... antara kata-kata Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak
dalam Ucapan Presidennya selama 83-minit, pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66
NOTA EDITOR :
Berikut diperturunkan Ucapan Presiden oleh Dato’ Sri Mohd
Najib Abdul Razak, pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 pagi Khamis, 29 November
di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan kehadiran 2,718 perwakilan
dari seluruh negara.
Penyuntingan pada tahap yang paling minimum telah
dilakukan, maka tidak menjejaskan maksud sebenar keseluruhan ucapan tersebut.
APABILA DATO' SRI PRESIDEN BERUCAP... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyampaikan ucapannya yang penuh bersemangat dan berterus terang.
Menurut Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, "Ucapan Dasar Presiden UMNO lebih menjuruskan kepada proses 'conditioning' untuk ahli-ahli UMNO, kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti komponen menghadapi PRU-13.
"Ucapan berkenaan berjaya meniup dan menyemarakkan semangat ahli-ahli UMNO yang nampak sangat teruja dengannya. Ianya bekalan yang baik untuk semua ahli menghadapi PRU-13".
DEWAN MEDEKA,
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri,
sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah
organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara
ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik
melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan,
memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan
kelangsungan jemaah.
Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agong
terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut
Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang di-Pertuan Agong berdasarkan
nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28
April 2013.
Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira
saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi
ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai
ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak
berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah
menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa
kencang tiupan ke medan juang.
Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih
semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat
cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia
untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan.
MEMERIKSA BARISAN... Dato' Sri Presiden sedang melakukan pemeriksaan perbarisan yang meliputi masing-masing 50 orang dalam kalangan ahli-ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
KEMBALI KEPADA RAKYAT, DEMI BAHARUI MANDAT
Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin
bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas
pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan
masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharu mandat.
Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita
mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu
pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah, kita akan berhimpun semula
dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan
negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan
datang.
Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha
Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat
Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat
juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah,
Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit,
sungguh kelat, dalam episod politik UMNO
dan Barisan Nasional.
Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan
yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar
menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.
MENAIKKAN GAH, BENDERA UMNO SANG SAKA BANGSA...
TIDAK JEMU-JEMU KERJA KERAS UNTUK PENUHI KEPERLUAN RAKYAT
Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang
Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya
memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat
Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah,
sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.
Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan
bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha.
Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa
diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.
Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya
dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak
jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.
Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran,
kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan
sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan.
Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu
ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah
melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip
bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap
kebijaksanaan sudah berakhir.
BARISAN KEPIMPINAN TERTINGGI KITA... Sepertimana amalan, sesi bergambar kumpulan turut diadakan pada kali ini.
LANGKAH KONKRIT PENUH HEMAH, BERHIKMAH
Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita
sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya,
kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya
kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap
negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara
teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju
berpendapatan tinggi.
Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya
kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus
mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui
letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah
pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan,
langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah,
ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji
kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan
keberkatan Ilahi.
Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau
hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti
daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir
tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada
lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan
pasca menengah.
Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur
kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di
bawah dua puluh lima.
KEHADIRAN PENUH 2,718 PERWAKILAN... Ini ialah sebahagian daripada kekuatan ahli UMNO keseluruhannya yang seramai 3.38 juta (3,386,274) orang sepertimana yang dilaporkan oleh Setiausaha Agung, Dato' Sri Tengku Adnan Tengku Mansor pada awal perhimpunan.
PENGUNDI KINI LEBIH BERMAKLUMAT DAN KRITIKAL
Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya
dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah
berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh
kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan
kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran,
akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta
pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi
Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar
dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih
bermaklumat serta kritikal.
Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac
2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar
sebagai pemilih.
Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana
ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1
juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya
Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa,
UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil
mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu
atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.
PARA PEMERHATI YANG TURUT SETIA, BERSEMANGAT... Inilah kehadiran ahli-ahli bukan perwakilan, yang tetap setia dengan mengikuti sesi perhimpunan menerusi CCTV besar yang disediakan di ruang tengah PWTC ini.
KEMENANGAN MAJORITI PENENTU KESINAMBUNGAN BN
Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13
menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan
secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.
Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi
berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan
parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya,
kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan
kerajaan Barisan Nasional.
Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya
bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di
setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa
menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak
semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu,
siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya
tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya
kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.
Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah
mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh
lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat
sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan
pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah
sebetulnya para pengundi.
LEBIH 95 PERATUS RAKYAT LAHIR PASCA UMNO DITUBUHKAN
Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia
dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi
generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi
apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini
berserta wawasan masa depan.
Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada
analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari
pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga
bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat
Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya,
setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk
Malaysia.
Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk
membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa
empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya
untuk musim pilihanraya.
Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin
parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak
kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Bersuluhkan jamung perjuangan mulia yang cerah menyala, kita
mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa,
kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa
depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
RENUNGKANLAH SIRAH PERJUANGAN NABI MUHAMAD SAW
Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi
khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga,
bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti
terpandang jua.
Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi
Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam perang
Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang
jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.
Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam
dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan
semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan
pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran
Badar.
Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada
sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi
dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah,
kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik.
Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan
sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang
ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.
DISIPLIN BERORGANISASI PENTING UNTUK JAMIN KEMENANGAN PARTI
Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam
sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti
politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin
berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di
atas kepentingan individu.
Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’,
kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima
keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui,
hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan
pendapat tersebut.
Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat,
terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah
seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil,
namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional
yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita
menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.
Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan
kemudiannya Barisan Nasional secara tali
menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan
pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan
Transformatif.
DARIPADA TERJAJAH, MERDEKA. DARIPADA NEGARA PERTANIAN KEPADA NEGARA
PERINDUSTRIAN MODEN
Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah
dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah
negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara
perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh
melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan
dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau
rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita
terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas
lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat
perubahan yang tepat pada masanya.
Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya
memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan
keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana
masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita
terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang
betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus
membaiki labu atau mempercayai serigala
menjaga biri-biri.
LEBIH SELAMAT JAUHI PARTI YANG TAK TUNAI JANJI
Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk
memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan
pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen
ditawarkan.
Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian
dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas,
telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru
yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan,
mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat
janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk
para pengundi agar menjauhi parti tersebut.
Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan
contoh sebuah negara membangun yang amat
berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan
sosioekonomi.
Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan
kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan
dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang
diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.
NEGARA DIIKTIRAF OLEH IMD DAN WEF
Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat
antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM
1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development (IMD)
dan The World Economic Forum (WEF) dalam barisan 20 negara paling berdaya saing
di dunia.
Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk
berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai
“High Human Development Index”.
Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya
berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap
anak Malaysia terus mampu mengoptimakan
potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar
hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan
dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan
kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta
transformasi kerajaan, ekonomi dan politik
secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program
Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita
GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada
6 700 dolar kepada 9 700 dolar.
BERADA DI LANDASAN BETUL CAPAI PER KAPITA US15,000
Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi
mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15,000 dolar. Hakikatnya, jika kita
menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara
sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12,476 dolar, maka ia jelas menunjukkan,
walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun
berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.
Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya
untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto
kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional
dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan Malaysia”.
Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan
dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. Sepuluh (10) daripadanya, konon,
akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.
Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita
yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu
dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.
Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin
pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000,
menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM
500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada
negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan
ekonomi negara, antaranya :
BAHANA KEPADA NEGARA JIKA IKUT RANCANGAN PEMBANGKANG
Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan
pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar
nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan
dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan
iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat,
tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Inilah... inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan
perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana,
semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti,
Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang
kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.
Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan
Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh
sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta
menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan
suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak
khususnya masyarakat perniagaan.
Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah
politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza
nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula
ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua
Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pulak.
KERAJAAN BN BERANI MANSUHKAN ISA
Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya
bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara
terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia
sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang
umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam
Israel di Parlimen...dah.. dia menyokong pulak...heran..heran...
Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah
yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta
Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta
membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus.
Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi
membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan
semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.
Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu
menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan
transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan
terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk
akal oleh pembangkang.
Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan
mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai
dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
DOA KECELAKAAN TERHADAP SAUDARA SEAKIDAH?
Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu
bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini,
sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita,
adalah saudara seakidah.
Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik
saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat,
mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.
Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal
pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai
tidak Islamik dan dinista semahunya?
Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal
sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa,
selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu
meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan
merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian
banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara
negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara
komprehensif.
MALAYSIA DIIKTIRAF PUSAT KEWANGAN ISLAM TERULUNG DUNIA
Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan
umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja
menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara
sistematik.
Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah
satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas.
Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita
berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan
Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.
Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh
membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga
boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di
pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh
syariah.
Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara
Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada
kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar
anggota pengaman, pemerhati tentera
termasuk pasukan perubatan ke negara
Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan
konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa
Moro.
AKAN TERUS PERJUANGKAN HAK SAH RAKYAT PALESTIN
Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi
rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka
untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar
masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara
yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk
membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa
masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan
terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam
diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata,
sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.
Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam
sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah
negara berbilang etnik, budaya dan agama.
Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak
merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan
Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang
tinggi bersama-sama memajukan negara.
UMNO KOMITED TINGGIKAN SYIAR ISLAM BERTERAS MAQASID SYARIAH
Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa
ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid
syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.
Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat
Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti
parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan
tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya mereka
yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma.
Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11
Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang
tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1,
menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1,
Islam ialah agama bagi Persekutuan.
Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang
berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang
berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal
atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan
orang yang menganuti agama Islam”.
CUKUP-CUKUPLAH PEMBANGKANG PERDAYAKAN RAKYAT
Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba
memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan
Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti
kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia
yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan
pelaksanaan hudud.
Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah
memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di
kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok
Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan
keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.
Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak
diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas
saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak
kepimpinan beliau.
Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama
dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara
Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari
ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta
mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.
Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat
perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti,
pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum
diselesaikan malah cuba untuk
disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih
belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
MALAYSIA IALAH LIMA TERATAS DALAM PEMATUHAN INDEKS SYARIAH
Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan?
Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak
melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta
fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh
rakyat Malaysia.
Berbicara
tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan
kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap
menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan
usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks
Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati
Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.
Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan
Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa
depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu
matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara
sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi.
Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum
membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan
satu uji kaji.
UMNO TAK AMAL TIPU MUSLIHAT DALAM HUBUNGAN DENGAN PARTI-PARTI KOMPONEN BN
Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran
sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara
yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.
Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang
mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti
komponen Barisan Nasional. Tidak seperti
gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS
tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak
menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak
mempercayai antara satu sama lain.
Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik
dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik
di negara ini. Namun begitu, sungguhkah
bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan
menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak
dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu
berkuasa dalam DAP.
DEMOKRASI CARA DAP
Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua
Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri
Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia
melibatkan suami, isteri dan anak. Sisuami adalah Ketua Umum yang tidak
dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.
Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan
tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan,
semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza,
misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan
demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu.... tempoh jawatannya sebagai
Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan
pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan
berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan
dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang... saja orang
Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi?
Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti
yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir
masak-masak.
UMNO TERUS PERJUANGKAN AGENDA MELAYU/BUMIPUTERA
Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda
Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang
digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang
ditempuhi.
Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan
bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui
penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.
Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA
yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60an dan kemudiannya
menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara.
Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan
pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi
empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan
demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga
Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit
mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
KEJAYAAN MONUMENTAL HASIL USAHA UMNO
Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat
Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah
menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi
membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan
Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti
ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah
tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara,
Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut
Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui
fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental
melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping
menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita
kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya
inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan
Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah
meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun
2010.
Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik
iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah
leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara
oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
UMNO HARGAI SUMBANGAN SETIAP WARGANEGARA MALAYSIA
Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa
Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan
pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin,
golongan berpendapatan rendah dan
sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia
dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap
warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri
yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi
siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui
titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras
falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah
bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering
berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya
kosong belaka.
Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau
Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa
pilihanraya 2008?
CACA-MARBA JIKA PEMBANGKANG JADI KERAJAAN
Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas
memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah
hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang... “ilekkk...”. Akhirnya...Barisan
Nasional... juga yang selesaikan...
Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca
marba.... seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji,
Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua
Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi... si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan
tetap “buat tak tau.... dan buat dek...jer...” atas janji itu. Mungkin inilah
sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky,
Arrogant dan Tokong.
Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, ...selesa doh ko
masalah air ?... Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak
selesa-selesa jugak”.
Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. ...depa
janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? ...Cuba habaq mai.... tak ka
macam-macam depa tabuq janji... kita tau sampai laa ni... macam-macam tak
selesai... habuk pun tak dak”.
Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan
pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak
bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor,
apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi?
Tak patut.
KITA RINTIS SEJUTA JALAN DEMI TUNAIKAN JANJI
Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional.
Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan,
melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar
suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha,
merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.
Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :
kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
Untuk jangka sederhana :
kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia,
Kedai Buku 1Malaysia, dan
Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar
Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan
Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju.
InsyaAllah.
PEMBANGKANG MEMFITNAH SPR BERTUB-TUBI
Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak
pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi
negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat
untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.
Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah
bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan
ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya
nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun,
pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa
asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan
berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita
libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah
menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.
Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita
selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri
pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.
TERNYATA, DEMOKRASI TETAP BERFUNGSI DI NEGARA KITA
Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun
menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi
pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui
Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan
Perak?
Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor
manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?
Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum
menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang,
dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan
telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.
Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan
Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa
dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap
berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah
proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
PRU-13 PENENTU DESTINI RAKYAT DAN NEGARA
Pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang
biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah
Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah
Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau,
Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan
prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah
membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka
bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya
menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak
tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama,
atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak
merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot
sepanjang zaman.
TERHUTANG BUDI KEPADA PEMIMPIN NEGARA YANG LEPAS-LEPAS
Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya
bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita
terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak,
Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi,
jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan
janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu,
percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu
berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang
darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam
perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi
gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora,
bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan
atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya,
sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon
maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan
Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan
RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus
memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara
agama Islam.
SEGALA KUDRAT BAGI MENANGI HATI DAN FIKIRAN RAKYAT
Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran
menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin
berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan
Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar
mahupun dalam.
Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi
memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan
bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat
Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang
harapan.
Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan
yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu
untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Di sini... di sinilah kita dilahirkan, di sini... di
sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah
kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa,
kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang
mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah
ke kaki halaman.
TANAH MALAYSIA, PERMATA NLAM
Duhai putera puteri... duhai para pejuang bangsa,
segeralah... segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan... pertahankan
satu-satunya Bahtera Merdeka ini... pertahankan.... pertahankanlah Putrajaya.
Fajar telahpun tiba, nan menyinsing membawa harapan,
Tanah Malaysia.... Tanah Malaysia... Permata Nilam.
Hidup UMNO...
Hidup Barisan...
Hidup Malaysia...
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar