Sunday 10 November 2013

Syahid Akhirat


… buat Allahyarham Ahmad Rafli Abdul Malek, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP);

yang mati ditembak di depan rumahnya di INDERA MAHKOTA 2, KUANTAN pada petang Ahad, 10 November.

BERSEMADILAH, ARWAH MOHD RAFLI... Puan Rosmahwani (duduk, pakaian warna merah hati), sedang mengaminkan doa selepas jenazah suami disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Bukit Ubi, pada pagi Isnin, 11 November.  


NOTA EDITOR;

Syahid Akhirat – Inilah yang disebut oleh Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Rahman Osman tentang kematian Allahyarham Ahmad Rafli, 49, yang ditembak dua (2) das ke dadanya, pada petang hari minggu, 10 November di perkarangan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan.

Pemergian Allahyarham Ahmad Rafli benar-benar mengejutkan kita. Beliau dikenali sebagai seorang yang tegas khususnya dalam usaha-usaha pembenterasan jenayah syariah dan menurut laporan berita oleh BERNAMA, Mohd Rafli, 49, dipercayai sedang mengendali tiga (3) kes besar berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, gerakan Syiah dan operasi kelab malam.

Beliau meninggalkan isteri, Rosmahwani Abdul Wahab, 41; serta empat anak iaitu Mohd Asyraff, 22, Mohd Abrar, 20, Mohd Amin, 15, dan Mohd Akashah, 12.

‘Al-Fatihah’.  

Berikut antara sedutan laporan berita yang disiarkan petang semalam juga (10 November) oleh agensi berita kebangsaan tersebut;

SOLAT JENAZAH... Oleh kerana ramainya yang datang menziarahi secara berperingkat-peringkat di Masjid Tengku Ampuan Afzan, INDERA MAHKOTA 1; solat jenazah diadakan kira-kira lapan (8) kali. Sebelum itu, jenazah Allahyarham telah dimandi dan dikafankan di masjid ini juga. 


PEJABAT BERNAMA, JALAN BESERAH, KUANTAN“Abang gantunglah langsir,” itu kata-kata terakhir Rosmahwani Abdul Wahab, 41, isteri Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Rafli Abdul Malek kepada arwah sebelum suaminya mati akibat terkena dua (2) das tembakan di rumah mereka di Indera Mahkota 2, dekat sini hari ini.

Menurut Rosmahwani, ketika kejadian mereka berdua sedang melakukan kerja-kerja rumah dan beliau menyuruh arwah menggantung langsir sebelum Mohd Amin memaklumkan ada orang ingin berjumpa bapanya di luar rumah.

“Anak saya ketika itu dekat luar, kemudian memberitahu, ada orang nak jumpa Abah, Ustaz (Mohd Rafli) yang sedang menggantung langsir kemudian keluar untuk menemui orang tersebut.

“Saya dengar orang beri salam dan sempat mendengar Ustaz berkata kepada orang yang ditemuinya itu, ‘tak nak masuk rumah dulu ke,’ sebelum terdengar bunyi dua das tembakan dan anak saya menjerit, ‘Abah kena tembak, Allahuakbar!’” katanya ketika mengimbas kembali kejadian itu kepada pemberita di rumahnya hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa ditembak seorang daripada tiga (3) suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira Aeroback putih.

KDYTM TENGKU PUAN PAHANG TURUT BERSOLAT JENAZAH DAN BERDOA...


PERASAN, KERETA SUSPEK BERLEGAR-LEGAR DI KAWASAN RUMAH

Ketika ditanya sama ada arwah pernah menerima ancaman atau ugutan daripada pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai penguatkuasa JAIP, Rosmahwani berkata, setakat dalam pengetahuannya, Mohd Rafli tidak pernah mendapat sebarang ugutan atau ancaman daripada sesiapa.

“Malah saya dah tanya anak buah beliau sama ada arwah pernah menerima ugutan tetapi merekapun berkata tidak ada,” kata suri rumah itu.

Ditanya sama ada beliau atau arwah mengenali suspek, Rosmahwani menjawab tidak, namun memaklumkan dia perasan kereta yang dinaiki suspek sering berlegar-legar di kawasan perumahan mereka dua-tiga hari kebelakangan ini.

Dalam pada itu, kes berkenaan mendapat perhatian KDYTM Tengku Puan Pahang yang sudi mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di sini lewat petang tadi.

Mohd Rafli, 49, dipercayai sedang mengendali tiga kes besar berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, gerakan Syiah dan operasi kelab malam. 

TITAH-NASIHAT KDYTM TENGKU PUAN KEPADA PUAN ROSMAHWANI... - Khabar