Wednesday 30 March 2016

Kembalikan kegemilangan tulisan Jawi, titah KDYTM Tengku Mahkota


DUA WAJAH MESRA, UMARA' KITA...  KDYTM Tengku Mahkota kelihatan tersenyum semasa bersemayam di atas pentas sempena Majlis Perasmian Penutup Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi tengah hari Rabu ini. 

Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan, turut tersenyum sama.  
 

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KUIPSAS), KUANTAN – KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang menyempurnakan penutupan Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi di sini, menitahkan agar kegemilangan tulisan Jawi dikembalikan.

Ini kerana titah Baginda, tulisan Jawi merupakan warisan sejarah dan budaya bangsa yang digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian pada masa lepas, termasuklah dalam aspek perdagangan.

“Malah, ia digunakan (oleh) pegawai Inggeris pada zaman penjajahan Inggeris untuk berurusan dengan Raja-raja dan Pembesar Melayu,” titah Baginda pada majlis penutupan tengah hari Rabu, 30 Mac.

Tulisan Jawi bagaimanapun titah Baginda lagi, telah mengalami keadaan ‘pasang-surut’ sehinggalah ia dipinggirkan terutamanya setelah Bahasa Melayu turut ditulis dalam tulisan Rumi.

Sewajarnya kegemilangan tulisan Jawi dikembalikan kerana sekarangpun, menurut Baginda, tulisan ini dalam bentuk seni khat, sudahpun menjadi satu punca perniagaan dan  komersil.

PADA SEGMEN PAMERAN... Sempena majlis perasmian penutupan ini juga, KDYTM Tengku Mahkota turut berkenan mencemar duli, melawat ke segmen pameran. Kelihatan, Baginda sedang bertanya sesuatu mengenai bahan yang dipamerkan.  
 

LAKUKAN KAJIAN PADA MANUSKRIP TULISAN JAWI

Ke arah mengembalikan kegemilangan tersebut, KDYTM Tengku Mahkota turut menitah-sarankan agar kajian dilakukan ke atas manuskrip-manuskrip lama yang dalam tulisan Jawi.

Baginda turut menitah-sarankan semua pihak – jabatan-jabatan Kerajaan, badan-badan berkanun, majlis-majlis daerah serta swasya di negeri ini, supaya memperkasakan penggunaan tulisan Jawi menerusi setiap aktiviti mereka.

Kerajaan Negeri pula titah Baginda, hendaklah memperkenalkan kembali tulisan Jawi secara berperingkat-peringkat dalam urusan pentadbiran, selain menggunakannya pada papan tanda arah.

“Kementerian Pendidikan juga diharap dapat lebih ke hadapan untuk memainkan peranan supaya tulisan Jawi dapat dipertingkat penggunaannya di sekolah dan dalam kalangan masyarakat.

“Apabila terlaksana hasrat ini, zaman kegemilangan tulisan Jawi dapat dikembalikan kerana sesuatu bangsa itu akan dihormati kerana ketinggian budayanya,”
titah KDYTM Tengku Mahkota lagi.

DALAM KALANGAN HADIRIN SEKELIAN...
 

SEMINAR ANTARABANGSA ANJURAN KUIPSAS

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir pada majlis perasmian penutupan ini. Begitu juga, antara lainnya, Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad;

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Wahid Wan Hassan; serta Rektor KUIPSAS, Dato’ Yahya Zainal Abidin.  

Seminar dua (2) hari anjuran KUIPSAS ini bertemakan ‘Tulisan Jawi Pemangkin Kegemilangan Peradaban Ummah’ dengan penyertaan selain dari negara ini; ialah Thailand, Brunei dan Rusia. – Khabar

Monday 28 March 2016

SOP mantap tentang aktiviti bauksit pada peringkat akhir siap.


“Saya minta semua pihak tunggu. Saya yakin, SOP yang akan ditentukan nanti akan pastikan semua penduduk yang ada di Kuantan ini, selesa.

“Kita tak mahu tunduk kepada ketamakan operator-operator. Kita akan tegaskan standard-standard tertentu, (mengenakan) bayaran deposit dan sebagainya,” tegas Menteri Besar.

MENTERI BESAR BERSAMA-SAMA PARA PENERIMA BANTUAN... Dato' Sri DiRaja Adnan telah sudi bersesi foto kumpulan dengan para penerima bantuan. 


ARENA YAM TENGKU MUDA PAHANG, MARAN – Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang mantap mengenai aktiviti bauksit di negeri ini kini pada peringkat akhir siap, kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang terlibat termasuklah – yang utama, penduduk Kuantan yang akan terkesan dengannya; supaya dapat bersabar menunggu pelaksanaannya nanti.

“Sebenarnya, sudah hampir dah (siap). Sebab, setiap jabatan sudah memberikan ‘recommendation’ dia. Terpulang kepada Menterilah. Mungkin dia ingin menambah-baik lagi,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan Bernama pada persidangan media sempena Program Jelajah Negeri Hari Kesedaran Pelesenan dan Kualiti Getah 2016 pagi Isnin, 28 Mac di sini.

Jabatan yang dimaksudkannya – kecuali Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri; yang lain seperti Jabatan  Mineral dan Geosains (JMG), Kastam DiRaja Malaysia (KDM);

LAGI RAKAMAN BERSAMA PENERIMA... 


LANJUT ATAU TIDAK TEMPOH MORATORIUM?

Polis DiRaja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); serta, Pelabuhan Kuantan – adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Yang oleh kerana itulah juga, Menteri Besar berpandangan tepatnya keputusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli (NRE), mengambil-alih urusan-urusan berkaitan aktiviti bauksit di negeri ini.     
 
“Saya minta semua pihak tunggu. Saya yakin, SOP yang akan ditentukan nanti akan pastikan semua penduduk yang ada di Kuantan ini, selesa.

“Kita tak mahu tunduk kepada ketamakan operator-operator. Kita akan tegaskan standard-standard tertentu, (mengenakan) bayaran deposit dan sebagainya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau seterusnya berkata, Menteri Sumber Asli akan memuktamadkan SOP berkenaan, dan juga dalam menetapkan kemungkinan tempoh tiga (3) bulan moratorium yang berakhir 15 April, dihenti atau dilanjutkan.

MARI MENOREH... 


BAJET NEGARA PERUNTUK RM200 JUTA UNTUK LGM

“Mungkin moratorium ini ditambah lagi – sebulan-dua atau dua-tiga bulan; terpulang kepada YB Menteri. Sekarang ini, ‘bola di kaki’ beliau,” tegasnya.

Mengenai majlis anjuran Lembaga Getah Malaysia (LGM) pagi Isnin ini, beliau berkata, ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orangramai khususnya para pekebun kecil, mengenai peranan LGM.

“Dan pada ketika yang sama, kita menerangkan kenapa harga getah sekarang ini turun. Ia turun sebab, orang kata – permintaan terhadap getah itu menurun. Kerana, negara-negara yang beli getah kita selama ini seperti Amerika, Jepun – mereka juga mengalami kemelesetan ekonomi,” katanya.

Beliau juga menyebut, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, Bajet Negara 2015 telahpun memperuntukkan RM200 juta untuk LGM membantu menangani masalah pekebun-pekebun kecil yang di Pahang, jumlahnya kira-kira 28,000 orang.

Yang menerusi peruntukan RM200 juta itulah katanya, pekebun-pekebun kecil dibantu menerusi apa yang dinamakan harga pengaktifan yang ditetapkan pada RM2.20 sekilogram.

MELAYANI WARTAWAN PADA PERSIDANGAN MEDIA... Yang turut kelihatan mengiringi Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Dato' Sri Muhd Leo Toyad (dua dari kiri); Dato' Dr Mohd Akbar (kanan sekali); dan, Dato' Syed Fuad (kiri sekali). 


HARGA PENGAKTIFAN PADA RM2.20 SEKILOGRAM

“Kalau harga getah kurang daripada RM2.20 (sekilogram), katalah RM2.00 (sekilogram); Kerajaan tambah 20 sen yang dimasuk/kreditkan ke dalam akuan pekebun kecil berkenaan.

“Tapi, kalau harga getah lebih RM2.20 (sekilogram), Kerajaan tak bayar apa-apa. Ha, itu yang kita terang kepada orang,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir pada Majlis Perasmian Jelajah Negeri Hari Kesedaran Pelesenan dan Kualiti Getah 2016 yang mana Pahang ialah negeri pertama program seumpamanya dianjurkan, ialah;

Pengerusi LGM, Dato’ Sri Muhd Leo Toyad; Ketua Pengarah LGM, Dato’ Dr Mohd Akbar Md Said; wakil rakyat negeri (BN – Luit), Puan Norhidayah Mohd Shahaimi; serta, Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Fuad Syed Yahya. – Khabar

Thursday 24 March 2016

Wajar lanjutkan tempoh moratorium aktiviti bauksit!

 
SENARIO YANG LEPAS, MOGA TAK LAGI BERULANG... Ini mungkin biasa dilihat di atas jalan-jalan berkenaan menuju ke Pelabuhan Kuantan yang dalam tempoh moratorium tiga (3) bulan sekarang, tidak terdapat lagi.

Moga-moga keadaan yang 'aman-damai' sekarang, akan kekal begitu sama ada tempoh moratorium yang akan berakhir pertengahan April ini hendak dilanjutkan lagi atau tidak. 

NOTA EDITOR;
Berikut ialah artikel tulisan AHYA ALIMUDDIN dan YOPE KEY-DARE, yang berkaitan dengan tempoh moratorium mengenai aktiviti bauksit, yang bermula 15 Januari dan berlangsung selama tiga (3) bulan yang akan berakhir pada 14 April ini.
Memandangkan tempoh itu cuma berbaki kira-kira tiga (3) minggu lagi, dan pula, kerja-kerja pelupusan tanah merah bauksit khususnya di kawasan stok simpanan di Pelabuhan Kuantan belum juga lagi dapat diselesaikan; maka itu, artikel ini ditulis.
Semoga kita sama-sama memanfaatinya.  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Dengan pergerakan selembab siput dalam melupuskan/pengeksportan kesemua tanah bauksit dari kawasan stok simpanan (stockpile) khususnya di Pelabuhan Kuantan, langkah wajar yang patut Kerajaan ambil ialah melanjutkan tempoh tiga (3) bulan moratorium bagi aktiviti bauksit tersebut yang bakal berakhir 15 April ini.

Asas kepada cadangan pelanjutan tempoh ini ialah; tak mungkin dalam tempoh kira-kira tiga minggu sahaja lagi, baki kira-kira dua juta tan metrik tanah merah tersebut – yang memerlukan sehingga 50 buah kapal, dapat dikeluar/dieksport ke luar negara.

Itu baru satu kawasan stok simpanan. Bagaimana pula dengan 11 kawasan stok simpanan lain (yang tidak dapat dipastikan keseluruhan jumlah tan metriknya) yang terdapat di lokasi-lokasi yang berbeza di sekitar daerah Kuantan ini?

Dalam hal ini, Kerajaan mesti terus bertegas.

Tidak dinafikan, beberapa hari lepas, 15 pengusaha mineral tersebut telah bersepakat di bawah sebuah persatuan yang baru sahaja ditubuhkan, menggesa Kerajaan menarik balik arahan moratorium itu khusus kepada kononnya, pengusaha-pengusaha yang patuh-syarat.

KEIZINAN BERPILIH-PILIH BAGI SYARIKAT MULA SEMULA AKTIVITI?

Kononnya juga, dalam tempoh moratorium sekarang, keseluruhan aktiviti (bukan industri ya, sebab aktiviti mereka yang penuh dengan kekalutan) bauksit yang terhenti telah menyebabkan pengusaha kehilangan pendapatan bulanan sehingga RM400 juta.

Namun, adakah dengan mengizinkan secara berpilih-pilih, pengusaha-pengusaha bauksit berkenaan untuk memulakan semula aktivit mereka selepas tempoh 15 April, boleh menjamin aktiviti tersebut berjalan balik tanpa pencemaran dan kekalutan?

Sebelum inipun, ada yang mendabik dada kononnya, merekalah pengusaha yang melakukan aktiviti bauksit tanpa tercemar – daripada peringkat perlombongan hinggalah pengangkutan tanah merah tersebut ke Pelabuhan Kuantan.

Sedangkan, hanya ‘indah khabar daripada rupa’. Pencemaran tetap dikesan juga daripada aktiviti perlombongan dengan rungutan pencemaran udara debu merah oleh penduduk persekitarannya, hinggalah kepada kaedah pengangkutannya.

Lagipun, di manakah kelibat serta ‘suara’ pengusaha-pengusaha bauksit ini tatkala Kerajaan khususnya Kerajaan Negeri, dikritik habis-habisan kononnya kerana kegagalan melakukan sesuatu bagi menangani gejala akibat bauksit ini? Hanya sesudah terhantuk, kini baru hendak tergadah?

ATAS RASA KEBERTANGGUNG JAWABAN KERAJAAN

Dan, bukannya mereka tidak pernah berada pada perjumpaan pengusaha lombong serta operator pengangkutan – lebih empat (4) kali dengan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri, yang telah berulang-kali mengingatkan mereka supaya mematuhi syarat atau bakal hadapi tindakan drastik Kerajaan sepertimana penguatkuasaan moratorium sekarang.

Kini Dato’ Sri DiRaja Adnan – jika beliau mahu, boleh sahaja menempelak dengan berkata, “… tengok, saya sudah kata dah”, atau lebih kasar lagi, “padan muka”. Tetapi, beliau tidak berbuat demikian, sebaliknya terus mencari lagi jalan untuk memastikan aktiviti bauksit beroperasi dengan lebih tersusun, tanpa pencemaran.

Ini beliau lakukan, bukan kerana beliau atau Kerajaan Negeri ada apa-apa kepentingan dalamnya, cuma atas rasa kebertanggung jawaban sebuah Kerajaan yang adil bagi mewujudkan keadaan menang-menang kepada semua pihak khususnya rakyat-jelata.   

Bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, perbincangan demi perbincangan diadakan khususnya di peringkat pegawai, bagi terus menangani gejala bauksit ini antara lain, merangka Prosedur Operasi Piawaian (SOP) yang terbaik sebelum menguatkuasakannya.

Ini memang sedang dilakukan dan, apa-apa keputusan yang diambil menerusi perbincangan-perbincangan ini akan dibawa dengan sempurnanya ke Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, untuk diputus dan dikuatkuasakan.

HAYAT POLITIK PANJANG KERANA MAINKAN ISU

Maka, tidak timbullah persoalan tentang kononnya Kerajaan tidak telus dalam menangani isu ini terutamanya dalam tempoh ‘bertenang’ tiga (3) bulan ini, sepertimana dakwaan seorang ahli parlimen pembangkang di Kuantan ini.

Sudah terkenal kini sebagai seorang yang hayat politiknya panjang kerana memainkan isu-isu (termasuk terbaru, hendak membawa usul ke parlimen bagi membahaskan kononnya mengenai gejala yang berlaku di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di sini), yang dirungutinya mengenai usaha Kerajaan menangani aktiviti bauksit langsung tidak boleh diterima.

Beliau asyik bangkitkan tentang kononnya kegagalan Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti serta mengumumkan, kawasan stok simpanan berpusat bagi mengumpulkan kesemua bahan mineral bauksit di satu kawasan tersebut.

Hanya kerana beliau tidak sedar tentang perkembangan terbaharu mengenai usaha Kerajaan itu, tidak bermakna Kerajaan – sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri, berpeluk tubuh sahaja sekarang, tanpa melakukan sesuatu.

Sedangkan, segala-galanya telahpun diambil-kira oleh kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian berkenaan, yang hanya tunggu masa sahaja untuk melengkapkan, kemudian mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan.

SELESA TEMPOHI HARI TANPA KEKALUTAN LORI BAUKSIT

Sudah tentulah, apa yang disebut ini bukanlah sesuatu yang baik untuk ahli parlimen berkenaan. Kalaupun beliau tahu, sudah pasti beliau akan membangkitkan pelbagai perkara lain pula demi kelangsungan isu tersebut sekaligus, hayat politiknya juga.

Sementara itu, penduduk Pahang khususnya Kuantan, pasti berasa sungguh selesa dalam menempuhi hari-hari tanpa kalut berlumba dengan lori pengangkut bauksit di atas jalan menuju ke Pelabuhan Kuantan dalam tempoh tiga bulan ini.

Dengan pelanjutan tempoh ini nanti, katalah, lagi tiga (3) bulan; adalah diharapkan segala perkara yang harus dilakukan dan pula syarat-syarat dan peraturan baharu yang dirangka, dapat dihalusi kemudian dilulus serta dikuatkuasakan, demi kesejahteraan kita, penduduk Kuantanlah juga. – Khabar        


Saturday 19 March 2016

PM ucapkan tahniah atas kejayaan PR1MA Pahang!



“Sebab itu, bila YAB Menteri Besar telah sebut tadi bahawa dalam Manifesto BN Negeri telah tetapkan sasaran 15,000 (unit), sekarang sudah sampai 39,000 unit rumah mampu milik dilaksanakan (di pelbagai peringkat)…

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kejayaan ini,” kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib

CENDERAMATA BUAT KETUA KITA... Dato' Sri Mohd Najib kelihatan ceria menerima cenderamata daripada Dato' Sri DiRaja Adnan; berupa foto merakamkan satu majlis pada tahun 1986, melibatkan hal perumahan semasa beliau masih lagi Menteri Besar Pahang.
 

TAPAK PROJEK PR1MA PAHANG, KM 23, JALAN KUANTAN-GAMBANG, KUANTAN – Sambil menyatakan senang hatinya atas kejayaan dalam pelaksanaan pelbagai projek dan program di bawah agenda perumahan untuk rakyat-jelata di seluruh negara;

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya melepasi sasaran pembinaan rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, daripada 15,000 unit kepada lebih 39,000 unit, yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.  

“Saya senang hati bahawa, agenda perumahan ini terlaksana dengan jayanya. Saya bagi tahu kepada rakan-rakan saya bahawa agenda perumahan ini diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat, oleh Kerajaan Negeri, swasta bersama.

“Sebab itu, bila YAB Menteri Besar telah sebut tadi bahawa dalam Manifesto BN Negeri telah tetapkan sasaran 15,000 (unit), sekarang sudah sampai 39,000 unit rumah mampu milik dilaksanakan (di pelbagai peringkat)…

“Jadi, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kejayaan ini,” kata Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapan luar teks 12-minitnya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang pagi Sabtu, 19 Mac di sini.

MENJENGAH DAN MERASAI KESELESAAN DALAM RUMAH PR1MA PAHANG... Mungkin ada sesuatu yang menarik yang dikatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga membuatkan Dato' Sri Mohd Najib tertawa. 

Selain Dato' Sri Muhammad Safian (kiri sekali), yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Wan Rosdy (dua dari kanan); dan, Dato' Fong (kanan sekali). 
 

PERUMAHAN RAKYAT LWN DEKLARASI RAKYAT

Beliau seterusnya menyatakan kekagumannya kerana rumah PR1MA Pahang – rumah berkembar setingkat di sini, dijual pada harga RM150,000 seunit sedangkan harga pasaran semasanya melebihi RM300,000 seunit.

“Oh, inilah kiranya dapat (memiliki rumah berkembar setingkat di PR1MA Pahang) ini sudah untung 100 peratus!,” katanya, sambil menyebut betapa pemilikan rumah bukan sekadar memiliki rumah tetapi juga memiliki aset yang meningkat nilainya dari masa ke semasa.  
“Mana nak dapat tawaran seperti ini? Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan kita,  Kerajaan Barisan Nasional,” katanya lagi disusuli tepukan oleh khalayak yang hadir.

“Kita tak usahlah pedulikan sangat, ‘Deklarasi Rakyat’ ke, apa ke. Kita tak payah ‘Deklarasi Rakyat’, ini (projek PR1MA Pahang) dah (cukup) untuk rakyat ini…,” katanya lagi yang sekali lagi menerima tepukan.

“Apa yang kita penting bukan deklarasi... Apa yang kita penting bukan surat... Bukan pengakuan tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan. Betul tuan-tuan?” tanya beliau yang serentak itu khalayak menjawab, “Betul…”.

 ANTARA KHALAYAK PADA MAJLIS PAGI SABTU... 


 TERUSKAN BUAT PROGRAM UNTUK RAKYAT

“Apa (yang) memekik sana, memekik sini, melaung sana, melaung sini. Orang yang dulu maki-hamun kita, kita pula (kini) dakap dia… Ha, ini semua, tak patut… Tak patut. Tak patut sangat…

“Apa yang patut kita buat ialah, buat program untuk jaga rakyat, jaga hati rakyat, isikan kehendak rakyat, pastikan segala akujanji kita terlaksana. Kalau lebih, lebih baik daripada akujanji kita macam projek perumahan di Pahang ini, lebih daripada sasaran kita. Inilah dia,” katanya yang sekali lagi disusuli tepukan.

“Kalau macam ini, menang kita (pada pilihanraya umum kelak), insyaAllah. InsyaAllah, menang kita di Pahang ini. Tapi kita (perlu) kerja kuat, insyaAllah. Kita jangan sombong, dengan rakyat kita baik, kita bersikap rendah diri, insyaAllah, rakyat akan terus beri sokongan kepada kita,” katanya lagi.

Pada awal ucapannya, Perdana Menteri telah menyebut tentang betapa menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk sentiasa ber‘istiqamah’ serta fokus dalam usaha membangunkan ekonomi serta menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Hanya menerusi ekonomi negara yang berkembang katanya, peluang pekerjaan misalnya, dapat ditingkatkan sebaliknya, jika menguncup, kadar pengangguran akan meningkat yang boleh membankan kehidupan rakyat juga.  

AHLI KONGRES BERTENTANGAN PARTI TAK KUTUK NEGARA SENDIRI

Oleh sebab itulah juga, beliau mahu rakyat memberi kerjasama dengan tidak membuat angkara yang boleh menyebabkan berlakunya pandangan serong terhadap negara ini khususnya oleh para pelabur luar negara.

Dato’ Sri Mohd Najib kemudian mengisahkan bagaimana beliau menemui ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat dari kedua-dua Parti Demokrat dan Republikan yang bertentangan, tiadapun dalam kalangan mereka yang memburuk-burukkan Negara mereka sendiri.  

“Dia (ahli-ahli Kongres dari parti-parti yang berlawanan itu) tetap kata bahawa ‘America is great’. Ha itu ayat dia.

“Tapi, puak-puak kita ini, lain perangainya. Ada yang ke luar negeri, mengutuk kita, mengutuk Malaysia. Kita boleh berbeza pendapat tetapi dari segi nak menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang baik dan berjaya, kita mesti tetap perjuangkannya.

“Kerana, inilah bumi kita. Inilah negara kita. Dan kita mestilah pertahankannya,” katanya yang disusuli tepukan gemuruh oleh khalayak sekelian.

PR1MA PAHANG CETUSAN IDEA MENTERI BESAR

Sebelum itu, dalam ucapan luar teks 15-minitnya, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob antara lain menyebut betapa semasa menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lepas, BN Negeri telah mensasarkan untuk membina 15,000 unit rumah di bawah PR1MA Pahangnya.

“Tetapi, dalam tempoh dua tahun setengah sahaja, YAB Dato’ Sri, kita telah berjaya meluluskan pembinaan hampir 30,000. Dan sehingga hari ini saya difahamkan, kita telah berjaya meluluskan di semua peringkat pembinaan, (lebih) 39,000 unit,” katanya yang disambut tepukan.

Sungguhpun tidak menafikan bahawa PR1MA Pahang merupakan projek perumahan mampu-milik cetusan ideanya, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut tidak ketinggalan untuk menyatakan penghargaannya kepada kedua-dua;

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail atas usaha mereka untuk melaksana dan menjayakannya.

Selain Dato’ Sri Wan Rosdy dan Dato’ Sri Muhammad Safian; antara yang turut hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Mutalib; dan, Pengarah, Syarikat Dinamik Budimas Sdn Bhd, Dato’ Fong Teck Loon. – Khabar