Tuesday 12 November 2013

Menteri Besar sudah pulih daripada serangan jangkitan kuman


… kini sedang berehat, dijangka kembali bertugas minggu depan


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob kini sudah pulih daripada serangan jangkitan kuman, sedang berehat dan dijangka kembali bertugas pada minggu depan.

“Alhamdulillah,” katanya, “… saya telah dikeluarkan dari ICU dan dipindahkan ke wad biasa pada 8 November yang lalu setelah disahkan pulih seperti sediakala.

“Pihak hospital bercadang melepaskan saya pada 10 November yang lalu tetapi saya memilih untuk terus berehat di hospital sehingga hujung minggu ini dan mula bertugas seperti biasa mulai minggu hadapan”.

Perkara ini dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkannya pada kira-kira 3.20 petang, Selasa, 12 November, yang dikirimkan kepada media-massa termasuk media cetak utama dan tabloid, serta media baharu seperti blog, portal berita serta juga ‘facebook’ dan ‘twitter’.

Kenyataan ini dilihat bertepatan ekoran spekulasi liar yang mula tersebar khususnya dalam laman-laman blog, portal berita, ‘facebook’ dan ‘twitter’, mengenai kesihatan pemimpin nombor 1 negeri kita ini.

PUJI SIKAP BERTANGGUNGJAWAB MEDIA ARUS PERDANA

Ini berbeza sama sekali dengan sikap yang lebih bertanggungjawab yang diambil oleh media arus perdana, yang sungguhpun mengetahui tetapi tetap setia menunggu tanpa menyiarkan apa-apa tentangnya sehinggalah kenyataan rasmi dan sahih mengenainya dikeluarkan sepertimana hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau;

“Saya telah dimasukkan ke ICU, Prince Court Medical Centre, KL (milik penuh PETRONAS) pada petang 4 November yang lalu kerana disyaki diserang jangkitan kuman sama ada Leptospirosis atau Melioidosis.

“Serangan bermula semasa saya dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam pada petang 3 November yang lalu.

“Alhamdulillah, saya telah dikeluarkan dari ICU dan dipindahkan ke wad biasa pada 8 November yang lalu setelah disahkan pulih seperti sediakala.

“Pihak hospital bercadang melepaskan saya pada 10 November yang lalu tetapi saya memilih untuk terus berehat di hospital sehingga hujung minggu ini dan mula bertugas seperti biasa mulai minggu hadapan.

“KDYMM Tuanku Sultan dan YAB Perdana Menteri sedia maklum tentang hal ini. Terima kasih.”. – Khabar