Wednesday 28 March 2012

Nilai hartanah di Kuantan terus meningkat atau stabil


… tidak merudum seperti yang ditohmah oleh puak-puak anti-Lynas menerusi ‘scare-tactics’ mereka


MEMPERSEMBAHKAN, 'RD PRIMA SUITES'... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan ialah Dato' Faisal (kanan) dan Dato' Norhisham (terlindung di belakang Dato' Faisal) serta Dato' Wan Razali dan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (kiri sekali), yang juga Pengerusi, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)


TAPAK BINAAN, PROJEK BANGUNAN 19-TINGKAT ‘RD PRIMA SUITES’, OFF JALAN GAMBUT, KUANTAN – Tohmahlah semahunya mengenai nilai hartanah di daerah ini kononnya kesan negatif daripada kebimbangan umum tentang projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas di Gebeng dekat sini;

Namun, ia masih tidak dapat menafikan hakikat bahawa nilai hartanah di Kuantan adalah sama ada meningkat atau stabil sepertimana laporan sahih – bukan sekadar ‘pluck from thin air’, yang disediakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pahang.

Penyediaan ini pula tidak bersifat ramalan atau jangkaan yang mungkin boleh dipertikaikan, sebaliknya bersandarkan transaksi sebenar atau ‘jual-beli’ yang telah benar-benar berlaku di lapangan.

Berdasarkan laporan oleh jabatan yang di bawah Kementerian Kewangan inilah, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah memetik dan menyebutnya dalam ucapan 15-minitnya sempena menyempurnakan majlis pecah tanah ‘RD Prima Suites’ pada pagi Isnin, 26 Mac di sini.

Dan, hakikat bahawa pemaju projek ini – Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera; sanggup melabur kira-kira RM49.83 juta untuk membangunkannya di atas tanah kira-kira satu suku (1 ¼) ekar dengan nilai semasa kira-kira RM2.8 juta ini, membuktikan keyakinan tingginya terhadap sektor hartanah di sini.

NILAI HARTANAH DI JALAN AIR PUTIH JUGA MENINGKAT

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, bagi harta kediaman seperti teres kos rendah setingkat di KM 12, Jalan Gambang; harga seunit meningkat daripada RM49,000 hingga RM68,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM53,000 hingga RM70,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi teres kos sederhana setingkat di Jalan Pintasan Kuantan; harga seunit meingkat daripada RM70,000 hingga RM110,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM80,000 hingga RM130,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi teres setingkat di Jalan Kubang Buaya; harga seunit meningkat daripada RM170,000 hingga RM185,000 (antara Julai danm Disember 2010) kepada RM200,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi teres dua (2) tingkat di Bandar Indera Mahkota; harga seunit meningkat daripada RM200,000 hingga RM270,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM280,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi berkembar setingkat di Jalan Air Putih; harga seunit meningkat daripada RM285,000 hingga RM370,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM420,000 (antara Januari dan Jun 2011).

MENJADI TUMPUAN DAN PERHATIAN... Orangramai mengambil kesempatan meninjau model 'RD Prima Suites', yang akan didirikan di atas tapak lama medan selera Merdeka Station.


HINGGA RM700,000 BAGI ‘SEMI-D’ DUA TINGKAT DI KUBANG BUAYA

Bagi berkembar dua (2) tingkat di Jalan Kubang Buaya; harga seunit meningkat daripada RM400,000 hingga RM655,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM430,000 hingga RM700,000 (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi harta kediaman seperti Kondominium Sejahtera; harga seunit meningkat daripada RM240,000 hingga RM290,000 (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM300,000 (antara Januari dan Jun 2011).  

Bagi tanah bangunan kediaman di Bandar Damansara yang bersebelahan Gebeng; meningkat daripada RM196 hingga RM205 bagi setiap meter persegi (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM242 bagi setiap meter persegi (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi kedai dua (2) tingkat di Jalan Darat Makbar; meningkat daripada RM450,000 hingga RM490,000 seunit (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM500,000 seunit (antara Januari dan Jun 2011).

Bagi kedai tiga (3) tingkat di Jalan Beserah; meningkat daripada RM700,000 seunit (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM800,000 seunit (antara Januari dan Jun 2011).

KADAR SEWA RUMAH, KEDAI DAN PEJABAT KEKAL STABIL

Bagi kadar sewa untuk kediaman, kedai ataupun ruang pejabat, ia tetap stabil – tidak meningkat, tetapi tidak pula jatuh dengan teruk.

Misalnya, kadar sewa ruang pejabat di Jalan Tun Ismail yang berkeluasan lantai 148 meter persegi adalah kekal pada RM790 hingga RM900 (bagi kedua-dua tempoh antara Julai dan Disember 2010, dengan antara Januari dan Jun 2011).

Begitu juga dengan kadar sewa ruang pejabat di Jalan Gambut yang berkeluasan lantai 130 meter persegi adalah kekal pada RM600 (bagi kedua-dua tempoh antara Julai dan Disember 2010, dengan antara Januari dan Jun 2011).

Begitu juga dengan kadar sewa ruang pejabat di Sri Dagangan 1 yang berkeluasan lantai 130 meter persegi adalah kekal antara RM700 hingga RM900 (bagi kedua-dua tempoh antara Julai dan Disember 2010, dengan antara Januari dan Jun 2011).

Mengenai projek ‘RD Prima Suites’ ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, ia adalah usahasama antara Rangkaian Delima Sdn Bhd (RDSB) – pemegang amanah bagi tanah satu suku ekar tersebut, dengan pemaju – Sunrise Ria Resources Sdn Bhd.

RD PRIMA SUITES AKAN NIKMATI GDV HINGGA RM60 JUTA

Kos keseluruhan projek ialah RM49.83 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, manakala jangkaan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan projek ini kelak ialah kira-kira RM58.04 juta.

Apabila siap kelak yang dijangka pada Jun 2015, RDSB akan memiliki sembilan (9) unit apartment jenis A yang bernilai keseluruhan kira-kira RM3.3 juta, satu (1) tingkat lot pejabat bernilai RM3.4 JUTA;

Dan pula, ia (RDSB) akan turut menikmati dua (2)peratus setahun daripada hasil sewaan lebih 100 unit bilik yang akan turut dimajukan oleh Sunrise Ria Resources Sdn Bhd sebagai hotel.

Keseluruhan ‘RD Prima Suites’ ini nanti, akan merangkumi 212 unit bilik pelbagai jenis, masing-masing sebuah dewan banquet dan piazza, dua (2) tingkat lot pejabat, enam (6) lot runcitan, masing-masing sebuah kolam renang dan jimnasium, serta tempat letak kereta.

Selain Pengerusi Eksekutif RDSB, Dato’ Faisal Abdullah dan Pengarah Urusan, Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, Dato’ Norhishan Ses; yang turut hadir pada majlis pecah tanah ini ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Mahussin serta tokoh-tokoh negeri dan UMNO. – Khabar


MATA KE MATA;

*** Nilai hartanah di Kuantan adalah sama ada meningkat atau stabil sepertimana laporan sahih – bukan sekadar ‘pluck from thin air’, yang disediakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pahang.

*** Penyediaan ini pula tidak bersifat ramalan atau jangkaan yang mungkin boleh dipertikaikan, sebaliknya bersandarkan transaksi sebenar atau ‘jual-beli’ yang telah benar-benar berlaku di lapangan.

*** Hakikat bahawa pemaju projek ini – Sunrise Ria Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera; sanggup melabur kira-kira RM49.83 juta untuk membangunkannya di atas tanah kira-kira satu suku (1 ¼) ekar dengan nilai semasa kira-kira RM2.8 juta ini, membuktikan keyakinan tinggi syarikat berkenaan terhadap sektor hartanah di Kuantan.

*** Bagi tanah bangunan kediaman di Bandar Damansara, yang bersebelahan Gebeng; meningkat daripada RM196 hingga RM205 bagi setiap meter persegi (antara Julai dan Disember 2010) kepada RM242 bagi setiap meter persegi (antara Januari dan Jun 2011).