Thursday 21 November 2013

Tarik balik perkataan 'Bajet lebihan palsu' atau bersedia hadapi tindakan!


… kata-kata Menteri Besar dalam ucapan 25-minitnya semasa membangkitkan ‘point of order’ bagi membantah keras perkataan yang digunakan oleh wakil rakyat pembangkang, Encik Lee Chean Chung (PKR - Semambu) semasa ucapan perbahasannya.

“Kalau tidak, kita akan hadapkan dia ke jawatankuasa berkenaan atau kita akan bawa usul sebagaimana parlimen telah bawa usul terhadap ahli dari Padang Serai yang telah digantung 6 bulan”.


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dalam menyatakan pendirian membantah sekerasnya terhadap perkataan ‘Bajet lebihan palsu’ yang diucapkan oleh seorang wakil rakyat pembangkang, Menteri Besar Dato’ Sri DriRaja Adnan Yaakob telah meminta beliau menarik balik perkataan tersebut atau bersedia menghadapi tindakan.

Ini dizahirkannya – dengan bersandarkan ‘point of order’, dalam ucapan 25-minitnya sebaik-baik berakhirnya sesi soal-jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang masuk hari keempat, pagi Khamis, 21 November di sini.   

Dalam ucapan bagi membahaskan ucapan Bajet Negeri 2014 pagi Selasa, 19 November lepas, wakil rakyat 'setahun jagung' tersebut, Encik Lee Chean Chung (PKR – Semambu) telah mengistilahkan bajet berkenaan sebagai ‘Bajet lebihan palsu’;

Semata-mata kerana mempertikaikan kemasukan RM100 juta ‘wang ihsan’ yang telah Kerajaan Persekutuan persetujukan untuk diberi kepada Kerajaan Negeri tahun depan (2014) ekoran jumpaan telaga minyak baharu di luar perairan negeri, ke dalam bajet berkenaan.   

“Saya berharap, ahli dari Semambu dapat berfikiran secara rasional, tarik balik perkataan ‘Bajet defisit yang palsu’.

‘DON’T STOOP THAT LOW’

“Kalau tidak, kita akan hadapkan dia ke jawatankuasa berkenaan atau kita akan bawa usul sebagaimana Parlimen telah bawa usul terhadap ahli (Parlimen pembangkang) dari Padang Serai, yang telah digantung 6 bulan,” tegasnya.
  
Dan Menteri Besar turut menambah betapa ketegasannya itu tidak boleh dilihat sebagai ugutan mahupun tindakan beliau menggunakan majoriti dua-pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri untuk membuli ahli-ahli pembangkang.

“Tetapi setiap orang – sama ada pembangkang atau kerajaan, atau ‘backbencher’, mesti mengeluarkan kenyataan yang bertanggungjawab. Kalau tidak betrtanggungjawab, tidak layak masuk Dewan,” katanya lagi yang sederap itu menerima tepukan ke meja tanda sokongan oleh wakil rakyat sekelian.

“Jangan kita keluarkan kenyataan-kenyataan yang sembrono sebab, kalau kita keluarkan kenyataan-kenyataan yang sembrono, kita sudah meletakkan bukan sahaja Dewan malah diri kita pada tahap yang sangat rendah.

“We don’t stoop that low, just to pin-point the state government’s weakness. We don’t stoop that low… Jangan kita pergi sampai ke bawah itu menghinakan diri kita, mengeluarkan perkataan-perkataan (yang sembrono tersebut),” katanya lagi.

JANJI RM100 JUTA DALAM UCAPAN BAJET NEGARA  

Sebelum itu, beliau telah memberikan serba-sedikit ‘pengajaran terutama sekali kepada ahli-ahli yang baharu masuk Dewan’ mengenai Bajet Negeri khususnya Bajet Negeri 2014 yang dibentangkannya pada pagi Isnin, 18 November lepas.

Beliau menggambarkan betapa beliau layak berbuat demikian sementelahan beliau sudah berusia 63 tahun, telah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri selama tujuh (7) penggal – sebagai wakil rakyat biasa selama empat (4) tahun, sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri selama sembilan (9) tahun, dan selaku Menteri Besar yang sudah hampir 15 tahun.

Apabila sahaja beliau membentangkan Bajet Negeri katanya, ia dibentangkan bersekali dengan dokumen-dokumen yang berkaitan yang menunjukkan secara terperinci hasil-hasil dan terimaan yang Kerajaan Negeri dijangka perolehi, serta senarai projek-projek pembangunan yang dirangka untuk dilaksanakan pada tahun-tahun bajet berkenaan.

“… kalau ahli dari Semambu mengatakan ini ‘Bajet lebihan palsu’ sebab kita dijangka mendapat anggaran RM100 juta dari Kerajaan Malaysia; ini satu tuduhan yang berat.

“RM100 juta itu telah dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri (dalam ucapan Bajet Negara) dan dalam akaun biasapun yang telahpun kita anggap sebagi ‘secure’, kita akan masukkan, kita akan ‘book in’ sebagai pendapatan.

JANGAN FOBIA DENGAN ‘BAJET DEFISIT ATAU SURPLUS’

“Begitu jugalah apa yang berlaku sebab Perdana Menteri telah menjajnjikan RM100 juta akan diberi pada tahun 2014 kepada Kerajaan Negeri maka wajar Pejabat Kewangan Negeri memasukkan ke dalam hasil untuk 2014, RM100 juta,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyatakan betapa sejak beliau menerajui Kerajaan Negeri, Pahang hanya mengalami bajet defisit sebanyak empat (4) kali berbanding yang lain sama ada lebihan atau ‘surplus’, atau berimbang (balanced).

“Dan sayapun tak faham kenapa ahli Dewan terutamanya pembangkang, ‘fobia’ dengan bajet defisit, dengan bajet ‘surplus’. Kita bukan menguruskan rumahtangga, kita bukan menguruskan perniagaan.

“Kita menguruskan Kerajaan. Tugas Kerajaan bukan buat untung. Tugas kerajaan (ialah untuk) pastikan rakyat dapat jaminan hidup, dapat pembelaaan sewajarnya.

“Jadi, kita jangan berkira sangat tentang ‘surplus’ tak ‘surplus’. Pokoknya, kita boleh menjalankan pentadbiran, gaji (kakitangan awam) mampu dibayar, kita boleh buat rancangan-rancangan pembangunan (demi kesejahteraan rakyat). Itu yang penting,” tegasnya.  

BELANJA MENGURUS/PEMBANGUNAN NEGERI – 78:22

Beliau turut menjelaskan tentang pertikaian wakil rakyat pembangkang mengenai peratusan yang tinggi kepada perbelanjaan mengurus, berbanding kepada perbelanjaan pembangunan dalam Bajet Negeri.

Menurutnya, peratusan itu ialah 78:22 berbanding 85:15 sepertimana dalam Bajet Negara 2014 yang telah dibentangkan di Parlimen beberapa bulan lepas. Negeri paling kaya, Selangor pula – negeri pembangkang tetapi mewarisinya daripada Kerajaan BN sebelum itu, kadarnya ialah 66:34

“… saya difahamkan Selangor dapat mencapai (perbelanjaaan mengurus) 66 peratus. 66 dengan 34 (perbelanjaan pembangunan). Ini pencapaian yang baik untuk Selangor, padan (bersesuaian) dengan Selangor tetapi bukan dengan Pahang, jauh sekali dengan Kelantan,” katanya. – Khabar