Tuesday 25 August 2015

MB dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri isytihar harta kepada SPRM



… selain kepada Perdana Menteri selama ini.

“… saya ingat langkah ini boleh menyedarkan sikit-sebanyak kepada masyarakat bahawa Kerajaan Negeri Pahang – Menteri Besar dan Ahli-Ahli Exconya, adalah bersama-sama untuk memerangi rasuah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Ini memperlihatkan ketelusan dan integriti yang wujud dalam kepimpinan Kerajaan Negeri,” antara reaksi segera Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), SPRM, Dato’ Mustafar Ali.

“… keberanian YAB Menteri Besar untuk men‘declare’kan, mengisytiharkan harta adalah satu perkara yang amat luar biasa dan pihak JKMR mengalu-alukan,” kata pula Ahli Panel, JKMR, Dato’ Fauzi Abdul Rahman.   

MELAFAZKAN IKRAR INTEGRITI... Dato' Sri DiRaja Adnan mengetuai acara melafazkan Ikrar Integriti - akujanji untuk sama-sama memerangi rasuah, sambil yang lain turut serta. 
 

HOTEL VISTANA, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari mengumumkan tentang keputusan beliau dan seluruh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negerinya untuk mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keputusan ini dilihat besar apatah pula Kerajaan Negeri pimpinan beliau merupakan yang pertama melakukannya, yang selama ini, pengisytiharaan harta seumpamanya hanya dilakukan kepada Perdana Menteri sahaja.

Dato’ Sri DiRaja Adnan membuat pengumuman mengenai keputusan ini pada persidangan media sempena ‘Program Taklimat & Wacana SPRM Pahang bersama Ahli Parlimen, ADUN dan Senator Negeri Pahang’ pada pagi Selasa, 25 Ogos, di sini.  

“… saya telah berbincang dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya dan YB Setiausaha Kerajaan (Negeri), dan kita mengambil keputusan bahawa Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Negeri), akan mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM.

“Selain kepada pihak Perdana Menteri, begitu juga kepada pihak SPRM; kita akan mulakan. Kita tidak minta pujian (dari) mana-mana. Mungkin kita negeri yang pertama.

IKRAR DARIPADA WAKIL RAKYAT PEMERINTAH DAN PEMBANGKANG... 


KEBERSAMAAN UNTUK PERANGI RASUAH

“Tapi saya ingat, langkah ini boleh menyedarkan sikit-sebanyak kepada masyarakat bahawa Kerajaan Negeri Pahang – Menteri Besar dan Ahli-Ahili Exconya, adalah bersama-sama untuk memerangi rasuah,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Kita akan isytiharkan harta kita yang ada dan mungkin dari masa ke semasa, kalau ada tambahan, pelupusan; kita akan (turut) laporkan kepada pihak SPRM,” katanya pada persidangan media yang turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail;

serta, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Mustafar Ali; Ahli Panel, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Dato’ Fauzi Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen (PKR – Indera Mahkota) yang juga Pengerusi, PKR Pahang; dan, Pengarah SPRM Pahang, Dato’ Zainul Darus.

Kepada soalan wartawan tentang bilakah pengisytiharaan ini akan dilaksanakan, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjawab ringkas, secepat mungkin. Menurutnya, Ahli-ahli MMK Negeri akan dimaklumkan mengenainya pada mesyuarat mingguan MMK, esok, Rabu, 26 Ogos.

“Sayapun telah bisikkan kepada Pengarah SPRM Pahang tadi, berikan saya dalam tempoh dua-tiga minggu, saya akan tunjukkan kepada dia akaun bank saya, senarai harta saya… nak tunjuklah kepada beliau supaya beliau tahu,” katanya lagi.

SERIUS DALAM PERBINCANGAN... Dato' Sri DiRaja Adnan serta Dato' Sri Muhammad Safian dan Dato' Mustafar, sedang dalam perbincangan serius dengan Dato' Fauzi. 
 

PERKARA YANG AMAT LUAR BIASA

Pengumuman ini mendapat reaksi spontan daripada kedua-dua Dato’ Mustafar dan Dato’ Fauzi, yang pada persidangan media sama telah menyatakan betapa mereka mengalu-alukan langkah sepertimana Dato’ Sri DiRaja Adnan umumkan itu.  

“Bagi pihak SPRM tentunya kita menyambut baik langkah yang telah diumumkan tadi,” kata Dato’ Mustafar yang juga pemimpin ketiga tertinggi dalam SPRM selepas Ketua Pesuruhjaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

“Ini memperlihatkan ketelusan dan integriti yang wujud dalam kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya dan menambah, “… perkara ini boleh memperluaskan nanti supaya menentukan komitmen dan juga aspek ketelusan tadi yang saya sebut awal; perkara ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh”.  

“Dan bagi pihak JKMR, saya sepertimana Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM katakan tadi, keberanian YAB Menteri Besar untuk men‘declare’kan, mengisytiharkan harta adalah satu perkara yang amat luar biasa,” kata Dato’ Fauzi pula.

“Pihak JKMR mengalu-alukan, yang kami cukup susah nak lakukan di tempat-tempat lain (tetapi) mudah di sini, Alhamdulillah. Dan ini mungkin jadi dorongan kepada negeri dan juga pusat untuk melakukan yang sedemikian juga,” katanya lagi.  

DALAM SESI BERFOTO KUMPULAN... 
 

‘BURUK’ SANGAT KERAJAAN (NEGERI) INI  

Beliau seterusnya berkata betapa JKMR sukar mendapatkan kerjasama pihak-pihak berkenaan supaya mengisytiharkan harta kepada SPRM selain kepada Perdana Menteri semata-mata.

“Kami cuba nak meyakinkan supaya ‘declare’ kepada SPRM tapi hari ini, Alhamdulillah, (apa yang Menteri Besar umumkan adalah) sebagai contoh yang baik.

“Inilah ‘keburukan’ Kerajaan (Negeri pimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan) yang saya kata ni sebagai seorang pembangkang. Saya pembangkang ini, ‘buruk’ sangat Kerajaan (Negeri) ini,” kata Dato’ Fauzi lagi dalam nada berseloroh.         

Beliau turut mendedahkan betapa dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini, tiada satupun laporan mahupun ‘surat layang’ mengenai kegiatan rasuah yang dilakukan oleh mereka dalam kalangan ‘orang politik’ di negeri ini.

“… tadi saya sebut di atas pentas, bahawasenya, setelah meneliti rekod negeri Pahang, saya berasa sukacita untuk memaklumkan, dalam tempoh beberapa tahun ini, minimum tiga tahun ini, tidak ada satu kespun – bukan nak kata laporan, tetapi ‘even’ surat layang berkenaan dengan rasuah dalam kalangan orang politik, tak ada.

“Saya sebagai orang Pahang (dari) kawasan Indera Mahkota, ‘something that I can be proud of’lah,” katanya.

MERAKYATKAN SPRM DENGAN KERJASAMA RAKYAT JUGA

Berkaitan program hari ini – yang melibatkan sama Ahli-ahli Parlimen, wakil rakyat-wakil rakyat negeri dan Ahli-ahli Dewan Negara negeri ini dari kedua-dua parti pemerintah BN dan pembangkang kata Dato’ Sri Diraja Adnan;

Ia bertujuan untuk membincangkan cara-cara terbaik dan berkesan untuk me‘rakyat’kan SPRM yang berbeza dengan peranan agensi penguatkuasa pada masa-masa lepas, yang tidak mencampuri masyarakat.

“Sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat, bagaimana pentingnya agensi penguatkuasa turun ke bawah dan bekerjasama dengan masyarakat. Kalau SPRM ini sekurang-kurangnya dalam usaha menghapuskan rasuah, kita mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat.

“Di sinilah timbulnya, me‘rakyat’kan SPRM. Pada pandangan saya, me‘rakyat’kan SPRM ini bermaksud, SPRM dengan rakyat mesti bersama-sama berusaha untuk menghapuskan rasuah,” katanya. – Khabar