Sunday 17 November 2013

TPM rasmi Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5 Pahang 2013


… Menteri Besar buat ‘public appearance’ pertamanya selepas serangan jangkitan kuman 4 November lepas.

GIMIK PERASMIAN... Tan Sri Muhyiddin sedang melakukan 'balingan' ke arah pin, sebagai gimik perasmian. Yang turut memerhatikan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan. 

RANCAK BERBUAL, KEDUA-DUA PEMIMPIN NEGARA DAN NEGERI KITA... 


KOLEJ MATRIKULASI PAHANG (KMPh), GAMBANG, KUANTAN – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah merasmikan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-5 Pahang 2013 pada malan Ahad, 17 November di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir mengiringi Tan Sri Muhyiddin pada kejohanan 8-hari yang bermula sejak Jumaat, 15 November dan akan berakhir pada Jumaat ini, 22 November.

Seramai 1,281 atlet dan pegawai mewakili tujuh (7) kontinjen, menyertai kejohanan tersebut. Kontinjen-kontinjen itu ialah Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM); Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM);

Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM); Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM); Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM); Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM); dan, Majlis Sukan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Malaysia (MASISWA).

Para atlet akan bersaing merebuti 91 pingat – samada emas, perak atau gangsa; dalam tujuh (7) acara iaitu bolasepak (lelaki sahaja); olahraga, skuasy, badminton, boling, hoki, dan, renang.

SAMPAIKAN CENDERAMATA... Tan Sri Muhyiddin sedang menyampaikan cenderamata kepada ketua kontinjen pasukan berkenaan, sambil Dato' Sri DiRaja Adnan mengiringinya.

MENAIKKAN BENDERA KEJOHANAN...

RM235 JUTA UNTUK PEMBANGUNAN SUKAN SEKOLAH
     
Ini merupakan kemunculan awam pertama Dato’ Sri DiRaja Adnan sejak mengalami serangan jangkitan kuman dan dirawat di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada Isnin, 4 November.

Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dilaporkan berkata, kementeriannya telah melaksanakan program komprehensif bagi memperkasa pengurusan dan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan di negara ini.

“Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah telah diwujudkan di peringkat kementerian untuk merancang, memantau dan mempergiatkan aktiviti sukan dengan tujuan mencungkil serta mengasah bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan dalam kalangan pelajar.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM235 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 untuk program pembangunan sukan dan menambah baik prasarana sukan sekolah dengan melibatkan 230 projek di seluruh negara,” katanya.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, antara yang turut sama hadir ialah Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan, Dato’ Dr Madinah Mohamad. – Khabar