Sunday 17 November 2013

Lagi bajet 'surplus' bagi Bajet Negeri 2014


… merupakan bajet ‘surplus’ ke-11 sejak 1992.

“Jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berhemah dalam menguruskan kewangan negeri,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam pembentangan Bajet Negeri 2014.


NOTA EDITOR;

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13, Penggal Pertama, Mesyuarat Kedua yang bermula pada Isnin, 18 November di WISMA SRI PAHANG di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah membentangkan Bajet Negeri 2014.

Bersandarkan kutipan hasil yang dijangkakan RM811 juta berbanding belanja mengurus dan pembangunan yang dijangkakan RM808.81 juta; Bajet Negeri 2014 dijangka sekali lagi merupakan bajet ‘surplus’ atau lebihan, dengan kira-kira RM2.19 juta.

Berikut disiarkan ‘in-toto’, teks penuh ucapan Dato’ Sri DiRaja Adnan setebal 38-halaman, yang disampaikan dengan lancar selama 30-minit, bermula 11.15 pagi dan berakhir pada 11.45 pagi.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

1.         PENDAHULUAN

1.1.      Pertamanya saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah            Subhana Wata’ala kerana dengan izin dan kurniaNya dapat           saya serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian hadir di Dewan Yang Mulia ini dan dapat pula saya membentangkan Bajet Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2014 Sempena Persidangan Kali Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ketiga Belas pada pagi ini.
           
Saya mohon mencadangkan bahawa satu Rang Undang-Undang dinamakan :
           
“Satu Enakmen bagi mengeluarkan sejumlah wang      daripada        Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan Tahun 2014             dan bagi memperuntukan wang tersebut untuk maksud-maksud             tertentu”

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

2.         LATAR BELAKANG

2.1.      Syukur ke hadrat Allah Subhana Wata’ala kerana dengan izinNya dapat saya membentangkan Bajet Negeri Pahang Tahun 2014 di Dewan Yang Mulia ini. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang telah membentangkan Bajet Negara bagi Tahun 2014 pada 25 Oktober 2013 yang lalu.

Bajet yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bertemakan “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi Dan Melaksana Janji ”.

2.2.      Bajet 2014 digubal  untuk memastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit          fiskal. Bajet 2014 akan terus mesra rakyat kerana walaupun Kerajaan bertekad mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5   peratus, Kerajaan masih ada lagi hasil yang mencukupi untuk memenuhi kehendak rakyat.

Kerajaan terus berazam meringankan beban rakyat tatkala dunia berada di ambang ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi.
           
Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga agar bencana dan malapetaka yang berlaku di luar negara tidak berlaku di negara kita.

3.         SENARIO EKONOMI GLOBAL

3.1.      Ekonomi dunia menunjukkan tanda ianya semakin pulih. Walau bagaimanapun, kadar pemulihan adalah lebih perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013.  Suasana muram ini dijangka berterusan sehinggalah pertumbuhan ekonomi          dirangsang untuk meningkat semula pada tahun hadapan (2014).

Kemelesetan ekonomi Eropah juga sudah berakhir dan diikuti pula dengan pemulihan yang pantas di Amerika Syarikat. 

3.2.      Keadaan pemulihan ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat adalah satu petanda baik ke arah perkembangan ekonomi dunia, namun ianya akan membawa impak kepada keadaan ekonomi Negara-Negara Membangun.

Amerika Syarikat dijangka akan melaksanakan dasar mendapatkan wang mudah menerusi pembelian bon mereka. Walaupun modal akan mengalir semula ke Amerika Syarikat disebabkan perbezaan faedah yang mengecil dibandingkan dengan kadar      faedah dirantau Asia, tetapi berkemungkinan mata wang Asia             akan terus susut akibat daripada dasar yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat ini.
           
3.3.      Ekonomi Negara berada di landasan yang betul dan kekal kukuh dengan sasaran pertumbuhan 4.2 peratus pada tahun 2013.  Keadaan ini berlaku berikutan pengukuhan berterusan permintaan domestik serta pemulihan dalam eksport.

Pengukuhan dasar monetari dan akomodatif telah memberikan keyakinan pelabur-pelabur untuk terus melabur di sini. 

Malaysia telah dapat menguruskan ekonomi dengan lebih baik, menjadikan keyakinan terhadap pasaran serta ekonomi telah meningkat.  Pelaburan langsung asing bersih telah bertambah daripada RM18.2 bilion separuh pertama 2013 berbanding RM15.9 bilion pada separuh pertama 2012.

Rizab antarabangsa pula kekal kukuh sebanyak RM444.9 bilion pada Oktober 2013 dan jumlah ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.  

3.4.      Pelaburan jangka panjang dari sektor swasta menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Pelaburan swasta telah mencapai peratus yang paling tinggi dalam masa lapan (8) tahun yang telah menyumbang 65.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jumlah sasaran pelaburan tahun 2013 berjumlah RM148.4 bilion telah dicapai sebanyak RM85.7 bilion atau 57.7 peratus pada separuh pertama tahun 2013.

Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Penawaran sektor pembinaan pula dianggarkan meningkat kepada 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus.

Kadar pengangguran pula dijangka hanya 3.1 peratus manakala kadar inflasi dijangka kekal rendah ke paras dua (2) hingga tiga (3) peratus.

3.5.      Data-data yang dinyatakan di atas menunjukkan dengan jelas bahawa ekonomi Malaysia adalah dalam keadaan yang amat cergas walaupun keadaan ekonomi dunia berada dalam keadaan yang tidak menentu.

4.         FOKUS BAJET PERSEKUTUAN

            Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

4.1.      Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan bajet sebanyak RM264.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil yang dapat dikutip adalah sebanyak RM224.1 bilion dan dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan menurun kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding empat (4) peratus pada tahun 2013.

4.2.      Mengambil kira senario Ekonomi Antarabangsa dan Domestik, Bajet Kerajaan Persekutuan dibentangkan berdasarkan lima (5) teras yang dirangka sebagai tunjang bagi bajet 2014. 

Teras-teras tersebut ialah:


TERAS PERTAMA : MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

Melalui teras ini, tumpuan akan diberikan kepada perkara-perkara berikut :

i)         Merancak sektor perkhidmatan
ii)        Meningkatkan potensi sektor logistik
iii)       Menggalakkan industri penerbangan
iv)       Mempromosi sektor pelancongan
v)        Memperluaskan akses internet
vi)       Mengukuhkan pasaran kewangan
vii)      Menggalakkan skim persaraan
viii)     Meningkatkan rantaian sektor pertanian
ix)       Memperkukuhkan pembangunan usahawan; dan
x)        Memantapkan perusahaan kecil dan sederhana

TERAS KEDUA : MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL

Teras kedua ini menitikberatkan kepada perkara-perkara berikut :

i)         Transformasi perkhidmatan awam
ii)        Menambahbaik pengurusan belanjawan
iii)       Potongan cukai bulanan sebagai cukai muktamad
iv)       Rasionalis subsidi; dan
v)        Cukai barang dan perkhidmatan

TERAS KETIGA : MENGUNGGUL MODAL INSAN

Teras ketiga menumpukan kepada persiapan “human capital” atau modal insaniah yang menumpukan perkara-perkara berikut :

i)         Meningkatkan kecemerlangan pendidikan
ii)        Memperkasa pendidikan tertiari
iii)       Memperkukuh latihan kemahiran
iv)       Bantuan persekolahan; dan
v)        Baucer Buku 1Malaysia.

TERAS  KEEMPAT :  MEMPERGIAT  PEMBANGUNAN                                                                 BANDAR DAN LUAR BANDAR

Teras keempat adalah digubal supaya tiada masyarakat akan terpinggir.   Tumpuan dibuat kepada perkara-perkara berikut :

i)         Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy – NBOS)
ii)        Memperkukuh jaringan pengangkutan awam
iii)       Meningkatkan kesejahteraan bandar; dan
iv)       Memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar

TERAS KELIMA : MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT

Teras ini memberi tumpuan terhadap meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.  Tumpuan akan menitikberatkan perkara-perkara berikut :

i)         Indeks kesejahteraan rakyat, kerajaan akan terus merangka dasar terbaik untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
ii)        Meningkatkan keselamatan dan kententeraman awam
iii)       Pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber
iv)       Menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti
v)        Menyediakan pembangunan sukan negara yang lebih komprehensif
vi)       Meningkatkan peranan wanita dan mensejahtera keluarga
vii)      Memperkasa Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadikan agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional
viii)     Membantu orang kelainan upaya
ix)       Menghargai golongan karyawan
x)        Pembangunan masyarakat India
xi)       Meningkatkan pemilikan rumah kepada yang berpendapatan rendah dan sederhana
xii)      Penyeragaman harga kepada barangan keperluan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak; dan
xiii)     Pelepasan cukai untuk golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana

5.         PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

5.1.      Negeri Pahang turut berkembang pesat selari dengan arus globalisasi.  Pada tahun 2012, Kerajaan Negeri telah mencatat pelaburan yang diluluskan beserta insentif berjumlah RM7.76 bilion dan mewujudkan 7,000 peluang pekerja mahir dan separuh mahir.

Negeri Pahang telah mencatatkan KDNK pada tahun 2013 sebanyak RM32.72 bilion dengan kadar pertumbuhan 6.0 peratus berbanding pencapaian 5.8 peratus pada tahun 2012.

KDNK yang meningkat akan menyumbang kepada peningkatan per kapita penduduk seperti yang dihasratkan pada tahun 2013 iaitu mencecah kepada RM29,195 dengan kadar peningkatan 7.60 peratus berbanding tahun 2012.

Sasaran KDNK Negeri Pahang lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara kerana negeri Pahang mempunyai pelbagai sumber hasil bumi dan persekitaran yang selesa didiami dan selesa untuk pelabur.

5.2.      Peningkatan pendapatan per kapita akan menyumbang peningkatan pendapatan bulanan isi rumah daripada RM3,900 pada tahun 2013 dengan peningkatan 4.13 peratus berbanding tahun 2012.

5.3.      Kadar kemiskinan (miskin tegar) bagi tahun 2013 dijangka akan berkurangan kepada 0.15 peratus daripada jumlah penduduk negeri Pahang yang berjumlah 1.5 juta orang (banci tahun 2010). Jumlah tenaga kerja pula dijangka meningkat kepada 4.6 peratus yang terdiri daripada tenaga kerja baharu, pekerja mahir dan separuh mahir.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

5.4.      Unjuran ekonomi 2014 hingga 2015 mensasarkan peningkatan KDNK pada kadar 6.4 peratus, nilai pelaburan pula bernilai RM4.0 billion, pendapatan per kapita penduduk akan mencecah RM34,305. Unjuran tenaga kerja pula dijangka berjumlah 702,600.

Kadar kemiskinan tegar hanya 0.05 peratus daripada jumlah penduduk negeri dan kadar pengangguran menurun kepada 2.0 peratus.

Pencapaian unjuran ini dijangka akan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pendapatan yang meningkat serta tiada golongan terpinggir dan mempunyai persekitaran yang mampan.

5.5.      Bagi merealisasikan manifesto pilihan raya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah merancang pembinaan        sebanyak 30,000 unit rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti antaranya di Kuantan, Kuala Lipis, Bera dan Cameron Highlands. Projek ini diharapkan dapat memberikan kediaman yang selesa kepada rakyat yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM5,000 sebulan.

5.6.      Selain itu, bagi mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan juga telah membangunkan kawasan luar             bandar melalui projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh yang dijangka membolehkan setiap peserta meraih pendapatan bulanan purata di antara RM800 hingga RM1,500 sebulan.

5.7.      Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat juga, Kerajaan Negeri telah mewujudkan beberapa pusat pertumbuhan baharu iaitu di Kuala Pahang, Pekan; Gambang, Kuantan; dan, Bandar Tun Razak, Jengka, Maran.

Beberapa lokasi lain juga sedang dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan             baharu bagi menggalakkan kemajuan ekonomi luar bandar.

5.8.      Pencapaian ini amat bergantung kepada peningkatan rantaian sektor utama, pelaburan swasta, jaringan dan kemudahan penyampaian, kapasiti utiliti, modal insan, prasarana sosial, jaringan sosial dan kawasan pertumbuhan baharu.

Kesemua ini dapat dicapai dengan memberi fokus melaksanakan Program Transformasi Ekonomi Negeri melibatkan 115 projek berimpak tinggi melalui peruntukan Rolling Plan 1 hingga 4 (1 - 4) dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) serta pelaburan langsung domestik dan asing.

6.         KEDUDUKAN KEWANGAN NEGERI

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

6.1.      Pada tahun 2012, sebanyak RM624.96  juta hasil negeri telah            berjaya dikutip  berbanding sasaran sebanyak RM509.93         juta. Hasil negeri pada tahun 2012 telah meningkat sebanyak RM115.03 juta berbanding kutipan hasil tahun 2011 sebanyak RM601.53 juta.

Peningkatan besar hasil tahun 2012 disumbangkan oleh terimaan bukan hasil yang meningkat sebanyak RM91.74 juta. 

Hasil cukai pula meningkat sebanyak RM26.59 juta dan pendapatan hasil bukan cukai meningkat sebanyak RM94.90 juta. Kutipan hasil tahun 2012 telah dikutip        melebihi sasaran kerana usaha secara berterusan oleh jabatan-jabatan berkaitan dilakukan sepanjang masa.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang sentiasa bekerja keras untuk mencapai matlamat ini.
           
6.2.      Kedudukan kewangan pada tahun 2013 adalah baik. Sehingga 30 September 2013, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM432.97 juta iaitu 58.76 peratus berbanding sasaran RM736.90 juta.

Kutipan hasil yang perlahan kerana hasil daripada pembalakan perlu disemak semula   akibat   daripada harga kayu yang merudum di peringkat dunia. Saya      yakin kutipan hasil tahun 2013 dapat dicapai dengan bantuan daripada agensi dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.

6.3.      Peruntukan untuk belanja mengurus pada tahun 2012 telah menurun iaitu sebanyak RM558.70 juta berbanding tahun 2011 sebanyak RM613.20 juta. Penurunan belanja mengurus sebanyak RM54.50 juta ini berlaku disebabkan Jabatan Bekalan Air telah diperbadankan menjadi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). Semua belanja mengurus jabatan ini ditanggung sendiri oleh PAIP.

6.4.      Perbelanjaan pembangunan pada tahun 2012 adalah sebanyak RM112.38 juta dengan menggunakan sumber langsung Kerajaan Negeri sebanyak RM65.51 juta dan RM46.87 juta pinjaman dari Kerajaan Persekutuan.
Perbelanjaan pembangunan tahun 2012 lebih besar berbanding tahun 2011 iaitu sebanyak RM61.41 juta. Pertambahan berlaku kerana projek-projek pembangunan banyak yang telah bermula pada tahun 2011 dan pada tahun         2012, bayaran kemajuan projek perlu disediakan di mana       kebanyakan projek telah melebihi 50 peratus kemajuan kerjanya.

7.         PERUNTUKAN BAJET 2014

Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua,

7.1.      Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan bajet sebanyak RM808.81 juta untuk melaksanakan semua program dan rancangan pembangunan   yang telah dirancangkan.

Peruntukan ini terdiri daripada RM638.66 juta anggaran perbelanjaan mengurus dan RM74.50 juta anggaran perbelanjaan pembangunan dari sumber negeri dan RM95.65 juta dari pinjaman Kerajaan Persekutuan.

7.2.      Sejumlah RM638.66 juta yang dibajetkan untuk perbelanjaan mengurus terdiri daripada RM499.64 juta batas perbelanjaan, RM18.15 juta dasar baharu dan RM120.87 juta untuk bajet ‘one-off’. Bajet ‘one-off’ yang disediakan ini           adalah sumbangan Kerajaan Negeri kepada PAIP untuk sumbangan akhir bayaran gaji dan elaun  kakitangan  kontrak, pembelian peralatan kerja dan perabut pejabat serta caruman pembangunan.

Dasar baharu yang dibajetkan sebanyak RM18.15 juta bertujuan untuk emolumen penjawat awam seperti kenaikan gaji dan penyelarasan gaji berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan.

7.3.      Kutipan hasil pada tahun 2014 dianggarkan berjumlah            RM811 juta sementara bajet mengurus dan pembangunan berjumlah RM808.81 juta. Ini adalah merupakan kali ke-11 Bajet Negeri Pahang menunjukkan surplus atau lebihan dalam tempoh 20 tahun (1992 – 2012).

Jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berhemah di dalam menguruskan kewangan negeri.

Pada tahun 2014 ini, sekali lagi Bajet Negeri Pahang masih menunjukkan surplus atau lebihan sebanyak RM2.19 juta.

7.4.      Anggaran kutipan hasil pada tahun 2014 diperolehi daripada             kutipan hasil tanah dan galian sebanyak RM275.00 juta. kutipan hasil hutan sebanyak RM130 juta, geran yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM206.00        juta, dan lain-lain hasil sebanyak RM200 juta.

Pada tahun 2014 ini, Kerajaan Persekutuan dijangka akan memberi wang ihsan sebanyak RM100 juta ekoran daripada penemuan minyak dan gas di perairan Pahang. Pemberian wang ihsan itu nanti akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk faedah rakyat negeri Pahang. 

8.         FOKUS BAJET NEGERI
           
Yang Berhormat Yang DiPertua,

8.1.      Fokus Bajet 2014 digubal selari dengan fokus Kerajaan Persekutuan dengan matlamat menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk rakyat serta pelabur, menambahkan pelaburan agar dapat mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, berbelanja berhemah dan mengurangkan defisit fiskal.

Fokus Bajet Negeri Pahang pada tahun 2014 adalah menetapkan empat (4) perkara utama iaitu :-

            Pertama          :           Merancakkan aktiviti pelaburan
            Kedua             :           Menjaga kebajikan rakyat
            Ketiga             :           Menambahbaik pengurusan kewangan
            Keempat        :           Mengukuhkan modal insan


Pertama:         Merancakkan Aktiviti Pelaburan

8.2.      Negeri Pahang menerima pelaburan yang besar daripada pelaburan langsung asing (FDI) dengan kawasan tumpuan pelaburan di Kawasan Perindustrian Gebeng sebagai hab petrokimia utama Pantai Timur.

Kawasan Industri Peramu, Pekan pula dibangunkan dengan Industri Permotoran dan  Industri di Tanjung Agas Oil & Gas And Logististic Industrial Park Pekan sebagai kawasan industri berasaskan aktiviti oil & gas.

Kerajaan Negeri telah memberi tumpuan memajukan industri halal di negeri Pahang.  Satu kawasan seluas 155 ekar sedang dibangunkan sebagai Taman Halal Hub di Gambang bagi menempatkan aktiviti produk halal di Negeri Pahang.

Sektor perlombongan telah dapat menjanakan aktiviti ekonomi kepada Kerajaan disamping menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Yang DiPertua,  

Pertanian adalah industri ketiga terbesar di Pahang, berasaskan Dasar Makanan Negara 2011-2020 yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, pertanian telah berubah kepada sektor industri yang mantap dan berdaya tahan.

Hingga kini, Negeri Pahang adalah penyumbang utama kepada keperluan sayur negara iaitu sebanyak 52 peratus. Pengeluaran buah-buahan pula telah dapat memenuhi 75 peratus daripada keperluan di Negeri Pahang.

Menjelang tahun 2020, Negeri Pahang akan menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran buah negara apabila projek-projek yang telah dan sedang dibangunkan oleh jabatan dan agensi mengeluarkan hasil sepenuhnya. Fokus utama ialah untuk memperluaskan pasaran eksport produk berasaskan pertanian ke negara China, Korea dan  negara-negara Timur Tengah. 
           
Kedua :           Menjaga Kebajikan Rakyat

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

8.3.      Kesejahteraan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri akan memastikan rakyat bandar dan luar bandar mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat sebaik mungkin hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan yang telah dikenalpasti.

Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah menyalurkan peruntukan yang besar untuk menambah baik kehidupan rakyat negeri Pahang.

Tumpuan pembangunan bandar tanpa meninggalkan penduduk luar bandar telah memberi kesan positif kepada rakyat. Penubuhan Urban Transformation Centre (UTC) di Kuantan dan Rural Transformation Centre (RTC) di Pekan, telah memberi impak yang amat positif kepada rakyat negeri Pahang.

Kedua-dua projek ini telah mencapai matlamat Merakyatkan Perkhidmatan Awam sebagaimana telah disarankan oleh YBhg Ketua Setiausaha Negara. Semua perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan boleh diperolehi tanpa had masa dan hari.

8.4.      Kemudahan infrastruktur asas telah disediakan secara meluas di negeri Pahang.  Diantaranya ialah memberi liputan air bersih dan pada masa ini telahpun mencapai 99 peratus.

Bagi memastikan kapasiti bekalan air mencukupi, kerja pembinaan dan naik taraf loji giat dijalankan. Antaranya, pembinaan baharu Loji Air Panching yang berkapasiti 160 juta liter sehari dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula tahun 2014. 
Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 140,000 pengguna. Selain itu, Kerajaan juga sedang melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf loji sedia ada di Semambu dan seterusnya merancang membina beberapa loji baharu di Bentong, Kuantan, Pekan dan Bera.

Ketiga :           Menambahbaik Pengurusan Kewangan

8.5.      Pihak Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan pengurusan kewangan negeri diuruskan dengan baik. Beberapa usaha yang berterusan sejak tahun 2012 telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan kewangan negeri.

Diantara langkah-langkah yang telah diambil ialah :-

a)         Penyediaan Buku Nota Ekspres Pengurusan Kewangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang bagi memberi rujukan mudah kepada anggota pentadbiran dan kewangan berkaitan pengurusan kewangan yang baik dan akauntabiliti.

b)        Mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri (SPEKS) Peringkat Negeri, bertujuan untuk melancarkan pelaksanaan SPEKS di negeri Pahang. Ia bertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau kemajuaan pelaksanaan SPEKS di peringkat negeri. 

c)         Mesyuarat Peningkatan Hasil serta Tunggakan Hasil Negeri Pahang bertujuan membincangkan masalah tunggakan hasil di setiap jabatan dan mengenal pasti punca hasil-hasil baharu yang boleh meningkatkan lagi kutipan hasil Kerajaan Negeri. 

d)        Mengadakan Bengkel Pengurusan Kewangan bagi Penyediaan Anggaran Perbelanjaan tahunan dan bengkel ini telah berjaya menyediakan Anggaran Bajet Tahunan yang lebih tersusun dan sempurna.

e)         Membuat pengedaran surat pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang mengenai langkah-langkah kawalan tuntutan kerja lebih masa bagi menambah baik kawalan dan pemantauan tuntutan kerja lebih masa.

f)         Mengeluarkan arahan penutupan akaun Kerajaan Negeri Pahang bertujuan memastikan semua pegawai pengawal/ketua pusat tanggungjawab (PTJ) mematuhi  peraturan perakaunan yang perlu diikuti bagi urusan penutupan akaun tahun kewangan.

g)         Memastikan jabatan negeri mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Dan Akaun diadakan sebanyak tiga (3) bulan sekali.

8.6.      Semua langkah-langkah ini adalah sebagai persediaan ke arah pelaksanaan perakaunan akruan bagi Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan pada tahun 2016. 

Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan akaun akruan ini mulai tahun 2015 sebagaimana telah diluluskan oleh YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Strategic Reform Initiative – Public Finance Reform pada 11 Mei 2011.

Yang Berhormat Yang DiPertua,

8.7.      Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Audit Negara kerana telah menjalankan kerja-kerja pengauditan kewangan di jabatan dan agensi serta anak-anak syarikat di negeri Pahang.

Kerja-kerja pengauditan ini telah memberikan gambaran kedudukan benar dan saksama serta rekod mengenainya telah dilaksanakan dengan betul dan kemaskini oleh jabatan-jabatan, agensi serta anak-anak syarikat di negeri Pahang.

Jabatan, agensi serta anak-anak syarikat yang diaudit ini telah dapat memperbaiki segala kelemahan pengurusan dan telah mempertingkatkan tahap pengurusan wang awam dengan baik.

Ini adalah penting kerana ianya menjamin setiap ringgit yang dipungut, akan dapat menyumbang kepada pembangunan dan keselesaan hidup rakyat.

Bagi pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti tahun 2012, sebanyak tujuh (7) jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pahang telah menerima anugerah paling tinggi iaitu 4-Bintang) untuk auditan Indeks Akauntabiliti berbanding dengan tahun 2011 hanya empat (4) jabatan dan agensi yang mendapat Anugerah 4-Bintang.

Ini menunjukkan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik. Antara jabatan-jabatan yang menerima Anugerah 4-Bintang Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti tahun 2012 ialah :

Pejabat YAB Menteri Besar Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Pahang, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang, Majlis Daerah Pekan, dan, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Keempat:       Mengukuhkan Modal Insan

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

8.8.      Menyediakan masyarakat yang boleh bertindak sebagai agen pembangunan haruslah dipersiapkan sebagai human capital yang berkualiti. Modal insaniah yang holistik perlu dilihat dari segi modal intelek mempunyai pelbagai kemahiran inter-personal, berfikiran kreatif dan berinovatif.

Bertitik tolak dengan keperluan di atas, pembangunan fizikal dan teknologi perlu dilaksanakan agar seimbang dengan keperluan manusiawi.

Kerajaan akan terus menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran kerja. Aspek jasmani, spiritual dan intelektual disediakan di peringkat awal hingga ke peringkat penyediaan tenaga kerja berkemahiran.

Bagi golongan kurang upaya, mereka juga tidak dibiarkan begitu sahaja, tetapi keperluan pendidikan khas disediakan untuk mereka.

8.9.      Pembangunan pendidikan dirangka untuk memastikan semua warganegara mendapat peluang pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tertinggi. Kemudahan-kemudahan pendidikan telah disediakan dalam RMK-10 pada semua peringkat pendidikan dari prasekolah hingga ke peringkat tertinggi. Sekolah yang diperlukan bagi warganegara yang memerlukan pendidikan khas juga disediakan dalam RMK-10.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,
           
8.10.   Bagi Mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat, Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan tindakan meningkatkan keberkesanan tadbir urus organisasi melalui penambah baikan dan melaksanakan program kualiti seperti M.S ISO, Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Pengurusan Lean, Amalan Berkualiti 5S, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan sebagainya.  

Program kualiti yang dilaksanakan ini mampu mentransformasi dan memantapkan keupayaan perkhidmatan awam.

Bagi memperkasa perkhidmatan awam dan menjayakan agenda transformasi negara, program kualiti yang dilaksanakan ini juga diperkukuhkan lagi oleh konsep CTI iaitu Cepat, Tepat dan Integriti seterusnya disokong oleh konsep PCI iaitu Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi yang merupakan asas kepada anjakan paradigma penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan menepati kehendak pelanggan.

Penjawat awam yang unggul dan berdaya saing perlu mempunyai ilmu pengetahuan untuk pembentukan modal insan yang berkualiti. Nilai-nilai murni seperti amanah dan berintegriti diberi penekanan selain menyediakan latihan yang berterusan dalam aspek pengurusan.

Nilai-nilai murni yang diterapkan ini akan dapat memastikan setiap penjawat awam dapat bekerja dengan lebih komited dan proaktif bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

9.         PENUTUP

Yang Berhormat Yang DiPertua,

9.1.      Sebelum saya mengakhiri ucapan Bajet ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak kerana telah membentangkan Bajet 2014 yang telah mengambil kira semua peringkat bangsa, masyarakat dan tanpa mengira kelompok puak dan kaum.

Saya berharap semua Ahli-ahli Dewan dan ketua-ketua jabatan menterjemahkan harapan yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri itu agar dapat menjadikan Malaysia dan Negeri Pahang amnya sebuah negara maju tanpa meminggirkan mana-mana masyarakat di negara ini.

Kita semua mestilah memberikan kesungguhan dan komitmen serta keikhlasan yang tinggi bagi menjayakan semua program yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri itu.

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi Kerajaan atas sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan. Saya menyeru agar terus memberikan khidmat dengan jujur dan cekap supaya dapat mencapai matlamat menjadikan Pahang sebagai negeri maju yang telah semakin hampir.

Kepada rakyat negeri Pahang, saya memohon supaya jadilah rakyat yang baik, menghargai usaha murni kerajaan untuk membantu mereka.

Berikanlah kritikan yang membina, berfikiran rasional dan tidak mudah percaya kepada khabar-khabar angin dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Dapatkanlah maklumat yang betul di atas sebarang isu yang dibangkitkan.

Kerajaan sedar bahawa di dalam keadaan dunia tanpa sempadan dan maklumat terletak di hujung jari, amat sukar untuk kita mengawal perkara-perkara tidak berasas yang disebarkan itu.

Saya berharap agar tumpuan diberi kepada keluarga dan mengutamakan pendidikan anak-anak, menyemai nilai-nilai murni, menjaga keselamatan dan kesihatan keluarga masing-masing.
Marilah kita berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Agama, Raja, Bangsa, Negeri dan Negara kita sentiasa diredhai dan dilindungi Allah Subhanahu Wata’ala.

Yang Berhormat Yang DiPertua,

Dengan doa dan harapan, saya mohon mencadangkan.  Khabar