Sunday 16 August 2015

Perpaduan kaum = Keamanan = Kemakmuran Negara



“… Saya berharap dengan adanya majlis pada hari ini, mengingatkan kita semula supaya kita cinta kepada negara kita, kita menjaga negara kita.

“Dan pada ketika yang sama, janganlah kita lupa untuk menyebarkan kepada anak-anak, pentingnya semangat kemerdekaan ini, pentingnya semangat muhibbah ini supaya kita terus aman-berbahagia di negara kita yang tercinta iaitu Malaysia,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PENYERAHAN BENDERA KEPADA KETUA PESERTA KAYUHAN BASIKAL... Bersempena Kempen Kibar Jalur Gemilang juga, satu acara kayuhan #sehatisejiwa melibatkan 500 peserta yang akan berbasikal sejauh 60 KM antara UIAM ini dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuala Pahang, Pekan; turut dianjurkan. 

Kelihatan, Menteri Besar sedang menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Peserta Kayuhan.Yang turut kelihatan di sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Puan Fairojibanu.
 

PERKARANGAN, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) KAMPUS PERUBATAN, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Perpaduan kaum  merupakan agenda serta prinsip utama demi memastikan keamanan, yang dengan itu dapat memakmurkan lagi negara, kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“Hanya dengan adanya perpaduan kaum baharulah ada keamanan negara. Bila negara sudah aman, baharulah kita boleh memakmurkan lagi negara,” katanya dalam ucapan luar teks 9-minitnya ketika melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri pagi Ahad, 16 Ogos, di sini.

Kempen ini yang diurusetiakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri, adalah bersempena dengan Hari Kemerdekaan ke-58 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.   

“Saya berharap dengan adanya majlis pada hari ini, mengingatkan kita semula supaya kita cinta kepada negara kita, kita menjaga negara kita.

“Dan pada ketika yang sama, janganlah kita lupa untuk menyebarkan kepada anak-anak, pentingnya semangat kemerdekaan ini, pentingnya semangat muhibbah ini supaya kita terus aman-berbahagia di negara kita yang tercinta iaitu Malaysia,” katanya lagi.

CUBA 'TRY'... Dato' Sri DiRaja Adnan mengambil kesempatan sebelum pelepasan, menguji basikal yang bakal ditunggangi oleh Dato' Shafik Fauzan (berbaju hijau lengkap dengan 'headgear'), yang akan turut menyertai kayuhan sejauh 60 KM ini.
 

CINTA KEPADA NEGARA IALAH SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN

Beliau seterusnya menyebut tentang peri pentingnya usaha bagi menerapkan semangat cintakan negara dan tanahair, dengan memetik kata-kata ulama – ‘Hubbul Watan Minal Iman’ atau bermaksud, cinta kepada negara ialah sebahagian daripada iman.

Jika tiada kecintaan kepada negara katanya, negara akan mudah dijajah oleh musuh yang menyebabkan kuasa mengendalikan pemerintahan negara diambil alih oleh pihak berkenaan.  

“Kita bayangkan negara ini dijajah oleh musuh, bukan kita lagi mengendalikan pemerintahan sebagai contoh; apakah yang akan berlaku? Yang ini sepatutnya kita fikirkan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Lanjutan itu, beliau meminta agar rakyat dapat menghayati semula maksud sebenar disebalik kecintaan kepada negara termasuk menyerapkan semangat itu ke dalam jiwa anak-anak sekelian.  

Beliau juga menyarankan agar nilai-nilai murni seperti semangat bergotong-royong dan muhibbah antara pelbagai kaum – Melayu, Cina dan India, yang pernah diamalkan ketika awal-awal kemerdekaan seterusnya tertubuhnya negara Malaysia, dapat diteruskan.

JALUR GEMILANG BUAT YANG BUKAN PARTI PEMERINTAH... Bersempena Kempen Kibar Jalur Gemilang ini, antara acara yang mengisinya ialah penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat negeri dan Parlimen dari parti pembangkang sepertimana Dato' Fauzi (kiri) ini. 

Kelihatan begitu mesranya kedua-dua - Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Fauzi.
 

BENDERA – TANDA KEDAULATAN NEGARA

Yang menerusi pengamalannya – sejak negara dipimpin oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, disusuli kemudiannya oleh Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan kini, Dato’ Sri Najib Tun Razak;

“… kita (rakyat-jelata pelbagai kaum) telah dapat hidup aman-makmur, menjalankan kegiatan masing-masing untuk memakmurkan diri kita disamping memakmurkan negara kita,” katanya.

Dalam ucapan ringkasnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas mengenai pentingnya elemen bendera kepada sesebuah negara dengan mengambil contoh bagaimana bendera atau panji-panji, sentiasa dipertahankan oleh negara-negara berkenaan.

Oleh pentingnya bendera atau panji-panji ini, mereka yang diamanahkan untuk memegang dan menjaganya termasuk dalam peperangan pada masa lampau katanya, sanggup bergadai nyawa demi mempertahankannya.

“Sedangkan, ia hanyalah sehelai kain tetapi membawa makna – itulah wakil ataupun tanda (kedaulatan) negara kita,” katanya lagi.

KEJUTAN DENGAN MEMANDU 'MORRIS MINOR' LAMA MILIK SENDIRI... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang memandu pulang, dengan Dato' Sharifuddin sebagai penumpang di sebelahnya; selepas berakhirnya Kempen Kibar Jalur Gemilang pagi Hari Minggu ini. 

Sebelum itu, beliau telah membuat kejutan setelah tiba di perkarangan universiti ini dengan memandu sendiri kereta 'antik' ini. Laluan yang diambil ialah dari kediaman di Kubang Buaya-Semambu-Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dan ke sini.    


BOLEH DIBILANG DENGAN JARI

 Di sebalik pentingnya bendera kepada sesebuah negara, beliau menyatakan kekecewaannya kerana sambutan rakyat kepada saranan mengibarkan bendera Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan di negara ini, tidak memberangsangkan.   

“… kereta yang mengibarklan Jalur Gemilangpun boleh dibilang dengan jari. Rumah-rumahpun begitu juga. Premis-premis perniagaan - kalau Majlis Perbandaran Kuantan tidak menggunakan kuasanya memaksa (memasang) bendera (di premis-premis mereka), ‘confirm’ tak ada (kibaran) Jalur Gemilang.

“Semangat itu nipis. Dan ini sepatutnya kita hapuskan dan sempena dengan sambutan (kibar) Jalur Gemilang ini, kita (hendaklah) letakkan balik semangat yang baik dalam diri kita dan kita cuba semaikan kepada anak-anak termasuklah anak-anak sekolah (dan) di tadika-tadika,” tegasnya.

Yang turut hadir ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri; Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar;

Ketua Hakim Syarie, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Kapt (B) Johari Hussein dan Dato’ Norol Azali Sulaiman; wakil rakyat Parlimen (PKR – Indera Mahkota), Dato’ Fauzi Abdul Rahman;

Ketua Polis Negeri, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; wakil rakyat-wakil rakyat negeri dari parti-parti pembangkang PAS dan DAP; Pengarah, JPNIN Negeri, Puan Fairojibanu Zainal Abidin; serta, ketua jabatan-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar