Sunday 16 August 2015

Elaun sara hidup pelajar tajaan Yayasan Pahang di Mesir dan Jordan naik!


… tanda sikap ambil berat Kerajaan Negeri atas bebanan yang ditanggung pelajar akibat kejatuhan nilai ringgit ketika ini.

Elaun sara hidup di Mesir naik RM3,000, daripada RM6,000 setahun jadi RM9,000; manakala di Jordan naik RM5,000, daripada RM20,000 setahun jadi RM25,000.

ANUGERAH BUAT YANG CEMERLANG... KDYTM Tengku Mahkota Pahang kelihatan sedang menyampaikan anugerah kepada seorang pelajar cemerlang MTNP sambil Dato' Sri DiRaja Adnan menyaksikan. 

Yang turut kelihatan (separuh terlindung) ialah Encik Mahmud.


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Oleh kerana mengambil berat dengan bebanan hidup pelajar-pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) di Mesir dan Jordan akibat daripada kejatuhan nilai ringgit ketika ini;

Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk menaikkan kadar elaun sara hidup mereka –  di Mesir, daripada RM6,000 setahun kepada RM9,000 setahun; atau kenaikan sebanyak RM3,000.

Manakala di Jordan – yang kos hidupnya lebih tinggi berbanding Mesir; daripada RM20,000 setahun kepada RM25,000 setahun; atau kenaikan sebanyak RM5,000.

Khabar gembira ini dipersembah-umumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi YP, pada penghujung ucapan luar teks 17-minitnya sempena Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan, Khatam Hafazan Al-Quran dan Perasmian Program Tafaqquh Fiddin Negeri Pahang malam Ahad, 16 Ogos di sini.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang yang diiringi KDYTM Tengku Puan Pahang, telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis anjuran Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang di bawah YP ini.

MENITAH-TANYA... Baginda kelihatan menitah-tanyakan sesuatu kepada penerima sambil diperhatikan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Encik Mahmud.


JIKA NILAI RINGGIT KEMBALI NAIK?

"Memandangkan ringgit Malaysia telah menjunam sebegitu rupa dan ianya menjadi beban kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di luar negara;

"... maka Yayasan Pahang telah memutuskan pelajar-pelajar di bawah tajaan Yayasan Pahang yang belajar di Mesir akan ditambah elaun RM3,000 untuk setahun," kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang serentak itu terderai tepukan oleh para hadirin.   

"Jika sekarang mereka mendapat RM6,000 setahun maka dijadikan RM9,000 setahun," katanya.

"Bagi pelajar-pelajar tajaan Yayasan Pahang di Jordan, tambahan yang diberikan ialah sebanyak RM5,000. Jika mereka mendapat RM20,000 setahun ianya dijadikan sebanyak RM25,000 setahun," katanya lagi.

Dan beliau menambah-kata, yang disusuli ketawa kecil oleh para hadirin, "Ampun Tuanku. Jika nilai ringgit kembali naik mendadak ke atas maka bantuan (tambahan) ini akan dipotong semula".

TITAH KEBAWAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU... 


SEJARAH PENUBUHAN MTNP

Pada awal persembahan ucapan, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyusul kembali sejarah penubuhan MTNP yang bermula pada tahun 1996, hanyalah merupakan Kelas Tahfiz Al-Quran bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, dibimbing oleh guru-guru Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
 
Selepas itu, menurutnya, Maahad ini berpindah ke  bangunan rumah teres yang disewa dan hanya pada tahun 2006,  ia sekali lagi berpindah ke kampus baharu yang dibangunkan oleh YP di Tanjung Lumpur, dekat sini.

Pada tahun 2013, MTNP telah mengeluarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang pertama menerusi didikan yang bermula daripada Tingkatan 1 hinggalah Tingkatan 5, sepenuhnya di kampus MTNP.

"Ahamdulillah, seramai 33 orang pelajar atau 97 peratus telah mendapat 5A dan ke atas, manakala lima (5) daripadanya atau 15 peratus mendapat straight As’.

"Jika dilihat daripada sudut Gred Purata Sekolah (GPS) pula, MTNP telah mendapat GPS sebanyak 1.45 yang melayakkan Maahad ini berada dalam kedudukan pertama di negeri Pahang.

KEAKRABAN... Kelihatan KDYTM Tengku Mahkota sedang menitah-tanya sesuatu sambil Dato' Sri DiRaja Adnan mendengarnya dengan penuh taat dan tekun.  


MTNP BERADA PADA KEDUDUKAN TERBAIK

"Ia sekaligus meletakkan MTNP berada pada kedudukan terbaik di peringkat kebangsaan," katanya yang disusuli tepukan oleh para hadirin.

Pada tahun lepas (2014) pula, menurutnya, seramai 31 pelajar atau 100 peratus telah mendapat 5A dan ke atas yang mana lima (5) daripadanya atau 16 peratus, mendapat straight As’.

Daripada segi GPS pula, MTNP telah mendapat GPS sebanyak 1.46.
"Pencapaian ini sekaligus melonjakkan lagi nama MTNP di persada dunia pendidikan negara apabila mendapat kedudukan ke-9 di peringkat kebangsaan.

"Ini merupakan pencapaian yang luar biasa dan amat membanggakan untuk tempoh dua (2) tahun berturut-turut di mana kejayaan MTNP ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sekolah cemerlang yang mencapai GPS terbaik bagi keputusan SPM tahun 2014," katanya lagi disusuli tepukan.

KEBERANGKATAN PULANG... Sambil berangkat pulang, KDYTM Tengku Mahkota bersalaman dengan ibubapa yang turut hadir pada Majlis malam Ahad ini. Menyusul di belakang Baginda ialah anakanda lelaki, YAM Tengku Hassanal Ibrahim serta Dato' Sri DiRaja Adnan.


PELAJAR MTNP DAPAT TAWARAN BELAJAR LUAR NEGARA

Beliau juga menyebut betapa bangganya apabila kesemua mereka telah berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian di universiti-universiti tempatan dan luar negara antaranya ke Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan China.

Sehingga kini katanya lagi, MTNP mempunyai seramai 167 alumni tahfiz profesional yang berada di universiti-universiti dalam dan luar negara dan mereka bukan sahaja mengisi bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, dan ekonomi tetapi masih mengekalkan ayat-ayat Al-Quran yang mereka hafaz.

"Yang lebih membanggakan, alumni MTNP yang mengambil pengajian ulum syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir di mana buat julung kalinya, mendapat pangkat mumtaz seramai dua (2) orang yang mewakili pelajar terbaik Malaysia.

"Ini merupakan pencapaian terbaik MTNP di mana mereka akan ditaja dan akan menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi iaitu peringkat doktor falsafah," katanya lagi.

"Seorang pelajar lepasan SPM 2014 pula sedang membuat A-level di Kolej Brighton, United Kingdom bagi menyambung pelajaran ke Oxford atau Cambridge University, serta mendapat tajaan daripada Bank Negara Malaysia.

AMALAN SEPANJANG BULAN RAMADAN

"Ini tentunya memenuhi hasrat Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku sendiri yang pernah bertitah, meminta pelajar-pelajar cemerlang dihantar ke luar negara," kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Mengambil sempena titah Baginda jugalah, yang menitahkan supaya merakyatkan MTNP,  menurut Menteri Besar lagi, beberapa program telah diatur antaranya menghantar pelajar-pelajar yang mahir membaca Al-Quran bertadarus dan menjadi imam di masjid atau surau sekitar Kuantan sepanjang bulan Ramadhan lepas.

Malahan tahun ini katanya, empat (4) orang telah terpilih untuk menabur bakti di Perth dan Melbourne, Australia, manakala dua (2) pelajar perempuan dihantar ke Amerika Syarikat atas urusan yang kira-kira sama. 
MTNP juga menurutnya, sentiasa menganjurkan seminar-seminar dan bengkel-bengkel serta kelas-kelas Al-Quran dan hafazan, dengan bermatlamatkan celik dan mahir Al-Quran.

Terbaharu katanya, MTNP telah mengadakan kelas tahfiz bestari yang dibuka untuk kanak-kanak darjah 4 hingga 6.

PROGRAM TAFAQQUH FIDDIN

Mengenai Program Tafaqquh Fiddin pula, ia merupakan program pensijilan pengajian Islam tiga (3) tahap, bertujuan memberi peluang kepada masyarakat Islam di negeri ini bagi mempelajari dan mendalami pengetahuan berkaitan ilmu agama seperti ilmu tauhid, ilmu feqah, ilmu tasawuf serta al-quran dan tafsirannya.

Buat pada masa ini, program tafaqquh fiddin dijalankan di empat (4) buah masjid iaitu di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 (304 peserta) dan Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota (127 peserta) – kedua-duanya di Kuantan; serta,

Di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan (84 peserta); dan, di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong (50 peserta).

"Program tafaqquh fiddin ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutamanya di daerah Kuantan.

"Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang dengan kerjasama JAIP dan MUIP, akan melaksanakan program ini ke seluruh masjid daerah di negeri Pahang pada masa-masa akan datang, insyaallah," katanya.

Antara yang turut hadir ialah Kerabat-kerabat Bergelar; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Shamsulbahri Ibrahim; Pengurus Besar YP, Encik Mahmud Nawawi; dan, Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Dato’ Zulkifle Al-Hafiz. – Khabar