Tuesday 16 November 2021

Kuantan menang Anugerah WHO berkaitan usaha bantu golongan rentan bandar semasa COVID-19

BANDARAYA KEBANGGAAN KITA...
 

 

KENYATAAN MEDIA

MENTERI BESAR PAHANG

 

Kuantan menang Anugerah WHO berkaitan usaha bantu golongan rentan bandar semasa COVID-19

Saya ucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pimpinan Dato’ Bandar, Dato’ Hamdan Hussin, atas kejayaan dianugerahi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkaitan usaha membantu golongan rentan bandar yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19.

Anugerah dimenangi dan diumumkan oleh WHO baru-baru ini ialah di bawah kategori ‘Reaching and engaging vulnerable groups for their care and protection during COVID-19 pandemic’.

Kuantan antara tujuh (7) bandaraya seluruh dunia yang memenangi anugerah pelbagai kategori anjuran WHO. Ia juga ialah satu daripada dua (2) bandaraya di negara ini selain Kuching, yang memenangi anugerah-anugerah berkenaan.

Kuching memenangi anugerah Pengiktirafan Khas (Special Recognition) Bandaraya Sihat manakala yang lain – Songpa, Korea Selatan bagi kategori berkaitan Pencemaran Udara (Air Pollution); Shangrao, Republik Rakyat China mengenai Penuaan Sihat (Healthy Ageing);

Gangdong, Korea Selatan tentang Makanan Berkhasiat (Nutrition); Obu, Jepun berkenaan Ketidakaktifan Fizikal (Physical Inactivity); dan Baguio, Filipina berhubung aspek Bebas Asap (Smoke Free).

Kejayaan Kuantan meraih anugerah ini susulan usaha MBK melaksanakan projek kemanusiaan dikenali Kuantan Prihatin Ke atas Kumpulan Rentan Bandar (ENG; ‘Kuantan Care for Urban Vulnerable Groups’) yang memberi keutamaan terhadap tiga (3) golongan rentan di bandaraya ini.

Golongan-golongan rentan ini ialah miskin tegar, golongan sasaran berpendapatan rendah B-40 khususnya yang menyewa di sebuah kawasan perumahan, serta golongan rentan yang tinggal di pusat bandaraya.

Seramai 11,625 orang dalam kalangan mereka dibantu iaitu 6,679 orang penerima bantuan makanan; 2,179 orang penerima bantuan kewangan; 1,907 orang penerima kemudahan kesihatan; 730 orang penerima pendidikan, 75 orang penerima peluang pekerjaan; dan, 55 orang penerima penginapan.

MBK dapat menjayakan projek ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC), serta pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat perniagaan.

Projek khas ini ialah setelah melalui siri perbincangan dan kajian di lapangan, selain menerima maklum balas wakil-wakil penduduk setempat; dengan fokus utama berkenaan aspek keselamatan makanan, penginapan selamat, kemudahcapaian kemudahan kesihatan, bantuan sosial dan pendidikan, serta bantuan kewangan dan peluang pekerjaan.

Dengan anugerah terbaru ini saya berharap, kepemimpinan serta seluruh pegawai dan  kakitangan MBK dapat terus mengambil pelbagai langkah demi menjayakan lagi usaha menjadikan Kuantan sebuah bandaraya gemilang dan selesa didiami penduduknya, In Sya Allah.

 

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL

Menteri Besar Pahang

16 November 2021 – Khabar