Tuesday, 6 November 2012

'Jangan beri beruk jaga jagung'


… ingatan Menteri Besar mengenai perlunya rakyat berhati-hati dalam memilih Kerajaan pada pilihanraya umum kelak 

KIBARAN 'JALUR GEMILANG'... Dato' Sri DiRaja Adnan berada di atas pentas dengan kenamaan lain, sedang mengibar-ngibarkan bendera negara tanda patriotik, sambil menurut rentak lagu yang diperdengarkan. 
  

WISMA BELIA, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Dalam pada meminta kaum India yang minoriti dalam kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini agar bersatu-padu tanpa kira siapa atau perkumpulan mana yang mengetuai;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut mengingatkan mereka supaya berhati-hati memilih Kerajaan pada pilihanraya umum akan datang, dengan meletakkan rekod atau segala perkara baik yang dilakukan oleh Kerajaan yang ada selama ini, sebagai sandaran.

“Jangan kita pecah-pecah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan. “Ini orang India tak dak ramai di Malaysia. Tapi tak ramaipun, dia (orang India) penting. Kalau orang India tak sokong Kerajaan, Kerajaanpun susah. Saya tak sebut Barisan Nasional ya, saya sebut Kerajaan.

“Maknanya sekarang ini, orang India di mana sahaja, sama ada dia ugama Hindu, ugama Sikh. Sama ada dia keturunan Tamil – Bahasa Tamil, Malayalam, Telegu, ataupun Ceylonese, Sinhalese, ataupun dia orang Punjabi, orang Sikh; kita mesti bersatu.

“Sebab kita (orang India) tak ada ramai. Jangan kira siapa jadi ketua tapi (orang) India ada kesatuan. Ini yang mustahak. Kalau Dewan Perniagaan buat ini majlis, tak kiralah; NGO-NGO yang lain, kuil-kuil, persatuan-persatuan lain termasuk persatuan orang Sikh, beri kerjasama,” katanya.

PENUHI RUANG DEWAN... Di celah-celah masyarakat India yang hadir pada hujung minggu itu, ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Dato' Hamdan Hussin (kiri, berbaju putih jakur-jalur). Ini tidak lain menandakan bersahajanya laku-gelagat anak buah Menteri Besar yang  tidakpun kekok untuk turut berada dalam kalangan yang lainnya.  


LIHATLAH REKOD BAIK KERAJAAN YANG ADA

Mengenai soal pemilihan Kerajaan pula katanya; “Ingatlah. Kita tengok itu rekod. Itu orang (pihak pembangkang) tak dak rekod. Ini orang (Kerajaan yang ada) banyak baik, ada sikit silap, tak pa…

“Itu orang (pihak pembangkang yang bercita-cita untuk memerintah negara) kita tak tahu. Yang kita tahu dia punya buruk punya rekod. Lagi mahu kasi (beri) (ke)percaya(an) ka? Mahu kasi itu beruk jaga kita punya jagung kah? Habis itu jagung...

“Minta maaf cakap kasar ya. Kita tak boleh kasi beruk jaga sama jagung. Tuan-tuan tahu ka itu beruk? Monkey. You cannot ask monkey to look after our corns. ‘Dear monkey, please look after our corns’. ‘You jaga kita punya jagung’. Beruk memang makan sama jagung… Mahu kasi beruk jaga?”

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian dalam ucapan luar teks 41-minit pada Majlis Ramah-Mesra Deepavali bersama Menteri Besar anjuran Dewan  Perniagaan dan Perindustrian India Kuantan (DPPIK) petang Ahad, 4 November di sini.  

Sebilangan besar masyarakat India telah turun beramai-ramai, memenuhi dewan ini. Sebelum itu, mereka mendengar taklimat disusuli dialog mengenai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Abdul Rahim Hassan.

TAKLIMAT PENUH MANFAAT OLEH BOS TEKUN... Dengan gayanya yang bersahaja, Dato' Abdul Rahim sedang menyampaikan taklimat disusuli dialog berkaitan TEKUN. Patutlah mereka yang hadir tekun mendengar. 


ORANG INDIA HANTAR MESEJ PADA TAHUN 2008

Antara yang turut hadir ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sahfri Ab. Aziz; penasihat majlis, Tengku Dato’ Zulkifli Ahmad yang juga Yang Dipertua, Dewan Peniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang; 

Wakil rakyat (BN – Semambu), Dato’ Pang Tsu Ming; Naib Presiden, Lynas Malaysia Sdn Bhd, Dato’ Mashal Ahmad; Dato’ Abdul Rahim;

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Sufian Awang; Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Abdul Hamid Nazahar; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Hazmi Yusof; dan tuanrumah,Yang Dipertua, DPPIK, Encik S.Nagarajah.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyingkap pengalaman lepas khususnya tatkala Kerajaan yang ada menghadapi pilihanraya umum tahun 2008 yang mana, Barisan Nasional (BN) yang membentuk tunjang Kerajaan, tewas banyak kerusi termasuk kehilangan kuasa di lima (5) negeri.

“(Pilihanraya umum) tahun 2008, masyarakat India sudah hantar mesej kepada Kerajaan,” katanya.

SELAMAT HARI DEEPAVALI... Inilah gubahan bunga 'kolam' yang boleh dilihat, sebaik-baik memasuki ruang legar dewan Wisma Belia pada hujung minggu itu. 


SEKARANG BERALIH KEPADA KEPIMPINAN BAHARU

“‘Oh… Kerajaan main-main sama orang India ya. Tak dak serius sama orang India… Itu kuil di Kampung Jawa (Klang, Selangor) sudah kasi roboh ya... Sekarang kita (orang India) hantar mesej; jangan undi Barisan Nasional’. Memang Barisan Nasional kalah,” katanya lagi.

Selepas itu katanya, tampuk kepimpinan negara dan BN telahpun beralih kepada anak kelahiran Pahang, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN.   

“… kita kena ingat. Sekarang Perdana Menteri baharu, Dato’ Sri Najib Tun Razak. Dia tahu apa dia mahu buat. Makkal Saktikah, Hindrafkah, MICkah, persatuan kumpulan Sikhkah, ‘temple’kah; jumpa sama Perdana Menteri,” katanya tentang pendekatan baharu yang lebih praktikal oleh Dato’ Sri Mohd Najib.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian mengambil contoh bagaimana kemudahan pinjaman menerusi TEKUN yang asalnya dinikmati oleh orang Melayu, kini dibuka kepada orang India untuk memanfaatinya.

“Dulu TEKUN untuk orang Melayu. Apa pasal Kerajaan tolong orang Melayu? Orang Melayu kalau Kerajaan tak tolong, orang Melayu susah. (Kemudian) Kerajaan ambil keputusan, ‘Ok, TEKUN kita bagi juga sama orang India. Ada RM50 juta kalau tak silap saya.

GUNAKAN KESEMPATAN PINJAMAN TEKUN  

“Gunakanlah kesempatan ini. Orang India boleh berniaga. Kalau kita di Kuala Lumpurkah, di Kuantankah, kita lihat sudut kecil sahaja orang India berniaga – kacang, coklat, ‘chewing gum’, semua dia jual. Boleh hidup.

“Gunakan kemudahan TEKUN ini untuk kita majukan lagi perniagaan itu. Tapi bayar (balik)lah, jangan tak bayar (balik, pinjaman berkenaan),” kata Menteri Besar yang juga Pengerusi, BN Negeri. 

Di negeri Pahang sendiri pula katanya, Kerajaan Negeri membantu tanpa memilih bulu apatah lagi latar belakang kaum, sepertimana yang jelas diamalkan oleh agensinya,  Yayasan Pahang yang beliau sendiri ialah pengerusinya.

“Saya bukan mahu cakap sombong. Pelajar-pelajar India, bawa bapa, mak jumpa saya (untuk dapatkan bantuan pendidikan bagi melanjutkan pelajaran). Tak pernah tolak punya…

“Ramai saya hantar pelajar India buat ‘medic’ (perubatan) ke Indonesia dan ke Rusia. Boleh ‘check’ sama Yayasan Pahang.

YAYASAN PAHANG TAK PILIH BULU

“Kita Yayasan Pahang tidak pilih bulu. Yayasan Pahang (amalkan) 1Malaysia sejak dulu lagi. Pelajar Cina dating (untuk maksud yang sama), saya banyak hantar pergi Rusia buat ‘medic’. (Pelajar) Melayu datang , saya hantar ke Egypt, ke Indonesia,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menegaskan betapa, “Di Pahang ini, untuk pendidikan; saya tak mahu dengar ada anak orang India tak belajar sebab keluarga susah, sebab tak dapat biasiswa. Ini bukan cakap main-main”.

Beliau turut mengisahkan bagaimana ketika awal penubuhan Yayasan Pahang semasa Dato’ Sri Mohd Najib ialah menteri besar dan juga pengerusinya, perbelanjaan yang dikeluarkan untuk terutamanya pendidikan hanyalah RM1.5 juta.

Jumlah peruntukan kemudian meningkat kepada kira-kira RM44 juta ketika Tun Khalil Yaakob menerajui negeri dan YP, kemudian meninggalkan negeri untuk menjadi Menteri Penerangan pada tahun 1999.

“Tahun lepas, kita bentang bajet untuk tahun 2012, Yayasan Pahang belanja kurang RM1 juta, RM200 juta. (Sebanyak) RM199 juta. Dulu (sumber pendapatannya ialah)  balak, sekarang kelapa sawit.

YAYASAN PAHANG ‘VENTURE-OUT’

“Sekarang, 30 peratus daripada belanja pendidikan – biasiswa, bantuan pendidikan, datang dari estet kelapa sawit kita. Kita ‘venture-out’,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah mengambil kesempatan untuk menyanyikan secara ‘unplugged’ lirik-lirik awal lagu Tamil nyanyian A.M.Rajah bertajuk ‘Paattu Padaava, Paarthu Pesava’.

Beliau turut menyanyikan bait-bait awal dua lagi lagu, kali ini lagu-lagu Hindustan yang berjaya membuat hadirin riang, kesukaan sambil-sambil bertepuk tangan menurut rentaknya. – Khabar