Monday 25 November 2013

Kaji semula dan tentukan SOP berkesan untuk tangani jangkitan kuman


“Kita jangan tunggu. (Apabila sahaja alami demam) terus dapatkan rawatan. Yang penting, saya dah beritahu Pengarah Kesihatan, SOP di hospital itu sendiri. Ada yang kerana terlewat ‘diagnose’, meninggal,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri akan berbincang dengan beberapa jabatan berkaitan, bagi mengkaji semula serta menentukan Prosedur Amalan Piawaian (SOP) yang berkesan dalam menangani jangkitan-jangkitan kuman di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang mencelah semasa Pengerusi, Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Norul Azali Sulaiman menggulung perbahasan bagi jawatankuasanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri pagi Isnin, 25 November di sini berkata;   

“Saya telah mengalami jangkitan kuman ‘leptospirosis’ dan juga kuman yang disebut, bakteria yang disebut, ‘burkholderia cepacia’. Kalau ‘leptospirosis’ dari kencing tikus, ‘burkholderia cepacia’ ini dari ‘soil and mud’, tanah dan juga lumpur.

“Ekoran daripada ini insyaAllah, Menteri Besar akan memanggil beberapa jabatan penting antara lainnya Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Perhutanan dan pihak berkuasa tempatan – semata untuk kita mengkaji semula dan menentukan SOP dan juga KPI, bagaimana kita boleh menangani jangkitan kuman ini,” katanya.

Dalam celahan kira-kira 5-minitnya, Menteri Besar itu yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak Isnin, 4 November,  dan keluar selepas pulih dan berehat, lebih sedikit seminggu kemudian berkata, kuman-kuman ini adalah sangat berbahaya.

KUMAN DIKESAN SEJAK TAHUN 70-AN, TAPI DILUPAKAN

Sebenarnya beliau berkata, kuman-kuman ini telah dikesan sejak lama iaitu sejak awal tahun 1970-an lagi hinggakan ia dilupakan sehinggalah negara dikejutkan dengan peristiwa yang mengorbankan nyawa di kawasan perkelahan di Lubuk Yu, Maran beberapa tahun lepas.

“Dan ini satu perkara yang kita perlu beri perhatian. Saya dengan takdir Allahnya, bernasib baik kerana dapat rawatan lima (5) pakar pada hari berkenaan saya dimasukkan itu, dan 24 jam pertama adalah sangat kritikal,” katanya.

Menurutnya, kuman atau bakteria yang dimaksudkan, adalah ‘resistant’ (kebal atau boleh bertahan) terhadap kebanyakan antibiotic yang ada dengan hanya penggunaan antibiotik tertentu sahaja yang boleh mengatasinya.

Sebagai contoh katanya, ‘burkholderia cepacia’ sejenis jangkitan kuman yang kebal daripada antibiotik seperti ketiga-tiga – ‘ciprofloxacin’, ‘augmentin’ dan ‘cefuroxime’ tetapi tidak kepada ‘rocephin’.

“Saya ingat masa saya dalam ICU (di Pusat Perubatan Prince Court), saya terdengar pihak doktor telah menyatakan, denggi negatif, dan mereka telah mencucuk, masukkan ubat ‘zithromax’.

DAPATKAN RAWATAN SEGERA SEBAIK-BAIK DEMAM   

“Saya tahu ‘zithromax’ ini sejenis antibiotik, dan kemudian saya dengar ‘rocephin’, ‘rocephin’, ‘rocephin’.

“Sayapun, antara dengar dengan tidak, untuk mengingatkan ‘rocephin’ itu, saya ingatkan ‘josephine’. ‘Josephine’, ‘josephine’, ‘josephine’. Jadi bila saya elok, baharu saya ingat ‘rocephin’,” katanya mengingatkan kembali.

Oleh itulah katanya, beliau meminta semua pihak agar lebih berhati-hati terhadap jangkitan kuman sebegini yang telah menyebabkan beliau ‘fobia sikit’ ekoran pengalaman terkena jangkitan kuman berbahaya itu susulan lawatannya ke daerah-daerah sebelum itu.

“InsyaAllah, Kerajaan (Negeri) akan ambil perhatian yang penuh. Hanya kepada ahli-ahli Dewan, dan pemerhati termasuk ketua-ketua jabatan, ingatlah. Demam sahaja jangan tunggu.

“Kita rasa cukup sejuk, menggigil. ‘Chilly, chilly’. Cili ini lada, pedas tetapi Bahasa Inggeris, ‘chilly’ ini menunjukkan kita sejuklah. Dan orang rasa badan kita panas, rupa-rupanya ‘blood pressure’ tu jatuh merudum, dalam kes saya 60/40.

TERLEWAT ‘DIAGNOSE’ PENYAKIT, BOLEH SEBABKAN KEMATIAN

“Biasanya 60/40 ini saya telah tengok dua-tiga rakan-rakan saya dan termasuk beberapa orang, di hospital ini kalau 40 di bawah tu, itu menuju mati.

“Kita jangan tunggu. (Apabila sahaja alami demam) terus dapatkan rawatan. Yang penting, saya dah beritahu Pengarah Kesihatan, SOP di hospital itu sendiri. Ada yang, kerana terlewat ‘diagnose’, meninggal,” katanya lagi.  

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan betapa pentingnya dalam sesebuah hospital itu sendiri, perlu ada sebuah makmal yang boleh menjalankan ujian serta mengenal pasti penyakit yang dialami dengan segera. – Khabar