Friday 1 November 2013

Menangkan Piala Malaysia sebagai hadiah buat Keluarga DiRaja!!!


… saranan bersemangat Menteri Besar kepada para pemain bolasepak Pahang yang bakal hadapi Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

Menteri Besar juga isytihar cuti peristiwa pada Isnin, 4 November bagi bolehkan penyokong tidak tergocoh-gocoh pulang selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor pada malam Ahad, 3 November itu.   


BERSEMANGAT... Dato' Sri DiRaja Adnan turut menggenggam tangannya tanda beri semangat kepada para pemain Pahang bagi menghadapi final Piala Malaysia 2013, Ahad, 3 November ini. Foto ini dirakam pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar bersama-sama para pemain dan pegawai pasukan negeri serta penyokong 'Elephant Army' pada petang Jumaat, 1 November di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan. 

Kesemua pemain - termasuk pemain-pemain import, Mathias Conti dan Damien Stewart, kelihatan bersemangat bersama-sama ketua eksekutif negeri kita. 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menangkan Piala Malaysia sebagai hadiah kepada Keluarga DiRaja Pahang, saranan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob kepada pemain-pemain bolasepak negeri yang bakal menghadapi Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad, 3 November ini.

“Kurang-kurangnya kita (para pemain) menyembahkan (Piala Malaysia sebagai) hadiah kepada Keluarga DiRaja,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar dengan pemain/pegawai/penyokong pasukan Pahang petang Jumaat, 1 November di sini.

Menurutnya, saranannya itu demikian sementelah Keluarga DiRaja khususnya KDYMM Sultan Pahang, serta anakanda-anakanda – KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan YAM Tengku Muda Pahang, telah banyak mengorbankan wang ringgit sendiri demi pembangunan dan kebaikan pasukan bolasepak negeri ini.

Menjangkakan satu perlawanan yang sengit, dengan margin kemenangan cuma satu-dua gol, beliau turut menyebutkan tentang insentif yang akan diberikan kepada pasukan negeri – daripada pemain, pegawai hinggalah kepada ‘tukang angkat air’ sekalipun, jika Pahang mengungguli Piala Malaysia tersebut.

“Seperti yang saya katakan dalam ucapan tadi, insyaAllah, kalau Pahang mengungguli atau menjuarai Piala Malaysia ini, kita akan timbangkan sesuatu untuk ahli-ahli pasukan Pahang – bukan setakat pemain kesebelasan yang pertama, tetapi juga pemain-pemain simpanan, pegawai-pegawai yang lain.


JENAKA LEGENDA BOLA KITA... Encik Zainal, yang kini terlibat dalam pengurusan pasukan bolasepak negeri; sedang berucap dalam penuh nada jenaka tetapi bermakna, sebagai mewakili Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pada majlis petang Jumaat itu. 


INSENTIF JIKA UNGGULI PIALA MALAYSIA

“Kita akan beri satu-satu bentuk ingatan kepada mereka,” katanya, yang apabila ditanya lagi butirannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata, “Itu kita tengah fikir. Kalau dah kita sebut sekarang ini, bukanlah insentif lagi”.

Ketika diminta mengulas lanjut pengumumannya mengenai cuti peristiwa pada Isnin, 4 November dalam ucapan luar teks 15-minitnya sebelum itu katanya, ia ekoran perbincangan serta atas pertimbangan tertentu.

“Kita telah ambil kira semua termasuk semangat penyokong-penyokong, semangat rakyat negeri Pahang dan yang lebih penting ,untuk kita membolehkan penyokong-penyokong yang pergi menonton di Stadium Shah Alam dapat merancang perjalanan dengan baik, supaya mereka tidak tergocoh-gocoh, terburu-buru balik pada malam yang sama.

“Mungkin mereka boleh bermalam di Shah Alam, di Kuala Lumpur dan pada hari keesokannya, hari Isnin, mereka boleh beransur-ansur untuk balik ke destinasi masing-masing,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan tentang kesan limpahan ekonomi kepada rakyat khususnya golongan penggerai dan peniaga, ekoran meningkatnya minat orangramai terhadap pasukan negeri yang menunjukkan peningkatan mutu dengan kerap memenangi perlawanan yang berlangsung khususnya di Stadium Darul Makmur, dekat sini.


JERSI NO 10 BUAT ADNAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menerima jersi pasukan negeri daripada Pengurus Pasukan, Dato' Che Nasir. Yang turut kelihatan ialah Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato' Johari.  

Selayaknya jersi ini diserahkan kepada Dato' Sri DiRaja Adnan kerana, beliau juga hingga kini, masih seorang pemain bolasepak yang baik termasuk dalam permainan futsal yang menurutnya, semasa 'zamannya dahulu', lebih gemar 'goreng' atau mengelecek bola daripada amalan main sekarang yang lebih tumpukan pada soal-soal tektikal dan teknikal. 


PRIHATIN YAM TENGKU MUDA KEPADA PENGGERAI, PENIAGA TEMPATAN

“Itu kita tak dapat nafikan. Setiap kali ada pertandingan, kita lihat contohnya di Stadium Darul Makmur, maka banyak kesan limpahan yang dapat dinikmati oleh ramai orang – peniaga-peniaga makanan, gerai-gerai, selain daripada itu t-shirt, selepang, ‘muffler’ dapat dijual.

“Saya difahamkan oleh YAM Tengku Muda Pahang, walaupun ada syarikat yang cuba membuat cadangan untuk membekalkan barang-barang ini tapi ini telah ditolak sebab YAM Tengku Muda memikirkan, biarlah penggerai-penggerai, peniaga-peniaga yang lain (yang seduia ada) membuat aktiviti-aktiviti ini dan dapat mereka mencari sikit-sebanyak peluang (ekonomia),” katanya lagi.

Selain para pemain, antara yang turut hadir pada Majlis Ramah Mesar petang Jumaat itu ialah Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Johari Husin; ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif;

Wakil rakyat, Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka); Naib Presiden, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dato’ Akhbar V.V.Aboo; Pengurus Pasukan, Dato’ Che Nasir Salleh; dan, Encik Zainal Abidin Hassan.

BERSAMA-SAMA PENYOKONG 'ELEPHANT ARMY'... Dato' Sri DiRaja Adnan sempat bermesra dengan penyokong serta mencuba bermain dram - peralatan yang akan turut menyertai penyokong untuk memberi sokongan padu kepada pasukan negeri kebanggaan kita. 

Selain Dato' Johari dan Encik Zainal, yang turut hadir dan kelihatan dalam foto ini ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Shafik Fauzan. - Khabar