Sunday 24 November 2013

Pasukan penguatkuasaan bersepadu turut babitkan Polis, bagi tangani penerokaan tanah haram


“… memang kita akui, kita kekurangan kakitangan, peralatan.

“Tapi dengan kaedah baharu yang kita buat ini insyaAllah, kita akan dapat atasi masalah ini terutamanya dengan kerjasama pasukan Polis DiRaja Malaysia dan kalau perlu, kita akan gunakan unit-unit di Angkatan Tentera Malaysia,” tegas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob

MENGAMATI TAKLIMAT TENTANG SIANIDA... Dato' Sri DiRaja Adnan telah melapangkan masa ketika waktu rehat, mendengar taklimat mengenai sianida yang diberikan oleh Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Che Rosli Che Hassan (bersongkok) dan pakar dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH), Kementerian Sumber Manusia, Dr Roland Ujjal Leo (kanan sekali). 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato' Norul Azali Sulaiman; serta wakil rakyat-wakil rakyat pembangkang. 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri telah menubuhkan pasukan penguatkuasaan bersepadu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Tanah dan Daerah serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi menangani gejala penerokaan tanah haram di Pahang termasuk di Cameron Highlands.

Ini ekoran Kerajaan Negeri kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, mengenal pasti betapa gejala tersebut yang berlaku meliputi seluruh negeri ini, telah sampai ke tahap ‘yang amat parah’.  

“… Kerajaan (Negeri) telah mengambil keputusan bahawa langkah penguatkuasaan perlu dilaksanakan dan untuk itu, satu pasukan yang bergerak secara bersepadu telah ditubuhkan dan dianggotai oleh pegawai-pegawai penguatkuasa dari pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), pejabat pentadbir tanah daerah dan juga pihak Polis DiRaja Malaysia.

“Setakat ini, beberapa tindakan penguatkuasaan telah dibuat sama ada di Temerloh dan juga di Cameron Highlands,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan semasa menjawab wakil rakyat, Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin (BN – Bukit Ibam) pada sesi soal-jawab, persidangan Dewan Undangan Negeri hari ke-6, Isnin, 25 November, di sini.

Beliau turut mendedahkan betapa beliau telah menerima satu laporan dari kawasan tanahtinggi itu semalam, tentang kegiatan ‘orang yang dikatakan berpengaruh’, yang telah mengugut pegawai penguatkuasa yang cuba menjalankan tugas mereka di sana.

DEMONSTRASI... Dua orang pegawai dari JAS Negeri sedang membuat demonstrasi dengan merokok, yang mana bacaan daripadanya mencatatkan kandungan sianida hidrogen cuma 1.53 ppm (part per million atau bahagian setiap sejuta). Bacaan ini adalah jauh lebih rendah daripada 4.7 ppm yang DOSH tetapkan sebagai tahap yang boleh membahayakan kesihatan manusia. 

Soal kandungan sianida ini menjadi topik bantahan puak-puak pembangkang dengan rujukan khusus kepada kegiatan perlombongan amang emas oleh Raub Australian Gold Mine (RAGM) di Bukit Koman, Raub.

Pun begitu, sepertimana maklumat yang turut dipamerkan pada taklimat ini, menunjukkan bacaan kandungan sianida hidrogen di sana masih jauh rendah daripada tahap 4.7 itu. 

Bacaan yang dicatatkan sejak Januari hingga September lepas (2013) menunjukkan -- Januari, purata 0.51 ppm; Februari, purata 0.48 ppm; Mac, purata 0.52 ppm; April, purata 0.67 ppm; Mei, purata 0.58 ppm; Jun, purata 0.48 ppm; Julai, purata 0.54 ppm; Ogos, purata 0.56 ppm; dan, September, purata 0.56 ppm.  


 
ORANG DIKATAKAN BERPENGARUH, UGUT PENGUATKUASA?

“… seorang orang yang dikatakan berpengaruh, telah mengugut pihak pegawai penguatkuasa dan sekarang sedang menggunakan antara 10 hingga 15 ‘tractor’, ‘bulldozer’; mengerjakan tanah di Blue Valley, depan rumah ibadat atau kuil Hindu di situ.

“Pada (tengah) hari nanti saya akan memanggil mesyuarat PTG dan juga pihak Polis untuk mengadakan penguatkuasaan secara segera. Saya berharap, ahli dari (Bukit) Ibam jangan bimbang. InsyaAllah, kita akan ambil tindakan termasuk juga di Rompin,” katanya.

“… memang kita akui kita kekurangan kakitangan, peralatan.

“Tapi dengan kaedah baharu yang kita buat ini insyaAllah, kita akan dapat atasi masalah ini terutamanya dengan kerjasama pasukan Polis DiRaja Malaysia dan kalau perlu, kita akan gunakan unit-unit di Angkatan Tentera Malaysia,” tegasnya lagi.

Beliau mengakui betapa selama ini, Kerajaan Negeri lebih memikirkan tentang soal kemanusiaan dengan merujuk kepada para peneroka – penanam sayur dan bunga, yang mengerjakan tanah untuk bertanaman, demi menampung keperluan asas keluarga masing-masing.

“Yang menjadi masalah ialah mereka meng‘commercialise’kan penerokaan tanah haram ini seperti kata ahli dari (Bukit) Ibam tadi. Mereka pohon, kemudian terus teroka, kemudian jual pula kepada orang lain,” katanya. – Khabar