Thursday 31 May 2018

KDYMM Pemangku Raja zahirkan kebimbangan dengan jumlah besar/nilai harta pusaka milik Islam terbeku dan belum diwariskan.


TITAH DIRAJA...


PERKARANGAN MASJID BATU PAPAN, BERAKDYMM Pemangku Raja Pahang menzahirkan kebimbangan Baginda dengan jumlah besar harta pusaka milik umat Islam yang terbeku dan belum diwariskan ekoran masalah pengurusannya. 

Sambil memetik laporan akhbar sebelum ini tentang harta pusaka berkenaan yang nilainya kini mencecah RM66,000 juta, Baginda menitah-sarankan betapa umat Islam di negara dan negeri ini; 

“Perlu diingat, harta bukanlah diperolehi secara ‘pipis datang melayang’. Harta tidak dimiliki secara ‘bulat datang bergolek. Harta yang diperolehi adalah dengan penat-jerih yang diusahakan sepanjang hayat oleh sipemilik harta. 

“Mereka mengorbankan keperluan hari ini untuk persediaan memenuhi keperluan anak-cucu hari esok. Maka, amatlah malang setelah pemilik harta meninggal dunia, harta tersebut yang bertaraf harta pusaka, ditinggalkan terbeku begitu sahaja dan tidak boleh digunakan. 

“Senario ini merupakan satu kerugian kepada waris dan juga kerugian amat besar kepada umat Islam keseluruhannya,” titah Baginda pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Kampung Batu Papan ini petang Khamis, 31 Mei di sini.

MENURUNKAN TANDATANGAN BAGINDA... Selain Dato' Sri Wan Rosdy, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Sri Syed Ibrahim.


PENTINGNYA AMALAN HIBAH

Baginda juga bertitah, Islam menggalakkan umatnya memperuntukkan harta yang dikumpul untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam memenuhi tuntutan hukum faraid, atau dalam bentuk berzakat dan wakaf.

Malangnya, majoriti umat Islam masih kurang pengetahuan mengenai urusan pengagihan dan pembahagian harta ini, titah Baginda lagi. 

“Maka di sinilah Islam membolehkan harta seseorang itu dihadiahkan semasa hidup dalam bentuk Hibah atau Hadiah, agar dapat memberi manfaat kepada ahli keluarga yang ditinggalkan. 

“Hibah merupakan salah satu cabang muamalat dan digalakkan untuk diberikan terutamanya kepada anggota keluarga terdekat. Amalan Hibah memberi manfaat terutamanya dalam menyelesaikan beberapa pertikaian berkaitan harta pusaka,” titah Baginda. 

Baginda seterusnya memetik Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang antara lain menyebut; ‘Rasulullah SAW bersabda kepada Saad Abi Waqas yang bermaksud; 

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN...


LEBIH BAIK TINGGALKAN WARIS DALAM KEADAAN KAYA

‘Sesungguhnya kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya; itu jauh lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta kepada manusia’.

Sehubungan itu Baginda menitah-cadangkan agar Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berganding bahu dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam melaksanakan gerakan kesedaran Hibah di negeri ini. 

Antara yang boleh dilakukan menerusi gerakan tersebut titah Baginda lagi, ialah dengan menyediakan khidmat nasihat mengenai Hibah di peringkat negeri, daerah mahupun mukim, serta memberi latihan kepada pegawai-pegawai masjid. 

Pada awal titah ucapan, KDYMM Pemangku Raja sekali lagi menitah-ingatkan agar rakyat-jelata khususnya umat Islam di negeri ini, supaya dapat terus memelihara perpaduan dalam kalangan mereka. 

“Sebagai sebuah masyarakat yang menganuti agama yang sama iaitu Islam, adalah menjadi satu kewajipan kita bersama utuk berusaha memupuk semangat persaudaraan di antara ahli masyarakat. 

ANAK KECIL JUGA MENERIMA LAYANAN MESRA DAN ISTIMEWA, KEBAWAH DULI TUANKU...


PERPADUAN MENJAMIN MASYARAKAT TEGUH, BERMARUAH 

“Apa yang harus kita ingat ialah bahawa menerusi perpaduan kita akan dapat mewujudkan satu masyarakat yang teguh dan bermaruah. Sebaliknya, jika terdapat perpecahan di kalangan kita maka ini akan merugikan kita sendiri disamping menerima kutukan Allah SWT,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menitah-sarankan agar soal perpaduan dijadikan penekanan di dalam kelas-kelas pengajian, kuliah atau perjumpaan dalam kalangan cerdik-pandai Islam di negeri ini.

Selain Menteri Besar Dato’Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut hadir pada majlis petang Khamis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, Pegawai Daerah Bera, Dato’ Razihan Adzharuddin. – Khabar



Wednesday 30 May 2018

Iftar Ramadan Bersama Media


Lebih 100 pengamal media hadir
  
MENYAMPAIKAN SUMBANGAN RAYA 'GOODIES'... Dato' Mohd Fakharuddin sedang menyampaikan 'goodies' berupa biskut Raya kepada Ketua Biro Utusan Malaysia, Encik Mohd Shariza Abdullah sambil Dato' Abdul Wahab memerhatikan.

 
HOTEL VISTANA, KUANTAN – Pejabat Menteri Besar meneruskan tradisi dalam penganjuran berbuka puasa bersama media, tahun ini diadakan petang Rabu, 30 Mei di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Arif mewakili Menteri Besar, meraikan mereka yang dalam kalangan wartawan, jurufoto, jurukamera serta juruhebah dari organisasi-organisasi berita dan penyiaran di negeri ini.

Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail tidak dapat hadir kerana perlu bersegera ke Putrajaya sebaik-baik selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, bagi menghadiri majlis berbuka puasa yang dihoskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sana.

Yang turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin yang dulunya memegang portfolio komunikasi dan multimedia tetapi kini beralih ke portfolio Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Begitu juga tuanrumah – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali; serta, Pengarah, Jabatan Penerangan Negeri, Dato’ Sabri Abdullah; Presiden, Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Nik Husin dan Pegawai Media, Istana Abdulaziz, Kuantan, Encik Abdul Rahim Othman.

Menurut Dato' Abdul Wahab, majlis pada tahun ini mendapat kerjasama penuh daripada agensi serta syarikat berkaitan Kerajaan Negeri - LKPP Corporation Sdn Bhd dan Yayasan Pahang. 

'GOODIES' BUAT KETUA BIRO NSTP... Dato' Mohd Fakharuddin serahkan 'goodies' kepada Encik Abdul Razak Raaf pula. 

BISKUT RAYA BUAT SEMUA... Ketua Biro Bernama, Cik Noor Shamsiah Mohamad sedang menunjukkan kepada Dato' Mohd Fakharuddin kandungan yang berisi biskut Raya ini.   

PARA HADIRIN PETANG RABU INI...

MARI KITA BERGAMBAR, DI TEPI KOLAM RENANG...
– Khabar

 



Tabik buat Dato’ Sri DiRaja Adnan!


 Menteri Besar beri penghormatan kepada ‘predecessor’nya pada Majlis Penyerahan Tugas Menteri Besar Pahang pagi Rabu

 “Jika saya lupa, maka bolehlah diingatkan; jika salah, boleh dibetulkan; jika bengkok, mohon diluruskan; jika silap mohon ditunjuk dan diajar mana yang baik,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy pada akhir ucapan 11-minitnya

SERAHAN TUGAS...

BILIK GERAKAN NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTANMenteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memberi penghormatan kepada Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas jasa dan khidmat bakti beliau kira-kira 19 tahun menerajui negeri ini. 

Ini dilakukannya ketika menyampaikan ucapan 11-minit pada Majlis Penyerahan Tugas Menteri Besar Pahang pagi Rabu, 30 Mei di sini, yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar itu.  

Memulakan ucapan dengan menganggap Dato’ Sri DiRaja Adnan sebagai ‘mentor’nya kata Dato’ Sri Wan Rosdy, Dato’ Sri DiRaja Adnanlah yang banyak membantu dalam melancarkan perajalanan politiknya sejak tahun 2004 lagi.

Beliau menyingkap kembali tatkala menerima panggilan telefon menerusi pegawal peribadi Dato’ Sri DiRaja Adnan pada suatu pagi tahun 2004, selepas solat Subuh, yang beliau dimaklumkan tentang pemilihannya bertanding pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-11 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Jelai.

“… Dato’ Sri DiRaja bagi tahu Tuanku dah perkenan dan (saya akan diletak) bertanding di Jelai. Saya tak sempat kata ya atau tidak, Dato’ Sri DiRaja kata, ‘menang di Jelai tu’,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

POSE UNTUK RAKAMAN KAMERA... Sebelum bermulanya majlis pagi Rabu tersebut.


DILANTIK JADI AHLI MMK PADA PENGGAL KEDUA

Selepas sepenggal menjadi wakil rakyat biasa katanya, beliau telah dilantik oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dan diperkenankan oleh KDYMM Sultan Pahang untuk menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada penggal kedua (2008 – 2013) dan terus kekal bagi penggal 2013-2018 lepas.

“Dan kini, atas kehendak, takdir Allah, saya telah, dengan mendapat perkenan Tuanku Pemangku Raja, mungkin dengan cadangan daripada Dato’ Sri DiRaja, saya telah menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-15,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyebut tentang pendekatan berkesan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan semasa mengemudi Kerajaan Negeri dengan ‘Mesra Rakyat, Mesra Pelaburnya’ – kebajikan rakyat-jelata menjadi keutamaan.

“Saya percaya, bertititk tolak daripada pendekatan Dato’ Sri DiRaja itulah (mesra rakyat dengan mementingkan hal kebajikan rakyat), ianya sangat berkesan dan berjaya di negeri ini.

“Dan ini dapat dilihat dan dibuktikan iaitu, setiap kali Pilihanraya Umum, Pilihanraya Kecil, Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Sri DiRaja tidak pernah kalah. Ini adalah bukti yang tidak dapat dinafikan,” katanya yang serentak itu menerima tepukan hadirin yang dalam kalangan Ahli-ahli MMK, ADUN-ADUN BN dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri.  

MEMBERI TUMPUAN...


REKOD CEMERLANG MEMANG EMPAT (4) PRU, LIMA (5) PRK

Beliau seterusnya menyebut tentang kemenangan demi kemenangan yang BN perolehi di bawah kepimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan iaitu pada PRU Ke-11 tahun 2004; PRU Ke-12 tahun 2008; PRU Ke-13 tahun 2013; dan PRU Ke-14 tahun 2018.

Jentera pilihanraya BN di bawah teraju Dato’ Sri DiRaja Adnan juga turut melalui lima (5) PRK yang menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, kesemuanya BN menangi.

Kelima-lima PRK itu ialah PRK Negeri kawasan Sanggang tahun 2000; PRK Negeri kawasan Ketari tahun 2002; PRK Negeri kawasan Batu Talam tahun 2007; PRK Negeri kawasan Kerdau tahun 2011; dan, PRK Parlimen kawasan Rompin tahun 2015.

“Dan yang lebih penting ialah pada pilihanraya baru-baru ini, PRU ke-14, yang kita anggap sebagai ibu segala pilihanraya; banyak negeri yang jatuh satu-persatu kepada Pakatan Harapan, cuma ada dua (2) negeri yang dapat dipertahankan oleh Barisan Nasional, satunya di Perlis dan satunya lagi di Pahang.

Ini juga di bawah kepimpinan Dato’ Sri DiRaja yang mengetuai jentera pilihanraya. Jadi itulah diantara rekod-rekod cemerlang Dato’ Sri DiRaja yang kalau nak disebut satu-persatu banyak sangat.

SESI FOTO BERKUMPULAN...


MENERUSKAN DASAR-DASAR MESRA-RAKYAT, MENGUTAMAKAN RAKYAT

“Dan ini saya percaya, akan tercatit dalam lipatan sejarah yang memang sukar ditandingi oleh siapa-siapa. Dan saya percaya, ini ada sifir-sifir, formula yang boleh saya pelajari daripada Dato’ Sri DiRaja supaya menjadi lebih berkesan apabila kita mentadbir negeri,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri menurutnya, akan meneruskan program-program dan dasar-dasar yang telah dirangka dan dilaksanakan semasa di bawah Dato’ Sri DiRaja Adnan jika adapun perubahan ialah tokok-tambah bertujuan memperkemaskan dan memperelokkannya lagi.

“Dan saya percaya, dengan sokongan rakan-rakan Ahli Exco (Ahli MMK), kita juga cuba mencari idea-idea baharu demi memakmurkan lagi negeri Pahang menerusi dasar-dasar yang mesra rakyat atau mengutamakan rakyat.

“Jadi kepada Dato’ Sri DiRaja saya ucapkan terima kasih atas segala-galanya. Tidak terkata jasa bakti Dato’ Sri DiRaja kepada Kerajaan Negeri dan juga kepada saya. Hanya Allah juga dapat membalasnya.

“Kepada rakan-rakan Exco (MMK) dan ahli-ahli Ahli Yang Berhormat, saya sedar sebagai insan biasa saya akan menggalas amanah ini dengan rasa bertanggungjawab. Dan saya yakin, saya tidak seorang diri mengemudikan kapal mengharungi badai,” katanya lagi.

Dan beliau mengakhiri ucapanya dengan berkata; “Jika saya lupa, maka bolehlah diingatkan; jika salah, boleh dibetulkan; jika bengkok, mohon diluruskan; jika silap, mohon ditunjuk dan diajar mana yang baik”. – Khabar   

     

  

Monday 28 May 2018

Terima kasih dari lubuk hati yang suci, kata Menteri Besar kepada penduduk Jelai.


“Terima kasih ini ialah dari lubuk hati patik yang suci. Semoga dengan ini, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku akan dapat terus menikmati kehidupan aman-sejahtera, di bawah naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, insya-Allah,” katanya.

DALAM PERSEMBAHAN UCAPANNYA... Ini merupakan kali ketiga beliau berucap pada majlis awam yang melibatkan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja, sejak pelantikan sebagai Menteri Besar Ke-15 pada petang 15 Mei lepas. 

Kali pertamanya ialah bersempena Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al Huda, Kampung Raja, Cameron Highlands pada petang Rabu, 23 Mei; manakala kedua pada Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Kampung Chendor, Beserah, Kuantan pada petang Khamis, 24 Mei. 


PERKARANGAN, MASJID FELDA SUNGAI KOYAN, SUNGAI KOYAN, LIPIS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menitipkan ‘terima kasih dari lubuk hati yang suci’ buat penduduk Jelai atas sokongan mereka kepadanya selaku juga wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan ini.

“Mengambil kesempatan ini, sukacita patik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku di sini, yang terus memberkan sokongan padu kepada patik sebagai wakil rakyat mereka.

“Yang dengan sokongan padu inilah juga, turut membantu meletakkan Ahli Parlimen Cameron Highlands yang mana DUN Jelai ialah di dalam kawasan parlimennya; berada pada kedudukannya sekarang.

“Terima kasih ini ialah dari lubuk hati patik yang suci. Semoga dengan ini, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku akan dapat terus menikmati kehidupan aman-sejahtera, di bawah naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, insya-Allah,” katanya.

Dato’ Sri Wan Rosdy berkata demikian dalam persembahan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Felda Sungai Koyan ini, yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja petang Isnin, 28 Mei di sini.

KEMESRAAN YANG SEMAKIN TERJALIN... Kelihatan KDYMM Pemangku Raja sedang bertitah sesuatu yang mendapat perhatian penuh Dato' Sri Wan Rosdy.  


KAGUM DENGAN ISTIQAMAH TUANKU DALAM SIRI KEBERANGKATAN

Sebelum itu, beliau menyatakan kekagumannya dengan siri keberangkatan KDYMM Pemangku Raja ke daerah-daerah dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini, yang dilaksanakan secara ‘consistent’ atau istiqamah dan pula Baginda kelihatan selesa dan gembira melakukannya.

Petang ini pula menurutnya, giliran daerah Lipis pula sebagai tuanrumah dan masjid dalam Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan ini menjadi pilihan, dan ia merupakan sebahagian daripada kawasan yang terletak di bawah DUN Jelai yang beliau wakili.

Bermula sejak memenangi Pilihanraya Umum (PRU) ke-11 pada tahun 2004 katanya, beliau terus mewakili kawasan ini sehinggalah sekarang, selepas PRU ke-14 yang hari mengundinya pada 9 Mei lalu.

“Daripada segi tempoh penggal, patik sudah tiga (3) penggal mewakilinya yang kini, memasuki penggal yang keempatlah pula,” katanya lagi.

Selaku wakil rakyat di sini beliau mengakui betapa, banyak lagi yang perlu beliau lakukan bagi meningkatkan pembangunan kawasan ini, demi kesejahteraan rakyat-jelatanya.

MELAYANI TETAMU YANG TURUT HADIR PETANG ISNIN ATAU RAMADAN KE-12... 


AKAN BERUSAHA LEBIH KERAS

“Dengan segala keupayaan dan juga kekangan yang ada, insya-Allah, patik akan berusaha lebih keras lagi demi menjayakan peranan dan tanggungjawab patik selaku wakil rakyatnya.

“Pun begitu, patik turut berharap rakyat-jelata sekelian dapat memahami peranan dan tanggungjawab patik selaku Menteri Besar, yang telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyempurnakan pelantikannya.

“Pahang pula ialah negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Berkeluasan kira-kira 3.6 juta hektar, luas Pahang ialah sebesar gabungan keluasan tiga negeri – Kelantan (1.4 juta hektar), Terengganu (1.2 juta hektar) dan Selangor (796,000 hektar).

“Maka, dengan sokongan semualah patik berharap, patik dapat melakukan yang terbaik bukan sahaja selaku wakil rakyat di sini, tetapi juga selaku memanda hamba tua, Menteri Besar Pahang, insya-Allah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Mengenai masjid yang dirasmikan petang ini katanya, asalnya bangunan masjid dalam kawasan seluas dua (2) ekar ini, terletak di sebelah depan tetapi dialihkan tapaknya ke bahagian belakang seperti kedudukan yang terbina sekarang. 

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... Lagi foto KDYMM Pemangku Raja menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. 


BINA MASJID DENGAN KOS RM4.22 JUTA

Kos pembinaan ialah kira-kira RM4.22 juta, yang diperolehi daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan khususnya dari Jabatan Perdana Menteri (JPM). Berkeluasan bangunan kira-kira 1,095 meter persegi katanya, masjid ini boleh memuatkan kira-kira 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Menurutnya, pembinaan bermula pada 18 jun 2012 dan siap hanya kira-kira empat (4) tahun kemudian pada 12 Mei 2016, dan mula digunakan kira-kira dua (2) minggu kemudian pada 26 Mei 2016.

“Tidak dinafikan, tempoh empat (4) tahun memanglah terlalu lama termasuklah tempoh terbengkalai selama kira-kira dua (2) tahun ekoran kegagalan kontraktor asal untuk melaksanakan kerjanya.

“Hanya dengan terlantiknya kontraktor kedua yang disifatkan sebagai ‘kontraktor penyelamat’, maka pembinaan diteruskan seterusnya dapat disiap dan digunakan,” katanya lagi.

Selain bagi kegunaan penduduk persekitaran katanya, masjid ini yang juga terletak di tempat strategik turut dikunjungi oleh para musafir yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands, yang simpang jalannya ke sana terletak hanya beberapa ratus meter dari sini. – Khabar

Berbaik sangkalah sesama ummah, dan dengan yang bukan Islam, titah KDYMM Pemangku Raja


“Dalam hal ini, kita hendaklah mencontohi semangat Rasulullah SAW yang terbukti berjaya mengamalkan sikap ukhuwah, silaturrahim, hormat-menghormati dan berbaik sangka sesama ummah dan dengan masyarakat bukan Islam,” titah Baginda.

MENURUNKAN TANDATANGAN BAGINDA PADA MAJLIS PETANG ISNIN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Syed Ibrahim dan Encik Hafizi (berdiri depan, kanan sekali). 


PERKARANGAN, MASJID FELDA SUNGAI KOYAN, SUNGAI KOYAN, LIPIS – KDYMM Pemangku Raja bertitah, mengingatkan umat Islam agar mengamalkan sikap-sikap terpuji termasuk berbaik sangka sesama mereka serta dengan masyarakat bukan Islam.

“Dalam hal ini, kita hendaklah mencontohi semangat Rasulullah SAW yang terbukti berjaya mengamalkan sikap ukhuwah, silaturrahim, hormat-menghormati dan berbaik sangka sesama ummah dan dengan masyarakat bukan Islam,” titah Baginda.

“Amalan sebegini,” titah Baginda lagi, “… perlulah terus dipupuk dalam konteks masyarakat pelbagai kaum khususnya di negeri Pahang agar nikmat keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati dapat terus dipelihara.

“Sebarang anasir atau tindakan yang cuba melemahkan dan menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum perlulah dihindari,” titah Baginda pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Sungai Koyan petang Isnin, 28 Mei di sini.

Baginda turut menyentuh tentang fungsi masjid yang Baginda titahkan betapa sejarah mencatatkan ia tidak sahaja bertindak sebagai tempat beribadah tetapi juga dalam membina dan memajukan masyarakat dan negara.

MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


PELBAGAIKAN AKTIVITI MASJID

Baginda Nabi Muhamad SAW menurut titah KDYMM Pemangku Raja lagi, telah menjadikan masjid sebagai pusat utama kepada segala aktiviti kemasyarakatan umat Islam ketika itu.

“Saya sering mengingatkan bahawa para pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa masjid perlulah bergerak secara lebih aktif bagi menjana kecemerlangan umat Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam terutamanya dikalangan para pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa masjid untuk mempelbagaikan aktiviti di masjid dengan menganjurkan program-program berbentuk kerohanian, pembangunan fizikal dan intelektual,” titah Baginda.  

Baginda seterusnya menitah-sarankan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) agar merancang program dan aktiviti demi mengimarahkan masjid termasuklah di sini, yang ada kira-kira 3,000 penduduk dari Rancangan Tanah Felda-Rancangan Tanah Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3, serta Orang Asli dari pos berdekatan.

“Sayang sekali jika masjid yang sebegini indah tidak dimanfaatkan khususnya dalam memenuhi kehendak masyarakat untuk mendalami ilmu agama,” titah Baginda.

LAGI SMBANGAN UNTUK GOLONGAN YANG MEMERLUKAN... 


PROGRAM UNTUK TINGKATKAN KUALITI IMAM/PEGAWAI MASJID

“Saya juga berharap agar diadakan program-program yang boleh meningkatkan kualiti imam dan pegawai masjid sebagai contohnya, menerusi program ‘multaqa imam’.

“Ianya merupakan salam satu program di mana saya ingin melihat imam yang dilantik untuk masjid-masjid di negeri Pahang ini adalah terdiri daripada imam yang profesional dan hebat, bersesuaian dengan kehebatan masjid tempat mereka ditugaskan.

“Apa guna kita memiliki masjid yang gah, tapi kualiti dan disiplin para pegawainya masih di takuk lama,” titah Baginda lagi.

Selain Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; antara yang turut hadir pada majlis petang Isnin ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pegawai Daerah Lipis, Encik Hafizi Ibrahim. – Khabar    


Wednesday 23 May 2018

Pasca PRU ke-14; ‘Biduk sudah berlalu maka ‘kiambang’ kembalilah ‘bertaut’


“Jika kini, ‘biduk’ sudahpun ‘berlalu’, maka ‘kiambang’ pun kembalilah ‘bertaut’. Dan jikapun ‘carik-carik bulu ayam’, ‘akhirnya bercantum juga’.

“Dan patik percaya, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku sentiasa sedar betapa ‘air yang dicincang, tidak akan putus’, begitulah perpaduan dan persepakatan antara sesama mereka,” kata Menteri Besar.

TANDA PERASMIAN... KDYMM Pemangku Raja sedang menurunkan tandatangan Baginda pada 'plaque' perasmian Masjid Al-Huda sambil Dato' Sri Wan Rosdy memerhatikan.

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Dato' Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
 

PERKARANGAN MASJID AL-HUDA, KAMPUNG RAJA, CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini menyarankan agar semua pihak kembali bersatu setelah selesainya kini Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lepas.

“Jika kini, ‘biduk’ sudahpun ‘berlalu’, maka ‘kiambang’ pun kembalilah ‘bertaut’. Dan jikapun ‘carik-carik bulu ayam’, ‘akhirnya bercantum juga’.

“Dan patik percaya, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku sentiasa sedar betapa ‘air yang dicincang, tidak akan putus’, begitulah perpaduan dan persepakatan antara sesama mereka.

“Oleh itulah patik sarankan sekali lagi, agar rakyat-jelata sekelian kembalilah bersatu dan bertaut di bawah payung naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, serta Kerajaan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan 9-minitnya pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid yang kemudian diisytiharkan sebagai Al-Huda yang disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang petang Rabu, 23 Mei di sini.

MENGAMINKAN... KDYMM Pemangku Raja sedang mengaminkan doa. Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Ishak (barisan depan, kanan sekali).  


UCAPAN AWAM PERTAMA SEBAGAI MB DENGAN KEBERANGKATAN TUANKU

Ucapan Dato’ Sri Wan Rosdy ini ialah yang pertama pada majlis awam yang turut melibatkan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja Pahang, sejak dilantik sebagai Menteri Besar oleh Baginda pada petang Selasa, 15 Mei lepas.

Sungguhpun Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kini dipimpin oleh gagasan parti yang berbeza namun kerjasama yang terjalin erat antara kedua-duanya sebelum ini beliau percaya, akan berterusan dalam era pasca PRU ke-14.

“Dengan penerusan ini insyaAllah, negeri Pahang akan terus dapat dimakmurkan yang dengannya, rakyat-jelata Kebawah Duli Tuanku akan terus menikmati kesejahteraan yang akan ditingkatkan daripada masa ke semasa,” katanya.
  
Pada permulaan ucapannya, beliau telah menzahirkan ucapan junjung kasih ‘yang tidak terperinya’ ke sisi Baginda Tuanku atas pelantikannya sebagai Menteri Besar pada petang Selasa berkenaan.  

“Pelantikan ini sesungguhnya, amat patik tidak menduga. Berita mengenainya kepada patik pada pagi Selasa sebelum pelantikan, benar-benar mengejutkan patik.

SAMBUTAN BUAT KEBAWAH DULI... Keberangkatan tiba Baginda petang Rabu, disambut kenamaan dalam kalangan Ahli MMK, wakil rakyat negeri serta penjawat awam.


SEBAGAI, MENTERI BESAR KE-15

“Mengejutkan kerana patik tidak menjangka sebab patik sedar, siapalah patik, sekadar seorang wakil rakyat biasa bermula selepas PRU tahun 2004;

“Kemudian dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri selama dua (2) penggal antara tempoh 2008/2013 dan tempoh 2013/2018 ini, sebelum pelantikan sebagai Menteri Besar ke-15 pada petang Selasa itu.

“Mengejutkan juga kerana, patik turut sedar betapa dengan jawatan ini, turut datang bersama-samanya ialah tanggungjawab besar yang tentunya amat berat, yang telah diletakkan di atas batu jemala patik,” katanya.

“Namun, seberat manapun ia, patik tetap bersyukur. Dan patik amat yakin betapa dengan panduan dan tunjuk-ajar yang bakal patik turut dapat pelajari kelak daripada pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, insyaAllah, patik akan berupaya melaksanakan tanggungjawab ini,” katanya lagi.

Tanggungjawab yang digalasnya ini juga katanya, akan dipikul sehabis baik demi menyerlahkan lagi kedaulatan atas tampuk pemerintahan Baginda serta memastikan urusan pentadbiran negeri yang dirangka dan dilaksanakan adalah demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat-jelata.

SUMBANGAN BUAT YANG MEMERLUKAN...


MASJID AL-HUDA BOLEH MUAT 200 JEMAAH

Mengenai masjid yang dirasmikan ini pula katanya, kos pembinaannya ialah kira-kira RM987,000 yang merupakan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat.

Boleh memuatkan jemaah cuma 200 orang pada satu-satu masa katanya, pembinaan bermula selepas pemilikan tapak pada 30 jun 2009 dan siap dalam tempoh kira-kira setahun, pada 31 Mei 2010.

Keperluan untuk membina masjid baharu ini memang ada yang menurutnya lagi, bagi menggantikan masjid lama daripada binaan kayu, yang tidak lagi dapat menampung kehadiran jemaah yang ada.

Ekoran itulah katanya, permintaan telah dibuat untuk mendapatkan masjid baharu dan disebabkan tapak masjid lama tidak begitu luas maka dibinalah masjid baharu di tapak yang ada di sini.

Masjid lama pula katanya lagi, terus dikekalkan tetapi ditukarkan fungsinya sebagai kelas pengajian KAFA yang dengan itu, terus dapat dimanfaati oleh anak-anak penduduk setempat.   
 
                          
MELAYANI HADIRIN YANG TURUT DALAM KALANGAN BUKAN ISLAM...

TERPELIHARA, TERMASUK DALAM HAL-HAL BERKAITAN AGAMA

“Begitulah perancangan dan pelaksanaan yang telah diambil oleh Kerajaan Kebawah Duli Tuanku, demi memastikan rakyat Kebawah Duli Tuanku terus terpelihara termasuk dalam hal-hal berkaitan dengan keagamaan ini,” katanya.
   
Selain bekas Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad; dan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safain Ismail; yang turut hadir ialah beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri;

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dari Pakatan Harapan (PH) – parti pembangkang di negeri ini; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Ishak Md Napis; dan, Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Noor Abdul Rani. – Khabar