Monday 17 August 2015

MB mahu jumpa pemandu-pemandu lori bauksit pula!


… satu lagi usaha yang tidak kenal lelah ataupun putus-asa oleh Kerajaan Negeri dalam menangani gejala pengusahaan mineral bauksit.

MEMERIKSA SAMPEL... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Wan Junaidi serta ahli-ahli rombongan termasuk Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Ir Mohd Soffi Abdul Razak dan Dato' Norol Azali Sulaiman; dan, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato' Azizan Ahmad, sedang melihat sampel bahan mineral bauksit yang dipamerkan semasa meninjau ke tapak yang diusahakan oleh KotaSAS.  


BILIK MESYUARAT, TINGKAT 7, BANGUNAN LEMBAGA PELABUHAN KUANTAN, TANJUNG GELANG, KUANTAN – “Saya akan panggil semua ‘lorry drivers’.

“Dulu kita panggil kontraktor, kita panggil ‘licence holder’lah – MOL ‘holder’lah, PML ‘holder’lah; semua kita panggil (pada pertemuan serta perbincangan bagi mengatasi gejala yang diakibatkan oleh pengusahaan bauksit).

“Langkah terakhir ni, saya nak panggil semua pemandu lori (pada pertemuan serupa). Kalau (ada) 1,000 (pemandu lori bauksit itu), 1,000 kita nak panggil. Kalau 2,000, 2,000 kita nak panggil.

“Saya nak bagi dia orang penerangan dan amaran, itu sahaja,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media bersama-sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar petang Isnin, 17 Ogos, di sini.

Dato’ Sri Wan Junaidi tiba di Kuantan pagi Isnin ini, terus menghadiri taklimat mengenai bauksit oleh ketiga-tiga jabatan berkaitan – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri, serta, Jabatan Alam Sekitar Negeri di Bilik Gerakan, Tingkat 7, Wisma Sri Pahang;

MENDATAR, KEMAS DAN LEBIH DISIPLIN... Berbeza dengan lombong-lombong bauksit lain khususnya yang diuasahakan secara haram teruatamanya di kawasan Bukit Goh berhampiran - dengan berlakunya pengorekan yang dalam semata-mata untuk mendapatkan jumlah tanah bauksit yang banyak; apa yang dilakukan di KotaSAS ini kelihatan lebih teratur dan mendatar, tanpa berlekuk-lekuk. 

Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Wan Junaidi kelihatan lebih lega melihatkan keadaan di tapak lombong bauksit milik KotaSAS ini. 
 

MAHU ‘PRESCRIBE’ JENIS LORI YANG BOLEH DIGUNAKAN

Sebelum bersama-sama Dato’ Sri DiRaja Adnan menaiki bas panjang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, meninjau tapak-tapak lombong bauksit di Bukit Goh termasuk lombong yang diusahakan secara lebih disiplin – kurang debu, oleh pemaju Bandar KotaSAS yang berhampiran.

Termasuk yang dilawati ialah tapak-tapak ‘stockpile’ bahan mineral itu di dalam kawasan Pelabuhan Kuantan ini, sementara menunggu masa untuk dieksport menerusi pengangkutan air ke Negara China.  

Pada persidangan media sama, Dato’ Sri Wan Junaidi turut memberikan pandangan-pandangannya tentang gejala bauksit serta betapa ianya harus dibendung bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih besar.

Dan beliau turut menyentuh tentang aspek pengangkutan bahan-bahan mineral berkenaan – yang merupakan punca utama kepada berlakunya pencemaran udara dan alam, khususnya di kawasan-kawasan sekitar dan laluan-laluan jalan menuju ke Pelabuhan ini.  

“Soal pengangkutan ni, kita nak ‘prescribe’ jenis lori yang boleh dipakai - lori yang tertutup, lori yang tidak boleh mengeluarkan lagi habuk dan pula muatan yang (yang dibawa) tidak berlebihan.

BERTEMU MEDIA... 


PERLU BINCANG DENGAN SPAD

“Kita nak bincang dengan pihak SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sebab ini di luar bidangkuasa sama ada MB ataupun Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar,” katanya.

“Jadi kita akan berbincang dengan pihak SPAD dan saya balik ini, KSU (Ketua Setiausaha kementeriannya) dah ambil kira dan KSU akan bincang dengan pihak SPAD untuk macam mana merangka, jenis mana lori yang (boleh digunakan) supaya lori itu tidak mendatangkan kesan (negatif kepada) alam sekitar,” katanya lagi.

Pun begitu, beliau memuji pemaju bandar KotaSAS yang menurutnya, telah menjalankan kerja-kerja perlombongan dan pengangkutan khususnya, dengan lebih baik berbanding yang lain.

“Kita telah melihat operasi yang telah dibuat oleh KotaSAS. Kita dapati bahawa, pembersihan lori sebelum keluar dari  (tapak) ‘stockpiling’ dan kawasan perlombongan itu, adalah cukup baik dan tidak mendatangkan kekotoran dan juga debu di jalanraya.

“Saya cukup yakin, mungkin ada satu-dua perkara yang perlu diperbaiki khususnya pembersihan lori apabila ia keluar dari tapak lombong dan tidak bawa tanah-tanah merah ke luar.

“Kalau lori yang kita fikirkan patut digunapakai untuk ini – tertutup dan tidak boleh bawa muatan dengan berlebihan; saya cukup yakin (gejala) ini boleh dikawal dengan sebaik mungkin,” katanya. – Khabar