Wednesday 5 August 2015

Tunggu hasil siasatan AELB!



… tentang kemungkinan limpahan sisa bauksit ke dalam sungai dan laut berhampiran Bukit Pengorak di Gebeng, beracun.

AELB telahpun datang pada 3 Ogos lepas, mengambil sampel-sampel air dan tanah, yang  dijangka memperolehi keputusannya dalam tempoh sebulan.

“… kepada saya, soal mengeluarkan bauksit ini – siapa untung, siapa rugi, itu mustahak. Tetapi, yang lebih mustahak ialah kesan kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat, orangramai,” tegas Menteri Besar.

MENJAMAH SAMBIL BERBUAL DENGAN PEMANDU LORI BAUKSIT... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bersahaja berbual-bual dengan dua (2) orang pemandu lori bauksit ini, semasa singgah ke sebuah gerai tepi jalan di laluan ke Bukit Goh ini. 

Sambil menjamah makanan serta mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh kedua-duanya, Dato' Sri DiRaja Adnan turut menasihatkan mereka serta sampaikan juga nasihat kepada rakan-rakan mereka yang lain supaya mematuhi peraturan terutamanya tidak berlumba-lumba mengejar 'trip' hingga membahayakan nyawa pengguna jalan yang lain. 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta orangramai bersabar menunggu hasil siasatan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) berkaitan dengan kemungkinan kandungan air di Sungai Pengorak dan perairan sekitar Pantai Pengorak di Gebeng dekat sini, beracun alibat limpahan sisa bauksit.

Menurutnya, pegawai dari lembaga tersebut yang beribu pejabat di Dengkil, Selangor, telah datang pada 3 Ogos lepas, bagi mengutip sampel-sampel air dan tanah di kedua-dua lokasi berkenaan.

Dan beliau dimaklumkan, lembaga tersebut memerlukan tempoh sebulan untuk memperolehi keputusan daripadanya – sama ada beracun atau tidak, kandungan air di sana.

“Semuanya akan bergantung kepada keputusan berkenaan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media petang Rabu, 5 Ogos, di sini, sebaik-baik kembali daripada mengetuai Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan berkenaan, melawat-tinjau beberapa lokasi ‘panas’ membabitkan pengeluaran dan pengangkutan bauksit di sekitar Bukit Goh, dekat sini.

“Mungkin akan timbul soalan, bertanya – kalau (hasil siasatan oleh AELB itu nanti) negatif macam mana? Kalau positif macam mana? Kita tunggu dulu,” tegasnya, sambil mengungkapkan ‘idiom’, “we’ll cross the bridge when we come to it”.

PERBINCANGAN SERIUS DI TAPAK... Berlatar-belakangkan bangunan sekolah - SK RTP Bukit Goh, yang benar-benar bersebelahan laluan masuk ke tapak pengusahaan bauksit; 

Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan serius dalam perbincangan dengan para pegawai termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail (separuh terlindung); dan, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Tanah dan Galian Negeri, Dato' Nazri Abu Bakar (sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan). 


KALAU NEGARA KUKU BESI…

“… kepada saya, soal mengeluarkan bauksit ini – siapa untung, siapa rugi, itu mustahak. Tetapi, yang lebih mustahak ialah kesan kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat, orangramai,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau seterusnya mengulangi apa yang telah disebutnya sebelum ini mengenai sikap tidak bertanggungjawab pengeluar-pengeluar bauksit termasuk yang mengendalikan pengangkutannya untuk dieksport ke Negara China menerusi Pelabuhan Kuantan, dekat sini.

Sepatutnya katanya, lori-lori pengangkut bauksit pastikan muatan mereka ditutupi kemas dengan lapisan kanvas manakala tayar-tayar disembur dan dicuci bersih, sebelum memasuki laluan awam menuju ke pelabuhan berkenaan.

Pemandu-pemandu pula, khususnya yang sudah memunggah muatan katanya, tidak perlu berlumba-lumba di atas jalan hingga membahayakan nyawa pengguna jalan yang lain, hanya untuk mendapat ‘trip’ yang banyak lalu pendapatan lebih, dalam kerja-kerja pengangkutan tersebut.  

“Ha, ini masalah. Yalah, kita bukan negara autokratik, kita negara demokratik. Kalau negara yang kuku besi, segala yang ada lori di tepi jalan tu, adalah tindakan-tindakan tertentu yang dibuatnya. Tetapi, (kita) tidak begitu,” katanya.

TINJAUAN KE TAPAK...Selain Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, yang turut menyertai seperti yang kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Muhammad Safian (empat dari kiri); Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Shamsulbahri Ibrahim (enam dari kanan); serta, Ketua Polis Negeri, Dato' Sri Sharifuddin Abdul Ghani (kiri sekali). 
 

KUTIPAN ROYALTI CUMA RM37 JUTA

Beliau juga berkata betapa Kerajaan tidak boleh mengambil langkah drastik untuk terus membatalkan atau mengharamkan aktiviti bauksit keseluruhannya kerana ia juga perlu adil kepada mereka yang memiliki tanah yang ada kandungan bauksit sepertimana di Rancangan Tanah Felda Bukit Goh.

Kepada Kerajaan Negeri menurutnya, pengusahaan bauksit tidak memberikan pulangan lumayan kepadanya, yang pada tahun ini, setakat akhir bulan lepas (Julai), kutipan royalti yang diperolehinya cuma kira-kira RM37 juta.

Ini berdasarkan kadar royalti cuma lima (5) peratus yang dikenakan ke atas hasil pengeluaran bahan mineral tersebut, setahun.

“(Sebaliknya) mereka (pengusaha-pengusaha bauksit) membuat keruntungan, beratus-ratus juta (ringgit).

“Memang daripada segi ini, tak berbaloi. Tetapi, Kerajaan Negeri sedang menyemak kadar ini. Mungkin patut naikkan kadar royalti? Kita akan naikkan. Kalau 10-20 percent, (boleh) tahan sikit, ” katanya.

WAJAH SEORANG PEMIMPIN YANG TEGAS... Inilah 'close-up' wajah tegas namun rasional lagi adil, Dato' Sri DiRaja Adnan; semasa persidangan media sekembali daripada melawat-tinjau di sekitar Bukit Goh, pada tengah hari Rabu.
 

MENTERI BAHARU AKAN LAWAT TAPAK BAUKSIT

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga menyebut tentang jadual kedatangan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk meninjau kesan industri bauksit di negeri ini, pada 10 Ogos ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan, Kerajaan Persekutuan dapat turut membantu Kerajaan Negeri sebagaimana kerja-kerja menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang dilakukan di Cameron Highlands.

“… dengan kedatangan Menteri esok (10 Ogos), (mungkin) ada langkah-langkah tertentu yang akan diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu Kerajaan Negeri menangani masalah bauksit,” katanya.

“Mudah-mudahan, Menteri akan bawa kepada kabinet dan kita boleh buat sesuatu pula untuk membantu meringankan beban, penderitaan yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri (berkaitan dengan gejala yang ditimbulkan oleh pengusaha-hasilan bauksit) ,” katanya lagi. – Khabar