.H.I Kilang Sawit yang diistilahkannya sebagai ‘super-mesra alam’.

Sambil mengucapkan penghargaannya kepada pihak-pihak terlibat – kilang sawit Dominion Square Sdn Bhd ini sendiri yang dimiliki oleh LKPP Corporation Sdn Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat Jepun, IHI Corporation katanya;

“Saya istilahkan loji ini sebagai ‘super-mesra alam’ kerana ia satu-satunya loji yang boleh merawat efluen atau sisa, sehingga ke tahap paling minimum dengan nilai ‘Biological Oxygen Demand’ (BOD) yang dilepaskan ke alur air ialah 20 part per million (p.p.m) ke bawah.

“Sedangkan, tahap yang dibenarkan oleh undang-undang dan masih dikira selamat serta bersih selama ini ialah kira-kira 100 part per million (p.p.m). Oleh itu, jika hendak diikutkan, loji ini ialah kira-kira lima (5) kali ganda lebih selamat serta bersih daripada yang dibenarkan,” katanya dalam ucapan 15-minitnya.

Menurutnya, loji rawatan ini ialah yang pertama dibina dalam industri sawit bukan sahaja di negeri dan negara ini, tetapi juga seluruh dunia dan beliau menyatakan kebanggan kerana daripada 450  kilang sawit di negara ini, kilang sawit Dominion Square Sdn Bhd dipilih untuk menjadi tapak bagi pembinaan loji ini.

TEKUN PADA SESI PENERANGAN... 


IHI BELANJA RM 15 JUTA TERMASUK UNTUK R&D

Sebagai latar belakang katanya, projek ini merupakan kerjasama tiga (3) pihak iaitu MPOB, IHI Corporation dan Dominion Square Sdn Bhd, yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2018 lagi.

Dan skop kerjasamanya ialah – Dominion Square Sdn Bhd selaku tuan rumah, menyediakan tapak, efluen atau sisa, dan utiliti seperti air mentah dan elektrik; MPOB bertanggungjawab menganalisis mutu air dan membantu menggerakkan projek;

Manakala IHI Corporation ialah sebagai pembekal teknologi, peralatan dan pemaju projek ini, dengan turut mengeluarkan peruntukan kira-kira RM 15 juta bagi pelaksanaan peranan-peranannya ini termasuk kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R & D).   

Menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, projek ini sebenarnya bermula sejak tahun 2016 lagi setelah menyaksikan kejayaan loji perintis berskala kecil untuk merawat efluen kilang sawit yang dibina di Pusat Teknologi Kilang Kelapa Sawit (POMTEC), Labu, Negeri Sembilan.

“Memandangkan keputusan ujikaji yang amat memberangsangkan, IHI Corporation telah menyatakan hasrat untuk membina satu lagi loji tetapi berskala komersil di negara ini, dan sejak itulah bermulanya kerjasama antara wakil Jepun dan Malaysia, yang akhirnya diputuskan bagi pembinaan loji berkenaan di kilang sawit Dominion Square Sdn Bhd,” katanya lagi.

LOJI SIAP DAN BEROPERASI SEJAK SETAHUN LEPAS

Loji ini yang siap dan beroperasi sejak Oktober 2018 berada di atas tapak berkeluasan 40 meter X 30 meter yang setakat ini bagaimanapun katanya, tidak mengambil 100 peratus efluen yang dihasilkan oleh kilang sawit ini.

Oleh itu beliau berharap, LKPP Corporation Sdn Bhd dapat memulakan perbincangan untuk mengkaji semua aspek termasuk kos yang perlu dibiayai, kawasan, skim projek dan impak ekonomi kepada kilang dalam usaha untuk membesarkan loji rawatan ini supaya dapat merawat semua efluen yang dihasilkan.

Beliau juga berkata betapa LKPP Corporation Sdn Bhd mempunyai ladang-ladang sawit sendiri yang berkeluasan melebihi 9,000 hektar selain menguruskan hampir 32,000 hektar ladang-ladang lain, serta memiliki dua (2) kilang sawit.

Yang dengan itu beliau percaya, LKPP Corpoartion Sdn Bhd mempunyai cukup sumber ‘biomas’ yang berpotensi tinggi untuk dimajukan lalu memintanya dapat terus bersama-sama IHI Corporation untuk meninjau kemungkinan bekerjasama lagi dalam bidang rawatan ‘biomas’ ini pula.

“Ini misalnya dalam usaha memproses tandan kosong kepada bahan bakar, dan batang kelapa sawit kepada material baharu.

KOMITMEN TINGGI JAMIN KEJAYAAN

“Dengan komitmen yang tinggi yang ditunjukkan kedua-dua pihak saya percaya, kerjasama dalam bidang baharu ini juga akan mencapai kejayaan yang membanggakan kelak, In Sya Allah,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

Antara yang turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Encik Abdul Rahim Muda; Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, Dato’ Mohd Suhaimi Yunus; serta, Pengarah IHI Corporation, Encik Nobuhiko Kubota. – Khabar


Monday 7 October 2019

Tepatlah sangat UMNO-PAS anjurkan Muafakat Nasional, demi maruah Melayu

“Mungkin selepas ini akan ada satu gerakan yang lebih besar bersama-sama demi mengukuhkan kuasa keMelayuan kita yang dalam masa yang sama, tidak mengenepikan hak-hak bukan Melayu sepertimana termaktub dalam  Perlembagaan Negara,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

GRAFIK SEPERTIMANA TERSIAR DALAM 'Fb' DATO' SRI WAN ROSDY... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Penganjuran Kongres Maruah Melayu (KMM) semalam membuktikan betapa tepatnya langkah diambil oleh UMNO dan PAS dalam menganjurkan penyatuan ummah dan Muafakat Nasional, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang turut hadir pada KMM tersebut berkata, kehadirannya dan pula mendengar amanat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, “… mengesahkan betapa tindakan UMNO dan PAS yang lebih awal sebelum ini dalam mengusul dan menjayakan gerakan penyatuan ummah kemudiannya Muafakat Nasional, adalah tepat sekali.

“Dan inilah juga – penyatuan ummah dan Mufakat Nasional, merupakan intipati perjuangan kami kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang Tun Dr Mahathir ketuai, sudah terhakis teruk dan tergugat,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.  

Berikut disiarkan kenyataan media 15-perenggan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy – yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, sepertimana dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar pagi Isnin, 7 Oktober di sini.

Atas kesedaran tentang pentingnya perpaduan Melayu dan disebalik pandangan negatif sesetengah pihak, saya telah hadir ke Kongres Maruah Melayu (KMM) bersama-sama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta 13 lagi ahli Majlis Tertinggi parti, pagi semalam.

KEPENTINGAN MELAYU TERHAKIS TERUK DAN TERGUGAT

Kehadiran pada kongres anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya (UM) itu serta mendengar sendiri amanat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, telah mengesahkan betapa tindakan UMNO dan PAS yang lebih awal sebelum ini dalam mengusul dan menjayakan gerakan penyatuan ummah kemudiannya Muafakat Nasional, adalah tepat sekali.

Dan inilah juga – penyatuan ummah dan Mufakat Nasional, merupakan intipati perjuangan kami kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang Tun Dr Mahathir ketuai, sudah terhakis teruk dan tergugat.

Oleh kerana itulah juga agaknya, kenapa Tun Dr Mahathir sendiri dalam amanatnya pada KMM tersebut antara lain menyebut, “Saya nak mengaku di sini; Kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat keMelayuannya sekarang.

“Kalau dahulu kita boleh harap kerana Kerajaan dipimpin oleh orang Melayu kerana orang Melayu memang kuat. Tidak kuat kerana nak tak nak, kita kena ambil kira perasaan orang lain”.

Oleh kerana itulah juga, Kerajaan Persekutuan pimpinan PH yang diketuai Tun Dr Mahathir, telah dilihat terlalu ‘accomodative’ serta ‘beri muka’ (ENG; give face) secara tidak munasabah kepada kehendak-kehendak bukan Melayu.

CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Contoh yang nyata ialah dengan melihat kepada komposisi kabinet yang dibentuk yang mana, sungguhpun ada sebahagian daripada kementerian utama diterajui Menterinya orang Melayu tetapi tidak dapat tidak, ada juga yang terpaksa dilepaskan kepada bukan Melayu seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Oleh kerana komposisi kabinet yang sebegitulah, maka berlaku seperti kata bidalan – ‘Bagaimana acuan, begitulah rupa kuihnya’.

Dan Tun Dr Mahathir sendiri telah berkali-kali menyebut sebelum ini dan diulang sebut buat kali terakhirnya pada KMM betapa orang Melayu semakin lemah akibat parti politik yang mereka anggotai telah menjadi semakin banyak akibat perpecahan.

Dalam pada itupun, Tun Dr Mahathir telah membentuk kemudian mengetuai Parti Bersatu yang dengan itu sendiri telah memperlihatkan betapa Tun Dr Mahathir telah ‘cakap tak serupa bikin’.

Sungguhpun Parti Bersatu yang baharu ‘setahun jagung’ ini terbentuk dan pula tidak mempunyai banyak kerusi dalam Kerajaan PH, beliau masih diangkat sebagai Perdana Menteri yang tentunya kuasa sepenuhnya tidak ada padanya.

NASI BELUM LAGI MENJADI BUBUR

Oleh kerana itulah maka kini beliau terpaksa mengeluh di depan kami para hadirin pada KMM betapa, “… Kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat keMelayuannya sekarang”.

Namun kepada saya, ‘nasi belum lagi menjadi bubur’. Sepertimana kebimbangan dan kesayuan Tun Dr Mahathir telah luahkan pada KMM semalam, itulah juga yang menjadi kebimbangan dan kesayuan saya dan rakan-rakan saya.

Mungkin selepas ini akan ada satu gerakan yang lebih besar bersama-sama demi mengukuhkan kuasa keMelayuan kita yang dalam masa yang sama, tidak mengenepikan hak-hak bukan Melayu sepertimana termaktub dalam  Perlembagaan Negara.

Dan saya amat percaya kepada pepatah – sesudah ‘biduk berlalu,’ maka ‘kiambang’pun pastinya akan ‘bertaut’lah juga, dan kembalilah Melayu pada persada kuasa yang sepatutnya di atas tanah tumpah darah kita yang asalnya bernama Tanah Melayu, In Sya Allah. – Khabar


Thursday 3 October 2019

Kerajaan Negeri bantah penutupan UNITEN Kampus Sultan Hj Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah

UNITEN KSHAS... Dalam kalangan 'orang lama' sepertimana Administrator kepada laman sesawang ini, tentunya kampus di Muadzam Shah yang mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, KDYMM Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ini turut mendatangkan nilai sentimental terhadap kami semua.   


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri turut membantah apa juga usaha oleh pengurusan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk menutup Kampus Sultan Hj Ahmad Shah (KSHAS)nya di Bandar Muadzam Shah, Rompin.

“Walau apapun perancangan yang ada, dengan memberi apa juga istilah ‘bombastic’ kepada usaha tersebut; pucuk pangkalnya ialah UNITEN KSHAS di Muadzam Shah akan ditutup. Ini sememangnya Kerajaan Negeri tidak dapat terima lalu membantahnya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Oleh itulah, Kerajaan Negeri meminta pengurusan UNITEN serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) sendiri agar dapat menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pagi Khamis, 3 Oktober.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Lembaga Pengarah UNITEN pada 24 September lepas mengenai inisiatif yang dikenali ‘Reimagining UNITEN’, bagi memusatkan kampus-kampusnya yang ada hanya ke Putrajaya.

Di bawah inisiatif ini juga, UNITEN dikatakan akan berganding bahu dengan Jabatan Real Estate Ventures (REVD) TNB untuk mentransformasikan UNITEN KSHAS di Bandar Muadzam Shah kepada premis TNB yang baharu.

KERAJAAN NEGERI LULUS 68 HEKTAR UNTUK UNITEN KSHAS

Ketika Kerajaan Negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar (168 ekar) kepada UNITEN pada penghujung tahun 1990-an dulu menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, ialah bagi maksud pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan agar terbinalah sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan dan penginapan ribuan pelajarnya.

Sejak kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 hinggalah kemuncaknya pada tahun 2015 dengan seramai 4,300 orang katanya, UNITEN KSHAS telah turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah sendiri.

“Sungguhpun kini jumlah pelajarnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya merupakan kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya, jumlah kemasukan pelajar akan kembali ramai.

“Oleh itulah, sepertimana positifnya pandangan Kerajaan Negeri tentang kewujudan UNITEN KSHAS – apatah pula dengan nilai sentimental pada namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, KDYMM Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah; begitulah juga diharapkan di pihak UNITEN dan TNB.

“Adalah diharapkan, daripada melakukan usaha untuk menutupnya, adalah lebih wajar berusaha untuk menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjananya, dengan tidaklah terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja,” katanya lagi. – Khabar

Wednesday 2 October 2019

YAM Tengku Muda, Menteri Besar terima menghadap/kunjung hormat Menteri Luar Singapura


PENGHADAPAN DI RUMAH NEGERI... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – YAM Pengerusi Jumaah Pemangku Raja, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj menerima menghadap Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan petang Rabu, 2 Oktober di Rumah Negeri, Taman Gelora dekat sini.

Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail juga hadir pada penghadapan ini, begitu juga bekas Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak.

Sebelum itu pada sebelah tengah hari, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerima kunjung hormat Menteri Luar tersebut di sebuah hotel terkemuka di bandar Kuantan ini.

Selain Dato’ Sri Dr Salehuddin, antara yang turut hadir pada majlis ini yang disusuli jamuan makan tengah hari ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Fadzilla Salleh.  

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dr Vivian berada di negeri ini sempena lawatan ke tiga (3) negeri – Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu yang bermula semalam (Selasa, 1 Oktober) dan berakhir esok (Khamis, 3 Oktober).

PERTEMUAN KALI KEDUA DALAM TEMPOH LIMA BULAN... 


PERTEMUAN KEDUA DALAM TEMPOH 5 BULAN

Kenyataan media itu juga menyebut betapa kunjung hormat tengah hari ini merupakan pertemuan kedua oleh kedua-dua Dato’ Sri Wan Rosdy dan Dr Vivian, dalam tempoh lima (5) bulan ini.

Kali pertama ialah pada awal Mei lepas di pejabat Dr Vivian di Singapura. Ketika itu, Dato’ Sri Wan Rosdy mengambil kesempatan berada di negara-pulau itu sempena mengetuai delegasi perdagangan Kerajaan Negeri serta penganjuran ‘Seminar Pelaburan Pahang’ di sana.

Sebelum tiba ke Pahang khususnya Kuantan pada hari ini menurut kenyataan media itu lagi, Dr Vivian telah melawat Negeri Sembilan semalam dan esok, beliau akan ke Terengganu pula.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Singapura untuk mengukuhkan hubungan dengan negeri-negeri di Malaysia. – Khabar