Thursday, 22 November 2012

Carilah persamaan daripada menyumpah-seranah, kata-mengata, caci-mencaci, atau maki-hamun sesama Islam, gesa Menteri Besar


sambil menegaskan betapa Nabi Muhamad SAW tidak pernah menyumpah-seranah apatah lagi mendoakan pihak lain ditimpa musibah

BERSAMA-SAMA DEMI PERPADUAN ISLAM... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berada di atas pentas bagi memenuhi permintaan para 'bikers' IMQ untuk bergambar bersama-sama. Di sebelah kanannya ialah Dato' Che Mat. 


DATARAN SRI KETUMBIT, KERDAU, TEMERLOH – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menggesa umat Islam agar melebihkan usaha mencari persamaan sesama mereka daripada terbabit dalam gejala menyumpah-seranah, kata-mengata, caci-mencaci atau maki-hamun;

Apatah lagi mendoakan saudara sesama Islam mereka sendiri supaya ditimpa musibah atau kehancuran.   

“Itu sebab kita, sesama kita (umat Islam di negara dan negeri) ini kurangkan sumpah-seranah, kata-mengata, caci-mencaci, maki-hamun… Elok kita cari persamaan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Beliau berkata demikian pada persidangan media semasa hadir pada Program Rehlah Dakwah dan Ramah Mesra Kampung Tradisi Mukim Kerdau pada tengah hari Khamis, 22 November di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Perhubungan UMNO Negeri antara lain diminta mengulas mengenai gelagat parti pembangkang PAS memohon doa agar UMNO dihancurkan pada satu perhimpunan mereka di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

KEUTUHAN DAN KEKUATAN UMNO YANG HENDAK DIHANCURKAN?... Ini merupakan suasana melambangkan keutuhan dan kekuatan UMNO. Foto ini merakamkan detik sebelum Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak menyampaikan Ucapan Presidennya pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO ke-62 pada 1 Disember tahun lepas (2011).  


TAK PATUT DOA TIDAK BAIK KE ATAS SESAMA ISLAM

“Kita tidak sepatutnya mendoakan saudara-saudara Islam kita sesuatu yang tidak baik. Kita boleh sebut apa yang dilakukan oleh Nabi-nabi lain, Rasul-rasul lain yang kita tahu dalam Quran sebagainya.

“Tapi, ikutan kita yang paling sempurna ialah Rasulullah, Nabi Muhamad SAW. Rasulullah tidak pernah mendoakan seseorang tu ditimpa musibah ataupun menyumpah-seranah. Itu yang penting,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Menurutnya, pihak pembangkang ada yang cuba merasionalkan doa agar UMNO dihancurkan itu dengan memberikan contoh bagaimana Nabi Musa A.S turut melakukan perkara yang sama terhadap penentangnya. 
“Nabi Musa cerita lain. Kalau kita kira (daripada aspek) kekananan, kehebatan; Rasulullah lebih hebat daripada Nabi Musa. Kerana Rasulullah Nabi Muhamad SAW, ialah penghulu segala Rasul, ‘Qatimul Ambiya’. Penutup segala Nabi-nabi.

“Maknanya, kita ikut Rasulullah. Nabi-nabi lain kita tengok, (ambil) contoh-teladan. Tapi, ikutan kita untuk perkara-perkara kehidupan, amal ibadat… yang paling baik ialah (meneladani) Nabi Muhamad SAW,” katanya lagi.

MENDOAKAN KEPADA YANG TIDAK BAIK... Inilah foto yang dipaparkan secara meluas dalam media-massa tempatan ekoran doa oleh puak-puak pembangkang agar UMNO dan BN dihancurkan. Wajarkah?


NABI MUHAMAD LEBIH UTAMAKAN UMATNYA

Beliau seterusnya mengisahkan betapa mulianya Baginda Rasulullah yang amat mengambil berat terhadap umat Islam sehinggakan ketika saat-saat menghadapi kewafatanpun, Baginda masih memikirkan tentangnya.

“Yang saya tahu daripada guru-guru, tok guru-tok guru, ulama-ulama; ada menceritakan pada saat Rasulullah menghadapi kewafatanpun, Rasulullah meleleh air mata. Bila ditanya kenapa? Baginda mengenangkan umat. 

“Rasulullah tak kira fasal Baginda. Tak kira fasal keluarga Baginda. Baginda kirakan fasal umat Baginda. Baginda Rasullullah tahu dah, wafat sahaja Rasulullah, ha siap… Ha itu macam-macam berlaku, (sejak) zaman Khulafa-U-Rasyidin, sampai zaman sekarang.

“(Pada zaman keagungan) Islam (ia) boleh memerintah (sehingga meliputi keluasan) tiga suku dunia. Akhirnya tinggal berapa sekarang?” tempelak Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam nada kesal.

Menurutnya lagi, jika PAS boleh berdoa agar UMNO dihancurkan, begitulah juga yang boleh dilakukan oleh UMNO terhadap PAS yang kesannya kelak tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada politik Melayu-Islam di negara ini.

JIKA HANCUR, DI MANA LAGI WADAH POLITIK UMAT ISLAM?

“Dia (PAS) minta UMNO hancur. Kalau dia (PAS) minta UMNO hancur, kita (UMNO) boleh juga doa minta PAS hancur. Jadi, kalau dah PAS hancur, UMNO hancur, manalah wadah politik orang Islam?

“Kita tak nak doakan PAS supaya hancur sebab takut kalau PAS hancur, UMNO hancur, mana orang Melayu nak mengadu daripada segi politik?” persoalan-persoalan yang Dato’ Sri DiRaja Adnan ajukan.

Menteri Besar turut ditanyakan tentang kemungkinan puak-puak pembangkang memerintah negara khususnya dengan kebarangkalian DAP menuntut untuk bertanding lebih banyak kerusi parlimen di seluruh negara.

“Saya dapat tahu DAP telah ‘demand’, tuntut untuk bertanding 90 kerusi. Untuk memerintah, kita perlu 120 kerusi. Maknanya, kalau dia menang macam Barisan menang sekarang; dia 90, orang lain 30 - 40 sahaja, siapa (akan) ‘control’?

“Mesti 90 ‘control’… Jadi macam Peraklah. (Dato’ Sri) Nizar jadi Menteri Besar tapi yang menguasai dia, Ngeh (Koo Kam) dan Nga (Kor Ming, kedua-duanya dari DAP),” katanya lagi.

BANYAK AKTIVITI DAKWAH DIANJURKAN

Selain tuanrumah, Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN – Kerdau), antara yang turut hadir pada program anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Yayasan Taqwanya, dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ialah;
  
Wakil rakyat, Dato’ Mohamad Jaafar (BN – Jenderak), serta Pengarah JAWI, Dato’ Che Mat Che Ali yang juga Setiausaha MAIWP. Yang turut memeriahkan ialah kehadiran lebih 40 penunggang motorskal berkuasa tinggi yang dalam kalangan Imam Muda Qariah (IMQ) di bawah kelolaan JAWI.

Antara program yang dianjurkan selama tiga (3) hari ini ialah ceramah pemurniaan jiwa di lima (5) masjid dan sebuah (1) surau dalam mukim Kerdau ini; solat berjemaah disusuli kuliah/tazkirah Subuh; gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di tiga (3) kampong; jejak asnaf dan ziarah dakwah; kursus pengurusan jenazah; sukaneka rakyat, serta forum perdana. – Khabar