Saturday, 10 November 2012

Kira-kira 19,000 hektar tanah telah diluluskan sebagai tanah Orang Asli


… bukti bahawa nasib golongan minoriti seperti Orang Asli di bumi Pahang, tidak diabaikan oleh Kerajaan yang ada.

PEMIMPIN YANG MESRA-RAKYAT, MAKA TURUT MESRA-ORANG ASLI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan mereka yang hadir pada petang Jumaat itu. Gembira sungguh mereka dengan kehadiran bukan sahaja wakil rakyat mereka tetapi juga seorang Menteri Besar kepada negeri terbesar di Semenanjung Malaysia ini. 


KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI GAPOI, PELANGAI, BENTONG – Sungguhpun golongan minoriti namun masyarakat Orang Asli di negeri ini tidak dinafikan hak mereka, termasuklah dalam pemilikan tanah.

Sehingga kini, 18,915.76 hektar atau kira-kira seperempat daripada keluasan daerah Cameron Highlands (seluas 71,200 hektar), telahpun diluluskan sebagai tanah Orang Asli.

Ini termasuk kira-kira 5,361.74 hektar telah diwartakan, antara lain meliputi tanah hakmilik individu seluas 1,084.59 hektar serta tanah persekutuan seluas 31.76 hektar yang diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membangunkan prasarana seperti pejabatnya.   

Selebihnya, kira-kira 13,554.02 hektar telahpun Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yakni Kerajaan Negeri luluskan, tetapi masih dalam proses untuk mewartakannya.

Pun begitu, ada kira-kira 36,825.99 hektar tanah yang dipohon oleh Orang Asli tetapi belum diluluskan. Jika diluluskan bermakna, kira-kira 55,741 hektar tanah di negeri ini dimiliki oleh Orang Asli atau hampir-hampir seluas daerah Cameron Highlands.

HADIRIN DALAM KALANGAN ORANG ASLI KITA, DI SUNGAI GAPOI... Begitu bersahaja dan berterus-terangnya mereka, kedua-dua Batin ini (yang berbaju biru dan gelap di barisan depan) tidak segan untuk bertanya-soal dan beri komentar, dan disahut pula oleh Dato' Sri DiRaja Adnan sungguhpun dalam pada pemimpin nombor satu negeri itu sedang menyampaikan ucapannya...  


ORANG ASLI CUMA 4.3 PERATUS DARIPADA PENDUDUK PAHANG  

Dan ini semua demi masyarakat Orang Asli yang berjumlah 65,000 orang (atau hanya kira-kira 4.3 peratus daripada keseluruhan penduduk Pahang seramai 1.5 juta orang) daripada daripada 13,000 keluarga, yang tinggal di 263 perkampungan di seluruh negeri ini.

Maklumat-maklumat ini disediakan oleh JAKOA bersempena dengan kehadiran Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob merasmikan Program Mesra Minda JAKOA Negeri Pahang pada petang Jumaat, 9 November di sini.

Dalam ucapan 27-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga wakil rakyat di sini (BN – Pelangai), telah mengutip sebahagian tertentu daripadanya lalu mengumumkan, mengulas lanjut pada persidangan media kemudiannya.

“Ini adalah untuk dibaca oleh Orang Asli pada keseluruhannya; batin-batin, pengerusi JKKK dan juga Jaringan Kampung Orang Asli yang diketuai oleh Saudara Yusri dan rakan-rakan.

“Tanah Orang Asli yang telah diluluskan oleh MMK – 13,500 hektar. Hektar tahu… Kemudian, tanah Orang Asli yang telah diwartakan – 4,200 hektar. Tanah hakmilik individu – ada Orang Asli yang ada tanah yang dimiliki secara individu – 1,000 hektar.

BEGITU AMBIL BERATNYA... Sungguhpun sudah hendak meninggalkan majlis, aduan kakak ini terhadapnya masih dilayani dengan Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang mengambil butiran mengenainya untuk diambil tindakan susulan. 


PROSES MEWARTA LEBIH LAMBAT DARIPADA KELULUSAN

“Tanah Orang Asli yang telah dipohon, tapi belum lagi lulus, ini baharu mohon, bukan Orang Asli sahaja, orang lain juga banyak memohon tapi belum lulus-lulus lagi – 37,000 hektar,” katanya dengan membundarkan angka-angka berkenaan.

Mengenai kelewatan dalam meluluskan permohonan, seterusnya mewartakan tanah-tanah tersebut katanya, ia memang tidak dapat dielakkan ekoran pelbagai kerja yang harus dilakukan khususnya di lapangan.

“Proses pengwartaan lagi lambat daripada proses meluluskan tanah. Sebab bila sebut fasal tanah, ia ada kaitan dengan sukat-menyukat. Kita tak boleh lulus atas kertas sahaja, atas pelan sahaja, nak pakai GPS sahaja, tak boleh...

“Ha… SO (Surveyor Officer) kena pergi ke bawah, pergi tengok apa benda ada atas tanah tu. Bawa pula tali-‘tape’, pergi pula sukat. Bawa pula kompas pergi buat ‘bearing’. Bukan senang…,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.  

“Pokoknya, seperti yang saya beritahu kepada Orang Asli (dalam ucapan) tadi, dia orang tak siapa kacau. Cari makan, (jika) dah duduk tu, duduklah (di atas tanah berkenaan). Kerajaan tak akan abaikan nasib mereka,” tegasnya.

'THE LIGHTER SIDE'... Inilah gerak-laku bersahaja dan jenaka Dato' Sri DiRaja Adnan yang menuju ke arah belon lalu mencucuk-pecahkannya, setelah cubaan beliau beberapa kali menyumpit dari khemah VIP terhadapnya, gagal.  


JANGAN TERPENGARUH DAKYAH PEMBANGKANG

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat Orang Asli agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap Kerajaan yang ada.   
   
Sebaliknya, mereka hendaklah mengadu terus kepada Kerajaan tentang apa-apa yang mereka tidak puas hati sepertimana yang turut dilakukan oleh seorang Tok Batin tentang kadar dividen rendah yang mereka terima daripada penyertaan dalam rancangan tanah kendalian Pihak Berkuasa Pekebun-pekebun Kecil Getah (RISDA).

“Saya terkejut juga sebab ada beberapa tempat, kampung Orang Asli yang mendapat dividen RISDA hanya RM100 sahaja sebulan. Saya ingat ini kecil sangatlah. Dan sayapun faham, RISDA ada ‘constraint’, kekangan dia juga. Ada kos pembangunan dan sebagainya.

“Insya-Allah, kita akan cari jalanlah bagaimana mereka ini dapat dinaikkan sedikit (kadar dividen tersebut). Sebab RM100 boleh beli apa sekarang ni. Dua (2) kali pergi ke kedai habislah,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengumumkan persetujuan untuk membekalkan kemudahan computer dan pencetak kepada masyarakat Orang Asli di sini, selain memperbaiki sistem pendawaian di balairaya yang ada.  

‘POKOKNYA, ADA KELUAR PELUH…’

“(Untuk gelanggang) futsal tu (sepertimana yang turut dipohon), saya minta dia orang carikan tapak. Kita akan buat asasnya dulu. Kawasan (yang dikenalpasti sebagai gelanggang) futsal tu kita tanam rumput.

“Ia macam padang bola juga tapi kecil. Kalau bola tu main 11-sebelah, yang ini kita main 5- sebelah,” katanya sambil menambah secara berseloroh; “Pokoknya, ada keluar peluh. Macama mana peluh tu keluar, jangan kira.”  

Selain Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail; yang turut hadir ialah Pegawai Daerah, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; wakil JAKOA, Encik Wahid Akmal dan tuanrumah Batin Ramlee Mat. – Khabar