Sunday 16 August 2015

“Bekerja(lah) untuk parti kita supaya kita masih diminati oleh orangramai,” pesan Dato’ Sri DiRaja Adnan





GIMIK PERASMIAN... Setelah menekan butang berkenaan, sempurnalah perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota ini. 

Kelihatan, Dato' Sri DiRaja Adnan diiringi oleh Dato' Mustafar Kamal serta kepimpinan-kepimpinan UMNO Bahagian, sedang melihat apa yang tersiar pada skrin tv di depannya.   


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Para pemimpin serta ahli-ahli UMNO disaran supaya menggerakkan jentera parti dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang membolehkan parti ini terus diminati ramai.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang membuat saranan ini ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota lewat pagi Ahad, 16 Ogos di sini berkata;

“Saya minta supaya UMNO Bahagian Indera Mahkota menyusun gerakan di kawasan masing-masing tapi UMNO sahaja kukuh belum satu jaminan untuk kita menang pilihanraya, merampas balik kerusi.

“Saya minta mereka mengatur strategi supaya mendekati orangramai terutamanya yang menghadapi masalah contohnya mungkin ibu tunggal, anak yatim, kemudian tu mereka yang sakit kronik;

“Dekati mereka ini sepanjang masa supaya 13,000 ahli UMNO di Indera Mahkota ini boleh sekurang-kurangnya menambat hati sebahagian besar daripada 65,000 pengundi di Indera Mahkota pada (pilihanraya) masa akan datang”.

TIDAK DI BELAKANG ROSTRUM... Menanggalkan mikrofon daripada tempat pemegangnya di atas rostrum, Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan selesa menyampaikan ucapan perasmian luar teks 34-minitnya dengan memegang sendiri mikrofon tersebut. 

TUGAS KITA UNTUK MENYATU-PADU

Kata-kata ini diulang-cakapnya pada persidangan media yang diadakan sejurus selepas beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota ini, yang diketuai oleh Dato’ Mustafar Kamal Abdul Hamid.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata, beliau telah meminta agar Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang juga Presiden UMNO, diberikan sokongan padu dalam pada beliau menghadapi serta menangani pelbagai kemelut ketika ini.

“Saya dah bagi tahu tadi, peringkat atas, biarlah Perdana Menteri menyelesaikannya. Kita di bawah ni tugas kita ialah untuk menyatu-padu. Bekerja(lah) untuk parti kita supaya kita masih diminati oleh orangramai,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut diminta ulasannya berkaitan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Zahid Hamidi tentang adanya pemimpin dalam kalangan UMNO, yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.   

Sambil mengakui betapa beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, beliau berkata betapa jika apa yang dikatakan itu betul, ia sesuatu yang mendukacitakan sebab ia lebih menunjukkan betapa dalam kalangan UMNOpun, tidak dapat bersama.

DALAM SESI BERFOTO KUMPULAN... 

BUKAN PERKARA BAHARU

“Patut dalam keadaan sekarang ini, kita bersatu menghadapi musuh politik kita. Apa cara tu, kita fikirlah. Tapi kalau orang ni jatuhkan orang ni, orang ni jatuhkan orang ni; bila masa kita nak menghadapi musuh kita?

“Saya tak tahu-menahu tetapi ulasan singkat saya itulah…,” katanya.

Kepada satu lagi soalan, kali ini ditanyakan oleh seorang wartawan akhbar berBahasa Cina - Sin Chew Daily tentang dana politik yang dikatakan telah disalurkan kepada Bahagian-bahagian UMNO pada pilihanraya umum lepas katanya;

“Yang pentingnya, Perdana Menteri telah menyalurkan kepada negeri dan juga bahagian-bahagian, dana politik. Bukan perkara baharu. Tapi masalahnya, duit ni tak menjamin kita menang pilihanraya,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata betapa mengendalikan UMNO adalah juga seperti mengendalikan sebuah Kerajaan sementelah UMNO turut mempunyai bahagian-bahagian serta unit-unitnya yang tertentu.

PARA PERWAKILAN SEKELIAN... 

PERBELANJAAN UNTUK SENGGARA DAN AKTIVITI

Manakala, perbelanjaan harus dikeluarkan untuk kerja-kerja pengurusan dan penyenggaraan pejabat-pejabat parti selain perbelanjaan yang perlu dikeluarkan juga bagi membiayai akitiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“(Pergerakan-pergerakan) Pemuda, Puteri, Wanita (UMNO) membuat gerak kerja melawat kampung-kampung (sambil menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan)  – ini semua perlukan kewangan,” katanya lagi. – Khabar