Saturday 22 August 2015

Tiga (3) juta ahli UMNO sahaja tidak memungkinkan kemenangan pada pilihanraya!



 “Maka, apakah ikhtiar kita (bagi memastikan) tiga (3) juta ini boleh pula mempengaruhi 13 juta pengundi yang ada, untuk menyebelahi kita?” tanya Dato’ Sri DiRaja Adnan



LAMBAIAN MESRA... Dengan wajah ceria dan kemesraan yang ditunjukkan serta terjalin sesama pemimpin kita; tentu dapat menjadi antara elemen pemikat hati rakyat-jelata di luar sana, kepada parti UMNO kita. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Shafie; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Zaini (kiri sekali) dan Dato' Sri Shahiruddin (kanan sekali, separuh terlindung).  


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Ahli-ahli UMNO seluruh negara diingatkan betapa keahlian mereka seramai tiga (3) juta semata-mata, tidak memadai untuk menjamin kemenangan parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum.

Sebaliknya, usaha keras dituntut daripada setiap mereka bagi memastikan gerak-kerja yang dirancang dan dilaksanakan dapat memikat hati rakyat khususnya para pengundi, untuk mengundi parti dan BN kelak.

Inilah antara penekanan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong yang disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO Dato’ Sri Shafie Apdal petang Sabtu, 22 Ogos, di sini.

“Kita tahu keadaan sangat payah sekarang ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO; Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri; serta, Ketua UMNO Bahagian ini.

“Saya telahpun menyatakan dalam ucapan dasar saya (pagi) tadi, supaya kita mengukuhkan parti dan kita kena ingat, tiga (3) juta ahli UMNO sahaja tidak memungkinkan kita menang pilihanraya.

DALAM PENYAMPAIAN UCAPAN LUAR TEKS 14-MINITNYA... Sambil Dato' Sri DiRaja Adnan berucap, yang lain tekun mendengarnya sepertimana kedua-dua Dato' Sri Shafie dan Dato' Sri Shahiruddin (kanan sekali).

PERLU ‘ENGAGE’ DENGAN SEMUA ORANG

“Maka, apakah ikhtiar kita (bagi memastikan) tiga (3) juta ini boleh pula mempengaruhi 13 juta pengundi yang ada, untuk menyebelahi kita?” tanya beliau dalam ucapan luar teks 14-minitnya pada majlis perasmian ini.

Sehubungan itu, beliau menyebut tentang pentingnya bagi ahli-ahli parti – peringkat Bahagian mahupun Cawangan, supaya sentiasa prihatin, mengambil tahu serta cakna terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.

“… kita kena ‘engage’ (dengan) semua orang – orang sakit, orang susah, anak yatim, bapa tunggal, ibu tunggal; kesemua sekali kita mesti ‘engage’. Kita pergi tengok – yang sakit terlantar, sakit kronik. Ini sahaja cara,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu ahli-ahli UMNO supaya tetap praktikal, dengan sentiasa sedar betapa soal ‘angka’ dan ‘nombor’ turut penting demi memenangi kerusi-kerusi pilihanraya yang dipertandingkan.

“… faktor yang kita kena fikir (juga) ialah (tentang) angka dan nombor.

“Untuk kita menang pilihanraya, kita mesti menang banyak kerusi. Untuk menang banyak kerusi, kita mesti tawan hati pengundi. Untuk tawan hati pengundi, kita kena tunjuk bahawa kita adalah sebahagian daripada mereka dan kita ambil tahu hal mereka,” katanya lagi.

CENDERAHATI BUAT PERASMI... 

AHLI UMNO YANG BERJAYA PERLU BANTU YANG MEMERLUKAN

Lanjutan itu, beliau menyarankan agar ahli-ahli UMNO khususnya yang berjaya dalam perniagaan – hasil perjuangan parti serta bantuan yang diperolehi daripada Kerajaan BN, supaya melaksanakan tanggungjawab sosial dengan membantu golongan yang memerlukan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.   

“Kalau mereka ini (golongan memerlujkan di kawasan-kawasan luar Bandar) dibantu, kita tunjukkan kita ambil tahu hal mereka; dengan sendirinya mereka terpikat.

“Bila hati telah terpikat maka dengan sendirinya kalau dia tengok kita ini sebagai manusia biasa - ahli UMNO, pemimpin UMNIO; maka secara otomatik, mereka juga akan suka kepada UMNO,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau seterusnya mengulangi kenyataan sokongan penuh UMNO Bahagian ini terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Razak, yang juga Presiden parti; yang kini berusaha gigih untuk menyelesaikan masalah yang melanda sekarang.

Pada awal ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengalu-alukan kehadiran Dato’ Sri Shafie disebalik beliau tidak lagi memegang jawatan dalam kabinet Dato’ Sri Mohd Najib.   

PARA PERWAKILAN SERTA TETAMU YANG TURUT HADIR... Antara yang turut kelihatan ialah Dato' Azhar; Supt Mohammad Mansor; dan, Encik Mohammad Shahid (barisan depan, masing-masing tujuh (7), enam (6) dan lima (5) dari kanan). 


TURUN-NAIK, DATANG-PERGI; PERKARA BIASA DALAM POLITIK

“… bagi seorang pejuang, kita boleh asingkan kedudukan dalam kabinet, kedudukan dalam parti dan kedudukan dalam masyarakat. Hakikatnya ialah, Dato’ Sri Shafie masih lagi Naib Presiden UMNO begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih lagi Timbalan Presiden UMNO.

“Dan saya percaya, semua kita ahli-ahli UMNO menghormati keadaan ini. Turun-naik, datang-pergi; (merupakan) perkara biasa dalam politik,” katanya.

Selain Dato’ Sri Shafie – yang kemudian Dato’ Sri DiRaja Adnan sendiri menyilakannya untuk membuat ucapan perasmian dan beliau menyampaikannya juga secara luar teks selama 29-minit;

Antara yang turut hadir ialah ahli Exco Kerajaan Negeri Dato’ Sri Shahiruddin Ab. Moin yang mewakili Badan Perhubungan UMNO; dan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian ini, Dato’ Zaini Salleh;

serta, tetamu jemputan antaranya ialah wakil rakyat negeri, Dato’ Abdul Aziz Kiram (BN – Batu Talam); Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Bentong, Encik Mohammad Shahid Ismail; dan, Ketua Polis Bentong, Supt Mohammad Mansor Mohammad Nor. – Khabar