Alamaya, INDERA
MAHKOTA 5, KUANTAN
– Wira tak didendang. Inilah frasa tepat bagi merujuk peranan berkesan namun
secara diam-diam ubi oleh Unit
Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri,
dalam membanteras gejala penerokaan tanah secara haram di negeri ini.
Dan
Pahang ialah satu-satunya negeri menubuhkan unit bersepadu ini, berupa gabungan
keanggotaan beberapa jabatan dan agensi penguat kuasa negeri termasuk Pejabat
Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Berpedomankan
ketegasan dan political will tinggi Menteri
Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail susulan suasana sosiopolitik negeri yang
mengizinkan; telah menjadi daya penggalak kepada UPNP menjayakan misinya.
Pedoman
ini menurut Pengarah UPNP, Encik Ahmad Rizal Ali penting, membuat kesemua 164 pegawai
penguat kuasa beliau berasa selesa dalam melaksanakan tugas mereka tanpa gentar
atau memihak (fear nor favour).
Apatah
lagi apabila ada kesedaran awam tentang pengaruh besar UPNP lalu mampu
melancarkan lagi operasi mereka. Encik Ahmad Rizal memberi contoh pada satu
operasi hendak dijalankan, telah cuba dihalang oleh pihak berpengaruh di
kawasan berkenaan.
REKOD KEJAYAAN/KEBERKESANAN
UPNP
“Tapi, bila
pegawai penguat kuasa kami sebut mereka dari UPNP, pihak terbabitpun berlembut, mungkin tahu UPNP dapat sokongan kuat
Menteri Besar yang terbukti konsisten tegasnya,” katanya.
Antara
kejayaan utama UPNP ialah pada November 2019 di bawah Ops Gading di Cameron
Highlands termasuk Sungai Ichat, membabitkan kawasan kira-kira 2,258 hektar
atau bersamaan hampir 3,000 padang bolasepak yang daripadanya, 84 peratus
berjaya diambil tindakan.
Hasilnya,
Ops Gading – yang turut disertai jabatan dan agensi penguat kuasa lain; diiktiraf
berjaya. Di Sungai Ichat sendiri, air sungainya yang tercemar teruk tahap 4
akibat gejala penerokaan tanah haram tersebut, telah pulih sepenuhnya sehingga
tahap 1!
Dan
sejak penubuhannya hujung tahun 2019, UPNP telah menjalankan pelbagai siri penguatkuasaan
melibatkan kesalahan-kesalahan bukan sahaja di bawah Kanun Tanah Negara (KTN)
1965, malah Akta Perhutanan Negara 1984, Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Enakmen
Sumber Air 2007.
Bagi
tahun 2021 sehingga 25 Oktober lepas sahajapun, 100 kes tangkapan dibuat. Ia
juga berjaya melakukan operasi serbuan, rampasan, sitaan jentera/kenderaan dan
peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perlombongan haram,
pemindahan bahan batuan dan penerokaan Tanah Kerajaan.
LEBIH RM7 JUTA
NILAI RAMPASAN/SITAAN
Rampasan
dan sitaan ini meliputi 62 jengkaut, 49 lori, 15 lori hantu, tujuh
(7) jentolak, masing-masing tiga (3) lori panjang dan backhoe, serta masing-masing satu (1) traktor dan kenderaan pacuan
empat roda, kesemuanya bernilai RM7.36 juta.
Begitu
juga yang membabitkan peralatan iaitu 18 pam pasir, 10 pam air, lapan
(8) jenerator, dua (2) enjin air serta masing-masing satu pontoon, palong, dram (trommel) dan alat pengesan logam, kesemuanya
pula bernilai RM180,500.
UPNP
juga telah membuka 83 kertas siasatan membabitkan kesalahan di bawah KTN 1965, Enakmen
Mineral Negeri 2001 dan Enakmen Sumber Air 2007 yang daripadanya, 28 dalam
tindakan, 23 menunggu izin untuk dikompaun, 17 ditawarkan kompaun dan tujuh
(7) untuk lakukan pendakwaan.
Tahun 2021 ini sehingga 25 Oktober juga, ia mengeluarkan
25 tawaran kompaun bernilai RM948,000 yang daripadanya, telahpun menerima
kutipan bayaran RM351,000.
Selain
itu, UPNP juga berjaya melakukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Raub pada 25
Oktober lepas bagi kesalahan di bawah Enakmen Sumber Air 2007 dengan denda
RM70,000 dikenakan ke atas tertuduh yang mengaku bersalah. Dan ini julung kalinya pendakwaan dilakukan
di bawah Enakmen Sumber Air 2007 sejak diwartakan.
GIACC SARANKAN
PENUBUHAN UPNP
UPNP
turut menjalankan operasi penguatkuasaan bersama-sama Jabatan Perhutanan Negeri
bagi memusnahkan tanaman durian Musang King secara haram dalam Hutan Simpanan
Kekal (HSK) Batu Talam, Raub seluas 101 hektar.
Menyingkap
sejarah penubuhan, ia bermula dengan pertemuan Ketua Pengarah, Pusat Governans,
Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) ketika itu, Tan Sri Abu Kassim
Mohamed dengan delegasi Kerajaan Pahang diketuai SUK Negeri, Dato’ Sri Dr
Salehuddin Ishak.
Pada
pertemuan 26 April 2019 itu, Tan Sri Abu Kassim menyarankan Kerajaan Pahang
menubuhkan sebuah badan penguat kuasa bersepadu melibatkan pelbagai jabatan dan
agensi Kerajaan, demi membanteras gejala penerokaan tanah haram.
Dato’
Sri Dr Salehuddin menyahut saranan ini, lalu segera menganjurkan beberapa siri
bengkel untuk memperhalusinya. Dalam masa sama, cadangan penubuhannya diangkat
ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang meluluskannya pada mesyuarat 9
Oktober tahun sama.
Sejak
itu, bergeraklah UPNP dengan bidang kuasanya meliputi usaha menangani 88 jenis
kesalahan di bawah 10 Enakmen Negeri dan empat (4) Akta Persekutuan, serta
melibatkan jabatan-jabatan berkepentingan – selain PTG dan Jabatan Perhutanan
ialah Jabatan Perikanan, Badan Kawal Selia Air (BKSA) di Pejabat SUK Negeri,
dan kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah; serta Jabatan Agama Islam Pahang
(JAIP).
SETELAH DUA TAHUN
UPNP, PASUKAN ELIT PULA DITUBUHKAN
Setelah
dua (2) tahun berlalu, Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri melihat ada keperluan
menubuhkan apa yang dinamakan Pasukan Elit Penguatkuasa yang masih di bawah
UPNP, tetapi dianalogikan seperti Unit Tindakan Khas (UTK), Polis DiRaja
Malaysia (PDRM).
Peringkat
awal ini, 20 orang dalam usia 35 tahun ke bawah, terpilih menganggotainya. Bagi
memantapkan kemahiran mereka, latihan sebulan termasuk cara penggunaan senjata
api diadakan di Kem Gerakan Am Bukit Galing, Kuantan yang tamat hujung bulan
lepas (Oktober 2021).
Penubuhan
Pasukan Elit Penguatkuasa ini adalah pelengkap, dan dijangkakan usaha risikan
seterusnya pembanteraan gejala penerokaan tanah secara haram dapat digiatkan, sekaligus
membuktikan Kerajaan Negeri sangat serius dalam menangani isu ini. – Khabar