Saturday 2 November 2013

Ada peti sejuk, tv, sofa dan tilam buruk serta tong gas dalam Empangan Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands?


… ini selain daripada mendapan teruk ekoran sikap tidak bertanggung jawab sesetengah penduduk/penanam di kawasan tanahtinggi itu.  

SEBAHAGIAN DARIPADA BADAN-AIR (WATER-BODY) YANG DITAKUNGI EMPANGAN SULTAN ABU BAKAR... Lihatlah pekatnya kandungan air bak kata KDYTM Tengku Mahkota Pahang, 'teh tarik', yang menandakan teruknya mendapan yang berlaku akibat amalan tidak sihat sesetengah penduduk Cameron Highlands terutamanya para penanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Apakah lagi yang boleh diperkatakan tentang sikap buruk sesetengah penduduk Cameron Highlands jika di dalam Empangan Sultan Abu Bakar, di sana, yang tercemar bukan sahaja kerana mendapan teruk akibat aliran lumpur daripada kerja-kerja tanah yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah penanam di sana.

Yang lebih mengejutkan ialah penemuan bahan-bahan tidak sepatut di dalamnya – peti sejuk, televisyen, sofa dan tilam buruk, selain tong gas terpakai, hingga memburukkan lagi isu pencemaran di empangan bagi menjana elektrik hidro milik dan seliaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu.

Ini didedahkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika diminta mengulas isu tanahtinggi tersebut, pada pertemuan dengan media semasa Majlis Ramah Mesra Menteri Besar dengan pemain/pegawai/penyokong pasukan bolasepak Pahang petang Jumaat, 1 November di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur dekat sini.

“Saya difahamkan hari itu, semasa kita (TNB) membersihkan empangan ini; apa ada dalam? Peti sejuk buruk, televisyen buruk, tilam, tong gas, sofa – yang diperangkap dalam perangkap yang berkenaan tu.

“Tapi, setakat mana kita boleh nak meneruskan operasi untuk mengambil (dan mengeluarkan) benda-benda ini? Jadi, penduduk sendiri kena ada sikit perasaan ataupun etika. Fikirkan sikit,” katanya.

TEMUI MEDIA PETANG JUMAAT... Majlis petang Jumaat itu ialah mengenai bolasepak tetapi oleh kerana soalan mengenai Cameron Highlands dikemukakan oleh wartawan dari akhbar tabloid, Kosmo! maka Dato' Sri DiRaja Adnan tetap melayaninya lalu memberikan respon sepertimana tersiar ini. 

Yang turut kelihatan di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Shafik Fauzan Sharif (berbaju putih), dan, Dato' Johari Husin (berbaju batik); Naib Presiden, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dato' Akhbar V.V.Aboo (berbaju biru); dan, Pengurus Pasukan, Dato' Che Nasir Salleh (berbaju hitam di belakang Dato' Shafik).   


PERANAN BESAR KEPADA NEGARA LWN KERAKUSAN ROSAK ALAM SEKITAR

Dalam pada akur akan peranan penduduk khususnya penanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan di kawasan tanahtinggi itu kepada pendapatan negara, dengan penanaman seterusnya pengeksportan bahan-bahan mentah tersebut ke luar negara.

Namun, yang tidak dapat diterima kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, ialah kerakusan mereka dengan melaksanakan amalan-amalan pertanian yang buruk hingga merosakkan alam sekitar.

“Semua bukit ditarah, ditarah habis. Tak dapat nafikan bahawa mendapan di empangan itu adalah disebabkan oleh kesan tarahan bukit yang berleluasa. Sekarang ni, tepuk dada tanya selera.

“Mereka, penduduk Cameron Highlands – penanam-penanam bunga, penanam-penanam sayur ini. Adaklah mereka memilih untuk mengamalkan amalan pertanian yang buruk ini? Terpulanglah.

“Kerajaan boleh menyekat setakat had tertentu. Lebih daripada itu kena dari kita sendiri, dari rakyat sendiri – dari penanam sayur (dan bunga) sendiri,” katanya lalu meminta mereka memikirkan tentang bahana yang mungkin lebih besar jika bukan setakat limpahan air berlebihan dari Empangan Sultan Abu Bakar tersebut.

KALAU PECAH? NA’UZUBILLAH

“Kalau empang(an Sultan Abu Bakar) itu pecah??? Na’u zubillah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi sambil menyebut dilema Kerajaan Negeri yang akan dituduh sebagai tidak bersimpati dengan mereka apabila kenyataan keras dikeluarkan bagi membendung aktiviti buruk mereka.

Pun begitu, Dato’ Sri DiRaja Adnan menyebut tentang tindakan Kerajaan Negeri menerusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang telah menghulurkan bantuan kewangan RM5,000 kepada keluarga bangsa asing yang terbunuh akibat banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam, di sana.

Sumbangan lagi RM5,000 juga katanya, akan diserahkan kepada keluarga mangsa penduduk tempatan – penanam sayur Cina, yang telah turut meninggal dunia secara tidak langsung, daripada kejadian tersebut.

Perbincangan pula katanya, sedang dilakukan dengan agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan, bagi menempatkan mangsa-mangsa yang ‘betul-betul memerlukan’ yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana 23 Oktober lepas itu. – Khabar