Friday 28 August 2015

Demi kepentingan negara, kata Menteri Besar



Penyaluran pertama, 500,000 meter padu air mentah dari Pahang ke Selangor dilaksanakan Isnin lepas demi mengatasi masalah kekurangan air mentah di negeri itu.

Ini dilakukan, biarpun belum siap sepenuhnya infrastruktur di bawah Projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS) termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 di sebelah Selangor, yang sering tertangguh akibat karenah-karenah politik.   

PERARAKAN MASUK KONTINJEN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA... Diapit sebelah kanannya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail dan sebelah kirinya, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Abu Bakar Harun yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Perbarisan dan Perarakan sempena Hari Kebangsaan 2015 peringkat Negeri; 

Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan melambaikan tangannya kepada anggota-anggota kontinjen daripada ATM ini.   


PADANG KEMUNTING, KUANTAN – Demi kepentingan negara kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, Pahang telah menyalurkan bekalan pertama air mentahnya ke Selangor, bagi memenuhi keperluan air yang mendesak ketika ini di negeri itu.

Ini dilakukan, biarpun belum siap sepenuhnya beberapa komponen utama infrastruktur di bawah Projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS) termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 di sebelah Selangor, yang sering tertangguh akibat karenah-karenah politik.   

“Ini bukan soal kebajikan. Ini soal kepentingan negara. Kepentingan negara perlu diutamakan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan ketika ditemui wartawan semasa beliau hadir menyaksikan raptai perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri pada pagi Jumaat, 28 Ogos, di sini.

Beliau telah diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik seorang Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor sebagai berkata betapa negeri itu telahpun menerima air mentah sebanyak 500 juta liter atau 500,000 meter padu dari Pahang, Isnin, 24 Ogos lepas.

Air mentah tersebut diperolehi dari Sungai Semantan di Pahang, melalui terowong bawah tanah sejauh kira-kira 45 KM di bawah Karak, seterusnya memasuki sempadan Selangor dan mengalir ke Sungai Langat di sana.

KATA-KATA SEMANGAT SERTA PENGHARGAANNYA BUAT SEMUA YANG TERLIBAT... 
 

PAHANG AKAN DAPAT CUMA RM50,000 DARIPADA PEMBEKALAN PERTAMA INI

Ia dikatakan sebagai langkah yang perlu dilakukan bagi mengisi kembali Empangan Sungai Langat yang telah menurun kandungan airnya sehingga 44.24 peratus  

Menurut laporan akhbar yang sama, buat pertama kalinya air dari Sungai Semantan dipam pada pukul 10.16 malam Isnin tersebut, mengalami proses penyaluran dan masuk ke dalam terowong bawah tanah seterusnya memasuki Sungai Langat pada pukul 8.30 pagi Selasa, 25 Ogos.

“Bagi mengoptimumkan kemudahan PPAMPS sedia ada dan meningkatkan kebolehdapatan sumber air di Lembangan Langat, penyaluran awal sebanyak 500 juta liter telah dilaksanakan.

“Caj sebanyak RM50,000 atau 10 sen bagi setiap meter padu yang disalur akan dibayar oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pahang sebagaimana perjanjian yang ditandatangani sebelum ini, ” akhbar tersebut memetik Ahli Exco berkenaan sebagai berkata.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, perbincangan telahpun diadakan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri berhubung dengan penyaluran bekalan air mentah pertama ke negeri jiran itu.

LAUNGAN BERSAMA - MERDEKA!... 
 

JANGAN KETEPIKAN KEPENTINGAN RAKYAT

Sebelum inipun, semasa awal perbincangan bagi pelaksanaan PPAMPS katanya, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan betapa pentingnya projek ini dan betapa Selangor bakal mengalami masalah bekalan air bermula tahun 2014 lagi.

“Itu sebab saya berharap, tidak adalah mana-mana pihak cuba untuk  mengenepikan kepentingan rakyat. Eloklah kita teruskan projek ini. Dan buat setakat inipun, mengikut perjanjiannya, Pahang ‘charge’ hanya 10 sen ‘per cubic metre’. Murah sangat!” katanya.

Ekoran penyaluran pertama bekalan air mentah sebanyak 500 juta liter atau kira-kira 500,000 meter padu pada Isnin lepas itu, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan; “… kita telah (mula) melaksanakan tanggungjawab kita.

“Sebab, tujuan kita untuk membantu Selangor bagi  mencukupkan bekalan air. Bukan sebab politik”.

Kepada soalan wartawan tentang semakan semula pada kadar yang dianggap rendah itu katanya, memang terdapat dalam perjanjian untuk menyemak semula kadar tersebut setiap lima (5) tahun.

'LONG NAN' MENUNJUK AJAR, ANAK-ANAK KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang memberikan ajar dan kata-kata semangat agar anak-anak serta remaja-remaja ini, dapat melakukan persembahan mereka dengan lebih baik lagi.


‘A MATTER OF COURSE’

“Itu perkara, orang putih kata, ‘that will become a matter of course. Matter of course’nya, ia secara otomatik akan terjadi begitu. Setiap sampai satu masa, satu masa (dalam tempoh lima tahun, kadar berkenaan boleh) di‘review’.

“Lima (5) tahun dari sekaranglah, sebab baharu ini dilaksanakan. Takkan masa air tak mengalirpun kita kira juga,” katanya, merujuk kepada perjanjian itu yang ditanda tangani oleh kedua-dua Kerajaan Negeri – Pahang dan Selangor, pada tahun 2007 lagi.

Menurut perjanjian yang sama – setelah seluruh komponen PPAMPS bernilai RM3,900 juta ini siap sepenuhnya, Pahang akan berupaya menyalurkan air mentah kira-kira 1,890 juta liter sehari (JLH) atau bersamaan 1.89 juta meter padu sehari ke Selangor. 

Daripada segi pendapatan - dengan kadar cuma 10 sen bagi semeter padu, Pahang bakal menerima kira-kira RM69 juta setahun apabila seluruh PPAMPS terlaksana sepenuhnya, yang dijangkakan menjelang tahun 2017. 

(Perkiraannya; 1,890,000 meter padu sehari X 10 sen semeter padu = RM189,00 sehari X 365 hari = RM68.985 juta setahun atau kira-kira RM69 juta setahun). 

TETAP TAK JEMU LAYANI MEDIA... Sungguhpun panas oleh terik matahari pagi Jumaat pada raptai perbarisan dan perarakan ini, Dato' Sri DiRaja Adnan tetap melayani permintaan wartawan untuk berpersidangan media dan kali ini, soalan lebih menjurus tentang pembekalan pertama bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor. – Khabar